Kalau sebelum ini Toyota sudah melancarkan Hilux Champ sebagai alternatif kepada trak pikap Hilux, ini pula model yang paling asas dan… kosong!
Memperkenalkan Toyota IMV Origin Concept.
Trak ini dibina menggunakan konsep ‘ketidaklengkapan yang disengajakan’. Ideanya, pelanggan sendiri yang menentukan konsep mengikut keperluan masing-masing.
Menurut Presiden Toyota Motor Corporation Koji Sato berkata, “Kami hanya akan membina asas. Daripada situ, setiap pelanggan akan melengkapkan kenderaan tersebut untuk memenuhi keperluan mereka.
“Sebagai pengeluar, menghasilkan kenderaan yang tidak siap adalah satu perkara yang mengecewakan. Namun, dengan tidak menyempurnakannya ia akan menjadi sebuah kenderaan ‘untuk anda’, kerana setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.
Tidak banyak info yang didedahkan, namun di reruai JMS 2025, kita dapat lihat Toyota IMV Origin boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis keperluan termasuklah sebagai kuda kerja untuk mengangkut barangan di ladang sayuran atau haiwan ternakan, kenderaan safari, trak makanan, serta kenderaan jelajah bulan.
