Arkib Tag: Touch ‘n Go

Proton X50 2025 jadi model pertama Proton siap dengan tag RFID terus dari kilang

Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd untuk mengintegrasikan teknologi RFID terus pada model SUV Proton X50 2025.

Di bawah perjanjian baharu ini, setiap Proton X50 baharu akan dipasang dengan tag RFID terus dari kilang untuk akses yang lebih lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “Melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go, Proton menambah satu lagi ciri baharu yang seiring dengan slogan model ini – Intelligence That Amazes.”

Selain X50, Proton juga bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go pada model kenderaan lain.

Dilancarkan secara rasmi pada 24 Julai lalu, Proton X50 2025 menawarkan perubahan besar dari segi rekaan luaran dan dalaman, teknologi sambungan terkini serta nadi 1.5 liter turbo yang berkuasa.

Dalam masa tiga minggu selepas pelancaran, sebanyak 2,000 unit telah diserahkan kepada pemilik masing-masing.

Touch ‘n Go lancar kempen e-Mas, rebat tunai bagi setiap pembelian RFID

Touch ‘n Go (TnG) melancarkan dua kempen baharu bagi meningkatkan pengalaman rakyat Malaysia dalam penggunaan dompet digital.

Kempen e-Mas yang sah bermula 1 Oktober 2024 hingga 31 Januari 2025 menawarkan pengguna eWallet TnG mendapatkan e-Mas, iaitu emas digital yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun.

Untuk melayakkan diri, pengguna hanya perlu membuat pembelian tag RFID sepanjang tempoh yang disebutkan tadi, di mana 100 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk menerima pulangan tunai e-Mas bernilai RM100.

Kempen Rebat Pulangan Tunai RFID pula menawarkan rebat RM5 untuk setiap pembelian tag RFID di pusat pemasangan atau servis sah di seluruh negara, bermula 1 November 2024 hingga 31 Januari 2025.

Rebat ini akan mengurangkan harga tag RFID daripada RM35 kepada RM30, dan terhad kepada 27,500 orang pelanggan pertama yang layak dengan melakukan pembayaran menggunakan eWallet TnG.

Menerusi kempen terbaharu ini, TnG mahu menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan moden dalam mempelbagaikan simpanan sambil menyepadukan perbelanjaan harian dengan lebih lancar, dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengalaman pengguna melalui inovasi digital.

Ini peluang anda untuk menangi tol percuma selama setahun!

BERITA baik untuk pengguna Touch ‘n Go RFID! Kumpulan Touch ‘n Go telah melancarkan Peraduan Tol Percuma, di mana pengguna berpeluang untuk memenangi tol percuma selama setahun.

Peraduan ini berlangsung dari 10 September hingga 18 November 2022 dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang menggunakan kenderaan milik persendirian Kelas 1.

Untuk menyertai peraduan ini, pengguna hanya perlu membeli dan mengaktifkan Touch ‘n Go RFID dan menggunakannya sekurang-kurangnya lima kali untuk pembayaran tol semasa tempoh peraduan.

Menurut Kumpulan Touch ‘n Go, seramai lapan pemenang akan dipilih setiap dua minggu, menjadikan jumlah pemenang seramai 40 orang kesemuanya.

Pada masa ini terdapat lebih daripada dua juta pengguna Touch ‘n Go RFID yang aktif dan bilangannya dikatakan semakin meningkat dengan pesat.

Selain pembayaran tol, Touch ‘n Go RFID juga boleh digunakan untuk membayar petrol di stesen Shell terpilih di seluruh negara. Buat masa ini, perkhidmatan ini tersedia di 100 stesen Shell di seluruh negara dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 450 stesen dalam tempoh dua tahun akan datang.

Tag Touch ‘n Go RFID boleh dibeli di pusat perkhidmatan dan jualan Touch ‘n Go Nu Sentral dan Bangsar South, pusat-pusat pemasangan RFID dan di stesen minyak terpilih di seluruh Malaysia.

Selain itu, ia juga dijual secara dalam talian menerusi portal Touch ‘n Go RFID, kedai rasmi Touch ‘n Go di Lazada dan Shopee serta menerusi Touch ‘n Go eWallet. Pengguna akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM8 untuk pembelian menerusi Touch ‘n Go eWallet dan pin tambah nilai RM8 menerusi portal RFID semasa tempoh kempen.

Polis: Elak terpedaya dengan sindiket tambah nilai Touch ‘n Go palsu

POLIS menggesa orang ramai tidak terpedaya serta terlibat dengan aktiviti tambah nilai tidak sah ke atas kad Touch ‘n Go atau sebarang kad mata ganjaran.

Individu mempunyai sebarang maklumat seperti kegiatan itu juga diminta segera melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur berkata, aduan boleh dibuat menerusi panggilan telefon atau terus ke balai polis berdekatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan seperti ini hendaklah melaporkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur,” kata ACP Mohd Mahidisham Ishak.

Aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2146 0584/0585 atau CID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599.

Pengadu juga boleh menghantar aduan menerusi Whatsapp CID Infoline di talian 013-2111 222.

Semalam, lima individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket tambah nilai kad Touch ‘n Go dan kad mata ganjaran tidak sah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing ditahan di sebuah kondominium kira-kira jam 4 petang.

Antara barangan dirampas termasuk lapan unit telefon bimbit serta lebih 1,400 keping kad Touch ‘n Go.

Selain itu, polis turut merampas 5,200 kad mata ganjaran pelbagai nombor siri berserta 35 ikatan resit kad ganjaran pelbagai nombor siri.

Touch ‘n Go: MyWatch soal bila boleh tambah nilai secara dalam talian?

SITUASI pemandu ‘tersangkut’ di plaza tol gara-gara baki akaun Touch ‘n Go tidak mencukupi bukan suatu yang asing.

Terbaharu, pengendali akaun Twitter MyWatch berkongsi video seorang individu merakam kejadian sebuah kereta didakwa tidak mempunyai baki Touch ‘n Go mencukupi.

Ia secara tidak langsung menyebabkan berlaku kesesakan di plaza tol berkenaan.

Selain itu, apa yang menarik perhatian adalah terdapat sebuah kereta peronda polis yang turut ‘tersangkut’ gara-gara situasi berkenaan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan lokasi kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna jalan raya mengakui sudah muak dengan insiden kenderaan ‘tersangkut’ di plaza tol kerana baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.

Pengendali akaun MyWatch juga mencadangkan agar tambah nilai kad Touch ‘n Go boleh dilakukan secara dalam talian.