Arkib Tag: trak pikap elektrik

Tanda dagang Radar/Riddara muncul di MyIPO, pengganti Proton Arena bakal tiba?

Selain daripada membawa masuk secara rasmi kenderaan elektrik (EV) berjenama smart, Proton juga sebelum ini dilapor akan menawarkan kenderaan elektrik daripada jenama-jenama Geely yang lain.

Buat masa ini, Geely mempunyai beberapa jenama EV yang tersendiri, seperti Polestar, Zeekr, Geometry, serta jenama gaya hidup Radar Auto.

Sebut pasal Radar Auto, rakan media Wapcar melaporkan tentang kewujudan pendaftaran tanda dagang jenama di laman MyIPO yang dibuat oleh Zhejiang Geely Holding Group, baru-baru ini.

 

sumber: Wapcar

 

Menariknya, nama asal Radar Auto tidak digunakan, sebaliknya ia bakal menggunakan nama Riddara.

Jenama Radar Auto tampil dengan model pertama berupa trak pikap berkuasa elektrik Radar RD6 dua tahun lepas.

Dibangun menggunakan platform monocoque SEA (dan bukannya platform ladder-frame), Radar RD6 banyak berkongsi elemen rekaan dengan Geely Haoyue (Proton X90), serta boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang atau motor elektrik berkembar dengan sistem AWD.

Secara standard, ia mampu bergerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Sekiranya berita ini menjadi kenyataan, adakah Riddara RD6 ini bakal menjadi pengganti sebenar kepada Proton Arena?

 

Trak pikap EV Fisker Alaska akan muncul pada 2025, tawar jarak gerak sehingga 547 km

SEGMEN trak pikap elektrik nampaknya semakin lama semakin rancak. Setakat ini, kita dah lihat kehadiran model-model menarik seperti Tesla Cybertruck, Rivian R1T, Ford F-150 Lightning dan Hummer EV.

Pada 2025, akan muncul satu lagi pesaing dalam segmen tersebut iaitu Fisker Alaska. Menurut Fisker, trak pikap EV itu akan dijual pada harga bermula dari USD45,400 (RM210,837) sebelum insentif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fisker, Henrik Fisker berkata Alaska bakal menjadi trak pikap EV yang paling ringan dan paling lestari dalam pasaran. Ia dikatakan mempunyai ruang dalaman vegan dengan material yang diperoleh dari sumber beretika untuk upholsteri, karpet dan panel.

Salah satu ciri Alaska yang paling menonjol adalah bed belakang Houdini yang boleh dipanjangkan dari 4.5 kaki (1,372 mm) kepada 9.2 kaki (2,286 mm) menggunakan penghadang elektrik yang terletak di belakang kerusi belakang. Bed tersebut boleh dipanjangkan lagi sehingga 9.2 kaki (2,804 mm) jika tailgate diturunkan.

Ciri-ciri lain yang ditawarkan oleh Alaska termasuk rel bumbung, ruang storan berpenebat pada bahagian hadapan, pemegang cawan besar “big gulp”,  pemegang tablet untuk penumpang dan tali pengikat pada bahagian bumbung yang bertindak sebagai pemegang topi koboi.

Dari segi saiz, trak pikap yang dibina menggunakan platform FM31 ini mempunyai ukuran panjang 17.4 kaki (5,304 mm), menjadikan ia lebih pendek berbanding Cybertruck dan F-150 Lightning. Rim boleh didapati dalam saiz 20 dan 22 inci.

 

Fisker akan menawarkan Alaska dengan dua pilihan saiz bateri, 75 kWj dengan jarak pandu 370 km dan 113 kWj dengan jarak 547 km. Dari segi prestasi pula, trak pikap ini dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dari 3.9 saat hingga 7.2 saat, bergantung kepada varian.

Fisker berkata Alaska akan dipasang di Amerika Syarikat namun lokasi sebenar kilang pemasangannya tidak didedahkan. Fasa produksi dijangka bermula pada suku pertama 2025 namun pelanggan yang berminat sudah boleh mula membuat tempahan dengan bayaran USD250 (RM1,160).