Arkib Kategori: MALAYSIA

GWM Tank 300 dah sampai Port Klang, sedia untuk pelancaran tak lama lagi

UNIT jualan Great Wall Motor (GWM) Tank 300 kini sudah tiba di Port Klang, mungkin ada antara anda yang sudah menempah akan mendapat kereta awal?

Gambar-gambar ini disiarkan oleh GWM Malaysia. Menurut mereka, SUV Tank 300 ini bakal dilancarkan pada pertengahan bulan ini dan penyerahan akan dibuat tidak lama lagi.

Kami juga sudah melihat dengan lebih dekat GWM Tank 300 dalam beberapa sesi pratonton termasuklah semasa Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini.

@engear.tv Ready nak pecah tabung? GWM Tank 300 ni nak keluar tak lama lagi. Mengancam gilerr kereta ni! #fyp #gwmtank300 #carsoftiktok #engeartv #malaysia ♬ Vlad The Impaler – BLVKSHP

GWM Tank 300 ialah sebuah SUV dengan rupa rugged, kabin dalam premium, dan harga anggaran sekitar RM250,000.

Seperti dinyatakan sebelum ini, GWM Tank 300 untuk pasaran Malaysia berkemungkinan dikuasakan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder dengan output 217hp dan 380Nm tork.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.

Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).

Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.

Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.

Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.

Menurut GWM, 300 pembeli pertama SUVini akan mendapat pakej penyelenggaraan percuma lima tahun ATAU 100,000km.

Pemilik pertama juga akan menerima jaminan enjin dan kotak gear sepanjang hayat, tanpa had perbatuan.

Panigale Kingdom Mega Gathering  catat rekod dunia dengan 310 Ducati Panigale 

Penganjuran ‘Panigale Kingdom Mega Gathering’ 2024 bukan sahaja berjaya menempah nama dalam Malaysia Books of Record malah turut mencatat rekod dunia. 

Ini kerana perhimpunan terbesar motosikal Ducati Panigale itu Sabtu lalu berjaya mengumpulkan 310 motosikal Panigale bertempat di Ducati Kuala Lumpur. 

Perhimpunan lebih 300 motosikal Panigale itu juga yang paling banyak pernah dicatatkan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. 

“Panigale Kingdom Mega Gathering bukan setakat acara memecah rekod tetapi turut mencerminkan semangat Malaysia Boleh!,” jelas Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael. 

Acara tersebut turut menyaksikan kesemua pemilik Ducati Panigale berkonvoi beramai-ramai sambil diiringi beberapa motosikal berkuasa tinggi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Honda Insurance Plus dinaik taraf, khidmat tunda tanpa had perbatuan dan pelbagai lagi

HONDA Malaysia telah memperkenalkan Honda Insurance Plus (HiP) yang dinaik taraf, menawarkan pelan insurans automotif dengan nilai terbaik khas untuk pemilik Honda.

Pakej HiP yang dinaik taraf ini menawarkan gabungan tiga faedah termasuk khidmat menunda tanpa had perbatuan, 100% pembayaran sehingga 15 tahun, dan 100% perlindungan ke atas pembaikan kemalangan (tanpa betterment) sehingga 13 tahun.

Pakej HiP ini memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Penyelamatan, Perlindungan dan Penjimatan.

Penyelamatan

Pelanggan akan mendapat faedah tambahan termasuk khidmat tunda tanpa had perbatuan untuk kemalangan, kerosakan dan banjir, manakala perkhidmatan pembaikan tepi jalan menawarkan kos buruh percuma sehingga RM200, tidak termasuk alat ganti.

Pelanggan boleh menghubungi Bantuan Kecemasan HiP 24/7 Honda Malaysia di 1-800-18-1177 untuk perkhidmatan bantuan kerosakan dan kemalangan. Pasukan penyelamat akan bersedia untuk membantu pelanggan dengan insiden yang tidak diduga termasuk tayar pancit.

Perlindungan

Ahli HiP yang keretanya dibaik pulih di pusat Badan & Cat bertauliah Honda akan mendapat manfaat pra-kelulusan tuntutan yang pantas untuk tuntutan bawah RM30,000.

Pelanggan diberi jaminan bahawa semua kerja pembaikan dijalankan menggunakan alat ganti tulen Honda dengan waranti selama enam bulan atau 10,000 km.

Pelanggan juga layak mendapat Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM15,000 sekiranya berlaku Kematian Akibat Kemalangan atau Hilang Upaya Kekal dalam kemalangan kereta yang dinamakan.

Penjimatan

Sekiranya kenderaan dicuri atau tidak boleh dibaiki selepas kemalangan, pelan HiP yang dinaik taraf menjamin pembayaran insurans 100% berdasarkan nilai kereta yang dipersetujui sehingga 15 tahun dari tarikh pendaftaran (sebelum ini 13 tahun).

Selain itu, kenderaan yang dilindungi oleh pelan ini layak menikmati perlindungan 100% selama 13 tahun tanpa yuran betterment, membolehkan penggantian alat ganti lama kenderaan Honda yang rosak akibat kemalangan dengan alat ganti baru dan tulen.

HiP yang dinaik taraf akan dilancarkan bermula 1 Julai 2024, dan semua pelanggan Honda sedia ada dan baru dialu-alukan untuk memperbaharui atau memohon pakej HiP mereka di mana-mana wakil pengedar sah Honda.

Selepas lebih setahun setengah, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibuka semula hari ini

LALUAN B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022, akan dibuka semula, hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan, laluan itu akan dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada jam 3 petang.

Pada Disember 2022, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka ditutup selama setahun bagi membolehkan pelaksanaan kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.

April lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata projek pembaikan yang membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu sudah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja yang bakal disiapkan termasuk rel adang dan binaan dinding.

Helikopter A109 LOH Tentera Darat mendarat cemas, tiga krew cedera

TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah helikopter Agusta A109 LOH (M81-11) melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor, awal pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku ketika sesi latihan penerbangan membabitkan tiga anak kapal yang dikenal pasti mengalami kecederaan.

Contoh helikopter Agusta A-109 LOH milik Tentera Darat Malaysia. Gambar oleh: Orbats

“TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan kecemasan di mana kejadian berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang, Johor jam 1.35 pagi hari ini.

“Insiden ini melibatkan tiga anak kapal, terdiri daripada jurulatih helikopter, penuntut kursus dan krew kuatermaster,” katanya.

Menurut TDM, kesemua krew yang terbabit dalam insiden itu dalam keadaan sedar.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mengesan beberapa kecederaan dialami pegawai dan dua lagi anggota iaitu patah tulang belakang dan luka di beberapa bahagian anggota badan.

“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan sudah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi rawatan lanjut.

“Tindakan TDM adalah ‘Henti Terbang Sementara’ (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, TDM memberitahu proses ratifikasi dan pemeriksaan akan dilakukan bagi mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.

Selain itu TDM dalam kenyataannya, turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu dengan Lembaga Siasatan akan bersidang bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ducati DesertX Discovery direka khusus untuk tunggangan lasak

Ducati DesertX kini mempunyai varian baharu yang dikenali sebagai DesertX Discovery. Secara asasnya, ia diberikan pelbagai aksesori tambahan yang menjadikannya lebih rugged dan lasak berbanding versi standard.

Bagaimanapun, ini bukanlah versi paling hardcore dalam barisan DesertX. Gelaran itu masih dipegang oleh DesertX Rally, bermakna Discovery diposisikan di antara versi standard dan Rally.

Pertama sekali, DesertX Discovery boleh dibezakan menerusi skema warna Thrilling Black/Ducati Red yang cukup menonjol.

Tidak cukup dengan itu, ia juga didatangkan standard dengan pelindung tangan, pelindung enjin, gril radiator, perlindungan pam air dan bash plate yang lebih tebal berbanding Desert X.

Selain itu, ia juga mempunyai tongkat tengah, manakala penambahan penghadang angin lebih tinggi dan pemanas pemegang menambah keselesaan semasa menunggang di dalam cuaca sejuk.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada jentera ini termasuk sistem multimedia Ducati berserta sistem navigasi yang boleh diakses menerusi aplikasi Ducati Link. Kotak barangan aluminium pula ditawarkan sebagai opsyen.

Tiada sebarang perubahan untuk casis. Sama seperti DesertX standard, versi Discovery mempunyai rangka tiub keluli yang digandingkan dengan sistem suspensi KYB, dan rim 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang) yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR.

Ketinggian tempat duduk adalah 875 mm dalam konfigurasi standard. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih tempat duduk tinggi (890 mm), tempat duduk rendah (865 mm) dan tempat duduk rendah dengan kit suspensi rendah (845 mm).

Kuasa membrek dibekalkan oleh angkup monobloc Brembo M50 dengan cakera 320 mm di depan, dan angkup dua piston dengan cakera 265 mm di belakang.

Enjin juga tidak disentuh, bermakna unit Testastretta 11° silinder L-berkembar bersesaran 937 cc itu masih menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm.

Untuk kelengkapan elektronik pula, DesertX Discovery dilengkapi dengan skrin TFT-LCD berukuran lima inci, serta pelbagai sistem bantuan penunggang seperti Traction Control, Wheelie Control dan Cornering ABS.

Honda Dash 125 terima warna baharu – RM6,599

Boon Siew Honda (BSH) telah mengemas kini kapcai popular Dash 125 bagi pasaran tempatan dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut BSH, Dash 125 kinihadir dengan tiga warna baharu; Red, Blue dan Silver dengan model 2024 ini boleh didapati di semua rangkaian pengedar Impian X bermula 28 Jun 2024. 

Selain grafik baharu, Honda Dash 125 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 124cc SOHC dengan sistem penyejuk udara yang berupaya menjana 9.8hp pada 8,000rpm dan 9.54Nm pada 6,500rpm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 4L
  • berat 105kg
  • fork teleskopik depan
  • penyerap hentak berkembar belakang
  • rim 17-inci
  • cakera brek depan dan belakang

Bagi pasaran tempatan, Honda Dash 125 yang dikemas kini ini dijual pada harga RM6,599 dan disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km.

Hyundai Inster diperkenalkan, boleh dipandu sejauh 355 km, ada pengecasan DC 120 kW

HYUNDAI telah memperkenalkan Inster, kenderaan elektrik (EV) subkompak yang akan bersaing dalam pasaran segmen A.

Dibangunkan berasaskan model Casper, Inster akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Long Range.

Versi Standard menampilkan motor elektrik tunggal dengan 97 PS dan 147 Nm, serta pek bateri 42 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Sementara itu, versi Long Range juga mempunyai satu motor elektrik namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 115 PS. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 49 kWh, membolehkan Inster dipandu sejauh 355 km.

Hyundai berkata pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 11.7 saat untuk Standard dan 10.6 saat untuk Long Range. Kelajuan maksimum masing-masing pula dihadkan pada 140 km/j dan 150 km/j.

Walaupun bersaiz kecil, Inster menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 120 kW yang memerlukan 30 minit untuk memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80%.

Ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4 jam untuk Standard dan 4 jam 35 minit untuk Long Range. Turut disertakan adalah ciri Vehicle-to-Load (V2L).

Dari segi saiz, Inster mempunyai ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,610 mm, tinggi 1,575 mm dan tapak roda 2,580 mm.

Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan Casper namun seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai lampu nyalaan siang LED yang lebih unik dengan grafik piksel pada lampu isyarat membelok dan lampu belakang. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci (keluli biasa atau aloi) atau 17 inci (aloi), bergantung kepada spesifikasi.

Pilihan warna yang ditawarkan agak meluas, termasuk Atlas White, Tomboy Khaki, Bijarim Khaki Matte, Unbleached Ivory, Sienna Orange Metallic, Aero Silver Matte, Dusk Blue Matte, Buttercream Yellow Pearl, dan Abyss Black Pearl.

Di dalam, Inster memfokuskan kepada teknologi dan kemudahan menerusi kluster digital 10.25 inci, skrin sistem infotainmen 10.25 inci dan pengecas tanpa wayar pada konsol tengah. Pelanggan boleh memilih warna hitam, Khaki Brown atau Newtro Beige dua tona dengan trim fabrik.

Apa yang menarik, semua tempat duduk termasuk tempat duduk pemandu boleh dilipat rata. Tempat duduk belakang pula dibahagikan secara 50:50 dan boleh digelongsor. Kapasiti ruang but adalah 280 liter, boleh dibesarkan lagi sehingga 351 liter dengan menolak kerusi belakang ke depan.

Menurut Hyundai, bahagian luaran dan dalaman Inster menggunakan bahan mampan. Sebagai contoh, kemasan hitam berkilat pada bahagian badan dicat menggunakan cat kitar semula, manakala untuk ruang kabin, Hyundai menggunakan botol PET yang dikitar semula dan bio-polipropilena.

Sistem keselamatan pula merangkumi ciri-ciri ADAS seperti Surround View Monitor, Parking Collision-Avoidance Assist Rear,Blind-spot View Monitor, Forward Collision-Avoidance Assist 1.5, Lane Keeping Assist (LKA),Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Safety Exit Warning, Highway Driving Assist 1.5 dan pelbagai lagi.

Tidak seperti Casper yang hanya boleh didapati di Korea Selatan, Inster akan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah dan juga Asia Pasifik.

Tokyo Auto Salon KL 2024 kembali pada 8-11 November ini, jualan tiket kini dibuka

TOKYO Auto Salon Kuala Lumpur (TAS KL) kembali untuk tahun kedua, bakal menemui anda pada 8 hingga 11 November 2024 nanti. Ia akan diadakan di lokasi yang sama iaitu Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).

Jualan tiket kini dibuka dan pembeli terawal bakal mendapat diskaun menarik.

TAS KL ialah satu-satunya acara permotoran jenama itu yang dibuat di luar Jepun. Anjurannya adalah di bawah lesen dan diinspirasikan dari acara berprestij Tokyo Auto Salon di Negara Matahari Terbit itu.

Lebih 19,000 pengunjung dilaporkan hadir ke acara TAS KL tahun lepas. Antara pempamer yang mengambil bahagian adalah Top Secret, Spoon, HKS, dan GReddy. Pameran tahun ini dijangka membawakan skala lebih besar.

“Sama seperti acara asal di Jepun, pelbagai usaha diberikan bagi memastikan acara kali ini melepasi jangkaan para peminat,” kata Pengarah dan CEO Element X Strategies, Jason Yap.

Harga tiket ialah RM60 pada hari acara, dan RM120 untuk pas tiga hari. Walaubagaimanapun pembeli terawal mendapat harga early birds berharga RM50 sahaja.

Tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula ialah RM25 untuk early bird, RM30 pada harga acara, dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak bawah enam tahun masuk percuma.

Untuk lebih eksklusif, anda boleh mendapatkan Black Tag pada harga RM1,500. Dengan pas ini, anda mampunyai keistimewaan seperti:

  • Akses ke semua tiga hari acara
  • Parkir valet percuma
  • Akses ke lounge Black Tag
  • Makanan dan minuman percuma
  • Akses ke Japan Pavillion Cars
  • Barangan eksklusif TAS KL 2024
  • Meet and greet dengan pelbagai individu
  • Keutamaan untuk bidaan
  • Lounge khas tanpa media dan jurugambar

Tiket boleh dibeli di https://tickets.tokyoautosalonkl.com dan early bird hanya terhad kepada 5,000 pembeli terawal hingga 31 Julai 2024 sahaja.

NexV Manufacturing lantik lima vendor Tahap Sifar untuk kilang EV

Syarikat NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan lima vendor Tahap Sifar (Tier Zero, atau T0) bertempat di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Lima syarikat yang dimaksudkan itu ialah PHN Industry Sdn Bhd, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Noble Star Parts Sdn Bhd, Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.

Vendor Tahap Sifar merujuk kepada syarikat “Kilang dalam Kilang” (FWF) di mana vendor yang dilantik itu bertanggungjawab menghasilkan sistem operasi yang tersendiri untuk memastikan pengurusan aliran bahan dan proses pemasangan kenderaan yang lebih cekap.

 

 

Selain daripada itu, NexV turut menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan dua pengedar, iatu Central Auto Distributors Bhd dan Wise Star Assets Sdn Bhd untuk pemasangan model-model kenderaan tenaga baharu (NEV) Dongfeng serta bas elektrik Skywell.

NexV Manufacturing dijangka akan menyiapkan fasa satu pembinaan kilang pengeluaran dan pemasangan yang terletak di Rembau pada bulan Oktober 2024.

Operasi pengeluaran besar-besaran pula akan bermula pada Mac 2025 dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, dengan potensi yang mampu dipertingkatkan kepada 50,000 unit setahun.

Dalam usaha untuk memupuk pertumbuhan industri, NexV Manufacturing menjalinkan kerjasama dengan Institut Kemahiran Tinggi Negara (IKTBN) Chembong untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam teknologi NEV dan memastikan tenaga mahir yang bersedia untuk memacu industri ke hadapan.

NexV juga turut membuka peluang kepada mana-mana jenama NEV lain sama ada jenama kenderaan penumpang, kenderaan komersial dan motosikal elektrik untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD) di kilang mereka.

Pusat 3S pertama Jaecoo Malaysia kini dibuka di Glenmarie

JAECOO Malaysia secara rasminya melancarkan pusat pengedaran pertamanya di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Pusat pengedaran bertaraf 3S ini dikendalikan oleh ES Premium Holdings Sdn Bhd dan akan diikuti oleh pelancaran rasmi 34 pusat pengedaran lagi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dengan pelaburan bernilai RM5.5 juta, pusat pengedaran itu dibina di atas tanah berkeluasan 40,000 kaki persegi dan mempunyai saiz binaan 23,000 kaki persegi.

Ia merangkumi bahagian jualan, perkhidmatan selepas jualan serta simpanan stok alat ganti di bawah satu bumbung.

Sejurus melangkah masuk ke dalam pusat ini, pelanggan akan disambut oleh laluan Super Walkway yang luas bermula dari tingkat bawah ke tingkat satu yang mampu mempamerkan sehingga tujuh model.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri menarik seperti paparan LED interaktif yang membolehkan pelanggan mengimbas spesifikasi setiap model.

Melengkapkan pengalaman ini adalah kehadiran penasihat jualan yang terlatih secara profesional untuk menjawab sebarang pertanyaan daripada pelanggan dan mengatur sesi pandu uji.

Buat masa ini, model yang dipamerkan adalah model Jaecoo J7 yang ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan semua roda (AWD) dan pacuan dua roda (2WD).

Selain itu, pusat ini juga menyediakan pelbagai kemudahan khusus untuk keselesaan pelanggan seperti ruang istirahat, sambungan internet berkelajuan tinggi, surau serta ruang penyerahan kenderaan baharu.

Dikendalikan oleh juruteknik terlatih serta lengkap dengan alatan serba canggih, bahagian selepas jualan mempunyai kapasiti menyelenggara lebih daripada 500 kenderaan sebulan.

Ia juga menampilkan ruang servis kenderaan elektrik (EV), sekali gus membuktikan ketersediaan jenama itu untuk mengurus rangkaian EV-nya dalam masa terdekat.

Menurut Jaecoo, dengan 35 pusat pengedaran sah, rangkaian perkhidmatannya bakal merangkumi kira-kira 180 ruang servis di seluruh negara, disokong oleh gudang alat ganti kereta khusus dan kilang pemasangan di Shah Alam yang dilancarkan baru-baru ini.

Pembukaan pusat 3S Jaecoo di Glenmarie akan diikuti oleh pelancaran SUV kegunaan lasak premium J7 yang akan diraikan selama tiga hari, dari 19 Julai hingga 21 Julai. J7 akan menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan di Malaysia dan rantau ASEAN.

Pusat 3S Jaecoo Glenmarie terletak di No. 2D, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, 40150 Shah Alam, Selangor.

Kakitangan ditahan SPRM, PROLINTAS jamin beri kerjasama

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) berkata ia bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berikutan siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerima maklum bahawa beberapa warga kerja kami telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan membabitkan kes pembinaan.

“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, SPRM mengesahkan penahanan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

Harmony Auto buka pusat 3S BYD di Hartamas Shopping Centre

HARMONY Auto yang merupakan kumpulan pengedar kenderaan terkemuka dari China hari ini telah melancarkan pusat 3S BYD pertamanya di Hartamas Shopping Centre.

Dengan keluasan ruang sekitar 8,000 kaki persegi, pusat 3S ini menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya.

Ini terdiri dari ruang pamer kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan.

Untuk lebih selesa, ruang menyambut pelanggan bagi urusan lepas jualan — yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses servis khusus untuk setiap pelanggan — bersambung terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD.

Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.

Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue melancarkan premis berkenaan berkata: “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia.”

Tambah beliau, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan.

Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.

Pusat BYD Harmony Auto juga dilengkapi dengan Pusat Servis dan Alat Ganti yang akan siap pada suku keempat tahun ini.

Dengan pusat 3S beroperasi sepenuhnya, pusat 3S BYD Hartamas ini akan menjadi yang pertama terletak di dalam pusat beli-belah.

Boon Siew Honda lancar CB350RS di Malaysia – RM20,500

Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CB350RS untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM20,500. 

Hadir dengan dua warna pilihan, Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic, Honda CB350RS ini pastinya akan menarik minat penggemar motosikal retro di Malaysia. 

Walaupun gaya klasik namun CB350RS ini dipacu enjin moden serba baharu yang menawarkan 21.8hp dan 30Nm. Tork pula hadir seawal 3,000rpm sekaligus membenarkan penunggang menikmati kadar pecutan yang efisien. 

Antara kelengkapan moden ditawarkan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dipadamkan dan ABS dwi-saluran. 

Sementara itu, CB350RS turut dilengkapi sistem PGM-Fi (Programmed Fuel Injection), yang menawarkan penjimatan yang lebih baik. 

Sime Darby lancar pusat servis sehenti Drivecare untuk semua jenis kenderaan

Sime Darby Motors hari ini melancarkan pembukaan pusat servis sehenti Drivecare yang terbuka kepada semua pemilik kenderaan dari pelbagai jenis segmen dan jenama.

Beroperasi dalam kemudahan Auto Selection, inisiatif Drivecare diperkenalkan bertujuan untuk menawarkan harga perkhidmatan yang lebih berdaya saing, menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan yang disokong oleh kepakaran juruteknik SDM yang terlatih.

Selain itu, Drivecare juga dibuka untuk menangani keresahan pelanggan di kebanyakan bengkel servis, seperti kemudahan yang tidak mencukupi, mutu kerja kurang memuaskan, serta ketiadaan ruang menunggu yang selesa.

Buat masa ini, perkhidmatan Driveare boleh didapati di dua fasiliti utama di Lembah Klang, iaitu di Glenmarie dan Jalan Chan Sow Lin.

 

 

Bersempena dengan pembukaan rasmi, Drivecare turut menawarkan promosi istimewa bermula 26 Jun hingga 31 Julai 2024, seperti pemeriksaan kenderaan percuma, set bilah pengelap cermin dengan setiap penggantian cermin hadapan, khidmat cucian kereta dan satu produk Liqui Moly secara percuma.

Terdapat juga promosi terhad bagi pelanggan yang memiliki dua buah kenderaan di mana 100 orang pelanggan pertama yang membawa kereta kedua untuk diservis akan menikmati diskaun 50 peratus bagi minyak enjin, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

Vendor bagi nombor plat khas EV akan dimuktamadkan – Kementerian

PEMBANGUNAN bagi nombor plat khas untuk kenderaan elektrik (EV) kini dalam peringkat akhir, dalam fasa memuktamadkan bahagian teknikal sebelum pelancaran rasminya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan dalam proses melantik vendor untuk pelaksanaannya.

“Kita sedang memuktamadkan aspek-aspek teknikal. Selepas ini selesai, kita akan membuat pengumuman,” katanya kepada wartawan semasa majlis MoU antara Batik Air dengan Kia.

Loke berkata walaupun penggunaan nombor plat ini adalah secara sukarela di peringkat awal, EV-EV baharu akan diwajibkan.

“Untuk pemilik EV sedia ada, mereka akan mempunyai pilihan untuk bertukar kepada plat baharu ini,” tambahnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan semua EV di seluruh negara akan diberikan nombor plat khas bermula dengan “EV” diikuti nombor yang didaftarkan. Sebagai contoh: EV1, EV2.

Kementerian juga berkata struktur harga cukai jalan EV juga sedang dikaji secara menyeluruh.

Kenderaan Singapura dilarang keluar Malaysia selagi belum selesaikan saman – Menteri

Kerajaan Malaysia akan melaksanakan pendekatan yang lebih tegas kepada mana-mana kenderaan asing yang didapati melanggar undang-undang negara ini, lapor Bernama.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan memudahkan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia, namun jangan harapkan ‘pusingan U’ terhadap penguatkuasaan VEP bermula 1 Oktober ini.

Beliau berkata ketika ini kerajaan tidak mempunyai cara untuk mengesan kenderaan asing yang memiliki saman atau kesalahan di negara ini.

“Jadi apabila VEP dilaksanakan, sesiapa atau kenderaan asing yang memasuki Malaysia, jika melanggar undang-undang kita maka mereka perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini. Inilah mesejnya… tidak akan ada pusingan U. Akan dikuatkuasakan pada 1 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia ke-4 di sini hari ini.

Menurut Loke mesej itu jelas terhadap kenderaan asing terutama pemandu Singapura yang kerap datang ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berharap pemandu warga asing mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini sepertimana pemandu Malaysia mematuhi undang-undang Singapura.

Loke berkata kementeriannya menyedari e-mel berkaitan kesulitan pemilik kenderaan asing dalam mendaftarkan VEP dan Bahagian Darat kementerian serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarahkan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelesaikan isu terbabit sekali gus memudahkan proses berkenaan.

“Sebaik sahaja kita meneliti isu itu, kita akan buat pengumuman nanti dari segi penambahbaikan,” katanya sambil menambah beliau sendiri akan meneliti isu berkenaan dan akan ke Johor untuk melakukan pemeriksaan.

Pada 28 Mei lepas, Loke mengumumkan VEP bagi kenderaan asing di sempadan darat Malaysia-Singapura akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Mereka yang disabit kesalahan boleh dikompaun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan seperti ketetapan Seksyen 119(2) di bawah Akta 333.

Gaji tinggal RM50, lelaki ini menyesal beli BMW S 1000 RR

Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kesal selepas melakukan pembelian motosikal idaman jenis BMW S 1000 RR. 

Perkongsian di media sosial itu mencuri perhatian apabila lelaki berkenaan mendedahkan bagaimana dia telah membeli motosikal jenis ‘superbike’ dengan harga RM129k pada tahun 2023 namun kemudian meluah rasa kesal. 

“Betul orang kata superbike untuk hobi orang kaya, bukan keperluan. 

“Aku gaji baru RM6k beli BMW S 1000 RR 2023 dan sekarang baru tengah bulan, lepas perbaharui cukai jalan dan servis, duit makan cuma tinggal RM50,” katanya. 

Perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan rata-rata mengkritik tindakan membeli jentera BMW yang paling baharu walaupun terdapat pilihan lain yang menawarkan harga lebih rendah. 

Untuk rekod, BMW S 1000 RR 2023 merupakan motosikal segmen 1000cc yang dikuasakan enjin 4-silinder 999cc DOHC dengan teknologi BMW ShiftCam yang berupaya menjana 205hp pada 13,000rpm dan 113Nm pada 11,000rpm. 

JPJ umum kempen panggilan semula untuk Toyota, Mercedes-Benz dan Chery

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan kempen panggilan semula Siri 2/2024 yang melibatkan beberapa model kenderaan daripada tiga jenama iaitu Toyota, Mercedes-Benz dan Chery.

Menurut JPJ, panggilan semula bagi model-model terlibat telah dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan tersebut sejak dari bulan Mac 2024 dan masih berlangsung sehingga kini.

Berikut adalah semua model yang terlibat dengan kempen panggilan semula:

Toyota

  • Corolla Cross (tahun pengeluaran Julai-September 2023) – 2,379 unit

Mercedes-Benz

  • C 200 (Januari-Julai 2023) – 1 unit
  • CLA 200, CLA 45 AMG 4Matic, A 250, A 45 AMG 4Matic dan S 400 Hybrid (Jun 2012-Januari 2021) – 11 unit
  • EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, GLC 300 4Matic, GLC 350 E 4Matic, AMG EQE 53 4Matic+, AMG EQS 53 4Matic+, AMG SL 43 Roadster, Maybach S 580 4Matic dan S 580 E (Januari-November 2023) – 1,297 unit
  • GLE 450 4Matic dan GLS 450 4Matic (Februari 2018-November 2023) – 1,302 unit

Chery

  • Omoda 5 (November 2023-April 2024) – 600 unit

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa berikutan isu kegagalan gandar belakang Omoda 5 yang tular baru-baru ini, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti panggilan semula sejak 3 Mei 2024.

Sehingga 7 Jun 2024, Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit (98.67%) Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti panggilan semula itu.

“Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan pada akhir Jun 2024,” kata JPJ.

Batik Air, Kia jalin kerjasama sedia khidmat pemindahan terminal dengan EV9, Carnival

BATIK Air memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.

Menerusi kerjasama dengan pengedar rasmi jenama Kia iaitu Dinamik Jaya Motors Sdn Bhd, Batik Air akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi dengan menawarkan pemindahan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA.

Penumpang akan dibawa menggunakan SUV elektrik Kia EV9 dan MPV Kia Carnival antara lokasi pengambilan yang terletak di Gate G1 di Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit.

Menurut Batik Air, perkhidmatan ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotren.

Datuk Chandran Rama Muthy, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil memastikan pelanggan mereka dapat menikmati keselesaan dan kemewahan yang tiada tandingan.

“Inisiatif ini selaras dengan dengan visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dalam penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Kevin Ahn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik berkata perkongsian dengan Batik Air itu sejajar dengan visi korporat Pelan S Kia dan komitmen mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.