Arkib Tag: Toyota SYI Outrun

Acara larian Toyota SYI Outrun 2025 kumpul sumbangan RM200k untuk persatuan kanser

Acara larian Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2025 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan lebih 6,500 orang peserta membanjiri kawasan Dataran Wawasan, Putrajaya pada 27 Julai yang lalu.

Edisi keempat SYI Outrun ini turut berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM200,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Sejak tahun 2020, Toyota telah mengumpul lebih RM500,000 untuk persatuan ini.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor berkata, “mobiliti lebih daripada sekadar kenderaan, ia adalah tentang memajukan manusia dalam setiap pengertian.

“SYI Outrun adalah satu peringatan yang kuat terhadap perubahan positif yang kami ilhamkan apabila beregerak dengan penuh makna.

“Hari ini, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk satu tujuan bersama membawa harapan, dan ini adalah semangat sebenar Start Your Impossible.”

Untuk pertama kalinya, SYI Outrun memperkenalkan kategori maraton separuh 21KM bersama kategori 10KM dan 5KM sedia ada.

Selain pelari berpengalaman, SYI Outrun turut disertai oleh bekas pesakit kanser, serta ahli kelab Persatuan Pelari Anak Luar Biasa – Little Fighter Runners dan Bikeisable.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti menarik disediakan menerusi gerai interaktif oleh NCSM, N8 Sports Nutrition, persembahan kumpulan perkusi, pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran kenderaan Toyota.

10 pemenang utama dalam kategori 10KM dan 21KM membawa pulang hadiah bernilai RM138,000, tidak ketinggalan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM19,000 termasuklah TV Sony Bravia, jam Garmin Forerunner Triathlon dan konsol PlayStation 5.