Arkib Tag: viral

Polis Turkiye jadikan kereta pengedar dadah sebagai kereta peronda

PERNAHKAH anda tertanya-tanya apa yang pihak berkuasa lakukan kepada kereta-kereta yang dirampas daripada penjenayah?

Kebiasaannya, kereta-kereta yang disita akan dilupuskan atau dilelong kepada orang awam. Bagaimanapun, pasukan polis Turkiye melihat ini sebagai satu peluang untuk meluaskan lagi flit kereta peronda mereka secara percuma.

Dalam satu hantaran di laman X, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata hasil daripada operasi yang dijalankan oleh Jabatan Polis Istanbul, sebanyak 23 buah kenderaan mewah pelbagai jenis telah berjaya dirampas.

“Berikutan keputusan pihak mahkamah, semua kenderaan ini telah diserahkan kepada polis kita,” katanya.

Kenderaan-kenderaan yang dirampas itu terdiri daripada pelbagai jenis dan jenama seperti Ferrari 458, Bentley Continental GT, Porsche Taycan, Range Rover Sport dan Mercedes-Benz GLS. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah US$3.5 juta (RM16.2 juta).

Menurut laporan, kesemua kereta mewah tersebut adalah milik Hakan Ayik, seorang pengedar dadah yang juga merupakan ketua geng motosikal Comanchero yang berpangkalan di Australia.

Ayik, yang dikatakan mempunyai kekayaan mencecah US$1 bilion (RM4.6 bilion), telah ditahan di Istanbul bulan lalu bersama 36 rakan subahatnya.

Jadi pemandu bas di Singapura boleh dapat gaji RM17k sebulan, bonus RM35k

SEBUAH syarikat bas di Singapura kini sedang mencari pemandu bas dengan gaji permulaan sebanyak S$5,000 (~RM17,513) sebulan berserta bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026).

Penawaran gaji yang tinggi itu merupakan sebahagian daripada strategi Westpoint Transit Pte Ltd bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi industri bas.

Menurut iklan di laman LinkedIn dan myCareersFuture, tiada syarat kewarganegaraan diletakkan bagi calon yang ingin memohon jawatan tersebut, bermakna ia juga terbuka kepada warganegara asing selain Singapura.

Calon mesti mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya satu tahun, lesen memandu Kelas 4 yang sah dan lesen vokasional. Di Singapura, pemegang lesen Kelas 4 dibenarkan untuk memandu kenderaan bermotor berat dan traktor melebihi 2,500 kg.

Menurut Shin Min Daily News, pemohon yang berjaya akan menerima bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026) selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Selain gaji yang tinggi, pemandu juga dapat menikmati faedah-faedah lain termasuk insurans kumpulan serta snek dan minuman percuma. Mereka juga boleh menyertai kelas senaman percuma bagi meningkatkan tahap kesihatan.

Untuk meningkatkan prestasi mereka semasa memandu, setiap pemandu perlu menjalani latihan pengendalian teknologi terkini pada bas.

Waktu bekerja adalah enam hari atau maksimum 44 jam seminggu, dengan cuti tahunan sebanyak tujuh hari. Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan sehingga 15 Januari 2024.

Westpoint Transit mensasarkan untuk mendapatkan seramai 10 pemandu dalam fasa pertama pengambilan, diikuti dengan 20 pemandu lagi dalam fasa kedua menjelang akhir tahun depan.

Beto Kusyairy kemalangan ketika sertai konvoi solidariti Palestin

PELAKON terkenal, Beto Kusyairy mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan ketika mengikuti konvoi motosikal Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) Asean ke Masjid Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku berhampiran Ladang Bikam, Sungkai yang turut melibatkan seorang lagi peserta konvoi berkenaan.

Lagenda rock tanah air, Datuk Awie yang mengetuai konvoi tersebut mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Insiden kemalangan itu tak berapa serius. Ada dua orang terlibat,” katanya ringkas kepada pemberita berhubung insiden tersebut.

Beliau ditemui selepas program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Isnin.

Terdahulu seramai lebih 300 peserta konvoi tiba di Masjid Negeri Perak kira-kira jam 7.30 malam sempena program berkenaan.

Biarpun hujan sepanjang perjalanan, konvoi berkenaan tetap diteruskan melibatkan 11 kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain.

Hadir sama menyambut ketibaan konvoi berkenaan, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin dan Imam Utama Masjid Negeri Perak, Ridzuan Zaidin.

Harimau belang mati dilanggar treler di Lebuhraya PLUS

Seekor harimau belang ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Ipoh pada Rabu.

Menurut Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim, maklumat kejadian itu diterima pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya harimau belang berusia antara lapan hingga 10 tahun itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kok Lim berkata, kes-kes harimau berkeliaran di kawasan hutan atau kampung yang dilaporkan baru-baru ini adalah disebabkan kekurangan sumber makanan.

Punca utama akibat wabak demam babi Afrika (ASF) yang menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.

“Harimau ini akan merayau hingga ke pinggir kampung mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dalam ladang sawit atau pinggir hutan,” katanya.

Kok Lim berkata, pemerhatian dijalankan Perhilitan Perak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan mendapati populasi babi hutan itu masih berkurangan.

“Potensi binatang buas ini untuk kembali semula ke hutan tebal kekal rendah dan menjadikan lembu milik penduduk sebagai diet baharu yang mudah diserang,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Kok Lim bersedih akan kehilangan seekor lagi harimau belang yang kini diancam kepupusan.

Demi bantu rakyat Palestin, Aeril Zafril nekad jual Lamborghini Aventador

DEMI membantu rakyat Palestin yang diserang regim Zionis ketika ini, pelakon Aeril Zafril berkata beliau nekad untuk menjual Lamborghini Aventador miliknya dan mendermakan sebahagian hasil jualan kepada Persatuan Cinta Gaza.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 35, berkata, dia memutuskan untuk menjual supercar itu kerana ia jarang digunakan.

Lamborghini Aventador yang bernilai RM2.27 juta itu dihadiahkan oleh isterinya Wawa Zainal kira-kira setahun lalu sebagai penghargaan selepas enam tahun menjalankan perniagaan.

“Selamat tinggal Lambo (Lamborghini). Jarang pakai kereta ini, jadi jual saja. Selamat tinggal kuning (panggilan untuk kereta). Insya-Allah sebahagian hasil jualan ini kita derma ke Palestin,” tulisnya.

Pada masa sama, Wawa turut memuat naik gambar kereta mewah itu di Instagram Story seolah-olah merestui tindakan suaminya itu.

“Akhirnya dia jual jugak. Wawa tak suka naik kereta ni rendah sangat. Pening kepala. So (Jadi) Aeril memang jarang gila bawa. Dua tahun bersama si kuning,” tulisnya.

Sementara itu, selain dari Persatuan Cinta Gaza, pasangan Aeril dan Wawa turut menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan milik, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nurjiwa Foundation.

Wanita lahir anak dalam lori di LPT

SEORANG wanita dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi selepas dibantu oleh seorang pegawai perubatan bersama dua jururawat di Kilometer 121 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, Pahang pada Rabu.

Berkongsi detik mencemaskan itu menerusi hantaran di Facebook, Dr. Aliff Zaki berkata ketika beliau menerima panggilan mengenai kes itu, keadaan bayi dan ibu tidak diketahui.

“Sepanjang persiapan di klinik, dua tiga kali senarai semak barang-barang kerana expect the worst. Dalam ambulans masing-masing berteka teki apakah keadaan ibu? Dah bersalin ke belum? Kalau dah, keadaan baby macam mana?,” katanya menerusi hantaran itu.

Setibanya di lokasi, beliau melihat dua pegawai polis trafik sedang menjaga lalu lintas manakala pintu lori pula terbuka luas.

“Nampak di rumput pakaian yang berlumuran darah dan najis. Bau tu memang tak disangkal kepekatannya. Tanya pasangan, “mana si ibu?”. “Ada dalam lori, di tempat duduk belakang” jawabnya.

“Memanjat lori bersaiz Optimus Prime, nampak dua susuk tubuh terbaring. Si ibu pejam mata, dan ada jasad kecil di celah kangkang. Hati dah berdebar. Aku tegur si ibu, “puan, boleh dengar saya cakap? Buka mata boleh”. Si ibu buka mata dan sahut “ya dengar”, hati lega.

“Mata beralih ke si anak pula, nampak tak bergerak. Alamak. Aku pegang kaki bayi, jentik tapak kaki, keluar suara kecil menangis. Hati kembali lega, peluh jantan tak jadi keluar,” katanya.

Menurut Dr. Aliff, beliau meneruskan prosedur memotong tali pusat dan membalut bayi dengan kain tuala sebelum membawanya keluar dari lori.

“Pesakit diambil alih oleh Sumaiyah. Mencuci darah, periksa tahap koyak dan membersihkan ibu setakat boleh. Kak Azlina tunggu kat luar untuk keperluan lain-lain,” tulisnya lagi.

Sejurus selepas itu, si ibu dan bayi dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Polis Kelantan cari ibu bapa kanak-kanak jatuh dari kereta semasa buat pusingan U

SEMALAM tular sebuah video yang menunjukkan seorang kanak-kanak terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U.

Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku di lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bahru kira-kira jam 5.42 petang. Berikut kejadian itu, polis kini dalam usaha mengesan ibu bapak kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas.

Tambah beliau lagi, pemandu kereta itu juga dipercayai tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

“Sehubungan itu, usaha mengesan kenderaan terlibat dan kanak-kanak tersebut masih dijalankan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu kereta terlibat dan perakam video diminta untuk tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-775 2355.

Video berdurasi 61 saat itu menunjukkan sebuah Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U apabila pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh.

Sebuah lagi Honda City berjaya mengelak kanak-kanak tersebut namun sebuah Perodua Ativa kemudiannya merempuh kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan dia jatuh tergolek.

Si kecil itu bangun kembali sebelum berlari ke arah sebuah motosikal yang dinaiki sebuah keluarga yang kemudiannya membawanya ke tepi jalan.

Kanak-kanak itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video rider Foodpanda jalan kaki bikin netizen sedih, motosikal disita JPJ

SEBUAH video memaparkan seorang penunggang p-hailing Foodpanda berjalan kaki sambil menggalas beg makanan di tepi jalan mengundang sedih para netizen.

Rider itu dipercayai terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya difahamkan disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Nilai, Negeri Sembilan.

Video berdurasi kira-kira 16 saat itu dimuat naik oleh pengguna Tiktok bernama @kikkycoco yang juga berada di lokasi operasi JPJ tersebut.

Menurut laporan Mstar yang dipetik oleh Funtasticko, motosikal itu disita atas kesalahan tiada cukai jalan. Siasatan ringkas kami juga mendapati cukai jalan.

Dari tinjauan kami di media sosial, terdapat tangkap layar komen dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mengatakan LKM telah tamat tempoh dan tiada insurans, maka JPJ menahan serta menyita (motosikal) kerana jika berlaku kemalangan melibatkan rider tersebut, akan menyusahkan dirinya dan pengguna jalan raya lain.

Ada juga yang berkongsi menunjukkan cukai jalan rider itu telah tamat tempoh sejak Februari lalu. Pengguna Tiktok dan Facebook pula meluahkan hasrat mereka untuk membantu rider tersebut.

JPJ akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

@kikyycoco hina sangat ke kerja grab/foodpanda ? kesian abang tu nak cari rezeki , semoga abang dipermudahkan segala urusan 🤲🏻💪🏻 #fypシ #xyzbca #jpjmalaysia #riderfoodpanda ♬ Royalty – Egzod & Maestro Chives & Neoni

Proton X90 berasap, adakah berpunca dari bateri hibrid?

KEMASKINI: Proton telah mengeluarkan kenyataan mengatakan unit yang terbakar itu kini sedang berada dalam simpanannya untuk tujuan siasatan. Syarikat automotif nasional itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang insiden letupan yang disebabkan oleh bateri sistem mild hybrid pada model berkenaan.

SAYA pasti anda sudah melihat satu rakaman video yang memaparkan sebuah Proton X90 berasap pada bahagian bonet.

Sehingga artikel ini ditulis, punca kejadian masih belum diketahui dan pihak Proton pastinya sedang bertungkus-lumus menyiasat kes ini sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Walau bagaimanapun, jika dilihat ruang komen, rata-rata netizen mengatakan kejadian itu berpunca dari bateri sistem hibrid yang terbakar atau meletup.

Jika melihat video yang tular itu, tekaan itu mungkin ada betulnya kerana bateri lithium-ion untuk sistem mild-hybrid X90 memang terletak di bawah lantai bonet.

Malah, panel tiang D yang telah cair juga boleh dianggap sebagai satu petanda yang kebakaran atau letupan berpunca dari situ.

Namun, izinkan saya memberi nasihat kepada netizen agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran terutamanya di kalangan pemilik X90. Tunggu sahaja penjelasan rasmi dari pihak Proton.

Untuk pengetahuan anda, X90 dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDi dan sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V.

Sistem itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

Pagani Zonda 760 LH Lewis Hamilton terlibat kemalangan lagi

PEMINAT tegar Lewis Hamilton pastinya tahu bahawa pelumba kesayangan mereka itu pernah memiliki sebuah Pagani Zonda 760 LH sekitar tahun 2014.

Walaupun dibina mengikut spesifikasi dan citarasanya, Hamilton pernah berkata bahawa dia tidak begitu menyukai cara pemanduan hypercar dengan enjin V12 itu. Akhirnya pada 2021, ia dijual kepada seorang pembeli dari United Kingdom pada harga sekitar 8.5 juta pound (RM50.2 juta).

Baru-baru ini, jentera itu terlibat dalam sebuah kemalangan yang dikatakan berlaku di sebuah terowong di Conwy, Wales. Gambar-gambar di lokasi kejadian dimuat naik oleh jurufoto Ethan Gale ke akaun Instagram miliknya iaitu @ethang.supercarphotographer.

Menurut komen Gale, pemilik Zonda 760 LH itu berjaya keluar dari keretanya tanpa sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, kereta tersebut mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian badan, patah gandar belakang dan cermin hadapannya juga pecah.

Tambah Gale lagi, punca sebenar kemalangan itu tidak diketahui namun pemiliknya dipercayai memecut laju ketika di dalam terowong tersebut hingga hilang kawalan.

Jika ini benar, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kereta itu memang berkuasa tinggi. Ia mempunyai 760 PS yang dibekalkan oleh enjin naturally aspirated 7.3-liter V12 yang dibina oleh Mercedes-AMG.

Bagaimanapun, tidak seperti varian 760 yang lain, versi ini dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan atas permintaan Hamilton sendiri.

Apa yang menarik, ini bukan kali pertama hypercar berwarna ungu itu terlibat dalam kemalangan. Sekitar November 2015, Hamilton sendiri pernah terbabas ketika memandunya di Monaco namun kerosakan yang dialami ketika itu lebih kecil berbanding insiden kali ini.

Betul ke harga Neta V dah jatuh kepada RM79,800?

BARU-baru ini tular gambar yang memaparkan harga jualan Neta V bermula dari RM79,800, iaitu RM20,000 lebih rendah berbanding harga yang diumumkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu.

Gambar berkenaan dimuat naik ke laman Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) dan dipercayai diambil di siri jelajah yang diadakan di sebuah pusat beli-belah.

Ini secara tidak langsung menimbulkan pertanyaan sama ada harga model itu telah jatuh secara mendadak dalam masa beberapa bulan selepas ia diperkenalkan.

Malah, ia juga tidak selaras dengan polisi kerajaan yang tidak membenarkan EV import dijual pada harga di bawah paras RM100,000.

Menurut laporan paultan.org, pengedar rasmi Neta di Malaysia iaitu Intro Synergy Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan harga tersebut.

Dalam kenyataan itu, Intro Synergy menjelaskan bahawa harga Neta V hanya akan diumumkan secara rasmi ketika majlis pelancarannya yang dijadualkan pada bulan hadapan.

“Pihak kami akan mematuhi segala dasar yang ditetapkan. Apa yang pasti pihak kami akan mengumumkan harga Neta V berserta tawaran pakej yang menarik kepada semua pelanggan,” katanya.

Neta V membuat kemunculan sulungnya di negara ini menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 yang diadakan pada Mei lalu. Harga (OTR tidak termasuk insurans) yang diumumkan ketika itu adalah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan menikmati rebat tunai RM10,000, menjadikan harganya RM89,800.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

ATV rekaan syarikat dari Finland ini mempunyai 18 tayar, boleh bergerak macam ulat gonggok

SEKALI imbas, benda ini kelihatan tidak ubah seperti ulat gonggok robot yang boleh ditunggang. Sebenarnya ia adalah sebuah kenderaan pelbagai bentuk muka bumi atau ‘All Terrain Vehicle’ (ATV) yang anda mungkin boleh beli pada masa hadapan.

Ya, ATV berkaki banyak ini sedang dibangunkan oleh 18 Wheels, sebuah syarikat yang berpengkalan di Helsinki, Finland. Ia mempunyai 18 buah tayar, setiap satu dilengkapi dengan suspensi dan dipacu oleh sebuah motor elektrik.

Rekaan unik ini membolehkan ATV ini mengatasi pelbagai jenis halangan (pokok tumbang, batu, tangga dan sebagainya) dengan ketinggian sehingga 20 cm. Malah menurut 18 Wheels, semua ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa merosakkan permukaan.

Seperti yang boleh dilihat dalam video di bawah, cara pergerakan tayar-tayarnya tidak ubah seperti tayar berantai kereta kebal. Ini sekali gus membolehkannya bergerak dengan lancar di atas permukaan yang kasar dan mencabar – sesuatu yang mungkin sukar untuk dilakukan oleh ATV konvensional.

Model prototaip ini dibina pada 2022 bagi tujuan ujian di peringkat awal. Menurut syarikat itu, mereka telah menghasilkan prototaip kedua yang mempunyai sistem suspensi yang lebih kompleks dan sistem stereng yang direka semula.

Sistem suspensi baharu yang menggunakan penyerap hentak jenis monoshock itu telah pun dipatenkan di Eropah. 18 Wheels mensasarkan untuk memasukkan ATV rekaannya itu dalam fasa produksi selepas melengkapkan ujian pada akhir musim panas tahun ini.

 

Lahirkan ramai zuriat, wanita terima hadiah Ferrari 488 GTB bernilai RM1.2 juta daripada suami

SEORANG lelaki sanggup menghabiskan wang sebanyak RM1.2 juta demi menghadiahkan sebuah Ferrari 488 GTB kepada isterinya sebagai tanda terima kasih kerana melahirkan ramai cahaya mata.

Sebuah video TikTok berdurasi 86 saat yang dimuat naik oleh akaun @louisgui_legend_oe menunjukkan supercar itu dihantar ke Sunway menggunakan sebuah treler yang dihiasi dengan belon pelbagai warna.

Kejutan yang dilakukan oleh si suami itu dilihat menarik perhatian orang ramai yang sedang makan di sebuah restoran berhampiran. Ada juga yang mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk merakam saat manis itu.

@louisgui_legend_oe hadiah untuk Bini😱😱 #supercar #ferrari ♬ original sound – Boss Lambo

Melihat ruangan komen, ada netizen yang turut berkongsi rasa gembira terhadap si suami yang sanggup berbelanja besar untuk si isteri. Tak kurang juga ada yang cemburu.

Paling menarik sekali, ada yang mengatakan bahawa pemberian hadian ini adalah satu ‘taktik’ licik si suami untuk membeli kereta idamannya.

Untuk makluman pembaca, Ferrari 488 GTB diperkenalkan pada awal 2015 sebagai pengganti kepada 458. Ia dikuasakan oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 670 hp dan 760 Nm.

Dari segi prestasi, ia bukan calang-calang kereta kerana 488 GTB hanya memerlukan tiga saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

Pada 2019, 488 GTB digantikan oleh F8 Tributo.

Usahawan ayam goreng reda Nissan GT-R kemalangan selepas 6 jam diambil dari kedai

DUGAAN menimpa seorang usahawan ayam goreng apabila hanya sempat merasai kenikmatan memiliki kereta idamannya selama kira-kira enam jam sebelum terlibat dalam kemalangan.

Dalam satu perkongsian di Instagram, Muhamad Muizzuddin Remle, yang merupakan pemilik francais Muiz Hot Chicken, mengesahkan beliau dan isterinya mengalami kemalangan di Kuantan, Pahang ketika dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor.

Melihat kepada gambar-gambar yang dikongsikan, Nissan GT-R yang baru dibeli itu remuk pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, Muizzuddin berkata beliau dan isteri tidak mengalami kecederaan serius.

“Allah uji saya dengan satu ujian kecil. Allah tarik seketika satu nikmat dunia untuk uji kesabaran dan kesyukuran saya. Saya tahu ini adalah harta dunia yang sementara. Harta yang paling bernilai adalah nyawa dan isteri saya,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya turut bersimpati dengan ujian yang melanda pemuda itu.

“Semoga dipermudahkan segala urusan. Maybe ada hikmah di sebalik semua ni,” kata leepaka.

Sementara itu, pemilik akaun ‘naimtonewow’ yang berpengalaman memandu GT-R berkuasa 1,000 hp selama lapan tahun turut sempat memberikan nasihat.

“GT-R memang liar sikit, kalau guna tayar runflat kena hati-hati tak boleh bawa lebih 80km/j waktu hujan. Dan kalau dah upgrade stage, gear 1 dan 2 tu memang akan spinning,” katanya.

Fiat Panda ‘glitch’ ini boleh buat anda garu kepala

Sekilas pandang, imej di atas nampak seperti permainan video yang sedang mengalami glitch tetapi percaya atau tidak apa yang anda lihat ini adalah sebuah kereta sebenar yang boleh dipandu!

Ya, walaupun kereta ini sangat rendah sehinggakan kelihatan seakan separuh badannya ‘tenggelam’, ia sebenarnya mempunyai enjin, roda dan ruang yang cukup untuk memuatkan seorang pemandu.

Kereta yang ‘tidak masuk akal’ ini dibina oleh saluran Youtube dari Itali iaitu Carmagheddon menggunakan sebuah Fiat Panda generasi pertama. Badannya dipotong dan disokong oleh casis yang dihasilkan secara kustom untuk mengekalkan kekukuhan struktur.

Oleh kerana tiada ruang untuk enjin asal, mereka terpaksa menggunakan enjin dua lejang daripada mesin pemotong rumput. Dari luar, kereta ini memang nampak seperti sedang terapung tetapi ia sebenarnya bergolek di atas tiga roda iaitu dua di belakang dan satu di depan.

Pemandu mengawal roda hadapan menggunakan bar hendal sambil meniarap di atas sekeping papan yang terletak kira-kira 3 cm dari permukaan jalan.

Dengan bar hendal, enjin dan tingkap yang gelap menghalang penglihatan, pemandu perlu bergantung kepada paparan langsung daripada kamera GoPro yang dipasang pada bumbung untuk melihat arah.

Melihat video yang dimuat naik oleh Carmagheddon, ternyata kereta ini langsung tidak selesa untuk dipandu namun sebagai peminat kereta, penulis menghargai idea dan kudrat mereka untuk menghasilkan sesuatu yang sangat unik seperti ini.

Rider Grab dakwa hilang pekerjaan selepas tular tegur warga Singapura

PENGHANTAR makanan yang tular kerana menegur dua warga Singapura mengisi minyak menggunakan tong, mendakwa kehilangan kerja selepas akaun Grab miliknya digantung sejak semalam.

Menerusi perkongsi video di laman Tiktok atas nama matkibot, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berkata, akaun aplikasi pintar telah digantung sejak pukul 6 petang semalam.

“Selepas video ini viral di media sosial, Grab telah suspended (gantung) pada pukul 6 petang hari ini (semalam), saya segera menghubungi perkhidmatan pelanggan Grab. Saya diberitahu akan dihubungi pihak atasan Grab dalam masa 24 jam.

“Selepas 20 minit saya telah dihubungi pihak Grab, saya diberitahu ada orang membuat laporan.

“Melaporkan saya mengeluarkan skru driver (pemutar skru) untuk melawan, CCTV (rakaman televisyen litar tertutup) ada, boleh la check (semak),” katanya.

Lelaki itu berkata, dia mengambil pendirian berani kerana benar selain mendakwa tidak bersalah selain periuk nasinya dihalang dua individu.

Katanya, dia tidak dapat mengambil tempahan semalam dan tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Saya dapat RM100, kena hantar RM50 untuk isi perut anak bini, begitulah kita di Malaysia, okey tak kalah pun, tak takut pun, akhirnya kita mati juga begitulah nasib rakyat Malaysia,” jelasnya.

Berang ditegur isi minyak ke dalam tong, dua warga Singapura tunjuk samseng

RASANYA tidak keterlaluan jika penulis katakan yang sesetengah warga Singapura cenderung mempamerkan perangai pelik ketika berada di Malaysia.

Terbaru, dua warga negara itu tidak semena-mena ‘naik hantu’ dengan seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Menurut laporan, kedua-dua lelaki itu bertindak berang setelah ditegur rider terbabit ketika cuba mengisi minyak ke dalam tong dipercayai hendak digunakan untuk aktiviti ‘go-kart’.

Menerusi video berdurasi satu minit 40 saat yang tular di media sosial, kedua-dua lelaki itu dilihat bertengkar dengan rider tersebut sambil ditenangkan oleh dua anggota polis bantuan yang berada di tempat kejadian.

Salah seorang daripada lelaki itu juga bertindak membuka bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum mengeluarkan sebatang pengunci stereng dipercayai cuba melakukan provokasi kepada rider berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di Iskander Puteri pada jam 8.37 malam, 16 Jun lalu.

Laporan polis telah dibuat pada hari yang sama oleh rider berusia 44 tahun itu.

Hantar pelajar ke sekolah guna helikopter, polis rujuk CAAM untuk tindakan lanjut

POLIS akan merujuk laporan berhubung sebuah helikopter yang mendarat di kawasan lapang Bukit Bandaraya Seksyen U11, Shah Alam kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu susulan tular di media massa.

Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang pelajar sekolah dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park, Shah Alam.

“Helikopter itu mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11, di sini, hari ini.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai Refer Other Agency (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan seorang penduduk telah berkongsi video yang memaparkan helikopter itu berlepas dari sebuah kawasan lapang berdekatan kawasan perumahan di Shah Alam itu.

Terdapat juga gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Konvoi BMW dari Singapura terima 16 saman halang lalu lintas di jambatan kedua Pulau Pinang

POLIS telah mengeluarkan sebanyak 16 saman terhadap sekumpulan pemandu kereta yang berkonvoi sehingga menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) pada 9 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, bertindak atas maklumat pihaknya telah mengesan kesemua pemandu berkenaan menginap di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

“Pegawai penyiasat telah ke hotel berkenaan semalam kira-kira jam 2.12 petang sebelum meminta kesemua pemandu yang terlibat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, seramai 12 pemandu telah hadir hari ini dan kita mengeluarkan 16 saman terhadap kesemua mereka.

“12 saman dikeluarkan atas kesalahan halang lalu lintas manakala empat lagi atas kesalahan nombor pendaftaran fancy,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Difahamkan, mereka yang disaman terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

Tindakan sekumpulan pemandu itu tular menerusi satu rakaman video TikTok berdurasi 2 minit 50 saat. Video itu memaparkan lebih daripada 10 buah kenderaan mewah dipandu secara beriringan dalam tiga barisan.

Untuk pengetahuan pembaca, JSAHMS atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua hanya mempunyai dua lorong, bermakna peserta konvoi tersebut bukan sahaja telah menghalang laluan malah turut menggunakan lorong kecemasan.

Abang ‘sado’ tunjal kepala wanita dihukum penjara 7 hari

AKIBAT menunjal kepala dan mengugut untuk mencederakan seorang pemandu beberapa hari yang lalu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut seorang pemandu wanita. Video insiden itu tular di media sosial.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highland pada 5 Jun lalu, 5.33 petang dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa yang sama atas kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah bagaimanapun menetap hukuman itu dijalankan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J Geetha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan.