Vespa meraikan ulang tahun ke-80 sejak paten asalnya difailkan pada 23 April 1946 dengan pengenalan siri khas Vespa 80th.
Sempena ulang tahun tersebut, para peminat bukan sahaja ditawarkan sebuah tetapi dua sekaligus iaitu Vespa Primavera 80th dan Vespa GTS 80th.
Kedua-duanya dihasilkan bagi memperingati permulaan jenama ini sebagai simbol gaya, kebebasan dan rekaan Itali.
Inspirasi Dari 1946
Sejak diperkenalkan, Vespa menjadi lambang gaya hidup dan kreativiti Itali, dengan lebih 160 model diperkenalkan sepanjang tempoh lapan dekad.
Reka bentuk asalnya yang ringkas dan anggun kekal menjadi asas kepada evolusi jenama ini.
Untuk edisi khas kali ini, Vespa meneroka semula elemen rekaan model pertama sambil menyesuaikan dengan teknologi dan kemasan moden daripada barisan model semasa.
Warna Verde Pastello
Kedua-dua model menampilkan warna eksklusif Verde Pastello, hijau lembut yang diinspirasikan daripada Vespa pertama tahun 1946.
Warna ini diambil daripada kod asal dalam arkib sejarah Vespa dan digunakan bagi mengimbau suasana era pasca perang ketika skuter ini mula diperkenalkan di Itali dan Eropah.
Reka Bentuk dan Perincian
Warna badan diseragamkan ke beberapa komponen seperti jalur pada perisai depan, pemegang belakang pembonceng, cermin sisi, unit kawalan serta sambungan suspensi hadapan.
Kemasan berkilat dengan butiran satin menghasilkan kontras yang lembut.
Model ini turut menggunakan beberapa elemen hijau gelap seperti jahitan pelana, pemijak kaki getah, penutup belakang dan pemegang dan memberikan rupa keseluruhan yang lebih seimbang.
Rekaan rim turut menarik berasaskan Vespa 98 (1946) dan dalam warna sama Verde Pastello dengan struktur tertutup yang diinspirasikan daripada rim logam asal.
Rim ini turut menampilkan tulisan “Est. 1946” dan kemasan potongan berlian pada bahagian sisi.
Perincian Eksklusif
Vespa Primavera 80th dilengkapi tambahan jeriji pendingin di sisi kiri, menyerupai ciri-ciri teknikal model awal.
Bahagian depan pula memaparkan logo Vespa klasik bersama plak peringatan 80th, manakala bahagian belakang menampilkan lencana khas bertulis “80 Years of Vespa Est. 1946”.
Sambutan di Rom
Vespa Primavera 80th
Vespa GTS 80th
