Arkib Tag: Toyota Prius

Toyota Corolla facelift bakal pakai muka Prius di China

Sebuah lagi model Toyota akan memadankan imej muka depan ikan yu tukul Prius, iaitu Toyota Corolla facelift.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China, sedan segmen C tersebut mempunyai unit pencahayaan hadapan berbentuk C, diikuti struktur jeriji yang lebih nipis dan bampar depan yang direka semula.

Profil sisi sedan ini masih lagi kekal, kecuali rekaan rim yang lebih sporti yang dikhususkan untuk varian yang lebih premium.

Perumah lampu belakang pula dilihat sedikit gelap, sementara varian Corolla HEV pula menampilkan logo Toyota biasa menggantikan logo Toyota berwarna biru pada model terdahulu.

Pelanggan di China masih lagi boleh mendapatkan Corolla facelift dalam versi enjin petrol 2.0L berkuasa 169 hp, atau enjin 1.8L hibrid menghasilkan 121 hp.

Buat masa ini, Corolla facelift dengan muka Prius ini hanya dikhususkan untuk pasaran China terlebih dahulu.

Toyota Prius

Toyota Prius pecah rekod dunia, catat 2.5L/100 km untuk perjalanan lebih 5,000 km!

Satu rekod baharu dunia untuk kadar penggunaan bahan api yang paling rendah telah tercatat dalam Guinness World Record untuk jarak pemanduan melebihi 5,000 km, iaitu 2.5L/100 km.

Jauh lebih jimat berbanding angka rasmi 57 MPG (4.12 liter/100 km) yang dikeluarkan oleh Toyota!

Wayne Gerdes memandu sebuah Toyota Prius LE dari Los Angeles City Hall menuju ke New York City Hall, dengan jarak perjalanan sejauh 5,168.7 km.

Sepanjang perjalanan tersebut, beliau perlu menempuh laluan berketinggian 2,100 m selain menempuh kawasan gurun Mojave di mana suhu boleh mencecah setinggi 40 darjah Celcius.

Untuk mencapai angka tersebut, Gerdes mencadangkan beberapa tips yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap kecekapan penggunaan bahan api.

Antaranya ialah bergerak dengan perlahan dari pegun dan dalam masa yang sama mengekalkan tekanan yang sekata pada pedal pendikit.

Selain itu, untuk berhenti di satu-satu tempat, Gerdes lebih gemar mengalihkan kaki daripada pendikit lebih awal dan menggunakan momentum kereta sebanyak mungkin.

“Untuk cubaan rekod sebegini, ia memerlukan perancangan yang rapi. Anda perlu mempunyai pelan, dan mampu untuk mengubah perancangan dengan cepat.

“Jadi, sekiranya keadaan berubah, anda harus menukar perancangan anda. Ubah laluan. Fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk mencapai matlamat tersebut,” ujarnya lagi.

Toyota Prius LE mempunyai kapasiti tangki bahan api sebesar 43 liter, jadi berdasarkan pengiraan ringkas, Gerdes mungkin mampu mencapai jarak sejauh 1,693 km setiap kali pengisian tangki penuh dibuat.

Ia ternyata satu angka yang cukup impresif, memandangkan angka rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota hanyalah sekitar 1,036 km sahaja.