Arkib Tag: ulang tahun

Honda Stepwgn sambut ulang tahun yang ke-30 di Jepun dengan edisi istimewa

Tahukah anda, generasi pertama minivan Honda Stepwgn diperkenalkan secara rasmi pada Mei 1996 dengan reka bentuk yang ringkas bertujuan untuk memaksimumkan praktikaliti.

Setelah lima generasi, generasi keenam Stepwgn akhirnya kembali mengguna pakai konfigurasi rekaan dua-kotak dengan rekaan yang lebih minimalis dan ruang kabin paling luas.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun Stepwgn yang ke-30 pada tahun depan, Honda Jepun mengumumkan model Stepwgn edisi istimewa yang boleh didapati dalam dua varian, iaitu AIR EX dan SPADA.

Kedua-dua varian AIR EX dan SPADA mendapat ciri seperti:

  • sistem kamera pelbagai pandangan
  • sistem sokongan keluar
  • lampu kabin LED
  • ciri pemanas tempat duduk baris kedua
  • bantuan suluhan adaptif
  • tag ulang tahun ke-30 Stepwgn
  • emblem ulang tahun ke-30

Perbezaan antara kedua-dua varian adalah seperti berikut:

 

AIR EX

  • upholsteri fabrik dengan warna lebih cerah
  • pilihan warna Fjord Mist Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Seabed Blue Pearl
  • harga dari 4,098,600 yen (RM106,678)

 

SPADA

  • upholsteri kulit
  • pilihan warna Twilight Mist Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Premium Crystal Garnet Metallic
  • harga dari 4,159,100 yen (RM108,253)

Dari segi kuasa, Honda Stepwgn 2026 ini dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada enjin 2.0L i-VTEC (143 hp/175 Nm) dipadankan dengan dua motor elektrik (181 hp/315 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 212 hp dan 315 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT dan sistem pacuan roda depan.

Untuk info, Honda Stepwgn e:HEV sudah pun memasuki pasaran negara jiran Thailand dengan harga anggaran bermula dari 1.7 juta Baht (RM222 ribu).

Sekumpulan perantis hasilkan model konsep GT50 sempena ulang tahun ke-50 enjin 5-silinder Audi

Tahukah anda, enjin lima silinder pertama buatan Audi debut pada tahun 1976 menerusi model Audi 100.

Bersempena dengan ulang tahun yang ke-50 dijangka pada tahun depan, sekumpulan perantis Audi dari Neckarsulm, Jerman menghasilkan sebuah projek yang cukup istimewa dinamakan sebagai Audi GT50.

Projek ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan di bawah pengawasan tenaga pengajar dan turut dipantau sendiri oleh Timo Engler selaku Ketua unit Teknologi Automotif, Logistik dan Latihan Pengurusan Perniagaan.

Sekali imbas, Audi GT50 banyak mengambil inspirasi rekaan daripada sejarah warisan perlumbaan Audi seperti Audi 90 Quattro IMSA GTO.

Disebalik imej yang futuristik itu, Audi GT50 sebenarnya bermula sebagai sebuah sedan RS3 sebelum keseluruhan panel luaran dibuka untuk memberikan laluan kepada panel badan yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian kaca ringan.

Bahagian belakang pula menampilkan struktur diffuser dan spoiler yang besar untuk tujuan aerodinamik.

Bumbung pula diambil daripada sebuah Audi 80 yang sebenar.

Untuk ruang kabin, mereka telah membuang segala kelengkapan RS3 yang asal dan menggantikannya dengan kelengkapan perlumbaan yang sebenar.

Malah, mereka turut menghasilkan sendiri struktur bar oleng yang memakan masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

Dengan bantuan enjin lima silinder 2.5 liter TFSI, jentera ini berupaya menjana kuasa setinggi 394 hp dan 500 Nm.

Selain daripada Audi GT50, kumpulan perantis dari fasiliti Audi Neckarsulm pernah menghasilkan model konsep yang cukup unik seperti Audi RS6 GTO dan NSU Prinz.

Honda Malaysia umum dua pemenang pertama kempen ulangtahun ke-25

Honda Malaysia mengumumkan dua orang pemenang bertuah pertama bagi kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25.

Untuk pusingan pertama, Honda Malaysia menyampaikan dua hadiah berupa sebuah City Hatchback RS dan WR-V RS.

Pemenang bertuah City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak menyertai peraduan tersebut setelah membeli sebuah Civic RS.

Jelasnya, memiliki sebuah Civic telah menjadi impiannya sekian lama disebabkan penampilan dan prestasi yang sejajar dengan DNA Civic.

“Saya teruja menerima kereta baharu saya, namun memenangi sebuah City Hatchback RS menjadikannya lebih istimewa.

“Saya tidak sabar untuk memandu kedua-dua Honda atas jalan dan menikmati pengalaman pemanduan yang berbeza,” ujarnya lagi.

Pemenang Honda WR-V RS, Avis Ou Xiao Qian dari Sarawak pula diwakili oleh suaminya, Liew Jeng Siong untuk menerima hadiah tersebut.

Beliau yang membeli sebuah CR-V sebagai kereta keluarga menjelaskan, “saya mahu sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap, seperti keselesaan, luas dan rekaan elegan.

“Saat saya melihat CR-V, saya tahu ia adalah kereta untuk saya dan keluarga saya.

City Hatchback RS dan WR-V RS merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan sepanjang kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun Honda Malaysia yang ke-25.

 

Jam tangan Seiko tema Initial D kini sedia untuk disambar – hanya 1,995 unit sahaja!

Pengeluar jam tangan Seiko mengumumkan penjualan jam tangan edisi terhad “Initial D x Seiko Collaboration Watch” bersempena sambutan ulang tahun animasi perlumbaan terkenal yang ke-30.

Difahamkan, jam tangan tersebut akan dihasilkan sebanyak 1,995 unit sahaja sebagai meraikan tahun pertama komik tersebut diterbitkan.

Jam tangan chronograph itu dihiasi dengan tema Initial D, seperti contoh muka jam mengikut kombinasi warna kereta AE86 yang dipandu watak utama Takumi Fujiwara.

Selain itu, terdapat logo D (melambangkan Drift dan Dream) pada kedudukan jam 6, diikuti logo Kedai Tofu Fujiwara pada kedudukan pukul 4.

Kotak pembungkusan juga turut menggunakan tema warna panda (hitam putih) berserta logo Initial D di sebelah luar, dan gambar ilustrasi Takumi dan Toyota Sprinter Trueno AE86 di bahagian dalam.

Setiap kotak akan turut disertakan dengan nombor siri bermula 1 hingga 1,995.

Jam tangan istimewa ini menampilkan sistem pergerakan Quartz yang terlindung dalam casis 47 mm serta berkeupayaan kalis air sehingga 10 atm.

Setiap satu jam tangan Initial D ini dijual pada harga 65,780 yen (RM1,879).

Mitsubishi Malaysia lancar Triton Athlete dengan ciri dipertingkatkan, harga dari RM159,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyambut ulang tahun kehadirannya di Malaysia yang ke-20 pada tahun ini.

Bersempena dengan pencapaian tersebut, MMM mengumumkan penawaran model trak pikap Triton Athlete dengan ciri yang dipertingkatkan dan harga jualan bermula dari RM159,980.

Antara ciri unik yang ditampilkan pada Triton Athlete terkini termasuklah kemasan pada bampar hadapan, bar bergaya pada bed belakang, bantuan bukaan pintu tailgate, serta corak dekoratif unik.

Selain itu, MMM menawarkan promosi eksklusif untuk tempoh terhad bagi pembeli Triton Athlete, termasuklah ganjaran sehingga RM8,000 atau pakej penyelenggaraan percuma lima-tahun, serta pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

Pelanggan juga boleh menikmati kadar faedah serendah dari 0.6 peratus untuk pembiayaan Triton Athlete menerusi Maybank atau Public Bank.

Menurut CEO MMM, Shinya Ikeda berkata, “Kami amat berterima kasih terhadap kepercayaan dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Setelah hampir dua dekad, Triton terus menjadi simbol kekuatan, kepercayaan dan kebolehpercayaan di kalangan pemandu Malaysia dengan hampir 120,000 unit terjual.

“Sejak bertahun-tahun, Triton memperoleh reputasi sebagai kenderaan yang menawarkan prestasi cemerlang baik di atas jalan raya mahupun di laluan yang sukar.

“Triton Athlete yang dipertingkatkan ini menandakan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang, dan kami berbangga untuk memperkenalkan model ini sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun yang ke-20,” ujarnya lagi.

Selain itu, bermula 16 Jun ini MMM menganjurkan peraduan Scratch & Win yang menawarkan hadiah lumayan termasuklah iPhone 16, iPad, iPod, jam tangan Seiko dan produk THULE.

Pelanggan yang menempah model Triton atau Xpander baharu di mana-mana pusat pengedar sah MMM layak untuk menyertai peraduan ini, dan akan menerima satu kad untuk dilorek.

Porsche dan Puma bekerjasama untuk kasut edisi khas sempena ulang tahun 911

PORSCHE akan menyambut ulang tahun ke-60 model 911 dengan sneaker edisi terhad. Ianya kerjasama antara Porsche Lifestyle Group dengan Puma, dan sneaker itu berasaskan 911 versi moden serta klasik.

Model pertama iaitu Retro Sneaker mengambil inspirasi Porsche 911 S 2.5 1972 yang tirus dan kecil. Ia dikemaskan dengan kulit lembut dan balutan suede, dan lidahnya mendapat jahitan berwarna merah.

Sneaker berwarna biru cerah ini juga menampilkan nombor 56, iaitu salah satu kereta bersejarah dari era itu. Bahagian berjaring pada lidah juga didatangkan dengan lencana Porsche 911 S/T, bersama logo “60 Years of Porsche 911” berwarna hitam dan putih.

Hanya 1,972 pasang Retro Sneaker akan dihasilkan seluruh dunia, dan setiap satu hadir dengan nombor siri khas.

Kasut kedua pula ialah Heritage Sneaker, yang diinspirasikan dari Porsche 911 S/T 2024. Jadi untuk sneaker ini, ia mempunya profil lebih moden.

Dengan warna biru/kelabu, kasut kulit lembut ini mirip kereta ulangtahun 911 S/T, manakala lapisan dalam kasut berwarna coklat cognac seperti kabin kereta.

Nombor 63 pada kasut ini merujuk kepada tahun kelahiran Porsche 911, dan hanya 1,963 pasang Heritage Sneaker ini akan dihasilkan.

Sama seperti Retro Sneaker, kasut ini juga didatangkan dengan logo “60 Yeas of Porsche 911” pada tag gantung, yang juga diperbuat dari kulit.

Porsche 911 S/T baharu merupakan versi lightweight untuk generasi 992 semasa dengan komponen dikongsi dengan GT3 RS dan GT3 Touring.

Kedua-dua kasut ini akan dilancarkan dalam acara pra-jualan khas pada 5 September depan.

PM ucap selamat ulang tahun ke-65 untuk TUDM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65.

Su-30 MKM TUDM. Gambar oleh: Kamarul Azizi

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua warga TUDM atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan kepada rakyat dan negara.

“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke-65 kepada seluruh warga TUDM,” tulisnya dalam satu hantara Facebook.

“Saya hargai komitmen semua anggota TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara. Jasa dan keringat kalian pastinya dihargai sekalian rakyat. Salut!”

TUDM hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-65 dengan tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.

Lebih 120 kereta BMW M sertai himpunan terbesar sempena Hari Malaysia

LEBIH daripada 120 buah kenderaan berprestasi tinggi BMW M telah berhimpun di Kuala Lumpur sempena dua sambutan yang istimewa pada tahun ini – Hari Malaysia ke-59 dan 50 Jahre M iaitu ulang tahun ke-50 BMW M.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Tahun ini, sementara kita meraikan sejarah BMW M selama lima dekad sebagai sebuah pasukan, kita juga perlu menyuluh semangat perpaduan yang dipamerkan oleh warga Malaysia sebagai sebuah negara selama 59 tahun.

“Saya berasa amat gembira kerana berpeluang menyaksikan semangat yang dikongsi bersama oleh warga Malaysia terhadap jenama ini, yang bukan sahaja mendemonstrasikan kebanggaan dan cinta mereka ke atas divisyen sukan permotoran tersebut, tapi juga buat Malaysia pada hari yang begitu bermakna.

“Kami berharap Aksara Terunggul di Dunia ini akan terus memberi ilham kepada komuniti BMW M kita di sini,” kata Hans.

Atas sebahagian daripada sambutan Hari ///Malaysia, BMW Group Malaysia juga telah menghadiahkan para pemenang bagi pencarian jentera BMW M yang tertua di Malaysia bagi setiap siri model – sebuah peraduan nasional yang dianjurkan pada bulan Mei tahun ini, bersempena dengan 50 Jahre M.

Tiga daripada enam model BMW M pemenang telah diperagakan di perhimpunan Hari Malaysia tersebut untuk tatapan umum.

Berikut merupakan senarai pemenang (bukan dalam turutan tertentu):

1. Han Kim Leng, 1981 BMW M535i (E12)
2. Harris Mah Kar Keat – 1988 BMW M3 (E30)
3. Lim Shin Tom – 1991 BMW M5
4. Gan Kian Yeh – 2006 BMW M6 (E63)
5. Tan Kai Che – 2015 BMW M4
6. Tee Yee Jiuh – 2017 BMW M2

Menurut Hans, pihaknya benar-benar tersentuh dengan sokongan padu yang dicurahkan oleh para pemilik dan peminat BMW M di Malaysia.

“Sokongan tidak berbelah bahagi mereka telah menjadi tonggak kejayaan kami di sini, dan Hari ///Malaysia merupakan lambang perpaduan dan kebanggaan sebenar yang telah dipamerkan oleh komuniti BMW M Malaysia,” simpul Hans.

Ulang tahun ke-50 BMW himpun pemilik jentera M di Malaysia

50 buah kenderaan berprestasi tinggi BMW M telah dihimpunkan di Sentul Depot baru-baru ini bagi acara pembentukan formasi bersempena dengan sambutan ulang tahun BMW M ke-50.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata: “Selama 50 tahun kami membekalkan kenderaan prestasi bertaraf premium yang paling ikonik buat dunia – biar untuk kegunaan di atas atau di luar litar, semangat kami terus berkobar untuk menjulang Huruf Terunggul di Dunia ini.

“Kami berbesar hati untuk menyaksikan semakin ramai individu yang menzahirkan perasaan teruja dan sanjungan mereka ke atas jenama ini, terutamanya warga komuniti pemilik dan peminat BMW M di Malaysia yang telah mencurahkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka selama ini – termasuk sepanjang dua tahun lalu yang dibelenggu dengan pandemik.

“Komuniti ini terlahir daripada jiwa dan raga dibentuk selama 50 tahun, dan kami yakin bahawa hala tuju BMW M akan memperkukuhkan lagi cinta kita semua terhadap sukan permotoran dan jenama ini.”

Formasi ini merupakan sebahagian daripada program tarikan BMW M, ia telah menyaksikan lebih daripada 100 orang peminat BMW M berkonvoi ke The ///Mansion @ One & Only, Desaru di mana pelbagai aktiviti telah dijadualkan sepanjang hujung minggu ini.

Bukan itu sahaja, program ini turut mengadakan jualan barangan ‘BMW M 50 Years’ edisi terhad, dan dana yang terkumpul semasa acara tersebut akan digunakan untuk membantu inisiatif perusahaan sosial tempatan, Epic Society dalam membekalkan akses buat kanak-kanak orang asli yang mermerlukan ke atas pendidikan berkualiti melalui Hab Pembelajaran Digital mereka.

Himpunan 112 buah Lamborghini cipta sejarah Malaysia Book of Records

PUSAT bandar Kuala Lumpur bingit dengan deruman naturally-aspirated V10 dan V12 apabila sebanyak 112 pemilik Lamborghini menghimpunkan kenderaan masing-masing di depan Mandarin Hotel.

Himpunan ahli-ahli Lamborghini Owners Malaysia (LOM) itu juga bertujuan memecahkan rekod yang pernah dibuat di lokasi sama kira-kira sedekad lalu. Pada 2013, 77 pemilik berhimpun sempena ulang tahun ke-50 Lamborghini.

Dan kini, himpunan terbesar kali ini berjaya memecahkan rekod itu dengan pemilik-pemilik yang hadir dari seluruh semenanjung, dan ia tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Bertempat di ruang parkir terbuka Mandaring Hotel, dapat dilihat pelbagai model Lamborghini yang semestinya menarik perhatian pengunjung dan orang awam berdekatan.

Antara yang kelihatan adalah model-model klasik serta Gallardo Malaysia Limited Edition (hanya 20 unit dihasilkan). Tidak lupa juga model-model terkini seperti Huracan Spyder, Aventador SVJ dan Urus.

Kemuncak acara adalah di saat presiden LOM masuk ke perkarangan dengan memandu kereta bernombor 78, disambut dengan tarian singa.

Ahli-ahli LOM dan pengunjung juga bersorak apabila wakil dari Malaysian Book of Records menyerahkan sijil pengesahan rekod baharu itu.

“Detik bermakna dalam sejarah kelab kami ini menunjukkan penghargaan kami terhadap jenama Lamborghini, kata Roslan Rosdi, presiden LOM.

“Rekod ini juga tidak akan berjaya tanpa semangat komuniti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli yang hadir pagi ini,” tambahnya.

Tidak lama selepas itu, kesemua 112 Lamborghini yang berhimpun kemudiannya berkonvoi menuju ke Bukit Tinggi untuk acara seterusnya.

Vespa GTS 300 dan Primavera edisi khas sempena ulangtahun ke-75, harga dari RM23,500

DIDI Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa di Malaysia memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu GTS 300 75th Anniversary dan Primavera 75th Anniversary. Seperti pada namanya, kedua-dua model ini diperkenalkan sempena menyambut ulangtahun Vespa yang ke-75.

Apa yang berbeza? Pertama, Vespa ulangtahun ke-75 ini diberikan warna kuning metalik yang dinamakan Giallo 75th, yang nampak hampir seperti keemasan. Warna ini dibangunkan khas sebagai tafsiran moden untuk tema retro 1940an.

Seterusnya, model Vespa 75th Anniversary ini dilengkapi panel tepi dan mudguard depan dengan nombor 75, tempat duduk kulit Nubuck khas, rim berwarna kelabu dengan machine finish, dan pelekat grafik pada mudguard, keliling panel instrumen, pelindung ekzos, cermin sisi dan – untuk GTS sahaja – pada pemijak kaki penumpang.

Satu lagi ciri unik 75th Anniversary ialah rak barangan di belakang yang diberikan warna krom, ia boleh menempatkan beg kulit bulat yang nampak seperti tempat tayar simpanan. Beg kulit Nubuck ini juga diberikan tali dan klip khas dengan mekanisma khas untuk memudahkannya dipasang dan ditanggalkan.

Walaupun hadir dengan gaya retro, Vespa ini tetap mendapat teknologi moden. Ini termasuklah paparan TFT berwarna bersaiz 4.3-inci serta panel instrumen digital dengan sambungan telefon pintar.

Untuk lebih eksklusif, setiap pembelian edisi 75th Anniversary, anda akan mendapat Welcome Kit yang mengandungi plat Vespa besi vintaj, Buku Pemilik khas, dan lapan poskad dengan imej dari sejarah hampir 80 tahun jenama Itali itu.

Harga jualan Vespa 75th Anniversary adalah seperti berikut:

Vespa Primavera 75th Anniversary: RM23,500
Vespa GTS 300 75th Anniversary: RM38,900