Arkib Tag: Toyota GT86

Result Japan hasilkan kit badan retro untuk Toyota GT86, siap lampu pop-up!

Lampu pop-up (ataupun lampu yang boleh disorokkan) merupakan antara ciri yang mampu membuatkan sesebuah kereta era 80-an dan 90-an nampak cool di atas jalan raya.

Namun disebabkan undang-undang keselamatan yang lebih ketat, kereta yang dilengkapi dengan lampu jenis itu akhirnya beransur-ansur lenyap dari pasaran.

Untuk mereka yang rindu dengan ciri tersebut, syarikat Jepun ini ada jawapannya.

Kit badan Neo86 mengubah muka hadapan Toyota GT86 dengan bampar bersegi gaya retro, hud enjin yang lebih ringkas dan paling penting: lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya!

Selain itu, terdapat juga lampu isyarat membelok berasingan, serta lampu kabus kuning yang menjadi aksesori wajib untuk kereta AE86 kedai tofu.

Melengkapkan lagi imej retro GT86 ini ialah padanan fender lebar, spoiler ekor itik, lampu belakang LED aftermarket, serta rim hitam Watanabe.

Kit Neo86 ini akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026, dan dalam masa yang sama sesi pra-tempahan akan dibuka.

Berita baik, pihak Result Japan akan turut menawarkan kit Neo86 ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia akan turut diperluaskan ke serata dunia.

Toyota Celica GT-Four moden, casis GR86 rojak dengan enjin, sistem AWD GR Corolla!

Sejak dari tahun lepas lagi, para peminat Toyota sudah pun dihidangkan dengan bermacam-macam khabar ‘baik’ dari negara Matahari Terbit berkenaan kewujudan model baharu berprestasi tinggi.

Selain daripada berita tentang kehadiran generasi ketiga GR86 yang dikhabarkan menggunakan nadi tiga silinder sebaris GR Yaris, Toyota juga sedang merancang untuk menghidupkan semula semangat jentera rali Celica GT-Four.

 

Namun sebelum model baharu GR Celica itu muncul, Toyota mahu merealisasikan khabar angin yang telah bertiup kencang selama ini dengan memadankan enjin G16E-GTS pada sebuah GR86 untuk menghasilkan sebuah GR86 dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Atau lebih tepat lagi jelmaan moden Toyota Celica GT-Four!

Untuk itu, Toyota telah mendermakan sebuah GR86 edisi ulang tahun ke-40 kepada pihak Evasive Motorsports, diikuti sebuah hot hatch GR Corolla untuk dileraikan segala komponen rangkaian kuasanya.

 

 

Menurut temubual YouTuber Larry Chen bersama pemilik dan pekerja di Evasive Motorsports, proses pembinaan GR86 AWD itu tidaklah semudah menukar enjin semata-mata di mana mereka perlu memadankan segala komponen pacuan AWD GR Corolla kepada casis GR86 yang asalnya sebuah jentera pacuan roda belakang.

Pihak bengkel juga perlu melakukan kerja-kerja fabrikasi casis secara kustom bagi memastikan setiap unit enjin, kotak gear, komponen LSD, gandar, hab roda dan paling utama sistem pacuan semua roda GR-Four GR Corolla dapat berfungsi dengan baik selepas dipasangkan pada casis GR86.

 

 

Apa yang pasti, nadi asal GR Corolla berkuasa 300 hp dan 370 Nm itu sudah lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi penambahan berat badan disebabkan oleh komponen ekstra itu tadi, berbanding enjin asal GR86 bentangan mendatar berkuasa 232 hp/250 Nm itu.

Anda boleh mengikuti temubual lengkap Larry Chen bersama Evasive Motorsports menerusi pautan YouTube di bawah untuk mengetahui dengan lebih terperinci projek Toyota GR86 AWD yang bakal dipamerkan pada acara SEMA tahun ini.