Arkib Tag: Volvo Car Malaysia

Volvo XC40 Recharge Pure Electric versi 2023 dilancarkan – RM279k

VOLVO XC40 Recharge Pure Electric merupakan model EV pertama yang diperkenalkan oleh Volvo Car Malaysia pada Mac 2022. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 400 pesanan dicatatkan dalam tempoh dua bulan ia dilancarkan.

Semua unit yang dijual telah diserahkan kepada pembeli pada bulan Jun lalu. Apa yang menarik, ia juga merupakan model kereta Volvo pertama yang disediakan melalui tempahan atas talian.

Kini, Volvo Car Malaysia telah memperkenalkan XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023 (MY23) yang tampil dengan beberapa ciri baharu. Model yang dipasang secara tempatan ini dijual pada harga RM278,888 selepas pengecualian cukai jualan.

Untuk MY23, XC40 Recharge Pure Electric menampilkan reka bentuk bahagian depan dan rim yang dikemas kini. Ia juga boleh didapati dalam warna baharu Fjord Blue di samping pilihan warna yang sedia ada iaitu Black Stone, Crystal White, Sage Green, Silver Dawn dan Thunder Grey.

Di dalam, terdapat upholsteri tekstil Charcoal Connect Suede, tuil gear baharu berwarna Charcoal serta Remote Air Purifier PM2.5 pra-pembersihan. Turut dikemas kini adalah ciri Foot Movement Detection Module (FMDM).

Dari segi trenkuasa, pek bateri lithium-ion 78 kWh dikekalkan namun jarak pemanduannya kini meningkat dari 418 km kepada 438 km. Dengan dua buah motor elektrik, crossover ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

“Sambutan yang dicapai oleh XC40 Recharge Pure Electric telah menunjukkan bahawa Volvo sedang menuju ke arah yang positif, seiring dengan cita-cita elektrifikasi kami,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Sejak memperkenalkan agenda elektrik kami, kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan pelanggan. Dengan kemas kini yang terbaru bagi XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023, kami percaya para pelanggan Volvo akan menikmati peningkatan pengalaman pemanduan yang baru dan seterusnya memberi mereka kebebasan untuk bergerak secara selamat, mampan dan peribadi,” tambah beliau.

Pelanggan yang berminat boleh menempah sesi pandu uji melalui www.volvocars.com/my/test-drive-booking atau hubungi mana-mana pengedar sah Volvo.

Volvo buka fasiliti pembaikan badan dan cat pertama di Glenmarie dan Ara Damansara

VOLVO Car Malaysia baru-baru ini memperkenalkan fasiliti pembaikan badan dan cat pertamanya menerusi pelancaran pusat Volvo Certified Damage Repair (VCDR) di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.

Nick Connor, Ketua Volvo Cars APEC berkata, “Kami amat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini. Dari pelaksanaan strategi elektrifikasi global hingga menjual XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami melancarkan VCDR untuk merealisasikan visi kami dalam menawarkan standard tertinggi dalam perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan kami.”

Nick Connor

Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini yang melancarkan VCDR.

VCDR meningkatkan lagi pengalaman selepas jualan pelanggan dengan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan pembaikan badan dan cat yang cepat dan efisien. Pembaikan berkualiti dilakukan menggunakan peralatan canggih serta menerusi pematuhan ketat kepada standard Volvo.

“Kami mahu pelanggan kami membawa peluang sebuah kereta Volvo dengan ketenangan minda kerana mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

VCDR mengintegrasikan teknologi mampan dalam perkhidmatan pembaikan badan dan cat mereka, seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pelapasan zarah mikroskopik serta penggunaan tenaga.

Charles Frump

Selain itu, mesin-mesin juga menggunakan tenaga bateri untuk memanaskan sistem elektrik dan lebih 80 peratus daripada udara akan disedut menerusi sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau.

Penggunaan Volatile Organic Compounds (VOC) dalam cat pula telah digantikan dengan cat berasaskan air bagi mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

Dilengkapi dengan teknologi terkini dan juruteknik terlatih, Federal Auto Cars Glenmarie dan Sime Darby Motors Centralised Body and Paint Centre merupakan dua pusat servis Volvo pertama di Malaysia yang mematuhi piawaian VCDR. Dengan keluasan 11,133 kaki persegi, setiap fasiliti ini boleh menampung sehingga 1,260 buah kenderaan setahun.

Volvo lancar model S90 Recharge pertengahan April

VOLVO Car Malaysia bakal memperkenalkan kenderaan model S90 Recharge terbaharu dalam tempoh terdekat.

Tampil dengan reka bentuk lebih elegan, S90 Recharge turut didatangkan dengan keunikan teknologi elektrik hibrid yang dihasilkan demi kepuasan pemanduan.

Memetik kenyataan Volvo Car Malaysia, sesi pelancaran S90 Recharge dijangka diadakan pada 22 April ini.

“Pada acara ini, kami tidak hanya akan melancarkan Volvo S90 Recharge yang baharu tetapi juga bakal membawa anda melihat kesemua ciri-ciri terdapat pada model itu,” memetik kenyataan itu.

Sesi pelancaran Volvo S90 Recharge turut membawakan Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia Akhtar Sulaiman dan Pengurus Produk Volvo Car Malaysia Sharon Wong.

Orang ramai boleh mengikuti sesi pelancaran itu menerusi platform media sosial Facebook, Volvo Car Malaysia.