Arkib Tag: ujian keselamatan

Enam kes seleweng data ujian pelanggaran, Toyota Jepun henti jualan 3 model JDM

Skandal kes keselamatan melibatkan syarikat pengeluar Jepun Daihatsu kini menjangkiti syarikat induknya, Toyota.

Menurut laporan terbaharu dari Negara Matahari Terbit, Toyota mengesahkan terdapat enam kes penyelewengan/penipuan data ujian keselamatan yang dijalankan terhadap tujuh model termasuk tiga yang masih lagi dijual di Jepun, iaitu Yaris Cross, Corolla Axio dan Corolla Fielder.

Dalam sidang media yang dianjurkan baru-baru ini, Pengerusi Akio Toyoda menjelaskan pihak Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan telah dimaklumkan tentang penggunaan kaedah ujian yang berbeza berbanding apa yang ditetapkan oleh undang-undang pada 31 Mei lepas.

Butiran kes tersebut telah itu diterangkan dengan lebih terperinci oleh Ketua Pegawai Kumpulan Promosi Pertama Pelanggan Toyota, Shinji Miyamoto seperti berikut:

 

Kes #1 melibatkan Toyota Crown & Toyota Isis pada tahun 2014 dan 2015, di mana Toyota menggunakan data daripada ujian pembangunan yang direka untuk mencipta keadaan pelanggaran yang lebih teruk berbanding apa yang telah ditetapkan dalam ujian pensijilan.

 

Kes #2 pula melibatkan Toyota Corolla Axio dan Corolla Fielder, di mana pendekatan yang sama turut digunakan untuk menilai impak pelanggaran terhadap kepala pejalan kaki. Dalam kes ini, Toyota menggunakan data daripada sudut impak 65 darjah, di mana sepatutnya mereka perlu menggunakan data sudut impak 50 darjah seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Untuk makluman, Corolla Axio dan Corolla Fielder masing-masing merupakan sedan dan wagon yang dibina berdasarkan Corolla generasi terdahulu, dan hanya boleh didapati sebagai kenderaan armada syarikat sahaja.

Kes #3 masih melibatkan model Corolla, namun ditambah dengan dua model lain iaitu Sienta dan Crown.

Dalam kes ini, Toyota sepatutnya menghantar data impak pelanggaran terhadap kepala dan kaki untuk penilaian sisi kiri dan kanan secara berasingan. Namun sebaliknya, mereka telah menghantar maklumat yang menggandingkan nilai daripada kedua-dua sisi penilaian.

Dalam kes keempat, Toyota telah melakukan ujian untuk mengesahkan masalah kebocoran bahan api dan isu lain akibat impak pelanggaran dari arah belakang untuk model Crown 2014 dan Sienta 2015.

Sama seperti kes #1, Toyota telah menggunakan komponen penghadang bergerak seberat 1,800 kg yang jauh lebih berat berbanding standard 1,100 kg, di mana ia menghasilkan impak pelanggaran yang lebih besar daripada sepatutnya.


Kes ke-5
melibatkan model Yaris Cross TNGA (tiada kaitan dengan Yaris Cross DNGA) yang masih lagi dijual di pasaran Jepun di mana Toyota didapati mengabaikan perubahan peraturan yang sepatutnya dilaksanakan untuk menilai kerosakan terhadap kerusi belakang disebabkan oleh bagasi dalam situasi kemalangan.

Perubahan tersebut memerlukan penggunaan blok bagasi yang baharu, namun begitu Toyota tidak mengulangi semula ujian penilaian tersebut, sebaliknya menghantar data ujian lama untuk permohonan pensijilan yang baharu.

Kes terakhir melibatkan SUV Lexus RX di mana semasa pembangunan enjin dibuat pada tahun 2015, unit enjin tersebut tidak dapat menghasilkan kuasa yang disasarkan semasa penilaian dijalankan.

Mengikut standard operasi, ujian seharusnya dihentikan supaya pemeriksaan terperinci dapat dijalankan untuk melakukan perubahan sewajarnya. Namun, Toyota mengakui sistem kawalan enjin telah diubah supaya dapat menghasilkan kuasa kuda yang telah disasarkan.

Tiga model yang masih dijual di pasaran Jepun telah dihentikan penjualannya, iaitu Yaris Cross, Corolla Axio dan Corolla Fielder.

Toyota turut menjamin tiada sebarang isu prestasi melibatkan kenderaan yang terjejas dan tiada sebarang keperluan untuk berhenti memandu kereta-kereta tersebut.

 

Daihatsu akui palsukan keputusan ujian keselamatan sejak 1989

CNN melaporkan bahawa Daihatsu mengakui telah memalsukan keputusan ujian keselamatan untuk kenderaan kenderaan mereka selama lebih 30 tahun, dengan kes terawal dikesan sejak 1989.

Seorang jurucakap Daihatsu memberitahu agensi berita itu bahawa pengeluar kenderaan kompak itu telah menghentikan pengeluaran di semua empat kilangnya sejak Selasa lalu, termasuk satu yang terletak di ibu pejabatnya di Osaka.

Penutupan itu dijangka berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya akhir Januari depan dan bakal menjejaskan kira-kira 9,000 orang kakitangan yang bekerja di bahagian pengeluaran domestik.

Langkah ini diambil ketika Daihatsu bergelut dengan skandal keselamatan yang semakin mendalam yang dikatakan “telah menggoncang asas syarikat”, menurut Toyota.

Minggu lalu, Daihatsu mengumumkan jawatankuasa bebas pihak ketiga telah menemukan bukti sebanyak 174 kes penyelewengan data ujian keselamatan melibatkan 64 model, termasuk yang dijual di bawah jenama Toyota.

Sehubungan dengan itu, Daihatsu berkata ia akan menangguhkan sementara semua penghantaran kenderaan domestik dan antarabangsa.

Menurut laporan itu, kes terawal dikesan pada 1989, dengan peningkatan bilangan kes yang semakin ketara sejak 2014.

Skandal ini dilihat sebagai satu lagi tamparan kepada syarikat itu, yang pada April lalu turut mengakui telah melanggar piawaian ujian perlanggaran ke atas lebih 88,000 kereta yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota di Malaysia dan Thailand.

Pada Mei lalu, pengeluar kenderaan itu menemui lebih banyak salah laku melibatkan pemalsuan data ujian perlanggaran untuk dua model hibrid yang telah dihentikan jualannya.