Arkib Tag: U9 Track Edition

472 km/j! BYD Yangwang U9 Track Edition rampas rekod EV terpantas daripada Rimac Nevera R

Hanya beberapa minggu selepas ia muncul dalam dokumen Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, YangWang U9 Track Edition mencipta sejarah dengan rekod kelajuan baharu.

BYD mengumumkan bahawa supercar elektrik itu berjaya mencapai kelajuan 472.41 km/j dalam satu ujian di Jerman, sekali gus menjadikannya kereta elektrik terpantas di dunia.

Ujian ini berlangsung pada 8 Ogos di litar ATP Automotive Testing Papenburg, dipandu oleh pemandu profesional Marc Basseng.

Pencapaian ini sekaligus memecahkan rekod terdahulu iaitu 431.45 km/j yang dicatat oleh Rimac Nevera R pada Julai 2025. Sebagai perbandingan, U9 standard pernah mencatat 391.94 km/j pada November 2024, menjadikan pencapaian Track Edition ini satu lonjakan besar.

U9 Track Edition ini dipacu oleh empat motor elektrik, setiap satu menghasilkan 755 PS (555 kW). Gabungan keseluruhannya memberikan kuasa luar biasa sekitar 3,000 PS (2,207 kW), dengan nisbah kuasa kepada berat mencecah 1,217 PS setiap tan.

Sebagai perbandingan, Rimac Nevera R mempunyai 2,017 PS (1,571 kW) dengan nisbah 992 PS setiap tan.

Bagi mengawal kuasa yang begitu tinggi, model ini dilengkapi dengan teknologi pemvektoran tork, bersama sistem DiSus-X Intelligent Body Control, yang sentiasa melaras suspensi untuk cengkaman maksimum.

Menurut BYD, ia juga merupakan EV pertama yang menggunakan platform voltan tinggi 1200V, dipadankan dengan sistem pengurusan haba yang dioptimumkan untuk prestasi ekstrem.

Walau bagaimanapun, kereta yang memecah rekod ini bukan versi standard. Gambar menunjukkan ruang panel ditutup dengan pita pelekat bagi memperbaiki aerodinamik.

Ia juga dilengkapi splitter gentian karbon (pilihan tambahan) dan tidak menggunakan sayap belakang swan-neck seperti pada model terdahulu.

Untuk tayar, ia menggunakan tayar semi-slick khas yang dibangunkan bersama Giti Tire. Tayar itu menggunakan campuran kompaun yang dioptimumkan, serta pelincir berkelikatan tinggi dan proses ‘knurling’ antara tayar dan rim bagi mengurangkan gelinciran pada kelajuan ekstrem.

Marc Basseng, yang turut memandu U9 standard ketika mencatat rekod lama, meluahkan rasa terkejutnya:

“Tahun lepas saya fikir itulah kemuncaknya. Tak sangka saya akan pecahkan rekod sendiri secepat ini — tetapi inilah kita, di trek yang sama, dengan teknologi baharu yang menjadikannya nyata.”

YangWang U9 Track Edition adalah megacar elektrik dengan lebih 3,000 PS!

Sebelum ini, kuasa kuda empat angka hanya mampu dicapai oleh pengeluar-pengeluar eksotik seperti Bugatti dan Koenigsegg.

Namun kini, dengan kemajuan teknologi trenkuasa elektrik, ia dapat dilakukan dengan mudah oleh kebanyakan syarikat kenderaan elektrik – sama ada dari Eropah mahupun Asia.

Salah satu daripada syarikat yang dimaksudkan ialah YangWang, sub-jenama mewah milik BYD yang dilancarkan pada 2023.

Model supercar elektriknya, U9, sudah pun menghasilkan kira-kira 1,306 PS namun syarikat itu bakal memperkenalkan versi Track Edition yang dikatakan memiliki lebih dua kali ganda kuasa!

Berdasarkan dokumen yang dimuat naik oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, U9 Track Edition dilengkapi empat motor elektrik, satu untuk setiap roda.

Setiap motor berkenaan dikatakan menjana 755 PS (555 kW), menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 3,018 PS (2,220 kW).

Sebagai perbandingan, U9 ‘standard’ yang juga dipacu empat motor elektrik hanya mempunyai 1,305 PS (960 kW).

Tiada maklumat rasmi mengenai masa pecutan 0-100 km/j, namun menurut MIIT, U9 Track Edition mampu mencapai kelajuan maksimum 350 km/j.

Angka ini mungkin merujuk kepada kelajuan yang dihadkan secara elektronik, kerana ia sebenarnya lebih rendah berbanding kelajuan tertinggi yang pernah direkodkan oleh U9 standard iaitu 391.94 km/j.

Dari segi penampilan, U9 Track Edition mendapat beberapa penambahbaikan aerodinamik untuk memastikan ia kekal ‘melekat’ di atas jalan. Antaranya ialah splitter hadapan baharu bagi meningkatkan downforce.

Selain itu, ia turut dilengkapi bumbung gentian karbon, rim 20 inci baharu, serta tayar bersaiz 325 di bahagian depan dan belakang.

Dengan kuasa melebihi 3,000 PS serta aerodinamik yang dipertingkatkan, timbul persoalan – mampukah YangWang U9 Track Edition menyingkirkan Xiaomi SU7 Ultra daripada takhta EV produksi terpantas di Nurburgring?