Arkib Tag: toyota hilux

Toyota Land Cruiser FJ lahir dari platform Hilux, bawakan semangat off-road dalam pakej lebih kompak

Menjelang Japan Mobility Show 2025, Toyota mendedahkan sebuah lagi model baharu sebagai pelengkap kepada keluarga Land Cruiser sedia ada, dinamakan sebagai Land Cruiser FJ.

Dengan saiz yang lebih kompak, Land Cruiser FJ diposisikan sebagai sebuah LC aras mula tanpa mengorbankan aspek ketahanan, kebolehpercayaan dan prestasi pemanduan off-road.

Land Cruiser FJ 2026 ini akan dipamerkan di reruai Toyota di Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Land Cruiser FJ 2026:

 

1. Kongsi plaform Hilux

Tidak seperti Land Cruiser 300 Series dan 250 Series yang dibina berdasarkan platform TNGA-F, Land Cruiser FJ pula menggunakan platform IMV.

Ini bermakna, FJ merupakan adik-beradik kepada model seperti Hilux, Fortuner dan dua generasi terawal Innova.

Biarpun menggunakan pelantar yang agak berusia, Toyota tetap melengkapkan FJ ini dengan pendakap tambahan bawah lantai serta badan yang lebih tegar untuk memastikan pengendalian yang lebih stabil.

 

2. Dimensi

Land Cruiser FJ berukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm – jauh lebih kecil berbanding Land Cruiser 300 Series dan 250 Series.

Jika diletakkan bersebelahan dengan Corolla Cross, FJ mempunyai kelebihan 114 mm dari segi panjang, namun jarak antara roda 58 mm lebih pendek.

 

3. Luaran

Reka bentuk Land Cruiser FJ berpetak itu banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Land Cruiser 250 Series.

Seperti contoh, FJ boleh didapati dengan dua rekaan muka hadapan yang berbeza, satu daripadanya menampilkan DRL berbentuk C dan sebuah lagi menggunakan DRL berbentuk bulat.

Kehadiran tayar simpanan saiz penuh yang tergantung di belakang menambahkan lagi imej lasak FJ.

 

Menurut Toyota, model ini turut hadir dengan sudut bampar depan dan belakang yang mudah untuk digantikan, selain boleh dimuatkan dengan bermacam-macam aksesori.

Antaranya ialah Land Hopper, sebuah kenderaan mobiliti peribadi berkuasa elektrik dengan tetapan tiga roda, dengan rekaan yang boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang kargo.

 

4. Ruang kabin

Ruang kabin FJ ini masih lagi menampilkan gugusan butang kawalan fizikal yang besar dan mudah untuk dicapai.

Selain skrin infohibur di tengah, terdapat juga skrin kluster digital disediakan untuk memudahkan urusan pemandu.

Di bahagian konsol tengah terdapat tombol gear fizikal yang lengkap dengan tuil brek tangan serta dial rotari yang khusus untuk pemanduan off-road.

5. Enjin

Land Cruiser FJ dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan kuasa 163 PS dan daya kilas 246 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda separuh masa 4WD menerusi transmisi automatik Super ECT 6 nisbah kelajuan.

Dalam pada itu, Toyota tidak merancang untuk memasarkan ‘baby’ Land Cruiser ini untuk pasaran seperti Amerika dan Eropah.

Sebaliknya, Toyota akan memfokuskan Land Cruiser FJ ini untuk pasaran seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan juga Timur Tengah.

SUV off-road ini akan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Thailand.

UK haramkan iklan Toyota Hilux sebab pamer aksi off-road

DUA video iklan yang menunjukkan sekumpulan trak pikap dipandu dalam hutan belantara telah diharamkan oleh regulator United Kingdom (UK) kerana menggalakkan pemandu membuat aksi yang boleh merosakkan alam sekitar.

Dalam satu video iklan Toyota Hilux yang dipromosikan di Facebook, berdozen trak pikap itu dilihat dipandu menyeberangi sungai, hutan, dan tanah terbuka. Suara latar pula menerangkan babak itu sebagai “pemandangan sebenar alam sekitar”.

Versi poster pula digunakan di hentian-hentian bas sekitar negara itu menunjukkan trak pikap tersebut dengan slogan “Born to Roam” (Dilahirkan untuk Merayap/Menjelajah).

Kedua-dua iklan itu tidak boleh dipamerkan di UK selepas keputusan oleh Advertising Standards Authority (ASA). Menurut mereka, iklan itu “mempersembahkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan yang tidak menghiraukan kesan kepada alam sekitar.”

Keputusan itu adalah yang terkini dalam siri pengharaman ASA yang memfokuskan kepada alam sekitar yang mula dilancarkan pada 2020.

Ini juga kali pertama ASA mengharamkan iklan yang menunjukkan pemanduan off-road, sesuatu yang kerap dibuat oleh iklan-iklan trak dan SUV.

Pada 2021, satu iklan oleh Jaguar Land Rover menunjukkan kereta di dalam hutan dengan slogan, “Life is so much better without restrictions” (hidup jauh lebih baik tanpa halangan).

ASA pernah menilai iklan itu dan mengambil keputusan tidak mengharamkannya, berkata bahawa konsumer (pada masa itu) pastinya faham konteks slogan untuk menghapuskan halangan-halangan Covid-19.

Boleh tahan juga tegas pengamal alam sekitar di sana ya. Kami faham kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar, tapi jika iklan Toyota Hilux dengan pemanduan off-road diharamkan, iklan bagaimana pula yang boleh dibuat nanti? Mungkin tunjuk Hilux dipandu pergi ke tempat kerja sahaja nampaknya.

Perodua Alza dan Toyota Hilux bertembung, lima sekeluarga maut

LIMA sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilkux di jalan raya Timur Barat arah Gerik-Jeli berdekatan Hentian Titiwangsa di Gerik petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menerima panggilan mengenai nahas itu pada 3:45 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyaksikan kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia menaiki Perodua Alza manakala dua lagi, yang menaiki Toyota Hilux, hanya cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kedua-dua kenderaan masing-masing dinaiki lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris telah dimaklumkan untuk proses selanjutnya.