Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution minggu lalu telah merasmikan pembukaan kilang pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik yang pertama di Indonesia.
Dengan kapasiti sel bateri tahunan berjumlah 10 Gigawatt jam (GWh), kilang tersebut mampu menyalurkan pek bateri yang diperlukan lebih 150,000 unit EV, bermula dengan Kona Electric diikuti dengan pelbagai model Hyundai dan Kia.
Pembukaan kilang tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kedua-dua belah pihak untuk melabur sehingga $9.8 bilion (RM46.14 bilion) untuk membangunkan rantaian bekalan EV di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Hyundai dan LGES juga sedang bersedia untuk membangunkan fasa kedua kilang tersebut melibatkan pelaburan $2 bilion (RM9.42 bilion) bagi menambah kapasiti sel bateri tahunan sebanyak 20 GWh.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menjelaskan kilang bateri tersebut mampu mengukuhkan Indonesia dalam rantaian bekalan EV global.
“Ini merupakan kilang sel bateri EV yang pertama dan terbesar di Asia Tenggara, dan saya yakin kita akan dapat memenangi persaingan dengan negara lain disebabkan oleh sumber nikel, bauksit dan tembaga ada di sini,” ujarnya.
Indonesia memiliki rezab nikel yang paling besar dalam dunia, di mana negara itu telah mengenakan larangan eksport nikel mentah pada tahun 2020 bagi menggalakkan pelaburan dalam pemprosesan logam secara domestik.
Honda sebelum ini telah menghidupkan kembali nama ikonik Integra untuk digunakan di pasaran Amerika Syarikat dan China.
Biarpun membawakan penampilan yang berbeza, ia tetap membawakan satu persamaan yang ketara – menggunakan asas daripada Honda Civic.
Kini, sebuah lagi nama ikonik bakal diberikan nafas baharu, iaitu Honda Prelude di mana kereta sports dua pintu ini dijangka akan ditawarkan di pasaran Eropah menjelang pertengahan dekad ini.
Sama seperti dua jenis Honda Integra yang disebutkan tadi, Honda Prelude generasi baharu ini juga akan dibangun berdasarkan platform Honda Civic.
Selain ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan pemanduan sebelah kanan (RHD), Honda dijangka akan memasarkan kereta sports Prelude dengan teknologi hibrid e:HEV yang telah wujud pada model Civic masa kini.
Dalam tetapan sedia ada, enjin 2.0 liter hibrid aspirasi semula jadi itu mampu menjana kuasa setinggi 181 hp dan 232 Nm, namun terdapat laporan di mana angka tersebut akan dipertingkatkan kepada 208 hp khusus untuk model Prelude.
Honda Prelude generasi baharu ini turut menjanjikan pengalaman pemanduan menyeronokkan yang dapat dicapai menerusi keseimbangan yang sempurna antara dinamik pemanduan dan kecekapan penggunaan bahan api.
Apa yang pasti, ketua jurutera Tomoyuki Yamagami sebelum ini telah menegaskan yang Honda Prelude tidak akan menjadi model Honda yang lebih sporti berbanding Honda Civic Type R.
Berdasarkan imej rasmi yang dibekalkan, Honda Prelude berwarna merah ini tidak membawakan perubahan rekaan yang ketara berbanding unit konsep yang dipamerkan semasa Japan Mobility Show 2023 yang lalu.
Keempat-empat sudut gerbang roda kini dipadankan dengan rim hitam bersaiz 20 inci, diikuti dengan angkup brek berwarna merah dan padanan kit badan yang diperbuat daripada gentian karbon.
Setakat ini, Honda masih belum mendedahkan perincian berkenaan rekaan ruang kabin, namun melihatkan kepada struktur bonet yang rendah serta cermin hadapan yang tinggi itu mampu menawarkan medan penglihatan yang lebih luas.
Berita baiknya, Honda Prelude generasi keenam ini akan dipamerkan kepada umum pada acara Goodwood Festival of Speed yang akan berlangsung pada minggu ini.
Pengeluar automotif China BYD baharu sahaja melancarkan pembukaan kilang pemasangan kenderaan yang pertama di rantau Asia Tenggara.
Kilang yang terletak di Rayong, Thailand itu mempunyai kapasiti produksi sekitar 150,000 unit setahun dan bakal menjadi lokasi pemasangan bagi empat model terpentingnya, iaitu Dophin, Atto 3, Song dan Sealion.
Selain itu, salah satu daripada subsidiari BYD juga dilapor akan mendirikan kilang pengeluaran bateri di lokasi yang sama.
Negara Thailand telah menjadi lokasi hab pemasangan dan eksport kereta serantau yang telah lama dikuasai oleh pengeluar Jepun seperti Toyota, Honda dan Isuzu.
Menjelang 2030, negara itu menyasarkan untuk menukar 30 peratus daripada pengeluaran tahunannya sebanyak 2.5 juta kenderaan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV).
Disebabkan itu, BYD merancang untuk menjadikan Thailand sebagai hab pengeluaran untuk eksport ke pasaran ASEAN dan negara-negara lain.
Selain Thailand, syarikat EV itu juga dilapor merancang untuk membuka kilang pemasangan kedua ASEAN yang terletak di Indonesia menjelang tahun 2026.
KITA biasa dengan kit model skala yang perlu dipasang, dicat, dan diperincikan menjadi seperti kereta sebenar yang menjadi kepuasan bagi peminat hobi sebegini.
Tetapi berapa kali kita menjumpai kit dengan badan jernih yang boleh menampakkan rangka serta komponen dalam kereta?
Tamiya mengeluarkan model Mercedes-Benz 300 SL “full view” skala 1/24, satu model terkini dari siri model plastik mereka. Model ini bila disiapkan mempunyai panjang 188mm, lebar 75mm, dan tinggi 53mm.
Badan 300 SL itu dimodelkan dengan terperinci dan ia boleh disiapkan tanpa dicat, membolehkan anda menghargai dan menatap perincian di dalamnya.
Pintu ‘gull wing’ ikonik padanya juga boleh dibuka, begitu juga dengan hud depan. Bahagian kabin juga terperinci dengan tempat duduk sporti, tombol gear, dan panel instrumen.
Bahagian lain juga cukup realistik seperti suspensi, jaringan pada ruang udara depan, logo, emblem, dan tayar getah.
Sudah tentu di bawah badan lutsinar ini anda dapat hayati kerangka casis tubular dan enjin 3.0-liter 6-silinder. Satu model yang unik bila disiapkan.
CFMoto telah melancarkan Papio SS edisi istimewa di Filipina yang menampilkan watak anime dan manga popular, Akira.
Menurut CFMoto, Papio SS Akira Editio itu lahir dari kerjasama antara CFMoto dan jenama barang kemas 13 Lucky Monkey.
Diinspirasikan dari filem anime Akira yang diterbitkan pada 1988, Papio SS tersebut menampilkan elemen dan grafik yang terdapat pada motosikal Akira yang ditunggang protagonis, Kaneda.
Untuk itu, Papio SS ini juga datang dengan warna merah dan menampilkan pelekat yang terdapat pada Akira sekaligus mmemberikan suasana 80an.
Pengarah Kreatif 13 Lucky Monkey, Dante Dizon mendedahkan dia merupakan peminat besar anime Akira.
Bagaimanapun, disebalik inspirasi Akira itu aspek lain kekal sama termasuk enjin satu silinder 126cc dengan sistem penyejuk udara yang menawarkan 9.4hp pada 8,250rpm dan 9.2Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.
Untuk rekod, CFMoto Papio turut ditawarkan di Malaysia dan dijual pada harga RM8,888.
Mereka yang sudah terbiasa mengembara ke luar negara pastinya kagum dengan tahap kecekapan kakitangan dan mesin di lapangan terbang dalam mengendalikan beratus-ratus hingga beribu-ribu bagasi dalam masa sehari.
Sekarang, cuba bayangkan sistem yang sama, namun dengan jarak yang lebih jauh.
Ya, itu antara penyelesaian yang cuba dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun dalam usaha untuk menangani masalah kekurangan pemandu trak yang semakin meruncing saban tahun.
Menurut laporan Japan News, satu sistem yang dinamakan sebagai Autoflow Road, atau bahasa mudahnya sistem tali sawat akan dibina menghubungkan Tokyo dan Osaka sejauh 500 km untuk tujuan pengedaran barangan kargo.
Sistem tali sawat ini boleh dibina bersebelahan dengan jalan raya utama sedia ada, atau menggunakan laluan bawah tanah.
Dengan operasi tanpa henti setiap hari, secara teorinya sistem ini dapat menampung kapasiti penghantaran kargo yang sama dibuat oleh 25,000 orang pemandu trak dalam masa sehari.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Jepun bakal mengalami masalah kekurangan sehingga 36 peratus tenaga pekerja yang diperlukan untuk mengendalikan 1.40 bilion tan kargo menjelang 2030.
Dengan cara mengurangkan sehingga 25,000 buah trak dari jalan raya mungkin sekali dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik, merendahkan tahap pelepasan emisi serta membantu mengurangkan impak negatif akibat krisis kekurangan tenaga pekerja.
Penggunaan sistem tali sawat ini bukanlah satu perkara yang asing, memandangkan di negara Jepun sendiri ada menggunakan cara yang sama untuk mengangkut muatan batu kapur sepanjang 23 km yang terletak di Torigatayama.
Cabaran utama yang dihadapi sudah tentu kos pembinaan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh syarikat pembinaan, kos untuk membina terowong bawah tanah bermula dari ¥7 bilion (RM204 juta) dan mampu mencecah ¥80 bilion (RM2.3 bilion) untuk setiap 10 km.
Jadi, kos keseluruhan untuk membina sistem yang menghubungkan Tokyo dan Osaka mampu mencecah sehingga ¥3.7 trilion (RM108.2 bilion)!
WALAUPUN DeLorean DMC-12 nampak hebat dan cool dalam trilogi filem Back to the Future, ramai penonton dan peminat tidak mengetahui kereta sebenar dengan badan stainless-steel itu sebenarnya tidak laju.
Kereta itu dipacu oleh enjin V6 di belakang pemandu yang menghasilkan 130hp, dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 9.5 saat (ujian pada 1981). Kini, Electrogenic – firma dari UK – ada penyelesaian untuk melajukan lagi DeLorean dengan kit EV bolt-on mereka.
Tangki minyak diganti dengan pek bateri 42kWh. Kemudian ruang enjin diisi dengan motor elektrik, inverter, pengecas, dan sistem penyejuk yang muat dengan baik sekali.
Pakej elektrik ini diberikan kemasan stainless-steel sama dengan badan kereta, bersama tulisan Electrogenic dengan font yang sama dengan DeLorean. Kit ini turut dilengkapi dengan driveshaft kustom dan unit kawalan berserta mod pemanduan (Sport, Eco, dan Town).
Electrogenic berkata motor elektrik pada DeLorean ini menghasilkan 215hp iaitu 85hp lebih dari enjin asal.
Dengan pertukaran kepada EV, Electrogenic berkata ia membolehkan DeLorean memecut dari pegun ke 96km/j kurang dari lima saat. Jarak pemanduan adalah sehingga 240km.
Untuk pengecasan, ia boleh menggunakan pengecas jenis CCS untuk DC, tetapi Electrogenic tidak mendedahkan kadar pengecasan maksima dan masa yang diperlukan.
Harga juga tidak dinyatakan, tetapi kit EV ni menurut Electrogenic adalah plug-and-play terus kepada mounting enjin asal. Tiada pemotongan, gerudi, atau tempaan diperlukan.
Apa pun, DeLorean versi elektrik in pastinya akan membuatkan Doc Brown menyahut, “Great Scott!”.
AGENSI Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura berkata tidak lama lagi, motosikal asing yang lama tidak akan dibenarkan di jalan raya di negara itu, sementara kenderaan diesel komersial asing perlu mematuhi tahap pelepasan yang lebih rendah.
Menurut laporan Channel News Asia, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Singapura untuk melindungi kualiti udara.
NEA berkata mulai 1 Julai 2028, motosikal berdaftar asing yang didaftarkan di negara mereka sebelum 1 Julai 2023 akan dihalang daripada memasuki Singapura.
Sebelum ini pada tahun 2018, NEA mengumumkan keperluan sama yang melarang motosikal tempatan lama dari jalan raya Singapura bermula Julai 2028.
Ini kerana motosikal lama menyebabkan lebih banyak pencemaran berbanding motosikal yang mematuhi piawaian pelepasan Euro yang lebih baharu.
“Keperluan ini kini akan diperluaskan kepada motosikal berdaftar asing, kata NEA.
“Penunggang motosikal asing yang memasuki Singapura dikehendaki menggunakan motosikal yang didaftarkan pada atau selepas 1 Jul 2003, yang juga mematuhi piawaian pelepasan dalam penggunaan Singapura,” tambah agensi itu.
Pengharaman motosikal asing lama adalah sebahagian daripada langkah untuk mengehadkan pelepasan kenderaan kerana ia mengandungi bahan pencemar yang boleh menjejaskan pernafasan.
NEA juga berkata mulai 1 April 2026, tahap untuk mengarahkan kenderaan diesel komersial asing berpatah balik daripada memasuki Singapura akan diperketatkan kepada 50 HSU.
‘Hartridge Smoke Unit’ merupakan metrik untuk pelepasan asap daripada kenderaan diesel.
TAHUN lalu, kita telah menyaksikan Aston Martin DBX707 AMR23 yang dihasilkan bagi meraikan pencapaian pasukan Aston Martin dalam kancah Formula 1.
Kali ini, Aston Martin memperkenalkan versi yang dikemas kini yang dikenali sebagai AMR24. Ia dinamakan sempena jentera yang digunakan oleh Aston Martin Aramco tahun ini dan mempunyai penampilan yang sama dengan kereta perubatan rasmi F1 tahun ini.
Ini bermakna ia didatangkan dalam warna Podium Green tetapi untuk penampilan yang lebih unik, pelanggan juga boleh mendapatkan warna Onyx Black atau Neutron White.
Penampilannya diserlahkan lagi dengan angkup brek berwarna Aston Martin Racing Green atau AMR Lime, rim Fortis berukuran 23 inci dengan kemasan hitam satin atau hitam berkilat, serta plak enjin AMR24 yang berselindung di bawah bonet.
Untuk ruang dalaman, Aston Martin menawarkan dua skema warna iaitu Onyx Black (Monotone) dengan jahitan Lime, atau Onyx Black/Eifel Green Duotone dengan jahitan Lime.
Pelanggan juga boleh memilih trim gentian karbon dan krom gelap atau mesh titanium yang dipadankan dengan krom satin. Sentuhan unik lain termasuk logo Aston Martin pada papan pemuka dan tulisan “AMR24” pada ambang pintu.
Tiada sebarang perubahan pada enjin 4.0-liter twin-turbo V8. Seperti versi standard, ia menghasilkan 707 PS dan 900 Nm yang disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan.
Dari segi prestasi, DBX707 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 310 km/j.
Menurut Aston Martin, tempahan untuk DBX707 AMR24 telah pun dibuka namun berapa banyak yang akan ditawarkan tidak pula dinyatakan.
SIGNIFY (Euronext: Light), syarikat terkemuka dunia dalam pencahayaan telah memeterai kerjasama baharu dengan Mercedes-AMG Petronas F1 Team. Kedua-dua pihak itu mahu bekerjasama menjadi antara pasukan sukan paling lestari di dunia.
“Kami bangga bekerjasama dengan Mercedes-AMG Petronas F1, sebuah pasukan yang tekad di dalam litar dan luar litar. Kami berkongsi minat untuk inovasi memacu kemajuan dalam industri kami dan selebihnya,” kata CEO Signify, Eric Rondolat.
“Kami teruja dengan peluang menyokong objektif kemenangan Mercedes-AMG Petronas F1, menyediakan inovasi pencahayaan berfokus kepada manusia yang boleh meningkatkan prestasi pasukan.”
Sementara itu, CEO dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 berkata: “Inovasi dan prestasi ialah nadi kepada apa yang kami lakukan. Kami juga sedar akan tanggungjawab sosial kami maka kami mengambil inisiatif lestari dalam setiap langkah.”
Signify telah mempelopori transformasi dan dekarbonisasi dalam sektor pencahayaan. Mereka baru-baru ini mengumumkan 2040 Climate Transition Plan mereka dan telah menurunkan emisi CHG mereka sebanyak 50 peratus sejak 2019.
Dengan kerjasama bersama Mercedes-AMG Petronas F1, ianya selari dengan Climate Transition Plan mereka.
Jika anda ada pilihan untuk mendapatkan sebuah hot hatch yang berkuasa dan mesra famili, GR Corolla mungkin sekali calon yang sangat sesuai.
Kuasa yang mudah untuk dikawal, ditambah pula dengan padanan klac yang lazat, talaan suspensi yang seimbang dan paling penting rupa paras yang sudah tersedia agresif.
Namun, untuk segelintir pemilik yang mahukan penampilan GR Corolla mereka lebih agresif, terdapat penyelesaian yang ditawarkan oleh penala terkemuka Varis.
Bermula dari sudut hadapan, Varis telah membangunkan splitter gentian karbon berharga $1,695 (RM7,984) untuk penampilan yang lebih garang, diikuti dengan set sirip (front turbulator) berharga $645 (RM3,038) bertujuan untuk mengurangkan kesan seretan dan meningkatkan daya mendap.
Bahagian sisi pula boleh diserikan dengan kehadiran sepasang skirt sisi gentian karbon berharga $2,295 (RM10,811), diikuti pemasangan diffuser belakang gentian karbon $845 (RM3,980), pelindung haba ekzos $335 (RM1,578) dan pelindung paip ekor ekzos pada bahagian belakang berharga $695 (RM3,274).
Mahukan rupa yang lebih garang?
Tempah sahaja sayap belakang boleh laras yang diperbuat daripada gentian karbon berharga $1,895 (RM8,926) dan hud enjin gentian karbon berharga $2,995 (RM14,108), namun kedua-dua komponen ini akan mengambil masa kira-kira 8 bulan untuk sampai ke tangan pelanggan.
Setakat ini, Varis tidak menawarkan sebarang ubahsuai bertaraf mekanikal, bermakna pemilik masih lagi boleh menikmati kuasa standard nadi G16E-GTS 300 hp dan 400 Nm yang memacu semua roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan.
Ini kerana Pagani baru sahaja melancarkan sebuah model Huayra versi istimewa yang akan muncul di acara Goodwood Festival of Speed tahun ini, dan ya, ia merupakan model Huayra pertama yang dilengkapi dengan kotak gear manual!
Pagani Huayra Epitome – melambangkan puncak bagi segala Pagani – dihasilkan untuk seorang pelanggan terlebih kaya yang memang mahukan sebuah Huayra dengan transmisi manual.
Kotak gear Xtrac tujuh nisbah kelajuan itu menggunakan sistem klac tiga cakera yang terkini untuk pemindahan tork daripada enjin bentangan V12 Mercedes-AMG 6.0 liter turbo berkembar berkuasa 852 hp dan 1,100 Nm dengan lebih berkesan.
Secara teknikalnya, Huayra Epitome memiliki kuasa yang hampir sama dengan Huayra Utopia, membolehkannya mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.
Para jurutera Pagani turut menala kembali aspek gantungan Huayra Epitome ini bagi menghasilkan kesan olengan dan pitch yang lebih rendah berbanding model standard Huayra.
Namun begitu, terdapat juga mod “Super Soft” bagi membolehkan pemilik menikmati pemanduan yang lebih menenangkan jiwa di jalanan dan akan dimatikan secara automatik pada kelajuan 150 km/j.
Bahagian luaran Epitome ini telah mendapat sedikit sentuhan rekaan terutama pada bahagian bampar depan dan belakang, sistem pencahayaan LED, serta struktur jeriji yang lebih besar untuk aliran udara yang lebih berkesan.
Di bahagian belakang pula terdapat sayap yang besar, diikuti dengan diffuser dan empat corong ekzos titanium yang mampu menghasilkan runut bunyi yang mengujakan.
Jika anda lihat dengan lebih dekat, warna biru yang digunakan pada panel badan Huayra Epitome ini sebenarnya merupakan anyaman gentian karbon yang sebenar.
Akhir sekali, Huayra Epitome ini dipadankan dengan set rim berwarna emas dan aksen berwarna serupa pada beberapa tempat.
Menurut Pagani, divisyen Grandi Complicazioni mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menghasilkan rekaan Epitome, dan tambahan 10 bulan untuk disiapkan.
Sayang sekali, rekaan yang cantik ini hanya akan dihasilkan sekali sahaja, bermakna anda perlu mencari alternatif lain untuk menikmati sebuah Huayra Epitome – mungkin sekali mendapatkannya dalam bentuk diecast.
BULAN lepas, sebuah Koenigsegg Jesko hangus terbakar di Greece. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Tetapi malangnya, kereta itu tidak dapat diselamatkan.
Pada Selasa lepas, pengeluar hypercar Sweden itu mengumumkan mereka telah mengenal pasti punca kebakaran itu, dan mereka akan menggantikan sebuah kereta baharu untuk pemilik itu secara percuma.
“Tangki bahan api, minyak enjin dan sistem kotak gear masih kekal dalam keadaan baik walaupun selepas api berjaya dipadamkan. Komponen ini tidak terkesan oleh kebakaran,” kata CEOnya, Christian von Koenigsegg dalam satu surat di Instagram.
“Walaubagaimanapun, terdapat kesan minyak hidraulik di belakang kereta atas jalan. Kami telah memeriksa sistem hidraulik berketekanan, iaitu satu-satunya sistem yang mempunyai cecair ini.
“Bila melihat kereta dengan lebih dekat kami juga menemui hos hidraulik berketekanan itu rosak atau bocor.
“Ini bersama dengan tumpahan minyak hidraulik di atas jalan menunjukkan ia menjadi punca kebakaran,” kata Christian.
Selepas kebakaran itu, Koenigsegg meminta semua pemilik Jesko untuk tidak memandu kenderaan mereka serta-merta.
Sebagai ganti, syarikat itu akan memeriksa saluran hidraulik untuk semua Jesko yang telah diserahkan dan yang dalam produksi.
Mereka juga akan mengeluarkan kemas kini perisian minggu depan yang akan menghentikan sistem hidraulik serta-merta sekiranya ia mengesan sebarang kebocoran.
Rangkaian kedai runcit terkemuka di Jepun, FamilyMart mengumumkan sokongan kepada usaha Kawasaki Motor Japan untuk mencapai sasaran neutral karbon.
Kempen kolaborasi antara kedua-dua belah pihak itu menawarkan hadiah utama berupa sebuah Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri menyamai warna FamilyMart.
Untuk makluman, Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri ‘FamilyMart’ ini sebenarnya merupakan edisi ulang tahun Ninja yang ke-40 dilancarkan pada penghujung tahun lepas di mana skema warna biru/lime green/putih itu telah pun digunakan pada siri super sports ZXR sejak tahun 1989 lagi.
Para peminat Kawasaki dan FamilyMart boleh memuat turun aplikasi FamiPay dan mengisi borang yang telah disediakan di mana seorang individu yang bertuah akan membawa pulang sebuah Ninja ZX-4RR 40th Anniversary Edition.
Selain itu, pelanggan Kawasaki yang membuat pembelian motosikal 401 cc dan ke atas di kedai Kawasaki Plaza akan menerima poin FamilyMart bernilai sehingga 3,000 yen (RM87.61).
Terdapat juga kempen di mana anda boleh memenangi poin bernilai sehingga 100,000 yen (RM2,920) jika anda menyertai July Daily Challenge Game yang terdapat dalam aplikasi tersebut.
Kedua-dua syarikat itu juga akan turut bekerjasama bersempena dengan penganjuran perlumbaan endurans Suzuka 8 Hours yang ke-45 pada 19 Julai nanti, di mana motosikal Ninja e-1 EV dan Ninja 7 Hybrid berlogokan FamilyMart akan dipamerkan di ruang reruai syarikat tersebut.
Kereta dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) mampu menawarkan manfaat yang tersendiri untuk pembeli yang masih keberatan untuk membeli EV, namun antara mimpi ngeri yang masih lagi membelenggu sesetengah pengguna ialah kos penggantian bateri yang agak mahal.
Terutama apabila mereka memilih untuk mendapatkan model berprestasi tinggi seperti supercar Ferrari dan Lamborghini.
Untuk para pemilik Ferrari, jenama Prancing Horse itu kini menyediakan dua pelan lanjutan jaminan bagi model-model PHEV seperti SF90 Stradale, SF90 Spider, SF90 XX Stradale, SF90 XX Spider, 296 GTB dan 296 GTS.
Dua pelan yang dimaksudkan itu ialah Warranty Extension Hybrid dan Power Hybrid yang disasarkan untuk pemilik Ferrari yang mahu mengekalkan prestasi dan kecemerlangan kereta sports hibrid mereka dari semasa ke semasa.
Pelan Warranty Extension Hybrid menawarkan tempoh jaminan sehingga tahun kelapan pemilikan di mana bateri bervoltan tinggi akan digantikan tanpa tambahan kos.
Sementara pelan Power Hybrid pula merupakan pelan jangka panjang yang merangkumi kesemua komponen utama termasuklah sistem hibrid bermula dari tahun kelapan hingga tahun keenam belas.
Ini bermakna, sekiranya pek bateri PHEV tersebut berdepan masalah pada tahun ke-16, ia juga akan digantikan secara percuma.
Menariknya, pada masa depan para pemilik supercar PHEV Ferrari mungkin akan dapat menikmati teknologi bateri yang jauh lebih canggih dan maju.
Menurut Ferrari, bateri bervoltan tinggi yang bermasalah itu akan digantikan dengan komponen baharu yang lebih canggih dan menjanjikan prestasi yang sama seperti bateri asal, atau mungkin lebih daripada itu.
Pelan jangka panjang ini juga boleh dipindah hak kepada mana-mana pemilik yang membeli supercar ini selepas pemilik asal menjualnya.
Ferrari juga menjelaskan pelan baharu yang ditawarkan ini juga turut tersedia untuk mana-mana supercar yang tidak lagi tertakluk di bawah jaminan pengeluar yang asal, namun ia memerlukan pemeriksaan teknikal yang menyeluruh.
Geely Auto Group telah memperlihatkan bateri lithium iron phosphate (LFP) yang menjanjikan ketahanan sehingga satu juta kilometer, kadar pengecasan yang lebih pantas, dan paling penting, lebih selamat untuk digunakan.
Menurut Geely, bateri Short Blade ini telah diuji sehingga 3,500 kitaran pengecasan, menyamai pengecasan dan pemanduan untuk satu juta kilometer dengan impak yang minimum terhadap jarak gerak.
Berdasarkan purata jarak pemanduan sekitar 20,000 km setahun, bateri Short Blade ini mampu bertahan sehingga 50 tahun, sekaligus memanjangkan hayat penggunaan bateri, menambah baik nilai jual semula EV dan mengurangkan emisi karbon lebih 80 ribu tan setahun.
Selain itu, bateri baharu Geely ini juga dikatakan mampu dicas lebih pantas dan beroperasi dengan lebih stabil pada suhu persekitaran yang rendah – masalah yang selalu membelenggu kereta-kereta elektrik masa kini.
Data ujian menunjukkan purata tempoh pengecasan 10-80 peratus SoC yang diambil oleh bateri Short Blade ini adalah sekitar 17 minit 4 saat, berbanding tempoh masa 26 minit oleh bateri blade berkapasiti serupa.
Dalam suhu sejuk ekstrem, bateri Short Blade ini mempunyai kadar nyahcas yang tinggi dan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh berbanding bateri long blade.
Malah dalam suhu persekitaran di bawah negatif 30℃, bateri Short Blade mampu mengekalkan kadar pengekalan kapasiti 90.54 peratus, berbanding nilai purata 78.96 peratus oleh bateri long blade.
Apa yang lebih penting, pek bateri baharu Geely ini menawarkan ciri-ciri yang lebih tahan lasak, terima kasih kepada penggunaan bahan berkekuatan tinggi dan mempunyai tahap ketahanan haba yang lebih baik.
Bateri Short Blade ini menggunakan struktur diafragma dan elektrod yang telah dipertingkatkan, serta teknologi Self-Fusing yang mampu menghalang pembentukan litar pintas yang biasa terjadi dalam situasi kemalangan.
Untuk membuktikan tahap keselamatan bateri terbaharu ini, Geely telah menjalankan lapan ujian tusukan jarum 5 mm secara serentak, dan kemudian dibiarkan selama sejam tanpa mendatangkan sebarang efek negatif.
Selain itu, ia juga turut menjalani ujian tembakan peluru raifal 5.8×42 mm di mana tiada sebarang insiden pencucuhan haba yang berlaku pada struktur tersebut.
Paling penting, Geely turut menjalankan enam set ujian yang lebih ekstrem berbanding standard industri termasuklah rendaman dalam air laut, persekitaran sejuk melampau, kikisan bawah pek berfrekuensi tinggi, gulingan muatan 26 tan, pelanggaran sisi dan ujian kebakaran.
Menurut laporan CarNewsChina, bateri Short Blade ini akan membuat kemunculan dalam model SUV elektrik Geely Galaxy E5 yang akan berlangsung pada awal Ogos ini.
Dua kapasiti pek bateri ditawarkan, iaitu 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 440 km, serta pek bateri 60.22 kWh dengan jarak pemanduan mampu mencecah sehingga 530 km (mengikut data CLTC).
TAHUN lalu, Koenigsegg Regera mencatat rekod pecutan 0-400-0 km/j dalam masa 28.81 saat di sebuah landasan di Örebro, Sweden.
Beberapa hari yang lalu, di lokasi yang sama, rekod tersebut telah berjaya dipecahkan oleh satu lagi megacar keluaran Koenigsegg iaitu Jesko, dengan catatan masa 27.83 saat.
Apa yang lebih mengagumkan, Jesko itu turut memecahkan tiga lagi rekod dalam pecutan yang sama iaitu pecutan 0 hingga 400 km/j (18.82 saat), pecutan 0-250-0 bsj (28.27 saat) serta pecutan 0-250 bsj (19.20 saat).
Menurut Koenigsegg, jentera itu dipandu oleh pemandu ujinya iaitu Markus Lundh. Varian yang digunakan adalah Jesko Absolut yang mempunyai bahagian depan yang lebih kecil dan pengudaraan terhad untuk pembebasan udara bertekanan tinggi.
Model itu juga tidak dilengkapi dengan sebarang komponen aerodinamik aktif bagi mengurangkan seretan, sekali gus membantunya mencapai kelajuan yang tinggi.
Unit yang digunakan untuk pecutan itu juga berada dalam keadaan standard, menggunakan petrol E85 dan tayar Michelin Pilot Sport Cup2 R. Cuma, ia dipasang dengan roll cage dan kerusi dari One:1 atas permintaan Lundh.
Tidak perlu Jesko merupakan antara kereta paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia digerakkan oleh enjin 5.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 1,600 dan 1,500 Nm jika menggunakan petrol E85.
Semua itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi sembulan kelajuan yang digelar sebagai Light Speed Transmission (LST).
Ia juga merupakan antara kereta paling aerodinamik dalam kelasnya, dengan kadar pekali seretan serendah Cd 0.278 sahaja.
Suzuki dilapor mengambil langkah drastik dengan menghentikan penjualan empat buah model pentingnya di UK untuk memberikan laluan kepada model kenderaan elektrik (EV).
Empat model kenderaan yang dimaksudkan itu ialah Suzuki Ignis, Suzuki Jimny LCV, Suzuki Swace dan Suzuki Swift Sport.
Keempat-empat model berenjin pembakaran dalaman (ICE) tulen ini akan dihentikan penjualannya seawal tahun 2025, atau mungkin lebih awal sekiranya stok pengedar sudah kehabisan.
Ini bermakna, bermula tahun depan Suzuki akan mempunyai barisan model hibrid sahaja terdiri daripada Swift generasi baharu, Vitara, S-Cross dan Across PHEV, sebelum model EV pertama muncul selepas separuh kedua 2025.
Menurut Dale Wyatt selaku bos Suzuki UK, “Kami akan keluar daripada era ICE dengan fokus kepada SUV dan Swift baharu, dan bermula separuh kedua 2025 kami akan memulakan fasa pertumbuhan EV.”
Suzuki sebelum ini memperlihatkan model konsep eVX dengan saiz yang hampir menyamai SUV Grand Vitara.
Spesifikasi nadi elektrik tidak didedahkan, kecuali kapasiti bateri sebesar 60 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 550 km untuk sekali cas penuh.
Adakah anda bersedia untuk menerima kehadiran barisan EV daripada jenama Suzuki kelak?
Honda Motor Company dan Mitsubishi Corporation telah mengumumkan penubuhan syarikat kerjasama baharu 50:50 yang dinamakan sebagai ALTNA di Jepun pada bulan Julai 2024.
Matlamat syarikat baharu ini adalah untuk membantu mengoptimumkan kos penggunaan kenderaan elektrik (EV), meningkatkan nilai hayat bateri serta peredaran sumber dalam Jepun serta membantu menampung peningkatan permintaan tenaga menerusi penggunaan bateri simpanan grid.
Tiga perniagaan utama yang bakal diperkenalkan oleh ALTNA kelak, iaitu perniagaan pajakan bateri EV, perniagaan guna semula bateri, serta pelan pengecasan pintar.
ALTNA akan mula menawarkan pelan pajakan bateri EV menerusi model Honda N-VAN e:, di mana mereka akan mengawal sepenuhnya proses pemilikan bateri EV yang dipajak serta memantau tahap penggunaan sepanjang tempoh pajakan.
Data yang dikumpul akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan tahap kebolehpercayaan yang diukur menerusi pelbagai parameter.
Apabila bateri tersebut sudah mencapai penghujung kitaran hayat, ia akan digunakan semula sebagai bateri storan grid. ALTNA juga akan memastikan bateri-bateri ini dikitar semula mengikut kaedah yang betul.
Menerusi perniagaan pengecasan pintar pula, ALTNA akan menawarkan pelan yang dapat membantu pengguna mengelakkan pengecasan waktu puncak, sekaligus mengurangkan kos secara keseluruhan.
Selain itu, pelan pengecasan ALTNA juga akan mengutamakan penggunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui untuk pengecasan EV sekiranya terdapat lebihan tenaga tersebut pada grid kuasa.
Polestar 3 telah dijual di pasaran Eropah dan kini pengeluar itu mengesahkan mereka akan menawarkan versi satu motor elektrik yang lebih mampu milik.
Varian ini akan menjadi tambahan kepada Long Range Dual Motor dan Long Range Dual Motor Performance, masing-masing model pacuan-semua roda. Varian baharu RWD satu motor elektrik akan menawarkan kuasa yang lebih rendah tetapi berkemungkinan lebih jarak pemanduan.
Dengan hanya satu motor di belakang, Polestar 3 RWD mempunyai 295hp dan 490Nm tork, lebih rendah berbanding 483hp pada Dual Motor biasa dan 510hp pada Dual Motor Performance.
Bateri yang dibekalkan adalah sama, iaitu 107kWh dengan kemampuan pengecasan DC pada kadar 250kW. Belum ada angka rasmi, tetapi Polestar berkata versi motor tunggal ini boleh dipandu melebihi 640km, lebih jauh berbanding model-model dua motor.
Walaupun ‘hanya’ satu motor, ciri dan kelengkapan pada model RWD ini adalah serupa dengan model-model dua motor. Ada pilihan enam warna, empat pilihan rim termasuk satu set aloi 21-inci baharu, dan beberapa kemasan kabin.
Harga juga lebih rendah berbanding model-model dua motor. Pasti menarik untuk melihat perbandingan antara Polestar 3 RWD ini dengan Tesla Model Y RWD Single Motor.