Arkib Tag: v-twin

QJMotor SRV 250 AMT 2025 – cruiser dengan sistem klac auto, harga RM17,888

Sebuah lagi model motosikal dilancarkan oleh MForce Bike Holdings bersempena dengan pembukaan Best Shop Bukit Mertajam, iaitu QJMotor SRV 250 AMT.

Cruiser ini tampil unik kerana ia dilengkapi dengan sistem Automatic Manual Transmission, membolehkan penukaran gear tanpa operasi klac.

SRV 250 ini dikuasakan oleh nadi V-twin 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 27 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 8,000 rpm yang disalurkan kepada roda belakang menerusi pacuan rantai.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik (USD) di depan, diikuti penyerap hentak gegelung berkembar di belakang.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek yang terdiri daripada rotor tunggal 280 mm di depan, serta rotor 240 mm di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan.

Ia membawakan ciri seperti lampu depan dan belakang LED gaya retro, skrin paparan digital, slot pengecasan USB, serta tempat pemijak kaki yang lebar.

Selain itu, SRV 250 ini mempunyai tangki bahan api sebesar 13.5 liter, dengan tinggi pelana 700 mm yang sangat sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.

Terdapat dua pilihan warna iaitu Matt Black dan perak, dengan harga jualan bermula dari RM17,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Benda Napoleon Bob 250 rasmi di Malaysia, harga dari RM20,888

MForce Bike Holdings secara rasmi melancarkan model cruiser bersesaran 250 cc Benda Napoleon Bob 250 bersempena pembukaan Mforce Best Shop Chuan Keat Motor Trading Sdn Bhd di Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Benda Napoleon Bob 250 dikuasakan oleh enjin V-twin 249 cc sejukan cecair menghasilkan 25 hp @ 9,000 rpm dan 25 Nm @ 5,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik boleh laras untuk roda depan, diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Biarpun tampil dengan imej klasik, Napoleon Bob 250 tetap dilengkapi dengan ciri moden, seperti contoh lampu depan dan belakang LED, skrin paparan LCD, serta sistem pancitan bahan api elektronik.

Aspek keselamatan dibantu dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) serta brek anti-kunci (ABS) dua saluran.

Kapasiti tangki adalah sebesar 9.5 liter, sementara tinggi pelana pula 750 mm.

Benda Napoleon Bob 250 ditawarkan dengan empat pilihan warna, iaitu hitam, perak, hijau dan jingga.

Harga jualan bermula dari RM20,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, lengkap dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan.