Arkib Tag: UMWT

Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 dikemas kini, harga kekal tidak berubah

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan kemas kini penawaran bagi model SUV Corolla Cross HEV GR Sport 2026.

Model ini sudah tersedia di semua pusat pameran sah Toyota di seluruh negara, dengan harga jualan kekal RM148,800.

 

Perubahan kosmetik

Untuk model tahun 2026, Corolla Cross HEV GR Sport mendapat perubahan bersifat kosmetik pada bahagian berikut:

  • jeriji hadapan untuk aliran udara yang lebih baik
  • skid plate depan dan belakang
  • perumah lampu kabus

Ciri luaran lain masih lagi kekal tidak berubah, seperti:

  • lampu utama Bi-LED, lampu DRL dan lampu membelok sekuential
  • perumah lampu belakang jernih
  • rel bumbung
  • rim aloi GR Sport 18 inci

Kelengkapan ruang kabin juga masih lagi dikekalkan seperti:

  • skrin paparan digital 12.3 inci
  • skrin Display Audio 10.1 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • butang pandu mula dengan logo GR
  • tempat duduk pemandu larasan elektrik 8-tahap

 

Enjin hibrid

Toyota Corolla Cross HEV GR Sport dikuasakan oleh enjin hibrid 1.8 liter VVT-i.

Enjin 98 PS/142 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 71 hp/163 Nm, pek bateri NiMH 6.5 Amr dan transmisi E-CVT.

 

Keselamatan

Secara standard, SUV ini hadir dengan tujuh beg udara, ABS, VSC, TRC, serta ciri-ciri berikut:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Lorong (LDA)
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
  • Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • kamera 360 darjah

 

Kelengkapan istimewa GR Sport

Akhir sekali, terdapat talaan khas pada ECU roda stereng serta suspensi untuk pengendalian yang lebih sporti.

UMW Toyota Motor catat jualan 4,700 unit sepanjang Januari 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) memulakan tahun 2026 dengan permulaan yang stabil, di mana sebanyak 4,700 unit kenderaan telah terjual sepanjang bulan Januari. 

Pencapaian ini menunjukkan penerimaan pasaran yang konsisten dan disokong oleh rangkaian produk yang meluas dalam pasaran Malaysia.

Berpandukan pendekatan “Best in Town”, UMWT komited untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang boleh dipercayai disokong oleh produk berkualiti dan rangkaian sokongan di seluruh negara.

 

Perluas tawaran mobiliti lebih menyeluruh

Di bawah pendekatan Multipathway, UMW Toyota Motor berterusan memperluas pilihan mobiliti tanpa meninggalkan pelanggan.

Antara yang telah dilancarkan setakat ini termasuklah jentera prestasi tinggi GR Corolla dengan transmisi automatik, serta Vellfire HEV.

Tidak ketinggalan, sedan segmen B Vios HEV sebagai akses kepada elektrifikasi yang lebih mampu milik.

UMWT turut melabur dalam kemudahan pemasangan bateri hibrid di kilang Bukit Raja, dengan kapasiti sehingga 30,000 unit setahun.

Fasiliti ini mampu mengukuhkan ketahanan bekalan dan menyokong penggunaan kenderaan hibrid dengan lebih meluas di Malaysia.

 

Promosi sempena CNY

Sempena Tahun Baru Cina, UMWT menawarkan promosi perayaan untuk model terpilih, dengan manfaat sehingga RM9,500 dan ansuran bulanan serendah RM658.

UMWT turut memperkenalkan beberapa program khas untuk meningkatkan keyakinan pemilikan, seperti:

  • Toyota Extend – perlindungan jaminan lanjutan melebihi tempoh standard untuk model terpilih
  • Toyota Service Savers – pilihan pakej penyelenggaraan serendah RM33/bulan untuk tempoh 5-tahun

UMW Toyota catat jualan lebih 100 ribu untuk empat tahun berturut-turut

UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai tahun 2025 dengan merekodkan jualan 14,284 unit sepanjang bulan Disember.

Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahunannya mencapai 102,417 unit, sekaligus menandakan empat tahun berturut-turut Toyota melepasi paras 100,000 unit.

Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu‑satunya di Malaysia yang berjaya melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut — satu rekod yang belum pernah dicapai mana‑mana jenama bukan nasional sebelum ini.

Biarpun pasaran automotif tempatan semakin sengit dengan kemasukan jenama baharu dan peralihan ke arah mobiliti elektrik, prestasi cemerlang UMWT ini mencerminkan kepercayaan serta kesetiaan pelanggan Malaysia terhadap jenama Toyota.

Kejayaan ini diperkukuh dengan pendekatan berbilang jalan (Multi-Pathway) yang mengiktiraf keperluan mobiliti berbeza berdasarkan komuniti, corak penggunaan, dan tahap kesediaan infrastruktur.

Dengan gabungan enjin pembakaran dalaman cekap, teknologi hibrid, serta mobiliti masa depan, Toyota komited terhadap misi “Mobility for All” — memastikan kemajuan yang inklusif mengikut realiti pasaran tempatan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut merupakan pencapaian bermakna dan satu penghargaan kepada kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Toyota. Dalam pasaran yang sentiasa berubah, prestasi ini membuktikan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan, serta pemahaman mendalam tentang cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka.

“Berpandukan falsafah ‘Best in Town’ dan prinsip ‘Customer First’, kami kekal komited menyediakan penyelesaian mobiliti yang praktikal, inklusif dan boleh diharap — bukan sahaja hari ini, tetapi untuk generasi seterusnya.”

Dalam pada itu, UMWT telah memperkenalkan Toyota Extend Plan bermula 1 Disember 2025 membolehkan pelanggan yang layak melanjutkan tempoh jaminan asal lima-tahun kepada lapan-tahun, bergantung kepada model (Vios, Yaris, Corolla dan Corolla Cross) serta pakej yang dipilih (Asas atau Premium).

 

UMWT umum peraduan Toyota Dream Car Art kembali untuk edisi ke-19

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan peraduan Toyota Dream Car Art (DCAC) kembali untuk edisi ke-19.

Peraduan edisi ke-19 ini akan berlangsung di Malaysia bermula 1 Oktober 2025 hingga 8 Februari 2026 bertemakan “Your Dream Car”, dan terbuka kepada tiga kategori umur seperti berikut:

  • Kumpulan 1: 7 tahun dan ke bawah
  • Kumpulan 2: 8-11 tahun
  • Kumpulan 3: 12-15 tahun

Lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan kategori umur, dan daripada situ sembilan pemenang (tiga bagi setiap kategori) akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke peringkat dunia di Jepun.

Senarai pemenang peringkat nasional akan diumumkan pada bulan April 2026.

Untuk pertandingan tahun ini, peserta digalakkan untuk mengirim hasil lukisan tangan dan digital tanpa mengira bahan, media dan teknik menggunakan format kertas A3 atau format digital JPG atau PNG.

Sejak tahun 2004, Toyota Dream Car Art Contest telah menjadi pentas bagi hampir 9.4 juta kanak-kanak di seluruh dunia untuk berkongsi idea dan imaginasi yang mungkin dapat mengubah kenderaan masa depan.

Dalam edisi terdahulu, pertandingan ini telah menarik sejumlah 665,326 penyertaan dari 90 buah negara yang menonjolkan jangkauan globalnya dan keupayaan untuk memberi insprasi kepada pemikiran kreatif merentas sempadan.

Info lanjut boleh didapati menerusi pautan:
https://www.toyota.com.my/en/discover-toyota/toyota-dream-car-art-contest.html

UMW Toyota jalin kerjasama strategik dengan MOT, serah lima kenderaan elektrifikasi untuk penilaian

UMW Toyota Motor (UMWT) menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam usaha untuk memacu inisiatif mobiliti hijau.

Sebagai tanda sokongan padu, UMWT telah menyerahkan lima kenderaan elektrifikasi terdiri daripada kenderaan hibrid elektrik (HEV) seperti Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross, serta dua kenderaan elektrik bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

Menerusi inisiatif ini, MOT diberikan peluang untuk menilai keupayaan sebenar kenderaan tersebut dari segi kesesuaian, prestasi dan manfaat untuk penggunaan harian.

Selain daripada itu, UWMT juga menyediakan ruang pembelajaran langsung yang menyeluruh kepada pegawai MOT dari kesiapsiagaan infrastruktur, pengalaman pengguna hinggalah kepada kecekapan operasi merentasi pelbagai platform.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor berkata, “perjalanan Malaysia menuju pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bukanlah sekadar visi kosong, tetapi satu misi bersama yang menuntut kerjasama erat dari segenap sektor.”

“Melalui pendekatan “Multipathway Toyota”, elektrifikasi tidak hanya dilihat dari sudut inovasi, tetapi turut disesuaikan secara inklusif dan pragmatik mengikut keperluan, kesediaan dan kemampuan pelbagai segmen masyarakat.

“Dengan pendekatan ini, setiap lapisan masyarakat diberi peluang untuk melangkah bersama menuju masa depan yang lebih hijau dan lestari – tiada yang ketinggalan, tiada yang terpinggir,” ujarnya lagi.

Meskipun elektrifikasi penuh kekal menjadi aspirasi jangka panjang negara, teknologi hibrid muncul sebagai penyelesaian yang berkesan untuk meminimumkan pelepasan karbon tanpa memerlukan perubahan drastik terhadap infrastruktur sedia ada mahupun tabiat pengguna.

Menurut Mohd Shamsor Mohd Zain selaku Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, “teknologi hibrid terus menjadi nadi utama dalam pelan elektrifikasi Toyota, khususnya dalam konteks pasaran seperti Malaysia.

“Keupayaannya untuk mengurangkan pelepasan karbon serta merta tanpa memerlukan perubahan besar terhadap ekosistem sokongan menjadikannya pilihan paling ideal.

“Ia bukan sekadar menawarkan penyelesaian praktikal, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sambil membuka jalan yang lebih lancar dan progresif menuju masa depan mobiliti elektrik sepenuhnya.”

Aplikasi Toyota MY App dikemas kini untuk lebih mudah digunakan

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pelancaran aplikasi Toyota MY yang ditambah baik. Boleh digunakan sama ada pada platform iOS atau Android, aplikasi telefon pintar itu menggabungkan Toyota Drive dan Toyota 24Seven menjadi satu aplikasi mudah.

Ia direka untuk solusi pemilikan kenderaan yang memudahkan pengguna dan sesuai untuk menguruskan fungsi-fungsi kenderaan.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, “Toyota mengampilkasikan falsafah ‘kaizen’ yang bermaksud tambah baik secara berterusan. Ianya bukan diamalkan pada reka bentuk dan pembuatan kenderaan, tetapi juga kepada pengalaman pelanggan kami.”

Pemilik Toyota kini boleh mengakses segala maklumat kenderaan, membuat temu janji servis, melihat kutipan mata Loyal-T, memohon bantuan 24Seven, mencari pusat servis berdekatan, dan membuat pelbagai fungsi dengan mudah pada aplikasi baharu ini.

Aplikasi ini juga akan menjadi platform pusat untuk pelbagai berita dan promosi terbaharu dari Toyota.

Dengan pengenalan aplikasi baharu ini, kedua-dua aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven akan ditamatkan. Anda boleh muat turun aplikasi baharu Toyota MY App di pautan-pautan di bawah:

Peranti iOS: https://apps.apple.com/my/app/toyota-drive/id1182883397
Peranti Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=umwt.com.toyotadrive.android

Toyota jual 6,767 kereta untuk April 2023, YTD meningkat sembilan peratus

UMW Toyota Motor (UMWT) tekad mencapai matlamat jangka masa panjang mereka dengan catatan peningkatan jualan sebanyak sembilan peratus bagi YTD April 2023 (sepanjang empat bulan pertama) berbanding tempoh sama tahun lepas.

Walaubagaimanapun jualan ini merupakan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding April 2022.

Sejumlah 6,681 kenderaan Toyota dan 86 Lexus dijual, menjadikan jumlah keseluruhan 6,767 kenderaan bagi UMWT untuk April. Syarikat itu yakin mampu mencapai sasaran pertengahan tahun walaupun beroperasi dengan tempoh lebih singkat untuk April disebaban musim perayaan.

“Kami yakin dengan kebolehan mencapai pertumbuhan kukuh berbanding tahun sebelumnya,” kata Datuk Ravindran K, Presiden UMWT.

“Kita telah melihat maklum balas meyakinkan terhadap model-model baharu yang dilancarkan pada suku pertama 2023, khasnya Toyota Vios serba baharu. Dan kami jangkakan ia menyumbang kepada pertumbuhan sepanjang tahun.”

Datuk Ravindran K turut menekankan bab standard keselamatan dan kualiti Vios serba baharu. “Kami ingin yakinkan bahawa kami mematuhi semua piawaian keselamatan dan tiada kompromi akan kualiti kenderaan itu.”

Jualan automotif kumpulan UMW meningkat, percepat hantar kenderaan

PENJUALAN automotif Kumpulan UMW meningkat kepada 22,193 unit pada September berbanding 9,512 unit ketika bulan Ogos.

Senario itu dipercayai berikutan pembukaan semula operasi secara beransur-ansur serta pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan.

Susulan itu, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua terus meningkatkan jumlah pengeluaran untuk mempercepat penghantaran pesanan.

Jualan UMWT meningkat tiga kali ganda kepada 8,033 unit pada bulan September daripada 2,524 unit yang didaftarkan pada Ogos lalu.

Ini menjadikan jumlah penjualan daripada Januari sehingga bulan September 2021 kepada 46,118 unit.

Jumlah itu 23.5% lebih tinggi berbanding 37,339 unit dicatatkan pada tempoh sama tahun 2020.

Toyota Vios terus menjadi model terlaris di pasaran bagi September 2021. Model kedua terlaris adalah Hilux dan diikuti Yaris.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan 14,160 unit pada bulan September iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 6,988 unit bagi Ogos 2021.

Perodua akan meneruskan usaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan 119,093 unit, 17.9% lebih rendah daripada 145,012 unit pada tempoh sama tahun 2020.

Perodua turut memaklumkan berjaya mendapatkan cip semikonduktor mencukupi untuk memastikan tiada gangguan sepanjang proses pengeluaran kenderaan tahun ini.

Serius hasilkan HEV, UMWT tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia

SYARIKAT UMW Toyota Motor (UMWT) berada dalam landasan tepat bagi menghasilkan kenderaan hibrid secara meluas di negara ini.

Usaha ini membuktikan kesediaan UMWT ke arah mewujudkan persekitaran bersih dan selamat.

Justeru, bagi merealisasikan usaha ini, Toyota Motor Corp menetapkan sasaran penghasilan kenderaan neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Akio Takeyama berkata, Malaysia dilihat sebagai prospek sesuai bagi penggunaan kenderaan mesra alam.

“Arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

“Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan.

“Ini merupakan waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini.

“Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota,” katanya.

Antara matlamat Toyota adalah mengurangkan emisi karbon dan menangani kesan pembebasan CO2.

Ia meliputi proses kitaran hayat pengilangan, pengangkutan, operasi, bahan api atau pengecasan serta kitar semula pelupusan kenderaan.

HEV kenderaan generasi baharu

UMWT kini sedang giat menghasilkan kenderaan hibrid elektrik (HEV) generasi baharu.

Untuk itu, syarikat berkenaan akan menambah pelaburan lebih RM270 juta meliputi operasi pengeluaran dan fasiliti sedia ada.

Sebelum ini, UMWT telah membuat pelaburan bernilai RM2 bilion untuk pembinaan kilangnya di Bukit Raja, Selangor.

Pembinaan kilang ini menjadikan usaha UMWT berada pada landasan terbaik dalam penghasilan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ketika ini, sebanyak 17 juta HEV telah terjual seluruh dunia.

UMWT jual 9,280 unit kenderaan pada April, Corolla Cross dan Harrier terlaris

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan momentum positif selepas berjaya memasarkan lebih 9,280 unit bagi Toyota dan Lexus pada April.

Perkembangan itu dipercayai susulan daripada lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan berakhir pada 30 Jun depan.

Menerusi data UMWT, model Corolla Cross dan Harrier antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Ia menyaksikan model import sepenuhnya (CBU) bagi Corolla Cross dan Harrier telah habis terjual.

Sementara itu, UMWT mengakui sistem pembelian secara digital turut memudahkan urusan pengguna menempah kenderaan.

“Kami (UMWT) lihat terdapat kecenderungan daripada pelanggan menggunakan platform digital bagi menempah kenderaan mereka sukai.

“Kami akan meneruskan usaha jitu dalam memantapkan platform digital untuk berurusan dengan para pelanggan di masa depan,” kata presidennya, Ravindran K.

Pelanggan berminat mendapatkan kenderaan keluaran UMWT boleh segera membuat tempahan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, para pelanggan bakal menikmati ganjaran berganda jika mendapatkan mana-mana kenderaan keluaran syarikat itu.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh menikmati skim pembiayaan EZ Beli yang menawarkan ansuran bulanan rendah.