Arkib Tag: video tular

Video potong garisan berkembar tular, anggota pandu Honda CR-V JPJ digantung tugas

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan telah menggantung tugas anggota yang didapati bersalah memotong di garisan berkembar berdasarkan video yang tular di media sosial.

Selain gantung tugas, anggota terbabit turut disaman, dikenakan larangan memandu kenderaan jabatan dan ditempatkan ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.

Langkah susulan turut diambil oleh pihak JPJ dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya.

Dalam video yang tular di media sosial, sebuah kenderaan JPJ jenis Honda CR-V didapati memotong kenderaan berat di selekoh yang mempunyai garisan berkembar di Simpang Pulai, Perak.

JPJ turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyeru orang awam untuk terus melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my.

Video tular, KPDN ambil tindakan terhadap stesen minyak jual RON95 kepada kenderaan asing

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak dipercayai menjual minyak RON95 kepada kenderaan bernombor asing susulan video berkaitan insiden itu tular di media sosial, lapor Sinar Harian.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan pada jam 5.30 petang, Ahad.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 5.11 petang, Jumaat, pemeriksaan dan semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati sebuah kereta Honda warna hitam disyaki bernombor pendaftaran asing tengah membuat pengisian minyak RON95,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nurul Syarina berkata, pemilik kenderaan berkenaan membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM100 serta telah membuat pengisian petrol RON95 sebanyak RM45.

“Pemilik kenderaan tersebut telah masuk semula ke dalam stesen minyak dan mengambil baki wang dari juruwang yang bertugas ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, pembantu pam yang bertugas dan juruwang di kaunter bayaran dilihat tidak memberikan sebarang teguran atau amaran kepada pemilik kenderaan berkenaan.

“Sehubungan itu, stesen minyak berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing seperti peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Pihak KPDN telah menyita resit bayaran, rakaman CCTV ketika kejadian dan dokumen-dokumen perniagaan bagi membantu siasatan kes.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku stesen minyak atau isu yang berkaitan supaya membuat aduan atau menyalurkan maklumat segera kepada pihak KPDN.

“Kami mohon agar perakam video itu tampil bagi membantu siasatan serta melengkapkan siasatan kes,” ujarnya.