Arkib Tag: Total Confidence Plan

Continental Tyre Malaysia lancar jaminan tayar sepanjang hayat untuk kereta penumpang, SUV & 4×4

Continental Tyre Malaysia mengumumkan pelancaran jaminan pengeluaran tayar sepanjang hayat sebagai komitmen dalam meningkatkan keyakinan pelanggan dan kualiti produk.

Program jaminan terbaharu tersedia untuk semua tayar kereta penumpang, SUV dan 4×4 daripada jenama Continental, General Tire dan juga Viking.

Menurut Continental Tyre Malaysia, jaminan ini merangkumi perlindungan ke atas kecacatan pengeluaran, dan tidak melibatkan kerosakan akibat faktor luaran di luar kawalan seperti tayar pancit, terbelah, atau impak disebabkan oleh kerosakan jalan.

Jaminan baharu ini juga akan menggantikan jaminan lima-tahun yang terdahulu, dan turut ditawarkan secara retrospektif ke atas tayar kereta penumpang, SUV dan 4×4 yang dibeli sebelum ini.

Andrea Somorova selaku Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia berkata, “Kami bukan sekadar menghasilkan tayar. Kami membina keyakinan. Jaminan baharu ini menunjukkan kawalan ketat kami terhadap kualiti yang tidak berbelah bagi dan inovasi yang diterapkan dalam setiap produk kami.”

Bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan, Continental meneruskan program Total Confidence Plan (TCP) yang memberikan perlindungan 12 bulan dari tarikh pembelian terhadap kerosakan disebabkan oleh risiko di jalan yang tidak dijangka – dengan syarat pembelian didaftarkan di bawah aplikasi Conti TCP.

Continental tawar waranti tambahan dan ganjaran sehingga RM200

Sempena musim perayaan serta sambutan ulang tahunnya yang ke-60 sebagai pengeluar tayar pertama di Malaysia, Continental Tyre Malaysia telah melancarkan program waranti tambahan yang dikenali sebagai Total Confidence Plan (TCP).

TCP terdiri daripada perlindungan bahaya jalan raya untuk 12 bulan pertama, penggantian tayar 1 kepada 1, dan aplikasi mudah alih yang boleh digunakan dengan mudah sebagai saluran penyelesaian dan tuntutan sehenti. Ia disertai oleh lebih 100 pengedar di seluruh negara, sekaligus menambahkan lagi keyakinan pelanggan.

“Program TCP Continental adalah berkekalan, dan kami berharap para pengguna dan pemandu kami akan mengambil peluang ini untuk mendaftar bagi mendapatkan perlindungan tambahan dan ketenangan minda,” kata pengarah urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova.

Sebagai sebuah penyelesaian digital yang mudah untuk para pemandu yang sentiasa sibuk, Total Confidence Plan ini boleh diakses di hujung jari mereka di mana pemandu boleh mendaftar dan memfailkan tuntutan pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja.

Pertama sekali, pemandu perlu memuat turun aplikasi Conti TCP yang boleh didapati di Apple App Store atau Google Play Store dan mereka hanya perlu mendaftar butiran peribadi dan memuat naik invois rasmi.

Semasa pendaftaran tayar dalam aplikasi tersebut, pemandu dikehendaki mengimbas kod bar pada dinding tepi bahagian bawah tayar sebelum pemasangan.

Selepas mereka menerima waranti semasa dan tempoh tawaran, ia bermakna pendaftaran itu telah lengkap, dan pemandu boleh menikmati 12 bulan pertama Total Confidence Plan dengan Continental.

Sempena dengan pelancaran ini, pemandu yang membeli minimum dua unit tayar Continental di mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai Shopee rasmi Continental layak menebus baucar e-dompet Touch n’ Go melalui aplikasi Conti TCP. Promosi ini sah sehingga 30 Jun.