Arkib Tag: ujian pelanggaran

MGS5 EV dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV keluaran MG, iaitu MGS5 EV menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, MGS5 EV memperoleh skor keseluruhan setinggi 92.39 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.90/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.99/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 17.50/20.00

 

MGS5 EV merupakan sebuah crossover elektrik segmen C dengan lima tempat duduk yang menawarkan kelengkapan keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, peringatan tali pinggang keledar, serta pengesan penumpang belakang.

Ciri keselamatan termaju yang turut tersedia termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB City, Inter-Urban, Pedestrian & Motorcycle), sistem pengesan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW) serta bantuan kekal lorong (LKA).

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan MGS5 EV dengan harga bermula serendah RM107,900 untuk varian Com, RM117,900 untuk varian Com Long Range, dan RM127,900 untuk varian Lux Long Range.

Dongfeng Box EV dapat skor 3 bintang ujian Euro NCAP

Tidak dapat dinafikan, pengeluar automotif China kini agresif menawarkan pakej kenderaan elektrik pada harga yang lebih kompetitif.

Namun, selain daripada pakej harga yang lebih mampu milik, aspek keselamatan juga harus dititikberatkan.

Di Eropah, sebuah hatchback elektrik saiz kecil Dongfeng Nammi Box sekadar meraih skor tiga bintang daripada markah penuh lima bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.

Dalam ujian terbaharu yang dijalankan tersebut, pihak Euro NCAP mendapati EV tersebut mempunyai kegagalan pada beberapa titik kimpalan yang boleh meningkatkan risiko perubahan bentuk (deformation) kabin dan menjejaskan perlindungan terhadap penumpang.

Masalah tersebut dikesan ketika ujian pelanggaran pertindihan separa dibuat, di mana Dongfeng Box yang bergerak pada kelajuan 50 km/j bertembung dengan penghalang boleh berubah bentuk seberat 1,400 kg yang juga bergerak pada kelajuan 50 km/j.

Selain struktur badan yang tidak stabil, Dongfeng Box juga mempunyai masalah seperti mekanisme penguncian yang gagal dibuka selepas impak, tekanan beg udara stereng yang tidak mencukupi untuk melindungi kepala pemandu, serta struktur papan pemuka yang boleh menyebabkan kecederaan pada kaki penumpang hadapan.

Box juga dilapor gagal untuk mengurangkan impak penumpang-kepada-penumpang di baris hadapan sekiranya berlaku pelanggaran impak sisi.

Disebabkan itu, Dongfeng Box hanya sekadar mencatatkan skor 69 peratus dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan 67 peratus untuk kategori Perlindungan Terhadap Pengguna Jalan Raya.

Menurut Euro NCAP, saiz kenderaan bukanlah isu utama, memandangkan terdapat beberapa EV saiz kecil yang telah diuji sebelum ini berjaya meraih skor empat atau lima bintang.

“Terdapat beberapa EV mampu milik seperti BYD Dolphin Surf, firefly, MINI Cooper e, Lynk & Co 02, serta Renault 4 dan Renault 5 yang mencatatkan skor empat atau lima bintang, dan ini menyerlahkan lagi jurang keselamatan antara EV tersebut dengan Dongfeng Box.”

“Kegagalan ini perlu ditangani supaya ia padan dengan model pesaing di dalam pasaran EV yang pesat berkembang,” jelas Euro NCAP dalam satu kenyataan.