Arkib Tag: World Car Awards

Kia EV9 rangkul dua kategori dalam World Car Awards 2024 – kini boleh ditempah di Malaysia

KIA EV9 baru-baru ini memperoleh dua anugerah World Car Awards 2024 dalam satu acara di New York Auto Show. EV9 merangkul anugerah World Car of the Year dan World Electric Vehicle.

Anugerah itu terdiri dari 100 juri wartawan permotoran dari 29 negara. World Car Awards memberikan anugerah itu kepada EV9 disebabkan rekaan inovatif, ruang tujuh tempat duduk yang luas, dan harga yang berdaya saing.

Dibina di pelantar E-GMP, EV9 merupakan model Kia pertama yang menampilkan teknologi bateri generasi-keempat dengan prestasi yang ditambah baik.

“Kami sangat berbesar hati dan rasa terhormat dengan anugerah World Car of the Year dan World Electric Vehicle untuk EV9 2024,” kata Ho Sung Song, Presiden dan CEO Kia.

“Kemenangan ini ialah bukti terhadap komitmen kami dalam menerokai had teknologi dan reka bentuk. Kejayaan EV9 ini akan terus memacu kami menghasilkan kenderaan menarik untuk pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya.

Sebelum ini, Kia pernah mendapat tiga anugerah dari World Car Awards – Telluride sebagai World Car of the Year dan Soul EV untuk World Urban Car pada 2020, dan Kia EV6 GT untuk World Performance Car of the Year pada 2023.

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal Kia di Malaysia juga mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa EV9 kini boleh mula ditempah di bilik pameran Kia berdekatan.

Bergantung kepada varian, Kia EV9 boleh mempunyai output 201hp/350Nm sehingga 380hp/700Nm. Pecutan 0-100 adalah sepantas 5.3 saat bagi versi dua motor, manakala jarak pemanduan maksima ialah 680km bagi Earth Long Range.

Hyundai Ioniq 6 menang besar di World Car Awards 2023

HYUNDAI Ioniq 6 telah berjaya menggondol bukan satu atau dua, tetapi tiga anugerah World Car Awards 2023 di New York International Auto Show (NYIAS) baru-baru ini.

Diperkenalkan di peringkat global pada Julai tahun lalu, kenderaan elektrik (EV) itu merangkul anugerah World Car of the Year, World Electric Vehicle dan World Car Design of the Year. Ia dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada 100 wartawan automotif dari 32 buah negara.

Apa yang menarik, ia merupakan kali kedua berturut-turut Hyundai memenangi tiga anugerah tersebut sekali gus. Tahun lalu, Ioniq 5 dipilih sebagai pemenang bagi kategori yang sama.

Ioniq 6 merupakan model kedua dalam barisan EV Hyundai yang dikenali sebagai Ioniq. Ia dibina menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) yang menawarkan pengecasan pantas 800V yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit.

Dengan pekali seret serendah 0.21, Ioniq 6 merupakan antara EV yang paling aerodinamik dan cekap tenaga dalam pasaran sekarang. Ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 614 km dengan satu cas penuh dan kadar penggunaan tenaga 13.9 kWh/100 km bagi varian 2WD dengan tayar 18 inci.

Model ini menawarkan pelbagai teknologi canggih termasuk Vehicle-to-Load (V2L), sistem bantuan pemandu dan kemas kini perisian Over-The-Air (OTA).

Dengan tapak roda berukuran 2,950 mm, Ioniq 6 mempunyai ruang kabin yang luas dan ergonomik yang sarat dengan ciri-ciri terkini seperti pencahayaan ambien dwi warna, Electric Active Sound Design (e-ASD), panel instrumen digital dan pelbagai lagi.