Arkib Tag: Xiaomi SU7 Ultra

Xiaomi SU7 Ultra buat kemunculan kali pertama di Jepun

Gergasi elektronik China Xiaomi buat pertama kalinya mempamerkan sedan elektrik berprestasi tinggi SU7 Ultra di Akihabara, Jepun.

Acara pameran yang berlangsung pada 26 hingga 28 September yang lepas itu turut mendedahkan perancangan Xiaomi pada masa akan datang.

Menurut laporan Kyodo News, Xiaomi akan mengembangkan jaringan runcit yang menjual peranti pintar, perkakasan rumah dan telefon bimbit di beberapa bandar besar Jepun untuk mengukuhkan kehadirannya.

Gambar hiasan. Xiaomi Store @ Shanghai.

Sama seperti pendekatan yang diguna pakai di China, Xiaomi juga akan menjual kereta elektrik (EV) menerusi kedai Xiaomi Store tanpa menyebut tarikh sebenar pelancaran model tersebut.

Buat masa ini, Xiaomi sudah membuka dua cawangan di Wilayah Saitama, dan bakal menambah tiga lagi outlet di Tokyo termasuklah Chiba menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Xiaomi juga melancarkan model die-cast skala 1:18 untuk siri SU7, dengan harga jualan 14,800 yen (RM420) untuk versi standard, dan 16,800 yen (RM477) untuk versi SU7 Ultra.

Inilah dia unit pertama Xiaomi SU7 Ultra terbabas dalam litar

Ini bukanlah kali pertama berita kemalangan melibatkan sedan elektrik buatan Xiaomi dilaporkan.

Jika anda masih ingat, tahun lepas sebuah Xiaomi SU7 Max dilapor terbabas di dalam litar disebabkan sistem brek yang tidak sesuai digunakan.

Menurut Xiaomi, sedan elektrik tersebut tidak dihasilkan untuk pemanduan serius di dalam litar.

Bagaimana pula dengan sedan pantas Xiaomi SU7 Ultra?

Menurut kata Xiaomi, SU7 Ultra dengan spesifikasi 1,526 hp dan tanda harga RMB529,900 (RM324 ribu) disahkan sesuai untuk kegunaan dalam litar lumba.

Namun, dalam tempoh beberapa hari selepas kumpulan kecil pertama SU7 Ultra diedarkan kepada pemiliknya, salah satu daripadanya dilapor terbabas di dalam litar lumba.

Dalam video rakaman yang muncul di laman media sosial Weibo, sedan tersebut dipandu melebihi 120 km/j di atas seksyen jalan lurus.

Walau bagaimanapun, pemandu kereta tersebut brek terlalu lewat menyebabkan SU7 Ultra itu terbabas dan melanggar tembok penghadang yang dibuat daripada tayar.

Akibatnya, bahagian hud, bampar hadapan, fender dan unit lampu utama remuk teruk. Mujur beg udara berfungsi dengan baik untuk memastikan pemandu kekal selamat.

Menurut pengasas dan CEO Xiaomi Auto, Lei Jun berkata, pemilik SU7 Ultra perlu memberikan tumpuan penuh pada aspek keselamatan, dan menyarankan mereka untuk menjalani latihan formal sebelum memasuki litar.

Biarpun Xiaomi SU7 Ultra mempunyai kuasa mencecah 1,526 hp dan 1,770 Nm, angka tersebut dihadkan kepada 900 hp dengan kelajuan maksimum 140 km/j untuk jarak pemanduan 300 km terawal.

Dalam kuasa penuh, SU7 Ultra mampu memecut sepantas 1.98 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 359 km/j.

Unit prototaip Xiaomi SU7 Ultra padamkan rekod Porsche Taycan Turbo GT di Nurburgring

Siapa sangka, pengeluar yang sinonim dengan peranti pintar kini mempunyai resepi yang cukup ampuh untuk membuatkan para jurutera Porsche tidak duduk diam di Litar Neraka Hijau.

Xiaomi Auto baru-baru ini telah berjaya mencatatkan rekod sedan elektrik terpantas mengelilingi Litar Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa 6 minit 48.874 saat menggunakan model prototaip SU7 Ultra.

Biarpun berstatus prototaip, ia sudah cukup pantas untuk memadamkan catatan masa yang dibuat oleh Porsche Taycan Turbo GT (7 minit 7.55 saat).

Menurut laporan CarNewsChina, pengeluar tersebut pada mulanya berdepan dengan cabaran yang sukar, di mana cubaan catatan masa tersebut terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat faktor cuaca.

Xiaomi SU7 Ultra diumumkan pada pertengahan tahun lalu sebagai varian berprestasi tinggi yang dilengkapi dengan unit pacuan elektrik HyperEngine V8s.

Dengan tetapan tiga motor elektrik, Xiaomi SU7 Ultra mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,548 hp, memecut sepantas 1.97 saat dari pegun sebelum mencapai 100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.

Ia merupakan satu angka yang cukup mengkagumkan datang daripada pengeluar peranti pintar.

 

Malah, produk sedan elektrik Xiaomi itu sendiri turut meninggalkan impak yang besar kepada orang besar automotif.

Menurut laporan beberapa laman media, CEO Ford Jim Farley dikatakan telah mengimport satu unit daripada Shanghai dan memandu sendiri sedan elektrik Xiaomi SU7 untuk tempoh enam bulan.

“Saya tidak begitu suka bercakap tentang persaingan terlalu banyak, namun saya sudah memandu (sedan) Xiaomi. Saya telah memandunya selama enam bulan, dan tidak mahu melepaskannya,” ujarnya.

Xiaomi bercadang untuk menziarahi Litar Nurburgring semula pada tahun 2025 untuk melakukan semula cubaan catatan terpantas menggunakan model produksi yang sebenar.

Xiaomi SU7 Ultra Prototype sedia beri cabaran kepada Porsche Taycan Turbo GT