Arkib Tag: Toyota Yaris Ativ

Toyota Vios pasaran Thailand dapat enjin hibrid dan varian GR Sport

Setelah tiga tahun Vios generasi keempat diperkenalkan, Toyota Thailand akhirnya mengumumkan kehadiran varian hibrid (HEV) untuk sedan segmen B tersebut.

Pengenalan varian HEV ini akan melengkapkan lagi penawaran Yaris Ativ sedia ada, di mana versi bukan hibrid hanya didatangkan dengan enjin 1.2 liter berkuasa 94 PS dan 110 Nm.

Apa yang anda perlu tahu tentang Toyota Vios HEV?

 

1. Nadi kuasa

Varian hibrid Vios dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter dengan kod 2NR-VEX (kuasa 91 PS/121 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 80 PS/141 Nm dan pek bateri lithium-ion.

Kuasa keseluruhan mencecah 111 PS, di mana ia disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi E-CVT.

Tiga mod pemanduan disediakan, iaitu Eco, Normal dan Sport.

Menurut Toyota, Yaris Ativ HEV mampu mencapai kadar penggunaan bahan api sekitar 3.4 liter untuk setiap 100 km.

 

2. Perubahan luaran

Hanya dua varian hibrid ditawarkan di pasaran Thailand, iaitu Premium dan GR Sport.

Secara kasarnya, tidak banyak perubahan yang dikesan pada bahagian luar Yaris Ativ HEV Premium, melainkan padanan rim 16 inci rekaan baharu, logo HEV, serta kemasan krom gelap pada jeriji atas dan kelabu metalik pada seksyen bawah jeriji depan.

Perubahan tersembunyi pula ialah tangki bahan api kini sebesar 36 liter.

 

3. Yaris Ativ HEV GR Sport

Varian ini pula lebih menyerlah dengan kehadiran kit badan yang lebih sporti termasuklah bampar hadapan yang direka semula, rim aloi 17 inci rekaan baru, diffuser belakang yang lebih menonjol, serta spoiler belakang hitam.

Tidak ketinggalan, sistem suspensi yang telah ditala semula, lengkap dengan bar pengimbang depan dan belakang, serta talaan sistem stereng elektrik yang turut disemak semula.

 

4. Ruang kabin

Secara standard, Yaris Ativ HEV dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit sintetik, sistem pencahayaan ambien 64-warna, sistem pendingin hawa automatik, penapis udara PM2.5 serta skrin infohibur 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Yaris Ativ HEV GR Sport pula mendapat kemasan logo GR diikuti dengan sistem audio Pioneer dengan enam pembesar suara.

 

5. Ciri keselamatan & harga

Akhir sekali, kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense termasuklah kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan fungsi Kawalan Pengekalan Lorong (LKC), sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta enam beg udara.

Di pasaran Thailand, Yaris Ativ HEV dijual pada harga bermula THB 719,000 (RM93,131), sementara varian GR Sport pula berharga THB 769,000 (RM99,608).