Arkib Tag: VinCar Group

Proton e.MAS 7 debut di Singapura dengan harga bermula RM565k

Setelah lebih satu dekad, Proton akhirnya membuat kemunculan semula di pasaran negara jiran Singapura menerusi pelancaran model kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 yang dikendalikan oleh pengedar baharu VINCAR Group.

EV terlaris di Malaysia itu dilancarkan secara rasmi di acara The Car Expo 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, “pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura merupakan langkah penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa kami, serta komitmen untuk memperkenalkan EV berkualiti tinggi dan canggih ke rantau ini.

“Kami yakin bahawa e.MAS 7 dengan ciri-ciri menarik dan kesesuaiannya untuk persekitaran bandar akan mendapat sambutan positif daripada pemandu di Singapura yang semakin mengutamakan mobiliti elektrik,” jelasnya.

Kemunculan semula Proton di Singapura berlaku sejajar dengan peralihan pantas negara tersebut ke arah mobiliti hijau.

Ini kerana pasaran EV Singapura dilapor mengalami peningkatan konsisten daripada 12 peratus (2022) kepada 18 peratus pada tahun 2023, dengan sasaran sehingga 55 peratus menjelang tahun 2027.

Kerajaan Singapura juga menyasarkan penyediaan sehingga 12,000 titik pengecasan EV di 2,000 kawasan parkir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang tahun ini, dan 60,000 menjelang 2030.

Di Singapura, Proton e.MAS 7 ditawarkan dengan enam pilihan warna menarik termasuklah warna baharu Moyu Black.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, Proton e.MAS 7 untuk pasaran tersebut menyamai varian Prime yang dijual di Malaysia dengan rim bersaiz 18 inci (berbanding rim 19 inci untuk varian Premium).

Antara ciri lain termasuklah skrin sentuh 15.4 inci, sistem audio Flyme Auto, serta sistem pencahayaan LED penuh.

Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari S$173,988 (RM565,429).

Proton eMAS 7 akan dilancarkan di Singapura pada awal 2025

Proton eMAS 7, yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lalu, akan memasuki pasaran Singapura menerusi VinCar Group selaku pengedar rasmi.

Dalam satu hantaran di Facebook, VinCar Pte Ltd mengesahkan bahawa eMAS 7 akan dilancarkan di negara republik itu pada awal 2025.

Syarikat itu juga berkata ia akan membuka sebuah bilik pameran bertaraf flagship yang terletak di Leng Kee Automotive Belt.

Untuk pasaran Malaysia, eMAS 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Perbezaan utama antara Prime dan Premium terletak pada kapasiti bateri. Varian Prime didatangkan dengan bateri berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak pandu sejauh 345 km dengan satu cas penuh, manakala varian Premium dengan bateri 60.22 kWj boleh dipandu sejauh 410 km.

eMAS 7 menggunakan bateri LFP Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Harga jualan eMAS 7 bermula dari RM109,800 untuk Prime dan RM123,800 untuk Premium. Namun sempena pelancarannya, Proton menawarkan rebat RM4,000 untuk 3,000 pelanggan pertama.