Arkib Tag: WMoto Cruiser AMT 125

WMoto Cruiser AMT 125 2025 masuk Malaysia – harga dari RM5,988

Mforce Bike Holdings memperkenalkan sebuah lagi model baharu di bawah jenama WMoto, iaitu Cruiser AMT 125 untuk pasaran tempatan.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 7.8 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 8.8 Nm yang dipadankan dengan sistem automatik dan pacuan akhir rantai.

Cruiser klasik ini dilengkapi dengan fork teleskopik dengan jarak pergerakan 130 mm di depan, dibantu dengan penyerap hentak tunggal yang menawarkan jarak pergerakan 30 mm di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor saiz 220 mm di depan dan 200 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan LED penuh, paparan meter analog digital, sistem kunci mekanikal, ekzos senyap serta tempat pemijak kaki penumpang boleh lipat.

Cruiser AMT 125 ini juga menawarkan kapasiti tangki sebesar 6 liter, tinggi pelana 680 mm dan berat keseluruhan cuma 119 kg.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat tiga warna pilihan iaitu hitam, hijau dan krim, dengan harga jualan bermula dari RM5,988.