Bertempat di Japan Mobility Show, terdapat dua buah model konsep Hiace dipamerkan di reruai Toyota.
Hiace Concept ini secara asasnya merupakan sebuah Kayoibako bersaiz lebih besar dan boleh disesuaikan untuk pelbagai keperluan.
Persamaan yang ketara antara kedua-dua model tersebut ialah bukaan sisi yang cukup luas tanpa kehadiran tiang tengah yang memisahkan antara kabin pemandu dan kabin belakang.
Satu daripadanya merupakan van kargo untuk mengangkut barangan yang besar dan panjang.
Sebuah lagi konsep Hiace direka untuk mengangkut penumpang, di mana ia mempunyai bangku yang cukup panjang dan kerusi penumpang hadapan yang boleh dipusingkan keluar.
Ruang kokpit pula menempatkan skrin yang memanjang merangkumi keseluruhan dimensi papan pemuka.
Di bahagian luar pula terdapat skrin paparan yang cukup besar dengan grafik yang memberikan bayangan sebuah farmasi bergerak, menunjukkan tahap versatiliti Hiace Concept ini apabila ia direalisasikan kelak.
Berdasarkan rekaan kabin yang cukup luas dan bentuk yang radikal, ia memberikan petanda Hiace generasi baharu bakal ditawarkan dalam versi pacuan elektrik khusus untuk kegunaan di dalam bandar.
