Arkib Tag: Xpeng G6 RWD Standard Range

Xpeng G6 RWD Standard Range 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Xpeng di Malaysia melancarkan SUV elektrik Xpeng G6 varian RWD Standard Range.

Dengan harga jualan RM158,888, varian asas itu mampu melengkapi varian Long Range dan AWD Performance yang telah dilancarkan sebelum ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Unit pacuan

Xpeng G6 RWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Terdapat enam mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

 

2. Bateri

Varian asas ini hadir dengan bateri lithium iron phospate (LFP) 68.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 480 km (data WLTP).

Ia menyokong pengecasan DC sehingga 382 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus SoC dalam masa 12 minit.
Pengecasan AC pula mampu mencapai sehingga 11 kW untuk pengecasan 7.3 jam dari 5-100 peratus SoC.

 

3. Luaran

Secara standard, G6 RWD membawakan kelengkapan yang sama dengan dua varian yang lebih tinggi seperti lampu utama LED, pemegang pintu tersorok, kaca kalis bunyi serta fungsi privasi untuk baris kedua dan kaca belakang.

Cuma bezanya, ia hadir dengan padanan rim 18 inci.

 

4. Dalaman

Beberapa fungsi telah ditiadakan pada varian asas G6 ini seperti fungsi urut pada tempat duduk hadapan, fungsi pemanas untuk baris kedua, serta balutan kulit nappa/suede.

Ciri lain adalah sama seperti varian tertinggi seperti skrin paparan digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kemas kini over-the-air (OTA), sistem bunyi keliling XPENG XOPERA dengan 16 pembesar suara, sistem penapisan udara PM2.5 dan sistem penyegar kabin N.95.

Tempat duduk pemandu dan penumpang depan diberikan larasan elektrik enam tahap, fungsi sokongan tulang belakang, pemanas, ventilasi dan fungsi memori.

 

5. Keselamatan

G6 RWD ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), peringatan tali pinggang keledar, cagak ISOFIX, Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS), e-Call dan autohold.

Ciri keselamatan termaju termasuklah Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Pemusatan Lorong (LCC), XPilot Assist Parking dengan kamera 360 darjah, Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Bukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri yang tidak disertakan pada varian asas ini adalah perakam pemanduan dan sistem pemantauan keadaan pemandu (DSM).

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black, Silver Frost dan Stellar Purple, sementara ruang kabin pula mendapat kemasan Light Gray dan Dark Gray.

Setiap pembelian Xpeng G6 disertakan dengan pakej pengecasan tanpa had 2-tahun oleh JomCharge, atau pemasangan pengecas dinding 11kW oleh DC Handal.