Mitsubishi Thailand mengemas kini penawaran bagi trak pikap popularnya dengan menawarkan versi Street.
Ini mungkin sekali gambaran Triton facelift, namun muka baharu ini hanya unik untuk stail badan Mega Cab sahaja, dan tidak tersedia untuk Triton Single Cab dan Double Cab.
Reka bentuk agresif berkemungkinan besar diinspirasikan daripada helmet Stormtrooper daripada siri Star Wars bagi menggantikan pendekatan Dynamic Shield Triton sedia ada.
Selain itu, ia hadir dengan skid plate hitam yang lebih besar, kemasan jeriji pepenjuru, rim 17 inci dan pilihan warna Solid White, Blade Silver dan Graphite Gray.
Tetapan suspensi asal yang lebih direka untuk jalanan turut dikekalkan.
Triton Street juga kekal dengan enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 148 hp dan 330 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual dan sistem pacuan roda belakang.
Untuk ruang kabin pula, ia hadir dengan tempat duduk fabrik, skrin infohibur sebesar 10 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, dan sistem audio dengan dua pembesar suara.
Ciri keselamatan pula termasuklah tiga beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TCL) serta Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM).
Di Thailand, Mitsubishi Triton Street Mega Cab ini dijual pada harga bermula dari THB 649,000 (RM83,798).
