Menjelang Japan Mobility Show 2025, Toyota mendedahkan sebuah lagi model baharu sebagai pelengkap kepada keluarga Land Cruiser sedia ada, dinamakan sebagai Land Cruiser FJ.
Dengan saiz yang lebih kompak, Land Cruiser FJ diposisikan sebagai sebuah LC aras mula tanpa mengorbankan aspek ketahanan, kebolehpercayaan dan prestasi pemanduan off-road.
Land Cruiser FJ 2026 ini akan dipamerkan di reruai Toyota di Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Land Cruiser FJ 2026:
1. Kongsi plaform Hilux
Tidak seperti Land Cruiser 300 Series dan 250 Series yang dibina berdasarkan platform TNGA-F, Land Cruiser FJ pula menggunakan platform IMV.
Ini bermakna, FJ merupakan adik-beradik kepada model seperti Hilux, Fortuner dan dua generasi terawal Innova.
Biarpun menggunakan pelantar yang agak berusia, Toyota tetap melengkapkan FJ ini dengan pendakap tambahan bawah lantai serta badan yang lebih tegar untuk memastikan pengendalian yang lebih stabil.
2. Dimensi
Land Cruiser FJ berukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm – jauh lebih kecil berbanding Land Cruiser 300 Series dan 250 Series.
Jika diletakkan bersebelahan dengan Corolla Cross, FJ mempunyai kelebihan 114 mm dari segi panjang, namun jarak antara roda 58 mm lebih pendek.
3. Luaran
Reka bentuk Land Cruiser FJ berpetak itu banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Land Cruiser 250 Series.
Seperti contoh, FJ boleh didapati dengan dua rekaan muka hadapan yang berbeza, satu daripadanya menampilkan DRL berbentuk C dan sebuah lagi menggunakan DRL berbentuk bulat.
Kehadiran tayar simpanan saiz penuh yang tergantung di belakang menambahkan lagi imej lasak FJ.
Menurut Toyota, model ini turut hadir dengan sudut bampar depan dan belakang yang mudah untuk digantikan, selain boleh dimuatkan dengan bermacam-macam aksesori.
Antaranya ialah Land Hopper, sebuah kenderaan mobiliti peribadi berkuasa elektrik dengan tetapan tiga roda, dengan rekaan yang boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang kargo.
4. Ruang kabin
Ruang kabin FJ ini masih lagi menampilkan gugusan butang kawalan fizikal yang besar dan mudah untuk dicapai.
Selain skrin infohibur di tengah, terdapat juga skrin kluster digital disediakan untuk memudahkan urusan pemandu.
Di bahagian konsol tengah terdapat tombol gear fizikal yang lengkap dengan tuil brek tangan serta dial rotari yang khusus untuk pemanduan off-road.
5. Enjin
Land Cruiser FJ dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan kuasa 163 PS dan daya kilas 246 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda separuh masa 4WD menerusi transmisi automatik Super ECT 6 nisbah kelajuan.
Dalam pada itu, Toyota tidak merancang untuk memasarkan ‘baby’ Land Cruiser ini untuk pasaran seperti Amerika dan Eropah.
Sebaliknya, Toyota akan memfokuskan Land Cruiser FJ ini untuk pasaran seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan juga Timur Tengah.
SUV off-road ini akan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Thailand.
