Arkib Tag: Toyota Motor Asia

Toyota Hilux 2026: Generasi ke-9 debut di Thailand

Toyota Motor Asia (TMA) hari ini secara rasmi mendedahkan generasi ke-9 trak pikap Toyota Hilux yang akan dipasarkan bermula tahun 2026.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Pilihan rangkaian kuasa

Hilux baharu masih kekal dengan enjin diesel turbo 2.8 liter (kod 1GD-FTV) yang boleh dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan (204 PS/420 Nm) atau transmisi automatik 6-kelajuan (204 PS/500 Nm).

Toyota turut menawarkan Hilux berkuasa elektrik (Travo-e di pasaran Thailand) yang dijana oleh dua motor elektrik dan kuasa keseluruhan 196 PS.

Dengan pek bateri lithium-ion 59.2 kWh, Hilux Travo-e boleh bergerak sejauh 315 km (data NEDC).

Selari dengan pendekatan berbilang cara (multi-pathway), Toyota akan membangunkan sebuah model sel bahan api hidrogen (FCEV) yang akan diperkenalkan di pasaran Eropah dan Oceania bermula 2028.

 

2. Casis

Hilux generasi baharu ini masih lagi kekal dengan pelantar IMV (Innovative International Multi-purpose Vehicle), namun telah ditambah baik dengan pelbagai teknologi moden.

Antaranya ialah naik taraf mekanikal yang digelar sebagai Dynamic Cloud merangkumi:

  • titik sambungan tambahan pada kerangka badan untuk struktur yang lebih kukuh dan lebih stabil
  • talaan suspensi untuk pengendalian yang lebih lancar
  • cagak enjin hidraulik untuk mengurangkan kesan gegaran
  • aci stereng yang lebih besar untuk kawalan yang lebih responsif

 

3. Rekaan luaran

Hilux 2026 membawakan perubahan bersifat visual seperti:

  • muka hadapan Cyber Sumo dengan unit lampu utama lebih nipis
  • kewujudan tempat pemijak sisi pada bed belakang
  • lampu belakang dengan grafik yang lebih kemas
  • rim aloi 18 inci rekaan baharu

 

4. Ruang kabin

Susun atur kabin Hilux baharu membawakan tema Robust Simplicity yang menampilkan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin tengah 12.3 inci
  • butang kawalan iklim dengan paparan digital
  • roda stereng dan tombol gear gaya Land Cruiser
  • rekaan tempat duduk yang lebih ergonomik

Selain itu, Hilux baharu turut didatangkan dengan tetapan sistem brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold, serta tetapan stereng kuasa elektronik (EPS).

 

5. Keselamatan

Kesemua varian Hilux yang dijual di pasaran Thailand mendapat ciri keselamatan standard seperti penderia jarak belakang, kamera undur, amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sistem amaran titik buta (BSM).

Selain itu, ciri Toyota Safety Sense 3 (TSS) 3 kini dengan fungsi pra-pelanggaran dan pengekalan lorong yang ditambah baik, diikuti dengan sistem pemantauan keliling panorama (PVM) dan Multi-Terrain Monitor (MTM).

Toyota Hilux BEV 2026

JMS 2025: Toyota rancang lebih 10 model xEV dalam masa tiga tahun untuk pasaran Asia

Toyota terus memperkukuh visi “Mobiliti untuk Semua” bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan di belakang menerusi pendekatan pelbagai cara (Multi-Pathway Approach) yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Toyota merancang untuk memperkenalkan lebih 10 model berelektrik (xEV) untuk pasaran Asia.

Toyota turut mengumumkan misi “30 by 30” dengan menyasarkan jualan sebanyak 30 peratus xEV di pasaran ASEAN menjelang 2030, atau melebihi 1.5 juta unit.

Ia adalah bersamaan dengan impak terhadap alam sekitar dengan menanam 25 juta pokok atau mengurangkan emisi CO2 sebanyak 8 juta tan.

Toyota juga turut mengumumkan perancangan memulakan produksi kenderaan elektrik bateri (BEV) di Thailand dan Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Salah satu model BEV yang dirancang itu akan dibina berdasarkan platform IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) yang menjadi asas kepada model-model popular seperti Hilux, Fortuner, Innova dan Land Cruiser FJ.

Sebut pasal Land Cruiser FJ, model Land Cruiser yang paling kompak ini akan dipasang di Thailand sebelum dieksport ke pasaran Asia.

Menerusi model Land Cruiser FJ, Toyota akan menawarkan nilai baharu dalam bentuk kebebasan dan kegembiraan (Freedom & Joy) yang boleh dinikmati pelanggan dengan cara yang tersendiri, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebolehpercayaan, ketahanan dan prestasi off-road yang dapat memenuhi gaya hidup mereka.