Arkib Tag: Toyota Vios HEV GR Sport

Toyota Vios HEV 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga jualan dari RM103,900

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan sedan hibrid segmen B, iaitu Toyota Vios HEV 2026.

Unit pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan dalam dua varian, Vios 1.5 HEV dan Vios 1.5 HEV GR Sport.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

Casis

Disebabkan oleh penambahan bateri hibrid, Vios HEV secara asasnya menjadi lebih berat berbanding Vios standard.

Jadi, Toyota mengambil langkah untuk mengurangkan berat pada bahagian tertentu seperti bonet, fender, panel pintu dan boot lid.

 

Enjin hibrid

Vios HEV dikuasakan oleh sistem hibrid elektrik Toyota generasi keempat, terdiri daripada:

  • enjin 1,496 cc (kod 2NR-VEX) berkuasa 91 PS/121 Nm
  • motor elektrik 80 PS/141 Nm
  • pek bateri lithium-ion 4.3 Ahr

Kuasa keseluruhan mencecah 111 PS yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi E-CVT.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 3.6 liter/100 km (data NEDC).

 

Luaran

Tidak banyak perubahan dibuat pada bahagian luar, melainkan padanan logo HEV, serta kemasan krom gelap pada bahagian jeriji depan.

Tidak ketinggalan, sistem amaran bunyi untuk memaklumkan pejalan kaki dan penunggang basikal tentang sedan yang sedang menghampiri mereka.

 

Kabin

Vios HEV 2026 kini didatangkan dengan ciri baharu seperti sistem pencahayaan kabin yang dinaik taraf, skrin paparan Digital Audio 10.1 inci yang lebih besar, serta kehadiran butang EV Mode.

Selain itu, kabin Vios HEV juga lebih senyap terima kasih kepada penggunaan kaca hadapan akustik.

 

Vios HEV GR Sport

Varian GR Sport akhirnya ditawarkan kembali pada model Vios.

Berbeza dengan varian standard, Vios HEV GR Sport mendapat ciri berikut:

  • kit badan aerodinamik GR Sport
  • rim aloi GR Sport 17 inci
  • tayar Continental PremiumContact 6
  • tempat duduk kombinasi kulit dan suede

Vios HEV GR Sport juga turut mendapat talaan casis yang menyumbang kepada dinamik pemanduan yang lebih mengujakan.

Selain itu, sedan hibrid GR Sport ini didatangkan dengan gegelung dan penyerap hentak yang telah ditala semula untuk pengalaman yang lebih sporti, pengendalian yang lebih tajam, dibantu dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS) yang lebih responsif.

 

Keselamatan

Secara standard, Toyota Vios HEV dan Vios HEV GR Sport didatangkan dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi fungsi berikut:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Pilihan warna

Toyota Vios HEV ditawarkan dalam warna eksklusif baharu Celestite Grey Metallic serta empat warna sedia ada seperti Platinum White Pearl, Scarlet SE, Attitute Black dan Silver Metallic.

Sementara Vios HEV GR Sport pula mendapat dua pilihan warna dua-tona Platinum White Pearl/hitam dan Scarlet SE/hitam.

 

Harga

Sedan hibrid Vios HEV ini dijual pada harga dari RM103,900 manakala versi HEV GR Sport pula berharga RM109,900.

 

Toyota Vios HEV 2026

Toyota Vios HEV GR Sport 2026