Arkib Tag: VOLVO

Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 dikemaskini di Malaysia

VOLVO Car Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mengemaskini rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) iaitu XC90, XC90, XC60, S90, S60 dan V60 untuk tahun 2024. Pengemaskinian tersebut akan disertakan dalam model yang dikeluarkan mulai September.

Semua model PHEV Volvo akan dilengkapi dengan pengecas bersepadu (on-board charger atau OBC) yang boleh menampung sehingga 6.4 kW dengan pengecasan dua atau tiga fasa, atau 3.6 kW untuk fasa tunggal. Dengan naik taraf ini, masa pengecasan dapat dipendekkan dari lima jam sebelum ini kepada hanya tiga jam.

Untuk bahagian luaran, model-model berkenaan akan didatangkan dengan bumbung kaca panoramik secara standard. S90 Recharge mendapat rim lapan jejari baharu, manakala S60 Recharge dan V60 Recharge mendapat rim enam jejari baharu.

Selain itu, Volvo Car Malaysia juga akan menawarkan pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Vapour Grey sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Denim Blue dan Platinum Grey.

Penambahbaikan lain termasuk perkhidmatan digital percuma selama lima tahun yang merangkumi akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars. Turut disertakan adalah tambahan aplikasi YouTube kepada sistem infohibur Google.

Model-model terdahulu yang layak menggunakan sistem infohibur Google juga akan dapat menggunakan YouTube melalui pengemaskinian perisian secara Over-The-Air (OTA), yang kini turut membolehkan pengecasan berjadual menerusi aplikasi Volvo Cars.

Dari segi keselamatan, kesemua model 2024 dilengkapi dengan Cross Traffic Alert, Blind Spot Information System, Lane Keeping Aid, dan Collision Avoidance & Mitigation dengan Steering Support and Braking.

Volvo bawa kenderaan lebih selamat untuk Malaysia sejak 1966

HANYA sedekad setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia ketika itu dalam rangka mengukuhkan kemunculan industrinya ke pentas dunia.

Ia termasuklah sebuah polisi automotif bagi mempercepatkan industrialisasi kebangsaan melalui kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pembuatan komponen automobil.

Volvo Car Manufacturing Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Swedish Motor Assemblies Sdn. Bhd.) merupakan antara yang pertama bertindak balas terhadap panggilan kerajaan Malaysia ke seluruh dunia untuk perpindahan teknologi, pembangunan kemahiran tempatan, dan pelaburan asing.

Mereka kemudiannya menjadi jenama kereta antarabangsa pertama yang membangunkan kilang pemasangan automotif di Malaysia.

Terletak di tengah-tengah Shah Alam, ia merupakan antara kilang pembuatan kereta pertama di Malaysia.

Kilang pemasangan Volvo memulakan operasinya pada Mac 1967 dengan pengeluaran Volvo 144 – kereta pertama yang dipasang di Malaysia, dan ia juga telah menandakan sebuah langkah besar untuk industri automotif negara.

Memandangkan Shah Alam juga merupakan lokasi pertama kilang Volvo di luar negara asalnya iaitu Sweden, hal ini merupakan sesuatu perkara yang bermakna untuk Malaysia.

Pemasangan tempatan Volvo 144 tersebut pantas diikuti oleh banyak lagi model seterusnya, menampilkan ciptaan-ciptaan hebat Volvo seperti tali pinggang keledar tiga mata dan Blind Spot Information System (BLIS) – ciri-ciri keselamatan yang kini merupakan piawaian dalam semua kereta moden pada hari ini.

Pada tahun 2016, Volvo Car Malaysia merupakan jenama kereta mewah pertama yang memperkenalkan kenderaan hibrid plug-in pemasangan tempatan (PHEV) melalui model Volvo XC90 Recharge – sebuah usaha yang menyokong cita-cita kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah hub ASEAN untuk Kenderaan Jimat Tenaga ataupun Energy Efficient Vehicles (EEV).

Pada masa itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Sweden yang menjalankan pemasangan model serba baharu Volvo XC90 Recharge tersebut.

Pada tahun 2021, Volvo Car Malaysia telah pun menjadi pembuat kereta automotif pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap hibrid plug-in.

Pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia menandakan sebuah titik perubahan untuk industri automotif Malaysia dengan pelancaran model Volvo XC40 Recharge Pure Electric, kereta elektrik penuh (EV) pertama yang melalui CKD di Malaysia.

Melalui kemampuan kilang pemasangan tempatannya, Volvo terus memacu landskap kenderaan elektrik bagi menyokong Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dalam mencepatkan penggunaan EEV dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia juga menjadi hub Volvo untuk mengeksport model Pure Recharge ke seluruh rantau ASEAN melalui rangkaian eksport sedia adanya.

Walaupun Volvo merupakan jenama kelahiran Sweden, ia juga telah bertapak di Malaysia selama 57 tahun, kini menyambung misinya untuk memberikan para pemilik kereta kebebasan untuk bergerak dengan cara peribadi, mampan dan selamat.

Sejak pengumuman agenda elektrifikasinya pada tahun 2022, Volvo Car Malaysia bercita-cita untuk menawarkan kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030 dan menjadi syarikat iklim neutral menjelang tahun 2040.

Volvo Car Malaysia ingin memperingati 57 tahunnya bersama Malaysia dengan promosi untuk kedua-dua rangkaian elektrik sepenuhnya dan hibrid semasa Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Bermula sekarang hingga 30 September 2023, pelanggan yang membeli model Volvo Recharge Pure Electric baharu (XC40 Recharge Pure Electric atau C40 Recharge Pure Electric) dengan Perkhidmatan Kewangan Kereta Volvo akan menikmati faedah pengurangan harga akhir serta-merta bernilai RM20,000 dengan penjimatan tambahan melalui kaedah pengurangan prinsipal.

Terdapat juga faedah daripada tempoh pembiayaan yang lebih pendek, iaitu tiada bayaran keluar selepas penyelesaian awal.

Promosi ini juga terpakai apabila anda memesan Volvo XC40 Pure Recharge atau Volvo C40 Pure Recharge dalam talian di https://shop.digitalvolvo.com/my/shop-online.

Pelanggan yang membeli mana-mana kenderaan elektrik hibrid Volvo dalam tempoh masa yang sama juga akan menikmati tawaran insurans kereta percuma dan VSP (Pelan Perkhidmatan Volvo 5 tahun) bernilai hampir RM20,000.

VSP ialah pakej servis kereta komprehensif bernilai RM12,900 yang meliputi lima sesi servis kereta pertama anda, termasuk barangan haus dan lusuh serta kos buruh, kemas kini perisian percuma dan pemeriksaan kesihatan kenderaan, manakala insurans kereta percuma untuk tahun pertama pula bernilai RM7,000.

Volvo TP21 keluaran 1954 untuk dilelong, ini baru betul ‘kereta kebal’

SUV pertama keluaran Volvo iaitu XC90 hanya muncul di pasaran sekitar awal 2000-an iaitu ketika kenderaan jenis itu semakin meningkat popular.

Namun tahukah anda, pada era 1950-an, pengeluar kenderaan dari Sweden itu sebenarnya sudah mempunyai sesuatu yang boleh dianggap sebagai prototaip SUV?

Dikenali sebagai TP21 “Sugga”, ia sebenarnya dibina menggunakan badan model taxicab PV800 yang dicantumkan dengan casis trak untuk dijadikan sebagai kenderaan off-road untuk kegunaan tentera Sweden.

Ia mempunyai sistem suspensi yang lebih tinggi, fender yang lebih lebar, tayar off-road serta rak akesori pada bahagian belakang dan bumbung untuk mengangkut muatan seperti tong minyak dan penyodok.

Di bawah bonet, terdapat enjin flathead 3.67-liter enam silinder sebaris yang mampu menjana kuasa sebanyak 90 hp, mungkin sudah cukup tinggi pada zaman itu.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi manual empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda dengan transfer case dua kelajuan. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai locking differential pada bahagian depan dan belakang.

Menurut laporan, TP21 memasuki fasa produksi pada 1953 sehingga 1958 sebagai kenderaan pembawa anggota dan alat komunikasi. Hanya 720 unit dihasilkan dan ada yang digunakan oleh tentera Sweden sehingga 1990-an.

Unit yang akan dilelong ini tiba di Australia sekitar pertengahan 1980-an dan dikatakan tidak pernah bertukar pemilik sehingga ke hari ini. Ia juga mungkin TP21 yang pertama dibawa masuk negara itu.

Dari segi penyelenggaraan, unit ini telah diservis pada Januari lalu dengan bendalir, palam pencucuh dan tali sawat kipas baharu, pam air yang dibaiki dan radiator yang dibersihkan.

Melihat laman web Collecting Cars, harga pembukaan untuk TP21 ini masih belum diumumkan. Anda rasa, berapa harga tertinggi yang akan dibida?

Volvo FM, FH, dan FMX jadi trak besar EV pertama tiba di Malaysia

VOLVO Trucks telah melancarkan trak elektrik sepenuhnya (EV) yang pertama di Malaysia, bagi kategori prime-mover. Ia ditawarkan dalam barisan model FM, FH, dan FMX.

Trak-trak Volvo EV ini direka dengan pelbagai susunan gandar untuk pelbagai segmen dan kegunaan. Ia didatangkan dengan kapasiti bateri sehingga 540kWh yang mampu memberikan jarak operasi sehingga 300km.

Ia boleh dikonfigurasi sehingga tiga motor elektrik, dengan output keseluruhan 490kW (666hp) dan 2,400Nm tork.

Dari segi pengecasan, menggunakan pengecas AC 43kW memerlukan 10 jam tetapi dengan pengecasan pantas DC (sehingga 250kW), masa mengecas boleh dikurangkan bawah dua jam.

Menurut ujian, trak EV Volvo ini boleh menggunakan tenaga 50 peratus lebih rendah berbanding model FH dengan enjin diesel dalam situasi pemanduan yang sama.

Dari segi rupa luaran, anda dapat lihat bahawa barisan Volvo FM, FH dan FMX elektrik ini tampak lebih futuristik dan berbeza dari trak berkuasa diesel. Cab atau ‘kepalanya’ direka agar lebih aerodinamik untuk mengurangkan rintangan udara dan mengoptimakan prestasi serta jarak.

Trak Volvo EV ini mendapat lampu LED berbentuk “V” yang bukan hanya untuk suluhan cemerlang dalam gelap, tetapi juga memberikan identiti menyerlah bila dilihat dari jauh.

Mengikut keperluan dan kegunaan, anda boleh pilih trak Volvo EV dengan konfigurasi 4×2, 6×2 dan 6×4.

Masuk ke dalam, trak Volvo EV menampilkan pemanduan lebih senyap dengan ketiadaan gegaran enjin. Ia juga dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12-inci, dan skrin sesentuh 9-inci untuk infotainment.

Seperti biasa sebagai sebuah Volvo, keselamatan menjadi keutamaan. Barisan trak elektrik ini hadir dengan Volvo Dynamic Steering dan Side Collision Avoidance Support yang direka untuk membantu mengurangkan kemalangan disebabkan titik buta.

Semasa pelancaran, turut diumumkan pengguna pertama Volvo FM Electric ini iaitu Swift Haulage Berhad, sebuah syarikat logistik.

Volvo EX30 2023 didedah – SUV paling kecil, EV sahaja

VOLVO baru sahaja mendedahkan EX30, iaitu SUV terbaharu mereka. Ia juga merupakan SUV paling kecil, iaitu lebih kecil dari XC40, dan hanya ditawarkan dalam versi EV buat masa ini. Buat mereka yang berminat dengan XC40 tetapi rasa belum cukup bajet, mungkin EX30 boleh menjadi calon sesuai.

EX30 sudah boleh ditempah di beberapa pasaran seperti Eropah, dengan harga £33,795 (RM193,741) di UK. Volvo berkata harganya adalah dalam julat model SUV yang sama saiz dengannya.

Saiz kompak

Bercakap mengenai saiz, Volvo EX30 mempunyai ukuran 4,233mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm. Menurut Volvo, casisnya telah ditala untuk memanfaatkan saiznya yang kompak. Beratnya adalah 1,830kg.

EX30 mempunyai bahasa rekaan sama dengan EX90 yang lebih besar seperti gril bertutup, lampu Thor’s Hammer digital, lampu belakang terpisah, dan papan pemuka yang serupa.

Kabin minimalis serba baharu

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

AWD dwi-motor, Volvo paling pantas

Anda boleh memilih Volvo EX30 dengan dua pilihan iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance.

Yang pertama iaitu Single Motor Extended Range mendapat motor tunggal di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm tork. Bateri 64kWh padanya direka untuk jarak pemanduan lebih jauh, iaitu sekitar 440km.

Untuk anda yang mahukan prestasi, boleh memilih varian Twin Motor Performance. Dua motor di depan dan belakang, menjadikannya AWD, memberikan output 422hp dan 543Nm tork. Walaupun output ini tidak setinggi XC40 EV atau C40 EV, EX30 mampu memecut 0-60 batu sejam (0-96km/j) dalam hanya 3.4 saat.

Mungkin kerana saiznya yang lebih kompak, lebih ringan, dan teknologi motor serta bateri yang lebih terkini. Untuk ini, kita harus tunggu hari pelancaran dan pandu uji untuk kami siasat. Harus diingat, pecutan 0-96 dalam 3.4 saat tadi menjadikan EX30 sebagai model Volvo paling pantas.

Untuk pengecasan pula, bateri NMC tadi boleh dicas menggunakan DC dengan kapasiti setinggi 153kW, bermakna 10-80 peratus dicapai dalam hanya 26.5 minit.

Cross Country

Oh ya, bermula 2024, Volvol EX30 juga akan ditawarkan dalam varian Cross Country yang lebih rugged dan sesuai untuk mengembara, mungkin.

Ia mendapat jarak kelegaan tanah lebih tinggi, pilihan rim 18- atau 19-inci, tayar all-terrain, skid plate, panel hitam khas pada bampar, dan tulisan Cross Country.

Geely gandakan pegangan saham dalam Aston Martin

GEELY kini menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Lagonda (AML). Selepas mula menjadi pemegang saham pada September 2022, gergasi automotif China itu telah menaikkan pegangannya dari 7.6 kepada 17 peratus.

Pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll telah menyerahkan 42 juta saham bernilai 2.31 Pound (RM13.08) setiap satu kepada 3.35 Pound (RM18.96) seunit. Konsortium Stroll, Yew Tree turut melanggan 28 juta saham pada harga sama.

Ketika ini, konsortium Yew Tree milik pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll ialah pemegang saham terbesar syarikat itu, diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.

 

 

“Geely Holding, yang pada mulanya menjadi pemegang saham tahun lalu, melihat potensi besar untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang Aston Martin,” kata Stroll dalam satu kenyataan.

“Mereka menawarkan kepada kami pemahaman mendalam mengenai pasaran pertumbuhan strategik utama yang diwakili oleh China, serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi dan komponen.”

Sebagai pertukaran dari dana, akses dan teknologi, Geely juga akan mendapat kerusi Lembaga. Ini penting kerana Geely merupakan syarikat penaung jenama-jenama seperti Volvo, Lotus, Polestar dan Proton.

Buat masa ini, pegangan saham Geely terhad kepada 22 peratus dalam Aston Martin sebelum Ogos 2024. Mereka juga mempunyai saham dalam Mercedes-Benz, yang juga mempunyai pegangan dalam AML. Menarik.

Volvo Car Malaysia tawar model Pure Electric di platform jualan dalam talian

PLATFORM jualan dalam talian Volvo Car Malaysia yang dilancarkan pada tahun lalu kini semakin berkembang dengan penawaran rangkaian penuh model Pure Electric.

Ini bermakna, mereka yang berminat untuk mendapatkan Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric kini boleh berbuat demikian menerusi platform e-dagang itu.

Pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membuat pembayaran secara terus kepada Volvo Car Malaysia melalui laman web rasmi syarikat itu.

Bersempena dengan pengumuman ini, Volvo Car Malaysia mengadakan promosi di mana pelanggan yang mendaftarkan mana-mana model Pure Electric akan menikmati baucar bernilai RM7,000 untuk pengecas dinding wallbox dan insurans Volvo Car secara percuma. Promosi ini sah sehingga 30 Jun 2023.

Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Malaysia berkata, “Sejak pengenalan platform ‘Online Sales’, perjalanan pelanggan kami untuk membeli sebuah kereta Volvo telah menjadi lebih baik. Ia juga dibantu oleh ketelusan dan ketersediaan stok kereta kami.”

“Bermula hari ini, platform ini telah menyediakan rangkaian penuh model Pure Electric kami, dan kami merancang untuk mengintegrasikan lebih banyak lagi model kereta Volvo di platform tersebut tidak lama lagi,” katanya.

Ingress Swede Automobile tawar program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT

INGRESS Swede Automobile kini menawarkan program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT di bilik pameran mereka yang terletak di Mutiara Damansara.

Program ini menampilkan pelbagai kenderaan Volvo terpakai berkualiti tinggi yang telah melalui ujian dan pemeriksaan menyeluruh.

Menerusi Volvo SELEKT, pelanggan juga dijanjikan perkhidmatan yang profesional dan ketenangan dalam setiap pembelian.

Rabian Ab Rahman, Pengarah Urusan Ingress Swede Automobile, “Sebagai pengedar sah untuk Volvo Car Malaysia, kami sentiasa berusaha meneroka peluang baharu agar terus berkembang dan berinovasi dalam industri automotif di Malaysia.

“Program ini bukan sahaja merupakan tambahan mantap kepada portfolio kami yang sedia ada, tetapi juga seiring dengan visi jangka panjang kami,” katanya.

Setiap kenderaan Volvo terpakai di bawah program SELEKT menjalani proses ujian dan pemeriksaan menyeluruh 125 mata untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi.

Setiap kenderaan turut didatangkan dengan jaminan minimum selama 12 bulan dan perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam.

Bukan itu sahaja, Volvo SELEKT juga hanya menjual hanya kenderaan bebas kemalangan dan banjir yang diluluskan dengan jaminan kurang dari lima tahun atau 100,000 km jarak perbatuan.

Berikut adalah antara kelebihan yang ditawarkan oleh program Volvo SELEKT:

  • Pemulihan dengan teliti: Semua kenderaan Volvo SELEKT diubahsuai dengan teliti menggunakan alat ganti dan aksesori tulen Volvo, serta perisian terkini.
  • Rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan: Semua kenderaan akan menjalani pengesahan rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan.
  • Pakej perkhidmatan: Pakej Perkhidmatan Penyelenggaraan Volvo (VSA)-5 atau 3 ditawarkan untuk mengurangkan kos pemilikan jangka panjang bagi pemilik baru. Pakej penyelenggaraan percuma selama sekurang-kurangnya 1 tahun turut diberikan.
  • Pakar yang sah dan terlatih: Warga kerja di pusat servis Volvo SELEKT yang terlatih dan berkemahiran tinggi untuk menjelaskan semua ciri dan fungsi kenderaan secara terperinci kepada pelanggan.
  • Lokasi strategik: Terletak di Lembah Klang, menjadikannya mudah diakses oleh pelanggan.

Volvo EX90 terlalu laku, tempahan dihentikan sementara waktu

NAMPAKNYA SUV elektrik flagship keluaran Volvo iaitu EX90 mendapat sambutan yang terlalu menggalakkan, sehinggakan syarikat itu terpaksa berhenti mengambil tempahan buat sementara waktu.

Volvo dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil kerana permintaan untuk model itu telah melepasi unjuran syarikat dan kelompok pertama produksi telah pun habis dijual.

Walau bagaimanapun, pengeluar kereta dari Sweden itu berkata tempahan untuk EX90 akan dibuka semula, namun tidak menyatakan bila ia akan berbuat demikian.

Diperkenalkan di peringkat global pada November tahun lalu, EX90 mempunyai reka bentuk seakan XC90 namun ia dibina menggunakan platform serba baharu untuk trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, iaitu satu pada setiap gandar. Varian Twin Motor mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 408 PS dan 770 Nm, manakala varian Twin Motor Performance mempunyai 517 PS dan 910 Nm.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri berkapasiti 111 kWh yang menawarkan jarak sehingga 600 km bagi Twin Motor dan 590 km bagi Twin Motor Performance. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC.

Untuk keselamatan pula, EX90 tampil dengan kamera, radar dan sensor LiDAR yang membolehkan SUV itu ‘melihat’ keadaan sekeliling secara 360 darjah, di samping meningkatkan keupayaan sistem bantuan pemandu iaitu Pilot Assist.

EX90 akan dihasilkan di kilang Volvo di Charleston, South Carolina, Amerika Syarikat dan juga di Chengdu, China.

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm

Tawaran servis lima tahun percuma VSA5+ untuk Volvo XC90 B5 dan T8 di Malaysia

VOLVO Car Malaysia menawarkan pakej VSA5+ iaitu servis lima tahun percuma bagi mereka yang membeli XC90 B5 Ultimate Mild-Hybrid atau XC90 Recharge T8 Plug-In Hybrid sepanjang bulan ini.

VSA5+ atau Volvo Service Agreement 5 Plus ialah pakej servis kereta komprehensif selama lima tahun daripada Volvo Cars yang meliputi lima perkhidmatan kereta pertama termasuk item Wear and Tear yang mungkin perlu diganti.

Tawaran ini dibuat susulan Volvo XC90 yang telah memenangi anugerah TOP SAFETY PICK+ 2023 oleh Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) di Amerika Syarikat.

Pengumuman ini dibuat selepas IIHS mengukuhkan syarat untuk anugerah TOP SAFETY PICK (TSP) dan TOP SAFETY PICK+ (TSP+).

Dengan kriteria baharu yang lebih ketat, setiap kenderaan memerlukan perlindungan pelanggaran sisi yang lebih baik, sistem pencegahan pelanggaran pejalan kaki yang dipertingkatkan dan penyingkiran lampu hadapan di bawah taraf daripada pilihan kenderaan yang layak.

“Volvo XC90 terus membuktikan, tahun demi tahun bahawa ia adalah antara kenderaan yang paling selamat di atas jalan raya,” kata Åsa Haglund, ketua Volvo Cars Safety Centre.

Ujian yang dikemas kini melibatkan 82 peratus lebih tenaga dan memerlukan kenderaan memperoleh penarafan yang boleh diterima atau baik untuk melayakkan diri untuk TSP, manakala penarafan yang baik diperlukan untuk TSP+.

Kedua-dua versi XC90 B5 Ultimate Mild-Hybrid dan XC90 Recharge T8 Plug-In Hybrid telah mendapat anugerah TSP+.

Selain ciri keselamatan yang dianugerahkan, XC90 Recharge menawarkan sehingga 77km (NEDC) atau 35 batu (EPA) pemanduan elektrik sepenuhnya dalam mod Pure.

Selain daripada Volvo XC90, Volvo Car Malaysia juga menawarkan VSA5+ untuk model Volvo S60, Volvo S90, Volvo V60, Volvo XC60 dan Volvo XC40 B5, manakala pendaftaran untuk Volvo XC40 Recharge Pure Electric akan disertakan dengan baucar soket pengecas kediaman (wallbox) percuma bernilai RM7,000. Sah laku tawaran ini akan berlangsung hanya dari 1 Mac 2023 hingga 31 Mac 2023.

Log masuk ke https://www.volvocars.com/my untuk mengetahui lebih lanjut atau kunjungi pengedar Volvo terdekat anda.

Tesla bakal hadir ke Malaysia lengkap dengan wakil jualan dan jaringan pengecasan

BERITA baik buat peminat Tesla yang telah lama menunggu, kini jenama elektrik (EV) terkemuka itu akan tiba secara rasmi ke Malaysia! Selepas pelancaran di Singapura dan Thailand dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, nampaknya Tesla akan membuka wakil jualan dan servisnya di negara ini.

Menurut Soya Cincau yang memetik sumber dari Paultan, Tesla Services Sdn Bhd telah ditubuhkan berserta jabatan perakaunan, pembiayaan dan sokongan IT. Dan nama syarikat itu baru-baru ini telah ditukar kepada Tesla Sdn Bhd.

Apa yang menarik, bentuk perniagaan yang tertulis dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah “Wholesale and retail of new motor vehicles” atau pemborongan dan jualan kenderaan baharu.

Dua lagi bentuk perniagaan adalah ‘perkhidmatan lain berkaitan pengangkutan darat NEC’ serta ‘penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan bermotor’.

Dokumen SSM itu juga menunjukkan pemegang saham utama ialah Tesla International BV dengan 3,598,308 saham, dan syarikat itu berpangkalan di Amsterdam, Belanda. Pada masa ini, empat nama disenaraikan sebagai pengarah, iaitu dua orang warga Amerika Syarikat (AS) dan dua lagi warga Malaysia.

Berikutan pengenalan dan lanjutan insentif cukai untuk EV di Malaysia, kini semakin banyak jenama mula bertapak di pasaran kita. Ini termasuklah Volvo yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab EV, mereka juga memasang XC40 dan C40 EV secara CKD di Shah Alam.

Pada masa yang sama, semakin banyak jaringan pengecasan EV telah diperkenalkan, selari dengan permintaan kenderaan itu yang semakin meningkat.

Jika Tesla membuka wakil jualannya di sini berserta jaringan supercharger yang meluas, anda akan mampu memandu dengan mudah dari Singapura ke Thailand, tanpa perlu terlalu risau mengenai jarak pemanduan (range anxiety).

Paling penting, anda yang memiliki Tesla juga tidak perlu risau mengenai servis kerana ia akan hadir dengan jaminan dan sokongan rasmi.

Volvo 3S Setia Alam sokong matlamat elektrifikasi 75 peratus menjelang 2025

SIME Darby Swedish Auto hari ini membuka satu lagi pusat pameran pengedar Volvo, iaitu yang kedua di Malaysia selepas Sime Darby Motors City, Ara Damansara.

Fasiliti terbaharu itu adalah bertaraf 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan terletak di tengah-tengah Setia Alam, Shah Alam.

Ia mempunyai keluasan 23,000 kaki persegi dan menawarkan bilik pameran serta piawaian perkhidmatan bertaraf global Volvo. Ia dijangka memberikan pelanggan pengalaman pembelian unik jenama itu.

“Volvo mensasarkan untuk pergi ke arah elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030 tetapi di Malaysia, kami mensasarkan 75 peratus kereta yang dijual di sini adalah EV menjelang 2035. Dan pusat 3S terbaharu ini bersedia sepenuhnya menyokong matlamat kami itu,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

Bilik pameran ini dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk empat ruang mengecas kenderaan di premis. Pengunjung juga akan dapat menikmati konsep berasaskan ruang tamu yang dihiasi dengan reka bentuk sentuhan Scandinavia yang melambangkan jenama Volvo. Malah, bekalan elektrik kemudahan ini tidak lama lagi akan dijana menggunakan kuasa solar.

Volvo Setia Alam terletak di No.3, Jalan Setia Alam Murni, U13/AH, Seksyen U13, 40170 Shah Alam, Selangor, dan beroperasi dari jam 8:30pg hingga 6:00ptg setiap hari.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi www.volvocars.com/my/find-a-dealer atau https://swedishauto.com.my/ atau menelefon 03-5870 1188 untuk maklumat lanjut.

Jualan Volvo cemerlang untuk 2022, XC40 dan C40 EV penyumbang kejayaan

VOLVO Car Malaysia meneruskan lagi pertumbuhan pesatnya di Malaysia, mengakhiri tahun 2022 dengan rekod jualan kesemua model kenderaan yang berjumlah 3,194 unit.

Pencapaian tersebut menandakan tahun ketujuh berturut-turut pertumbuhan jualan untuk syarikat automotif tersebut, dengan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya – sebuah rekod baharu untuk Volvo Car Malaysia.

Bulan Disember 2022 juga menandakan bulan yang paling berjaya untuk Volvo Car Malaysia dengan lebih daripada 395 unit yang berjaya dijual.

Pencapaian dalam pertumbuhan jualan ini dipacu oleh pelancaran dua buah kenderaan elektriknya yang dipasang secara tempatan (CKD), iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo C40 Recharge Pure Electric.

Dilancarkan pada bulan Mac 2022, Volvo XC40 Recharge Pure Electric merupakan sebuah kejayaan besar, dan syarikat tersebut masih lagi dalam proses penghantaran kereta kepada para pelanggan, dengan bank pesanan yang sihat sehingga tahun ini.

Volvo C40 Recharge Pure Electric juga menerima sambutan yang menggalakkan daripada para pembeli, dengan lebih daripada 100 kenderaan telah dipesan secara dalam talian hanya dalam tempoh 10 hari setelah pelancarannya pada 14 Disember 2022.

Kedua-dua model tersebut dipasang di kilang pembuatan Volvo di Shah Alam dan merupakan dua model kenderaan elektrik pemasangan tempatan pertama yang dijual di Malaysia.

Ia juga mengukuhkan lagi kedudukan Volvo Car Malaysia sebagai pemacu dalam pemasangan tempatan kenderaan-kenderaan elektrik di Malaysia.

Volvo Car Malaysia komited dalam cita-cita globalnya untuk mencapai kemampanan dan sedang dalam rangka untuk menjadi syarikat kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Volvo Car Malaysia juga merancang agar 75 peratus daripada jualannya datang daripada rangkaian Recharge Pure Electric menjelang tahun 2025.

Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, berkata: “Pelancaran dua kenderaan elektrik kami yang dipasang secara tempatan merupakan penggalak kepada pertumbuhan jualan kami.”

“Bahagian pasaran kenderaan elektrik kami semakin meningkat secara global, dan kami yakin bahawa perkara serupa akan berlaku di Malaysia,” tambahnya.

Pada peringkat global, jumlah keseluruhan jualan Volvo Cars pada tahun 2022 sebanyak 615,121 turut terkesan dengan cabaran merentasi rantaian bekalan dan sekatan pengeluaran akibat kekurangan komponen dan penutupan berkaitan Covid-19.

Namun begitu, permintaan untuk kenderaan-kenderaan Volvo kekal kukuh dengan jualan keseluruhan barisan Recharge dengan rangkaian kuasa hibrid Pure Electric dan Plug-in Hibrid mencecah 43.8 peratus pada Disember 2022, manakala kereta elektrik sepenuhnya pula menyumbang 20.1 peratus daripada jualan global untuk bulan yang sama.

Trak Lego Technic Volvo 6×6 ini boleh dipandu dan buang pasir macam yang sebenar

JIKA anda mempunyai banyak Lego di rumah dan perlukan sesuatu untuk mengangkutnya, Volvo 6×6 Technic ini mungkin paling sesuai untuk ‘kerja-kerja pembinaan plastik’ anda. Kit Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler terbaharu ini juga boleh dipandu menggunakan aplikasi Control+.

Kit trak bersendi ini terdiri dari 2,193 keping Lego dan bila disiapkan, ia berukuran 61cm panjang, 23cm lebar, dan 22cm tinggi.

Perincian pada model ini termasuklah enjin 6-silinder dan kotak gear 6-kelajuan yang berfungsi sepenuhnya. Bahagian kargo belakang boleh diangkat untuk menuang apa sahaja yang dibawa oleh anda.

Trak ini boleh dipandu ke depan, belakang, membelok, dan menukar gear melalui aplikasi. Operasinya adalah dari tiga motor dengan pengawal Bluetooth dan enam bateri AA.

Barisan model Lego Technic adalah khas untuk kit yang lebih kompleks, realistik dan mempunyai ciri-ciri lebih banyak, yang tidak terdapat pada set untuk kanak-kanak.

Sebagai contoh, Lego Technic sebelum ini pernah mengeluarkan Ferrari Daytona SP3 skala 1:8 dengan 3,778 keping, dan kit Formula 1 McLaren dengan 1,432 keping. Kedua-dua model ini mempunyai omboh enjin yang bergerak, differential, suspensi, dan roda yang boleh membelok.

Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler 6×6 ini boleh mula didapati secara online pada harga USD249.99.

Volvo C40 Recharge kini di Malaysia, SUV kompak paling selamat di dunia – RM288,888

PERKENALKAN Volvo C40 Recharge, baru dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Apa dia C40 ini? Baik, ianya EV kedua Volvo selepas XC40 Recharge Pure Electric, dengan gaya SUV coupe. Lebih sporti dari XC40 biasa?

Untuk angka yang perlu anda tahu, ianya mampu dipandu sejauh 530km setiap caj, dengan pecutan 0-100 dalam hanya 4.7 saat. Cukup laju sebenarnya untuk sebuah SUV.

Pakej janaan kuasa adalah serupa dengan XC40 EV, iaitu dwi-motor P8 AWD, dengan output 408hp dan 660Nm tork. Kuasa ini dibekalkan oleh bateri lithium-ion 78kWh yang terletak di lantai.

Ia boleh dicaj dengan AC Type 2 biasa dan DC fast-charging. Pengecasan menggunakan DC fast-charging akan mengambil masa 40 minit dari 0 hingga 80 peratus.

Untuk penampilan, selain dari bumbung belakang Coupe, Volvo C40 EV ini boleh dikenalpasti dari lampu belakang LED yang direka semula, dan spoiler yang diintegrasi pada bumbung. Selain dari ini, muka depannya dikira serupa dengan XC40.

Bahagian dalaman lebih mirip dengan XC40, bermakna C40 mendapat kemasan kulit, paparan instrumen digital dan paparan sesentuh infotainment menegak. Ciri lain termasuklah Android Automotive OS serta servis Google binaan dalam seperti Maps, Assistant dan Play Store.

Volvo C40 Recharge ini juga hadir dengan kamera 360-darjah, pengecaj tanpa-wayar, Apple CarPlay, sistem audio premium Harman Kardon, dan penapis udara PM2.5.

C40 Recharge baharu ini dijual pada harga RM288,888, termasuk jaminan 5-tahun untuk kereta dan 8-tahun untuk bateri. Ia juga dilindungi oleh Volvo On Call 5-tahun, Volvo Service Inclusive 5-tahun dan Digital Service 4-tahun.

5 ciri utama yang baharu untuk Volvo XC40 B5 Ultimate hibrid 2023

VOLVO Car Malaysia hari ini memperkenalkan naik taraf dan kemaskini bagi XC40 B5 Ultimate untuk tahun-model 2023.

XC40 B5 Ultimate merupakan model hibrid dengan enjin 4-silinder turbo berkuasa 263hp dan 390Nm tork. Ia dipakejkan bersama sistem hibrid dengan teknologi brek yang mampu menyimpan semula tenaga ke dalam bateri untuk sistem operasi lebih cekap.

Kuasa disalurkan ke roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dari Geartronic. Berikut adalah lima ciri utama yang baharu pada Volvo XC40 B5 Ultimate 2023:

Warna baharu Fjord Blue
Sistem audio premium Harman Kardon
Kamera 360-darjah
Sistem infotainment Android dengan integrasi servis Google
Penapis udara dengan pra-pembersihan PM2.5

Volvo XC40 hibrid 2023 ini dijual pada harga RM268,888 dan boleh didapati dengan warna Black Stone, Crystal White, Silver Dawn, Thunder Grey dan Fjord Blue yang disebut tadi. SUV kompak ini juga hadir dengan pakej servis percuma selama lima tahun jika anda mendaftar kenderaan sebelum 31 Disember ini.

“Di samping kita mengadaptasi cara hidup yang lebih mapan, kami faham yang masyarakat mungkin perlu membiasakan diri dengan konsep elektrifikasi,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Ini yang menjadikan kami memperkenalkan versi kemaskini untuk XC40 hibrid, sebagai satu langkah sesuai untuk pemandu yang mahukan cara hidup lebih mesra alam,” tambahnya.

Engear pernah memandu uji beberapa varian Volvo XC40 sebelum ini, anda boleh tonton di bawah untuk XC40 Recharge T5 R-Design.

Selain itu, kami juga pernah memandu uji Volvo XC40 Recharge EV yang merupakan model elektrik sepenuhnya. Anda boleh pandu kereta ini dengan satu pedal sahaja!

Belajar ‘life hack’ memandu dengan Volvo XC40 Recharge T5 – Pandu uji

BERAPA jauh boleh kita pergi dengan satu tangki petrol? Bergantung kepada jenis kenderaan; sebagai contoh Perodua Myvi dengan kapasiti 36 liter boleh pergi sejauh 468km jika kita memandu dengan kecekapan purata 13km/liter.

Bagi Volvo XC40 ini pula, walaupun tangkinya cuma 49 liter, jika dipandu pada kecekapan 13km/liter, anda bukan hanya boleh pandu sehingga 637km, malah lebih lagi. Anda mahu pandu sehingga 800 atau 900km pun tiada masalah.

Dengan syarat, anda rajin mengecaj bateri hibrid padanya. Life hack?

Sebenarnya ini bukanlah ‘life hack’, tetapi ini cara yang tepat memandu mana-mana model PHEV. Anda kena rajin mengecaj baterinya bila berpeluang agar anda dapat memaksimakan manfaat yang ditawarkan kenderaan sebegini.

Ya, hari ini kita melihat Volvo XC40 Recharge T5, iaitu salah satu model plug-in hibrid (PHEV) dalam pasaran.

Dengan XC40 ini, penulis dapat ‘menambah’ Range atau jarak pemanduan yang dipaparkan tanpa mengisi minyak. Pulang ke rumah, caj sahaja bateri. Maka anda dapat terus memandu lebih jauh tanpa menggunakan petrol.

Maka sebab inilah setangki petrol boleh pergi beratus-ratus kilometer. Malah jika anda memandu setiap hari tapi isi minyak sebulan sekali pun tiada masalah.

Dengan syarat anda pandu kurang 30km satu hala, caj bateri di pejabat, dan caj semula selepas pulang ke rumah.

Kenapa 30km? Volvo menyatakan XC40 T5 ini mempunyai jarak EV 45km dengan bateri penuh, tapi dari pengalaman penulis, hanya mampu mencapai kira-kira 32 hingga 35km. Dan ini normal, kita tak akan dapat jarak penuh seperti yang dinayatakan oleh pengeluar, hampir mustahil.

Secara keseluruhan, dengan isi petrol seperti biasa, caj penuh beberapa kali selama seminggu dan pemanduan bercampur perlahan dan laju, penulis dapat bacaan serendah 6.9 liter/100km bersamaan 14.5 km/liter.

Ini boleh dikatakan satu angka yang sangat baik jika mengambil kira beratnya yang hampir 1.9 tan, prestasi yang ditawarkan, serta tetap selesa setiap masa.

Untuk pengecasan pula, XC40 ini didatangkan dengan kabel pengecaj 3.7kW AC, dan jika dicaj dengan pengecaj berkapasiti 3.7kWh, ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk penuh.

Tetapi dengan soket domestik biasa (2.3kW), pengecasan akan mangambil masa sehingga lima jam.

Mentaliti berubah

Selain dari rajin mengecaj, mentaliti juga seakan-akan berubah apabila memandu Volvo XC40 Recharge T5 ini. Enjin 1.5-liter turbo petrol padanya menghasilkan 177hp dan 265Nm tork, kemudian dibantu oleh motor elektrik dengan output 80hp, dikira agak berkuasa.

Tapi entahlah, mentaliti penulis yang biasanya sukakan pemanduan sporti ‘rela’ berubah mengikut rentak XC40 ini.

Bukan sahaja kerana ianya sebuah hibrid maka kita sentiasa menjaga kaki kanan serta memantau kecekapan penggunaan tenaga, tetapi juga dek kerana sifat Volvo XC40 itu sendiri. Volvo moden secara umumnya sangat selesa bukan sahaja untuk dipandu, malah jadi penumpang.

Ibaratnya jika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, anda mahu pandu lebih perlahan dan mungkin ambil jalan lebih jauh.

Kemasan kulit, tema warna kabin, sistem penapis udara untuk penghawa dingin, bahan-bahan yang digunakan, semuanya menyumbang kepada rasa selesa dan nyaman dalam kereta. Ia bukanlah empuk seperti Rolls-Royce, tapi anda rasa tenang walaupun untuk perjalanan jauh.

Seperti dikatakan tadi, varian Recharge T5 ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dan motor elektrik, yang hanya menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Kotak gear ini cukup pantas tetapi masih lancar menyampaikan kuasa, memberikan pecutan yang terasa efisyen dan tiada pembaziran kuasa.

Suspensi boleh dikatakan lembut dan ke arah keselesaan, tetapi jika anda mahu, XC40 Recharge T5 ini masih boleh dipandu laju sambil mengukir selekoh. Yang penting input stereng anda kekal lancar dan tersusun.

Ibarat anda rancang segala pergerakan, tidak tergopoh-gopoh dan tiada perubahan ‘last minute’.

Gaya kemas Scandinavian

Walaupun Volvo XC40 ini sudah berada dalam pasaran beberapa tahun dan menerima beberapa varian termasuk EV, rupa ini masih tampak segar dan baharu. Ini kerana Volvo mengambil pendekatan rekaan ringkas dan minimalis, tidak terlalu ‘sibuk’ dan bercelaru yang hanya akan bertahan beberapa tahun.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri SUV ini berserta rim lima bilah bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero berprofil 235/50.

Rekaan dalam kabin juga menggunakan falsafah sama; ringkas dan minimalis. Tetapi mungkin terlalu minimalis hinggakan segala kawalan penting seperti pendingin hawa pun tersorok dalam skrin infotainment.

Ini sahaja rasanya antara satu benda yang penulis kurang berkenan mengenai XC40 ini dan Volvo lain dalam pasaran sekarang.

Tetapi skrin potret menegak ini sangatlah besar dan jelas, ia responsif, dan mudah difahami walaupun mempunyai banyak maklumat.

Oh ya, anda tidak dapat tombol gear kristal Orrefors seperti model-model PHEV 2.0-liter all-wheel drive. Sebaliknya, anda hanya dapat tombol gear bersegi balutan kulit, tetapi ia masih elektronik.

Ciri keselamatan penuh

Akhir sekali bab keselamatan, dan tak sah jika kita bercakap mengenai Volvo tanpa memetik aspek keselamatan.

Ciri keselamatan pasif seperti biasa adalah tujuh beg udara, Hill Start Assist, Hill Descent Control, EBD, dan lain-lain.

Tetapi paling menarik pada Volvo XC40 ini adalah ciri bantuan pemandu seperti Pilot Assist yang membantu anda mengawal stereng dan pedal minyak, terutamanya di lebuh raya. Dan lebih menakjubkan, ciri bantuan ini boleh berfungsi sehingga kelajuan 200km/j.

Ya betul, anda boleh lepaskan kaki dan tangan (untuk masa terhad) sehingga kelajuan itu, terpulang sama ada anda mahu percaya dengan sistem ini atau tidak. Penulis bukan menyuruh anda lakukan perkara merbahaya, tetapi cuma memberitahu kemampuan Pilot Assist.

Untuk lebih komen mendalam dan aksi pandu uji Volvo XC40 Recharge T5 ini, anda boleh tonton video di bawah:

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

Harga: RM245,818.90
Enjin: 1.5-liter 3-silinder petrol turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 177hp @ 5,800rpm
Tork: 265Nm @ 1,500rpm
Output motor elektrik: 160hp
Jarak pemanduan mod EV: 45km

Volvo XC40 Recharge Pure Electric versi 2023 dilancarkan – RM279k

VOLVO XC40 Recharge Pure Electric merupakan model EV pertama yang diperkenalkan oleh Volvo Car Malaysia pada Mac 2022. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 400 pesanan dicatatkan dalam tempoh dua bulan ia dilancarkan.

Semua unit yang dijual telah diserahkan kepada pembeli pada bulan Jun lalu. Apa yang menarik, ia juga merupakan model kereta Volvo pertama yang disediakan melalui tempahan atas talian.

Kini, Volvo Car Malaysia telah memperkenalkan XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023 (MY23) yang tampil dengan beberapa ciri baharu. Model yang dipasang secara tempatan ini dijual pada harga RM278,888 selepas pengecualian cukai jualan.

Untuk MY23, XC40 Recharge Pure Electric menampilkan reka bentuk bahagian depan dan rim yang dikemas kini. Ia juga boleh didapati dalam warna baharu Fjord Blue di samping pilihan warna yang sedia ada iaitu Black Stone, Crystal White, Sage Green, Silver Dawn dan Thunder Grey.

Di dalam, terdapat upholsteri tekstil Charcoal Connect Suede, tuil gear baharu berwarna Charcoal serta Remote Air Purifier PM2.5 pra-pembersihan. Turut dikemas kini adalah ciri Foot Movement Detection Module (FMDM).

Dari segi trenkuasa, pek bateri lithium-ion 78 kWh dikekalkan namun jarak pemanduannya kini meningkat dari 418 km kepada 438 km. Dengan dua buah motor elektrik, crossover ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

“Sambutan yang dicapai oleh XC40 Recharge Pure Electric telah menunjukkan bahawa Volvo sedang menuju ke arah yang positif, seiring dengan cita-cita elektrifikasi kami,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Sejak memperkenalkan agenda elektrik kami, kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan pelanggan. Dengan kemas kini yang terbaru bagi XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023, kami percaya para pelanggan Volvo akan menikmati peningkatan pengalaman pemanduan yang baru dan seterusnya memberi mereka kebebasan untuk bergerak secara selamat, mampan dan peribadi,” tambah beliau.

Pelanggan yang berminat boleh menempah sesi pandu uji melalui www.volvocars.com/my/test-drive-booking atau hubungi mana-mana pengedar sah Volvo.

Volvo EX90 2023 serba baharu dengan bonggol atas cermin seperti jentera rali – EV, 469hp, 482km

Volvo EX90 baru-baru ini telah membuat kemunculan global buat pertama kali di Stockholm, menandakan era baharu untuk pengeluar Sweden itu.

Ini kerana ia bukan sahaja mendapat bahasa rekaan baharu, tetapi juga platform serta powertrain serba baharu. Mari kita lihatkan satu-persatu.

SUV elektrik sepenuhnya ini membawakan segala yang anda boleh jangkakan mengenai sebuah Volvo – moden, menyerlah, terperinci, dan sedikit ‘edgy’.

Secara kasar ia memang nampak hampir serupa dengan XC90 hari ini, tetapi dibawahnya terdapat platform serba baharu. Dan aspek keselamatan sentiasa menjadi tunjang utama Volvo, maka EX90 ini dikatakan model paling selamat pernah mereka hasilkan.

Nampak bonggol atas cermin depan itu? Ia bukan corong udara seperti kereta rali, sebaliknya ia menempatkan segala pengesan, kamera dan radar. Dan semua sistem ini disokong oleh komputer berkelajuan tinggi dengan perisian sendiri.

Kamera pada unit ini mmeberikan pandangan 360 darjah sekeliling kereta malah mampu melihat objek kecil beberapa ratus meter di depan dan memberikan lebih masa kepada pemandu untuk bertindak balas.

Dengan saiznya yang besar membolehkan Volvo ‘menyumbat’ bateri 111kWh dengan dua motor elektrik. Kuasa yang mampu dibekalkan adalah sehingga 496hp dan 910Nm tork, serta jarak pemanduan sehingga 482km untuk setiap caj.

Ciri lain termasuklah fungsi Google yang terbina dalam seperti Google Maps dan Google Play, skrin potret tengah 14.5-inci, sambungan 5G, ciri penstriman muzik, dan sistem audi Bowers & Wilkins.

Penghantaran pertama dikatakan akan dibuat pada awal 2024.