Arkib Tag: Zeekr 009 Ultra Luxury

Zeekr 009 Ultra Luxury rangkul anugerah Malaysia Car of The Year 2025

Anugerah keseluruhan Malaysia Car of The Year 2025 telah dianugerahkan kepada model MPV mewah Zeekr 009 Ultra Luxury.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut kenderaan elektrik menerima pengiktirafan tertinggi, mencerminkan perkembangan berterusan EV di dalam pasaran automotif Malaysia.

Zeekr 009 Ultra Luxury dipilih kerana ia meletakkan penanda aras baharu dari segi teknologi maju rangkaian kuasa elektri, tahap penghalusan yang tinggi, ciri keselamatan komprehensif serta ciri-ciri mewah moden yang hadir secara standard.

Proton X50 1.5TD Flagship pula terpilih meraih Anugerah “People’s Choice Award” 2025 mencerminkan sentimen pengguna terhadap teknologi, kecekapan tenaga, keselamatan dan nilai.

Sementara itu, Anugerah “Automotive Person of The Year (APOY) diberikan kepada Dato’ Seri Zainal Abidin Ahmad (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua).

Di bawah kepimpinan beliau, Perodua secara konsisten mencatatkan prestasi jualan kukuh, menyumbang secara signifikan kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia.

Beliau turut menyokong pembangunan industri yang lebih luas melalui pembangunan vendor, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penjajaran dengan dasar automotif dan kelestarian negara, sekaligus mengukuhkan peranan Perodua sebagai tonggak sektor automotif Malaysia.

Uniknya MCOTY 2025 ialah sebahagian besar penerima anugerah terdiri daripada kenderaan berelektrifikasi, khususnya model elektrik penuh.

Dalam masa yang sama, keputusan ini mencerminkan bagaimana rangkaian kuasa hibrid dan enjin pembakaran dalaman turbo moden telah menjadi kebiasaan baharu di kalangan kenderaan berprestasi tinggi.

“Anugerah Malaysia Car of the Year mencerminkan sejauh mana kemajuan industri automotif negara, bukan hanya dari segi skala, malah dari aspek inovasi dan kelestarian.

“Kehadiran kenderaan elektrik yang semakin ketara di kalangan pemenang anugerah utama menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menerima penyelesaian mobiliti yang lebih bersih dan pintar,” kata Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof.

Beliau turut menjelaskan bahawa ini selaras dengan aspirasi nasional dan juga serantau, sementara fokus berterusan kerajaan terhadap peralihan tenaga membuka peluang kepada pemain industri untuk melabur dalam teknologi hijau, memperkukuh keupayaan tempatan serta membangunkan penyelesaian mobiliti masa hadapan.

Pemenang MCOTY 2025 dipilih melalui proses penjurian yang telus dan menyeluruh, dikendalikan oleh panel wartawan automotif dan golongan profesional industri yang berpengalaman.

Kenderaan dinilai berdasarkan lapan kriteria utama, iaitu Reka Bentuk, Keselamatan, Ergonomik, Nilai, Praktikaliti, Prestasi, Kecekapan Tenaga dan Jaminan. Rangka penilaian yang komprehensif ini memastikan anugerah diberikan kepada kenderaan yang benar-benar relevan dalam dunia sebenar serta menawarkan kecemerlangan yang seimbang.

Senarai penuh