Sebuah kereta yang cukup ikonik dari francais Fast and Furious telah dijual pada harga yang mengejutkan iaitu $1.2 juta (kira-kira RM5.6 juta) dalam satu acara lelongan Bonhams sempena Goodwood Festival of Speed.
Kereta yang dimaksudkan adalah Mazda RX-7 tahun 1992 yang dipandu oleh watak Han, lakonan Sung Kang, dalam filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift.
RX-7 ini dipercayai satu daripada hanya dua unit yang masih wujud selepas penggambaran filem tersebut. Walaupun tidak digunakan untuk babak aksi kelajuan tinggi, ia banyak muncul dalam babak statik dan jarak dekat.
Lebih menarik lagi, kereta ini masih mempunyai tanda-tanda asal dari set penggambaran seperti label “#71 HANS” dan bekas tapak kamera.
Namun apa yang benar-benar membezakan RX-7 ini, selain statusnya sebagai kereta filem, ialah kit badan lebar dari VeilSide, iaitu tuner terkenal dari Jepun.
Kit ‘Fortune’ ini menjadikan casis asal FD lebih lebar sebanyak 8 inci. Sebahagian besar panel badan telah diganti, dengan hanya bumbung dan pintu tailgate dikekalkan daripada kereta asal.
Bukan itu sahaja, gabungan warna oren berkilau dan hitam, spoiler besar, serta rim 19 inci Andrew Premier Series menjadikan kereta ini mudah dikenali oleh peminat.
Enjin rotari dua rotor turbo asal telah dibaik pulih sepenuhnya oleh RE-Amemiya, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia rotary.
Walaupun mencatatkan 66,785 batu di odometer, kereta ini hanya dipandu sejauh 5,000 batu sejak dibaik pulih. Ia juga telah disimpan dengan rapi sejak dibawa masuk ke UK pada tahun 2008.
Harga jualan di Bonhams menjadikannya antara Mazda paling mahal pernah dijual, melepasi harga $550,000 (RM2.6 juta) yang dibida untuk Toyota Supra milik mendiang Paul Walker pada tahun 2021.
Namun begitu, ia masih belum dapat menandingi harga $1.35 juta (RM6.3 juta) untuk Nissan Skyline GT-R milik Walker yang dijual dua tahun kemudian.
Model EV kedua Xiaomi, iaitu YU7, gagal mencapai jarak CLTC yang diiklankan apabila ujian di lebuh raya menunjukkan keputusan yang jauh lebih rendah.
Walaupun dilengkapi dengan bateri 101.7 kWj, kenderaan ini hanya mampu bergerak sejauh 492 km sebelum berhenti sepenuhnya, sekitar 65.5% daripada jarak yang dicanang iaitu 750 km bagi varian Max.
Ujian bebas ini dijalankan oleh media China, Sohu, menggunakan sebuah YU7 Max baharu, lengkap dengan rim 21 inci dan tayar Michelin Primacy 5 Energy.
Ia dipandu dalam mod Comfort dengan pemulihan tenaga rendah, penyaman udara ditetapkan antara 23 hingga 24 Celsius, dan membawa dua penumpang.
Ujian dilakukan sepenuhnya di lebuh raya dengan jarak keseluruhan sejauh 84 km. YU7 Max berjaya menempuh 483 km sebelum paparan menunjukkan jarak sifar. Ia kemudian terus bergerak sejauh 9 km lagi sebelum berhenti sepenuhnya. Purata kelajuan semasa ujian ialah 99.6 km/j.
Ini bersamaan dengan kadar pencapaian dunia sebenar sebanyak 65.5%, jauh lebih rendah daripada dakwaan Xiaomi yang menyatakan model ini boleh mencapai 80% hingga 90% daripada jarak CLTC yang didakwa.
Sohu menyatakan pencapaian ini adalah sesuatu yang biasa bagi EV di lebuh raya, namun tetap mengecewakan bagi model yang dipasarkan sebagai berprestasi tinggi.
Namun, dari segi pengecasan, prestasi YU7 Max adalah memberangsangkan. Baterinya berjaya dicas dari 0% hingga 100% dalam masa 37 minit menggunakan pengecas berkapasiti 400 kW.
Antara 5% hingga 70%, kadar pengecasan kekal stabil pada 300 kW dan mengambil masa hanya 14 minit. Pengecasan menjadi perlahan selepas 90% apabila kenderaan memasuki mod trickle charging.
Walau bagaimanapun, penggunaan tenaga sedikit berbeza bergantung pada kaedah pengiraan. Paparan dalam kereta mencatatkan 20.2 kWj/100 km, manakala anggaran berdasarkan kapasiti bateri menunjukkan 20.6 kWj/100 km.
Persatuan automobil terkemuka Jerman, ADAC (Allgemeiner Deutscher Automobil-Club) mengiktiraf tayar buatan Michelin sebagai peneraju dalam pengurangan zarah pada tayar haus.
Pencapaian ini adalah berdasarkan kajian terbaharu melibatkan 160 model tayar daripada pelbagai jenama.
Menurut dapatan kajian tersebut, tayar Michelin menghasilkan 26 peratus kurang zarah berbanding purata pesaing dalam segmen premium.
Keputusan ini turut mengukuhkan hasil kajian terdahulu (2021) yang menunjukkan tayar buatan Michelin mengeluarkan 28 peratus kurang zarah berbanding purata tayar premium.
Pesaing terdekat Michelin pula mencatatkan 20 peratus lebih pelepasan zarah bagi setiap kilometer dipandu dan setiap tan metrik yang dibawa.
Hasil kajian ini menyerlahkan komitmen inovatif berterusan Michelin dalam menghasilkan tayar yang berprestasi unggul sepanjang masa, jangka hayat yang cemerlang, pelepasan zarah yang lebih rendah dan kurang penggunaan bahan mentah.
Ia juga didorong dengan pelaksanaan piawaian Euro 7 yang diluluskan pada Julai 2024.
Piawaian itu memperkenalkan keperluan mengukur pelepasan zarah tayar haus, di mana tayar yang gagal memenuhi piawaian ini tidak akan dibenarkan untuk dijual.
Menurut Florentin Odenwald, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, “pelepasan zarah akibat kehausan tayar adalah kesan sampingan yang tidak dapati dielakkan dalam pemanduan.
“Di Michelin, kami komited untuk meminimumkan kesan ini terhadap alam sekitar. Matlamat kami adalah untuk menerajui usaha kemampanan dengan mengurangkan impak pelepasan zarah akibat tayar haus melalui inovasi berterusan, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan atau prestasi.”
Lebih dua dekad, Michelin menumpukan perhatian dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (pelaburan EUR 786 juta pada tahun 2024) untuk mengukuhkan pemahaman terhadap fenomena kehausan tayar.
Hasilnya boleh dibuktikan menerusi pencapaian beberapa produk seperti contoh Primacy 5 yang berjaya mencapai pengurangan zarah sebanyak 14 peratus berbanding tayar Primacy 4+.
Selain itu, tayar musim panas Michelin CrossClimate 3 Sport yang turut diluluskan untuk kegunaan musim sejuk mencatatkan pengurangan pelepasan zarah sebanyak 23 peratus berbanding produk Pilot Sport 5, tayar musim panas dalam kategori yang sama.
Hujung tahun 2023, Michelin mengumumkan penubuhan makmal penyelidikan bersama Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS) dan University of Clermont Auvergne: BioDLab.
Matlamat utama penubuhan makmal ini adalah untuk meneroka dengan lebih mendalam proses pereputan bio zarah tayar haus dan membangunkan penyelesaian supaya zarah-zarah ini diserap secara semula jadi oleh alam sekitar.
Rimac baru-baru ini berjaya memadamkan rekod dunia yang dicatatkan oleh pesaingnya Koenigsegg menerusi hypercar Revera R.
Bukan satu, bukan dua, tapi 24 rekod dunia yang telah dipecahkan oleh Rimac Nevera R, termasuklah 23 rekod terdahulu yang dipegang oleh Nevera spesifikasi standard.
Berikut merupakan antara senarai rekod kelajuan yang dipecahkan oleh Rimac Nevera R:
1. 0-60 batu sejam : 1.66 saat
2. 0-100 km/j : 1.72 saat
3. 0-100 batu sejam : 2.96 saat
4. 0-200 km/j : 3.95 saat
5. 0-300 km/j : 7.89 saat
6. 0-200 batu sejam : 9.25 saat
7. 0-400 km/j : 17.35 saat
8. 100-200 km/j : 2.22 saat
9. 200-250 km/j : 1.65 saat
10. 200-300 km/j : 3.89 saat
11. 0-100-0 km/j : 3.32 saat
12. 0-200-0 km/j : 8.58 saat
13. 0-300-0 km/j : 14.49 saat
14. 0-400-0 km/j : 25.79 saat
15. 0-250-0 batu sejam : 25.79 saat
16. Pecutan suku batu: 7.90 saat
17. Pecutan satu batu: 19.71 saat
18. Kelajuan tertinggi: 431.5 km/j
Berbanding Nevera standard, Rimac Nevera R mampu menjana kuasa setinggi 2,107 hp daripada tetapan empat motor elektrik.
Selain itu, ia turut mendapat pakej aerodinamik baharu yang terdiri daripada sayap belakang kekal dan diffuser yang lebih besar, menjana 15 peratus lebih daya mendap dan meningkatkan kecekapan aerodinamik sebanyak 10 peratus.
Setiap satu unit Rimac Nevera R berharga €2.3 juta (RM11.44 juta) dan hanya 40 unit sahaja yang akan diproduksikan.
Koenigsegg pada bulan lepas memperkenalkan sebuah hypercar Jesko yang lebih radikal berbanding Jesko Attack dan Jesko Absolut, iaitu Sadair’s Spear.
Walaupun tidak menggunakan nama Jesko, iaitu nama bapa Christian von Koenigsegg, Sadair’s Spear itu sendiri merupakan nama kuda lumba yang ditunggang oleh Jesko von Koenigsegg dalam perlumbaan terakhir pada tahun 1976.
Menggunakan asas daripada Jesko Attack, Sadair’s Spear menampilkan beberapa ciri yang unik.
Antaranya ialah pakej aerodinamik yang lebih agresif, lengkap dengan sayap belakang bilah berkembar aktif.
Dimensi bahagian belakang dipanjangkan sedikit untuk memastikan aliran udara yang lebih baik, diikuti liang kemasukan udara yang direka semula untuk sistem penyejukan lebih lebih berkesan.
Berat keseluruhan jentera ini berjaya dikurangkan sebanyak 35 kg kepada 1,320 kg sahaja, terima kasih kepada pemasangan komponen dalaman dan mekanikal yang lebih ringan, serta 2.58 kg penebat bunyi yang telah dibuang.
Selain itu, keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan rim turbin tujuh jejari yang diperbuat daripada gentian karbon, dan dibaluti tayar Michelin Pilot Cup 2 yang lebih lebar.
Untuk ruang kabin pula pembeli boleh memasang sistem abah-abah keselamatan enam poin sebagai ciri opsyen.
Ia tidaklah terlalu kosong seperti yang dijangka, memandangkan Koenigsegg masih lagi menawarkan ciri moden seperti pengecasan peranti pintar tanpa wayar serta slot pengecasan USB pada ruang kokpit.
Dari segi kuasa, Koenigsegg Sadair’s Spear dibekalkan dengan enjin 5.0 liter bentangan V8 turbo berkembar yang dipadankan dengan transmisi Light Speed (LST) sembilan-kelajuan.
Dengan bahan api biasa, enjin tersebut mampu menghamburkan kuasa 1,300 hp dan daya kilas 1,000 Nm yang masuk bermula 2,700 rpm, atau 1,500 Nm pada 5,100 rpm.
Tukar kepada bahan api E85, angka kuasa kuda Sadair’s Spear ini boleh mencecah sehingga 1,625 hp!
Hanya 30 unit sahaja Sadair’s Spear yang akan diproduksikan, dan berita kurang enaknya: semua unit sudah habis terjual.
Antara ciri unik yang wujud pada mana-mana kereta elektrik ialah pemanduan pedal tunggal (one-pedal mode).
Ia meringkaskan lagi proses pemanduan sedia ada dengan membenarkan pemandu mengawal pecutan dan nyahpecutan kenderaan dengan hanya satu pedal sahaja.
Namun, kajian mendapati kebergantungan yang berlebihan terhadap ciri ini akan memberikan kesan kepada reaksi pemandu yang lebih lambat, terutama dalam situasi kecemasan.
Atas faktor keselamatan, China akan memperkenalkan undang-undang baharu yang melarang pengeluar menetapkan mod pemanduan tunggal sebagai sistem lalai (default).
Menurut laporan The Paper, peraturan baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027.
Selain itu, terdapat dua perubahan standard yang akan berkuatkuasa lebih awal, iaitu pada 1 Januari 2026.
Salah satu daripadanya ialah setiap EV baharu perlu memastikan lampu brek menyala apabila proses nyahpecutan berlaku yang disebabkan oleh sistem pemulihan tenaga melebihi 1.3 m/s².
Langkah ini dilihat wajar bagi mengurangkan risiko pelanggaran dari arah belakang, selain memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Satu lagi perubahan yang agak lambat dilaksanakan berbanding benua lain ialah mewajibkan setiap kenderaan baharu dipasang dengan sistem brek anti-kunci (ABS).
Ini kerana sistem ABS tersebut telah pun diwajibkan di Eropah sejak tahun 2004 lagi, sebelum diikuti oleh pasaran lain.
Jika anda suka rekaan Mazda generasi baharu, ini ada berita baik: Mazda CX-5 2026 yang hadir dengan evolusi bahasa reka bentuk Kodo sebenarnya memberikan bayangan tentang rupa model-model Mazda pada masa akan datang.
Sejak kemunculan konsep Shinari pada 2010, setiap model Mazda daripada Miata hinggalah CX-90 telah mengikut falsafah rekaan Kodo “Soul of Motion”.
Kini, CX-5 2026 memperkenalkan pendekatan baharu dengan gaya yang lebih tajam dan berani. Ia tampil dengan gril “Signature Wing” yang lebih lebar dan garisan lebih jelas, bersama lampu utama bertingkat yang unik.
Di belakang, tulisan “MAZDA” menggantikan logo huruf ‘M’ yang biasa digunakan buat pertama kalinya dalam sejarah model produksi jenam itu.
Stefan Meisterfeld, Naib Presiden Perancangan Strategik untuk Mazda Amerika Utara, mengesahkan perubahan ini adalah langkah yang disengajakan.
“Saya boleh katakan CX-5 baharu ini ialah perintis kepada bahasa reka bentuk yang telah berevolusi sedikit,” katanya kepada Motor1.
“Beberapa elemen ini mungkin anda akan lihat juga pada model-model masa depan… Ini arah tuju kami seterusnya.”
Perubahan ini tidak terhad kepada aspek kosmetik. CX-5 baharu dibina dengan jarak roda lebih panjang (hampir tiga inci tambahan), memberikan ruang dalaman yang lebih luas, terutamanya di tempat duduk belakang dan ruang kargo.
Pintu tailgate juga direka semula agar lebih rendah dan lebar untuk memudahkan barang dimuatkan.
Bahagian dalamannya juga tidak kurang menarik. CX-5 merupakan model Mazda pertama yang menampilkan skrin sesentuh 15.6 inci dengan Google terbina, lengkap dengan akses kepada Google Maps, Assistant dan Play Store.
Kabinnya kini tampil dengan rekaan minimalis, dengan kebanyakan fungsi kini perlu dikawal terus melalui skrin. Gaya kabin bebas butang ini mungkin turut digunakan dalam model-model masa depan, sejajar dengan usaha Mazda untuk mencipta pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.
Di bawah bonet, CX-5 2026 dikuasakan oleh enjin Skyactiv-G 2.5-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Versi hibrid juga dijangka menyusul, seiring dengan strategi elektrifikasi jangka panjang Mazda.
Apa pendapat anda tentang hala tuju rekaan baharu Mazda ini? Adakah ini satu kemajuan atau anda lebih sukakan gaya lama yang lebih konvensional?
Kesemua 599 unit Ferrari Daytona SP3 telah habis dijual sebelum kereta itu diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2021.
Namun kini, peminat tegar Ferrari yang terlepas peluang itu akhirnya mempunyai satu lagi kesempatan kerana syarikat itu mengumumkan bahawa sebuah unit Daytona SP3 edisi khas akan dilelong pada Ogos ini sempena acara Monterey Car Week di California.
Dilabel dengan nombor siri “599+1”, ia merupakan satu-satunya Daytona SP3 yang dihasilkan di luar jumlah produksi asal. Ia dibina melalui program eksklusif Ferrari Tailor Made dan akan dilelong oleh RM Sotheby’s.
Hasil lelongan akan disalurkan kepada Ferrari Foundation bagi menyokong pelbagai inisiatif pendidikan global, sebagai sebahagian daripada komitmen Ferrari terhadap pembangunan masyarakat.
Daytona SP3 merupakan sebahagian daripada siri terhad Ferrari Icona, yang menggabungkan reka bentuk klasik dengan teknologi dan moden.
Diinspirasikan daripada prototaip perlumbaan Ferrari V12 era 60-an, Daytona SP3 dikuasakan oleh enjin 6.5-liter V12 yang menghasilkan 840 PS pada 9,250 rpm dan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.85 saat.
Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, ia boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 340 km/j, menjadikannya antara model jalan raya terpantas yang pernah dihasilkan oleh Ferrari.
Unit khas ini menampilkan skema dua tona dengan warna kuning Giallo Modena dan kemasan hitam berkilat pada splitter depan, skirt sisi dan diffuser belakang.
Bahagian atas badan menampilkan tulisan Ferrari yang dari depan hingga belakang – sesuatu yang tidak pernah dilakukan pada mana-mana model Ferrari sebelum ini.
Bahagian dalaman pula menggunakan fabrik istimewa yang diperbuat daripada tayar kitar semula, dengan corak kuda Prancing Horse yang unik. Papan pemuka dan ruang stereng diperbuat daripada gentian karbon khas yang digunakan dalam Formula 1.
Berat kering kereta ini hanyalah 1,485 kilogram, dengan agihan berat seimbang 44:56 depan-belakang. Ia menggunakan rim bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, lengkap dengan sistem brek berprestasi tinggi.
Sistem elektronik canggih seperti Side Slip Control 6.1 dan e-Diff 3.0 membantu mengawal kuasa besar yang ditawarkan oleh enjin V12 ini.
Memandangkan ia akan dilelong, tiada harga rasmi ditetapkan untuk Daytona SP3 “599+1” ini. Bagaimanapun, jumlah bidaannya dijangka melebihi harga asal, iaitu sekitar USD 2.25 juta (kira-kira RM10.6 juta), disebabkan statusnya sebagai unit terakhir yang dihasilkan dengan spesifikasi Tailor Made yang eksklusif.
Bersempena dengan acara Goodwood Festival of Speed, Hyundai mengambil kesempatan melancarkan sedan elektrik pantas Ioniq 6 N.
Hyundai Ioniq 6 N merupakan model EV berprestasi tinggi yang kedua dihasilkan oleh pengeluar Korea Selatan itu selepas Ioniq 5 N muncul tahun 2023.
Perinciannya seperti berikut:
Kuasa
Ioniq 6 N dipacu dengan dua motor elektrik, dengan kuasa keseluruhan 601 hp dan 740 Nm.
Dengan fungsi N Grin Boost, kuasa itu boleh melonjak kepada 641 hp dan 770 Nm, namun dalam tempoh masa 10 saat sahaja.
Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum menghampiri 260 km/j.
Casis
Menurut Hyundai, casis Ioniq 6 N ini telah diberikan tumpuan termasuklah geometri suspensi dengan satu tujuan – pengendalian yang lebih baik.
Ia juga turut mendapat unit peredam kawalan elektronik, lengkap dengan penderia yang mampu membenarkan kenderaan membuat larasan redaman berdasarkan keadaan pemanduan semasa.
Pemandu juga boleh memanfaatkan fungsi N Drift Optimizer dan N Torque Distribution untuk kawalan kuasa yang lebih mengujakan.
Sistem brek dan roda
Untuk memberhentikan jentera elektrik N ini, Hyundai telah memadankan angkup empat omboh dan rotor 15.7 inci di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 14.1 inci di belakang.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 20 inci.
Hyundai Ioniq 6 N menggunakan tayar Pirelli P-Zero 5 bersaiz 275/35R20 yang dibangunkan khas untuk model ini.
Aerodinamik
Berbanding model Ioniq 6 standard, Ioniq 6 N diberikan kit badan yang lebih sporti, lengkap dengan bampar yang lebih agresif dan splitter di hadapan.
Untuk aspek aerodinamik yang lebih baik, Ioniq 6 N dipadankan dengan sayap belakang leher angsa, serta fender yang lebih lebar.
Untuk pemandu
Tidak cukup dengan fungsi yang disebutkan tadi, Ioniq 6 N turut menampilkan sistem N e-shift yang dinaiktaraf untuk mengurangkan kesan kehilangan prestasi, serta kualiti bunyi yang lebih baik.
Terdapat juga sistem lampu N Ambient Shift Light yang akan disegerakkan dengan sistem pencahayaan ambien apabila ‘penukaran gear’ dibuat.
Akhir sekali, fungsi N Active Sound+ yang menawarkan tiga pilihan unik, iaitu “Ignition” yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, bunyi EV nostalgia “Evolution” dan tema futuristik “Lightspeed”.
Berapa jauh boleh pandu?
Hyundai Ioniq 6 N dipadankan dengan pek bateri 84 kWh, menawarkan jarak gerak sehingga 468 km untuk sekali cas penuh berdasarkan data WLTP.
Sebagai perbandingan, Ioniq 5 N boleh bergerak sejauh 356 km menggunakan tetapan bateri yang serupa.
Pilihan warna
EV berkuasa tinggi ini boleh dilayangkan dengan pilihan warna Performance Blue Pearl, Abyss Black Pearl, Serenity White Pearl, Nocturne Gray Metallic, Nocturne Gray Matte dan Gravity Gold Matte.
Setelah sembilan tahun generasi kedua Mazda CX-5 menguasai jalanan, Mazda kini sedia untuk memperkenalkan generasi ketiga SUV saiz kompak tersebut ke dunia.
Tidak banyak perincian didedahkan, namun yang pasti generasi baharu CX-5 ini menawarkan pakej dimensi yang lebih besar, rekaan Kodo yang diperbaharui serta susun atur ruang kabin serba baharu.
Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang Mazda CX-5 2026:
Dimensi
CX-5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm (+140 mm), lebar 1,860 mm (+20 mm), serta tinggi 1,695 mm (+10 mm).
Jarak antara roda pula sekitar 2,775 mm (+75 mm).
Perubahan ukuran ini dilihat memberikan kesan kepada ruang kabin yang nampak lebih lapang dan luas, serta ruang kargo yang lebih besar (+61 liter).
Rekaan luar
Tidak dinafikan, rekaan Kodo yang dibawakan pada CX-5 terdahulu (2016-2025) merupakan antara hasil kerja Mazda yang paling cantik.
Untuk generasi ketiga, pendekatan tersebut telah diolah semula untuk penampilan yang lebih bergaya, terutama jeriji Signature Wing, lampu yang lebih bersegi dan bampar yang lebih sporti.
Bahagian belakang pula kini lebih mirip kepada abangnya CX-70/CX-80, namun logo Mazda telah dibuang dan kini digantikan dengan perkataan MAZDA sahaja.
Kabin minimalis
Mazda sentiasa terkenal dengan pendekatan rekaan kabin yang minimalis untuk model-model terbaharunya, dan CX-5 2026 tidak terkecuali.
Susun atur papan pemuka kini lebih ringkas, di mana bahagian tengah kini menempatkan skrin sebesar 15.6 inci yang lengkap dengan sistem Google terbina.
Sayang sekali, Mazda terlalu serius dalam usaha untuk meminimumkan kehadiran butang fungsi, sehinggakan segala kawalan kini disumbatkan ke dalam skrin besar itu tadi.
Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital 10.25 inci di sebalik roda stereng yang kini tidak lagi mempunyai logo M.
Untuk varian yang lebih rendah, Mazda menawarkan skrin tengah sebesar 12.9 inci.
Pilihan enjin
Mazda CX-5 2026 akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin.
Nadi Skyactiv-G 2.5 liter (187 hp/251 Nm) sedia ada akan terus dikekalkan, sementara di Eropah pula terdapat versi hibrid ringan e-Skyactiv G 2.5 liter (140 hp/238 Nm).
Mazda turut mengesahkan varian hibrid akan dibekalkan dengan enjin Skyactiv-Z serba baharu yang menjanjikan prestasi dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.
Generasi baharu CX-5 ini akan mula menerjah pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini, diikuti pasaran lain menjelang akhir tahun 2026.
Belum pun sempat dipasang dan dipasarkan di serata dunia, Nissan Leaf generasi baharu dilaporkan sudah berdepan dengan masalah.
Berdasarkan laporan daripada Reuters yang memetik Kyodo News, Nissan terpaksa menyusun semula produksi Leaf generasi baharu disebabkan oleh sekatan eksport nadir bumi oleh negara China.
Hasil sekatan tersebut memberikan kesan kepada masalah kekurangan bekalan komponen yang diperlukan untuk produksi Leaf.
Selain Nissan, sekatan yang dikenakan oleh China turut memberikan kesan kepada sebilangan pengeluar automotif termasuklah Ford dan Suzuki.
Generasi ketiga Nissan Leaf diperkenalkan pada bulan lepas, di mana EV tersebut tidak lagi menggunakan bentuk badan hatchback, sebaliknya kini sebuah crossover elektrik yang berkongsi platform AmpR Medium yang sama dengan Nissan Ariya EV.
Nissan Leaf 2026 turut menjadi model Nissan pertama yang mengguna pakai standard pengecasan NACS (North America Charging System), menjadikannya sesuai dengan jaringan pengecasan Tesla Supercharger.
Anda mungkin sudah hilang kepercayaan pada Jaguar melihatkan kepada pendekatan baharu yang digunakan oleh jenama itu.
Jadi, Mitsuoka merupakan jawapan yang anda cari untuk menikmati semula ‘aura’ yang telah lama lenyap itu.
Memperkenalkan, Mitsuoka Viewt Royal Edition yang membawakan inspirasi rekaan model klasik Jaguar Mk2 daripada era 60-an.
Mitsuoka Viewt sebenarnya sudah wujud di pasaran sejak tahun 1993 dengan menggunakan asas Nissan Micra dan March.
Namun, untuk penawaran terbaharu, Mitsuoka kini menggunakan asas hatchback popular Toyota Yaris.
Versi terbaharu Viewt Royal Edition ini merupakan edisi istimewa yang menampilkan tiga warna khas, iaitu Royal Green, Royal Red dan Royal White.
Sama seperti Viewt standard, Viewt Royal Edition dilengkapi dengan bampar krom depan dan belakang, rekaan lampu berbentuk bulat, serta jeriji krom.
Untuk ruang kabin, Viewt Royal Edition didatangkan dengan kemasan kulit palsu Royal Brown pada tempat duduk, panel pintu, dan seksyen bawah papan pemuka.
Menggunakan platform TNGA-B, Viewt turut berkongsi pilihan enjin yang sama dengan Yaris, iaitu nadi 1.0 liter 68 hp, 1.5 liter (118 hp atau 123 hp) serta enjin hibrid 1.5 liter 114 hp dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.
Selain pacuan roda depan, Viewt juga boleh didapati dengan varian pacuan semua roda, hanya untuk model 1.5 liter dan 1.5 liter hibrid.
Di Jepun, Mitsuoka Viewt dijual pada harga bermula 3.85 juta yen (RM112 ribu) dan boleh mencecah sehingga 5.13 juta yen (RM150 ribu).
Acara Rali Finland yang bakal berlangsung bermula 31 Julai hingga 3 Ogos ini bakal menyaksikan kemunculan sulung jentera yang dibangunkan khas oleh Toyota Gazoo Racing dan dilengkapi dengan enjin hidrogen.
Jentera rali yang dimaksudkan itu ialah Toyota GR Yaris Rally2 H2 Concept yang dibina berdasarkan casis GR Yaris Rally2 yang telah terbukti.
Dibangunkan di ibu pejabat TGR-WRT yang terletak di Jyväskylä, Finland, kemampuan sebenar jentera rali hidrogen ini turut diuji di jalan sekitar kawasan tersebut termasuklah permukaan batu kerikil yang biasa digunakan dalam Rally Finland.
Untuk penampilan umumnya yang pertama, GR Yaris Rally2 H2 Concept ini akan dipandu oleh juara dunia empat kali Juha Kankkunen yang juga merupakan naib prinsipal pasukan TGR-WRT.
Toyota dan enjin hidrogen bukanlah satu gandingan yang asing di dalam dunia sukan permotoran.
Enjin pembakaran dalaman berkuasa hidrogen telah digunakan dalam perlumbaan menerusi jentera Corolla sejak tahun 2021 di siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu.
Teknologi tersebut diperlihatkan atas pentas rali Eropah buat pertama kali pada tahun 2022 menerusi jentera eksperimen GR Yaris H2 di FIA World Rally Championship pusingan Belgium yang dipandu oleh Akio Toyoda dan Juha Kankkunen.
Tidak seperti GR Yaris Rally1 yang menggunakan enjin empat silinder sebaris, GR Yaris Rally2 menggunakan enjin yang sama wujud pada GR Yaris versi produksi, iaitu nadi G16E-GTS 1.6 liter turbo.
Namun begitu, sistem bekalan bahan api dan suntikan telah diubahsuai supaya dapat disesuaikan dengan bahan api hidrogen.
Lebih penting, enjin tersebut masih lagi mampu menawarkan prestasi, serta bunyi dan sensasi yang dapat dinikmati oleh peminat rali walaupun dengan pelepasan emisi hampir sifar – sesuatu yang sukar untuk ditawarkan oleh mana-mana EV berprestasi tinggi.
Seorang kakitangan Honda di Jepun jadi tular di media sosial gara-gara penampilannya yang cukup unik dan berbeza daripada biasa.
Shotaro Odate mencuri perhatian ramai selepas tampil dengan gaya rambut pacak ala Son Goku dari Dragon Ball atau Sasuke dari Naruto, ketika membuat pembentangan tentang teknologi Honda Sensing 360+.
Yang paling menarik, itu bukanlah rambut palsu, tetapi memang rambut asli Odate yang digayakan sedemikian rupa.
Malah, berdasarkan profil kakitangan yang tersebar di media sosial, gaya rambut tu sudah menjadi identiti beliau sejak awal kerjayanya lagi.
Namun, bak kata pepatah, jangan nilai seseorang hanya dari rupa luaran. Walaupun mengenakan gaya rambut luar biasa pada usia yang agak lanjut, Odate sebenarnya memegang jawatan penting dalam syarikat itu.
Menurut laporan, beliau merupakan salah seorang jurutera utama yang terlibat dalam pembangunan sistem bantuan pemandu (ADAS) di Honda.
Bukan itu saja, Odate juga dilaporkan memiliki kira-kira 250 paten dan pernah menghasilkan sembilan kertas kajian berkaitan teknologi keselamatan.
Suzuki Motor Corporation mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal neo-retro baharu untuk kelas 800 cc, iaitu GSX-8T dan GSX-8TT untuk pasaran global.
Biarpun menggunakan pelantar GSX-8 yang lebih moden, kedua-dua model ini boleh dibezakan menerusi penggayaan di mana GSX-8T mengambil inspirasi daripada jentera klasik T500.
Ia dilengkapi dengan perumah lampu utama LED berbentuk bulat, rekaan tangki dan pelana yang unik, serta bar hendal yang lengkap dengan cermin sisi pada bahagian hujung
Sementara rekaan GSX-8TT yang lebih macho itu diambil inspirasinya daripada jentera daripada era tersebut, seperti Yoshimura GS1000.
GSX-8TT masih mengekalkan perumah lampu yang sama seperti model 8T, namun bahagian itu dikemaskan dengan reraup bersegi, diikuti dengan pelindung radiator dan pelindung bahagian enjin (under cowl).
Dari segi kuasa, GSX-8T dan 8TT ini dijana dengan enjin parallel-twin 776 cc yang sama didapati pada mana-mana model GSX-8, dengan kuasa 80 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 77 Nm @ 6,800 rpm.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan komponen cross balancer bertujuan untuk mengurangkan gegaran.
Kedua-dua jentera ini menampilkan kerangka keluli dan lengan ayun aluminium, fork hadapan KYB jenis terbalik, penyerap hentak belakang KYB, serta sistem brek Nissin yang terdiri daripada rotor berkembar 310 mm di depan dan rotor tunggal 240 mm di belakang.
Tangki bahan api adalah sebesar 16.5 liter, sementara tinggi pelana pula serendah 810 mm (815 mm untuk model 8T).
Secara standard, GSX-8T dan 8TT turut dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti quickshifter dua hala, Suzuki Easy Start, kawalan cengkaman, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) serta Low RPM Assist.
Skrin paparan TFT berwarna penuh memaparkan segala informasi penting yang diperlukan oleh penunggang termasuklah meter rpm, kelajuan, dan kedudukan gear.
Dalam satu pencapaian luar biasa, Xiaomi SU7 Ultra prototaip mencatat masa 6 minit 22.091 saat di Nürburgring Nordschleife, sekaligus menobatkannya sebagai kereta ketiga terpantas dalam sejarah litar tersebut dan kini memegang gelaran kereta sedan elektrik terpantas pernah diuji di sana.
Untuk perbandingan, SU7 Ultra kini di belakang dua prototaip lagenda iaitu Porsche 919 Hybrid Evo dan Volkswagen ID.R, selain berjaya menewaskan semua kereta produksi, sama ada elektrik mahupun berkuasa petrol, dengan margin masa yang ketara.
Namun, kereta ini bukanlah model biasa dari bilik pameran. Xiaomi menggunakan versi prototaip khas yang telah ‘ditogelkan’, dipasang roll cage penuh, tayar slick, dan pelbagai komponen prestasi tinggi.
Ia dikuasakan oleh sistem tiga motor elektrik, terdiri daripada dua motor belakang (578 hp setiap satu) dan satu motor hadapan (392 hp), memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 1,548 hp.
Ini membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 1.98 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 350 km/j. Sistem ini disokong oleh bateri CATL Qilin II berkapasiti 93.7 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 630 km (mengikut standard CLTC).
Bagi meraikan pencapaian ini, Xiaomi melancarkan SU7 Ultra Nurburgring Limited Edition, model edisi khas jalan raya yang terhad kepada 100 unit sahaja di seluruh dunia.
Dengan harga 814,900 yuan (sekitar RM480,435), model ini dilengkapi pelbagai ‘jajan’ menarik termasuk hud gentian karbon, panel aerodinamik bawah badan, spoiler belakang gentian karbon, tempat duduk perlumbaan Sparco dengan tali pinggang enam poin, serta roll cage.
Kenderaan ini turut disertakan bersama Track Package penuh yang merangkumi penyerap hentak Bilstein EVO R, pad brek Endless, rim 21 inci, dan tayar semi-slick Pirelli Trofeo RS.
Bagi pembeli versi SU7 Ultra standard, Xiaomi turut menawarkan Track Professional Package secara pilihan, dengan tambahan harga sekitar 100,000 yuan (RM58,960).
Lebih dari sekadar rekod masa, Xiaomi kini menjadi jenama EV pertama dari China yang berjaya menempatkan diri dalam tiga teratas di Nürburgring.
Bukan itu sahaja, syarikat itu turut memperoleh hak penamaan untuk Selekoh 12, yang kini dikenali sebagai “Xiaomi Curve.”
Barisan model Nissan Armada 2026 kini tampil lebih menarik dengan kehadiran varian berprestasi tinggi – Armada NISMO.
Menariknya, ini merupakan kali pertama Armada menerima sentuhan daripada divisyen NISMO, yang membawa bersama pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia sukan permotoran.
Armada NISMO menawarkan peningkatan kuasa, pengendalian lebih tajam, serta rekaan lebih agresif—semuanya tanpa menjejaskan keupayaan sebenar Armada sebagai SUV serba boleh.
Dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo, versi NISMO ini ditala semula untuk menghasilkan 460 hp, menunjukkan peningkatan sebanyak 35 hp berbanding versi standard.
Penalaan ini melibatkan pelarasan pemetaan enjin dan kelegaan injap, disokong oleh sistem ekzos baharu dan Active Sound Enhancement yang memperkuat bunyi enjin dalam dan luar kabin.
Dari aspek pengendalian, stereng elektrik telah ditala semula, manakala sistem suspensi udara elektronik adaptif talaan NISMO memberikan rasa pemanduan lebih responsif. Armada NISMO juga dipadankan dengan rim aloi tempa 22 inci eksklusif dan tayar berprestasi tinggi untuk kawalan dan cengkaman lebih baik.
Rekaan luarannya menyerlah dengan bampar depan dan belakang agresif, gril khas, spoiler belakang, dan fender lebih lebar. Kaliper brek berwarna merah dan lampu kabus LED turut melengkapi penampilan sporty SUV ini.
Ruang dalaman menampilkan kulit berjahit corak berlian khas NISMO dalam warna arang dengan jahitan merah, tempat duduk hadapan dengan penyokong sisi boleh laras, pedal aluminium, dan pencahayaan ambien berbilang warna.
Pilihan warna luaran yang ditawarkan termasuk NISMO Stealth Gray, Stealth Gray dengan bumbung Super Black, Black Diamond Pearl dan Everest White Pearl Tricoat yang boleh dipesan dengan atau tanpa bumbung hitam.
Di pasaran Amerika Syarikat, Armada NISMO menyertai varian lain seperti SV, SL, Platinum, PRO-4X, dan Platinum Reserve. Semua model menggunakan enjin V6 3.5L dengan 425 hp, transmisi automatik 9-kelajuan, serta kapasiti penarikan maksimum 8,500 paun (3,855 kg).
Tahukah anda, Skoda asalnya bukanlah bermula sebagai sebuah pengeluar kenderaan?
Mula beroperasi sejak 1895, pengasas jenama Skoda iaitu Václav Laurin and Václav Klement membentuk syarikat Laurin & Klement dan produk pertama mereka: basikal!
Hanya pada tahun 1905, baharulah mereka memulakan pengeluaran kereta sebelum syarikat tersebut dikenali sebagai Skoda Auto pada tahun 1925.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-130, Skoda menghasilkan sebuah kenderaan khas L&K 130 sebagai satu penghormatan kepada sejarah awal syarikat tersebut.
Ia asalnya merupakan sebuah wagon Superb yang diubah menjadi sebuah trak ute oleh para pelajar Sekolah Vokasional Skoda Auto dengan kerjasama para jurutera Skoda itu sendiri.
Antara perubahan yang dibuat termasuklah tiang B dan C yang telah diubah semula, serta seksyen belakang yang telah dibuang untuk memberi laluan kepada rak basikal kustom.
Dengan adanya rak tersebut, ‘trak’ ini boleh memuatkan sehingga tiga buah basikal pada satu-satu masa.
Lebih menarik, pintu belakang kini dengan bukaan stail minivan dengan dua tempat pemegang pintu disertakan.
Tempat duduk baris kedua kini hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja, memandangkan bahagian kiri telah dimuatkan dengan kotak penyejuk dan kit pembesar suara.
Di ruang kokpit, terdapat unit komunikasi radio serta tablet untuk paparan video yang dihantar daripada kamera belakang.
Menurut Skoda, projek L&K 130 ini memerlukan masa lebih 2,000 jam untuk disiapkan dan ia akan dipamerkan di acara Tour de France yang ke-112 bulan depan.
Tidak sampai dua tahun selepas diperkenalkan, Toyota mengumumkan kemas kini penawaran bagi model ultra-mewah Century SUV.
Ciri baharu yang wujud pada Century SUV 2026 ialah tingkap kaca privasi untuk penumpang belakang dengan larasan tiga tahap (jernih, separa lutsinar dan legap penuh) menggunakan lapisan filem khas.
Bahan khas yang diapit antara dua lapisan kaca itu dikatakan sukar untuk dilihat dengan mata kasar dan mampu menahan sehingga 99 peratus sinaran ultraungu.
Namun, teknologi yang sama tidak diaplikasikan pada bumbung kaca panorama.
Ia bertujuan untuk memastikan aspek privasi penumpang belakang (VIP) lebih terjaga sepanjang perjalanan dan dalam masa yang sama tidak mengorbankan sumber cahaya asli – persis suasana dalam bilik tradisional Jepun.
Sebagai kenderaan yang dikhaskan untuk membawa orang kenamaan, tempat duduk belakang Century SUV boleh dibaringkan hampir rata untuk posisi rehat yang lebih selesa.
Tidak ketinggalan, senarai kelengkapan yang cukup panjang termasuklah tempat pemijak sisi boleh lipat, sistem pencahayaan ambien, sistem audio 18 pembesar suara, cangkuk kot, dan juga sistem infohibur berasingan.
Sebagai sebuah jawapan kepada Rolls-Royce Cullinan, Toyota Century SUV dikuasakan oleh enjin bentangan V6 PHEV 3.5 liter yang mampu menghasilkan 406 hp, dengan jarak gerak sifar emisi sejauh 69 km.
Harga jualan Toyota Century SUV 2026 di Jepun kini bermula dari 27 juta yen (RM784,839).
Lexus menamatkan era sedan berprestasi dengan enjin V8 di Jepun dengan model edisi terhad yang dinamakan IS500 Climax Edition.
Secara asasnya, ia sama sahaja dengan IS500 Ultimate Edition yang diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat beberapa minggu lalu, cuma Climax Edition ini dikhaskan untuk pasaran Jepun.
Walaupun namanya kedengaran lebih sesuai untuk filem ‘satu warna’ berbanding sebuah sedan mewah berprestasi tinggi, IS500 Climax Edition merupakan sebuah jentera yang benar-benar mantap.
Ia masih menggunakan enjin 5.0-liter V8 naturally aspirated yang sama seperti varian IS500 lain, menghasilkan 472 hp dan 535 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam sekitar 4.5 saat.
Dari segi penampilan, IS500 Climax Edition hampir menyamai versi Ultimate di Amerika. Ia hadir dengan warna luaran kelabu matte (dikenali sebagai ‘Incognito’ di AS dan ‘Wind’ di Jepun), rim tempaan BBS bersaiz 19 inci, serta brek Brembo enam piston berwarna merah di bahagian hadapan.
Bahagian dalaman pula menampilkan lencana siri pengeluaran, upholsteri kulit hitam dengan jahitan merah kontras, serta kemasan krom yang ringkas, cukup untuk membezakannya daripada model IS500 biasa.
Walaupun harga rasmi masih belum diumumkan, Climax Edition dijangka lebih mahal daripada IS500 First Edition yang pernah dilancarkan di Jepun pada harga sekitar 9 juta yen (RM263,370).
Dengan jumlah pengeluaran yang dihadkan kepada 500 unit dan statusnya sebagai salah satu sedan V8 terakhir daripada Lexus, permintaan untuk model ini dijangka tinggi, lebih-lebih lagi dengan nama yang mungkin mengundang senyuman atau kontroversi.
Tidak diketahui secara rasmi mengapa Lexus memilih nama ‘Climax’ untuk model ini, namun tekaan kami adalah ia mungkin bertujuan untuk melambangkan kemuncak kepada platform dan enjin ini.
Selepas bertahun-tahun penambahbaikan, IS500 dan enjin 5.0-liter V8 ini boleh dianggap telah mencapai versi terbaik dan terakhirnya.
Nama Climax boleh dianggap sebagai simbol kepada pencapaian itu, menandakan bahawa inilah titik tertinggi dan masa yang paling sesuai untuk menamatkannya dengan penghormatan yang selayaknya.