Arkib Tag: topi keledar

LS2 Malaysia perkenal lima kelengkapan penunggang baharu, harga serendah RM89.00

LS2 Malaysia melancarkan lima produk kelengkapan penunggang baharu untuk pasaran tempatan bersempena Mforce Lou Sang Dinner 2026.

Ianya terdiri daripada sarung tangan Dart II Evo dan Chaki Evo, but kalis air Torrent, jaket X-Terrain dan juga topi keledar jenis open-face OF628 Compass.

 

LS2 Dart II Evo (RM89.00)

Sarung tangan urban yang direka untuk tunggangan harian menampilkan bahan spandex, kulit sintetik dan neoprene.

Versi naik taraf daripada model Dart II ini mengutamakan pengudaraan yang lebih baik, selain menambah silikon anti-gelincir pada tapak tangan.

Sarung tangan ini sesuai untuk lelaki dan wanita, serta tersedia dalam saiz XS hingga 3XL.

Terdapat lima pilihan warna iaitu Black Hi-Vis Yellow, Black Red, Black, Blue Hi-Vis Yellow dan Grey Hi-Vis Yellow.

 

LS2 Chaki Evo (RM99.00)

Sarung tangan serba lengkap yang direka untuk tunggangan dalam bandar, menampilkan lapisan luar Locky Mesh, kulit sintetik dan Q-Span.

Sama seperti Dart II Evo, Chaki Evo menawarkan aspek pengudaraan yang lebih baik, diikuti silikon anti-gelincir.

Ia juga sesuai untuk kegunaan lelaki dan wanita, dan boleh didapati dalam saiz XS hingga 3XL.

Hanya satu sahaja pilihan warna disediakan, iaitu warna hitam.

 

LS2 Torrent (RM369.00)

Kasut but ini menawarkan ciri tahan lasak, kalis air dan kadar cengkaman yang lebih baik sesuai untuk tunggangan pelbagai musim.

Ia turut menampilkan pelapik dalam ergonomik, sistem tali quick-release, serta jalur reflektif untuk keselamatan tunggangan dalam cuaca gelap.

But ini hanya sesuai untuk penunggang lelaki dengan pilihan saiz 39 hingga 47.

Tiga warna tersedia iaitu Light Grey, Black dan Green.

 

LS2 OF628 Compass (bermula dari RM388.00)

LS2 OF628 Compass ini boleh didapati dalam corak kosong tanpa grafik (harga RM388), serta pilihan grafik menarik (dari RM399).

Topi keledar ini menampilkan sistem pengudaraan masuk dan keluar, visor berkembar serta serasi untuk pemasangan sistem komunikasi Bluetooth.

Terdapat dua saiz cangkerang, iaitu M-XL atau XXL-4XL, serta lima saiz EPS iaitu M, L, XL, XXL, 3XL dan 4XL.

 

LS2 X-Terrain (RM599.00)

Akhir sekali, terdapat jaket tunggangan LS2 X-Terrain yang sesuai dipakai oleh penunggang lelaki dan wanita.

Ia menawarkan pensijilan CE Kelas A yang hadir dengan memory foam ACF untuk perlindungan pada bahagian dada, rusuk dan belakang.

Jaket ini turut menawarkan larasan saiz pinggang, poket hadapan praktikal, logo reflektif dan gelung seluar untuk mengelakkan jaket terangkat semasa tunggangan.

 

Topi keledar Shoei GT-Air 3 Smart tampil dengan AR penuh terbina dalam, harga RM4,955

Dengan kemajuan teknologi hari ini, topi keledar bukan lagi sekadar pelindung kepala tetapi ia boleh juga menjadi alat pintar yang boleh menyampaikan maklumat penting untuk meningkatkan pengalaman menunggang.

Terbaru, Shoei membuktikan perkara ini dengan memperkenalkan GT-Air 3 Smart, hasil kerjasama dengan pakar teknologi Perancis, EyeLights. Ia digelar sebagai topi keledar motosikal pertama di dunia dengan sistem realiti terimbuh (AR) yang benar-benar terbina terus di dalam struktur topi keledar.

Ciri utama model ini ialah head-up display (HUD) generasi ketiga daripada EyeLights. Tidak perlu lagi peranti yang besar kerana seluruh sistem AR telah disepadukan terus ke dalam cangkerang topi keledar.

Sebuah projektor nano OLED kecil bertindak memaparkan maklumat seperti kelajuan, navigasi GPS, panggilan dan amaran radar di dalam pandangan penunggang, seolah-olah terapung kira-kira tiga meter di hadapan.

Dengan ini, penunggang boleh kekal fokus pada jalan tanpa perlu melihat ke bawah ke meter atau telefon di bar hendal.

Masalah terbesar HUD sebelum ini ialah paparan sukar dibaca di bawah cahaya matahari terik. Namun EyeLights menjanjikan paparan HD penuh melalui projektor nano OLED yang kekal jelas walaupun matahari tepat mengenai visor.

Mereka juga mendakwa teknologi ini boleh mengurangkan masa tindak balas penunggang lebih 32%, sekali gus meningkatkan ciri keselamatan.

Selain AR, GT-Air 3 Smart turut dilengkapi sistem komunikasi terbina sepenuhnya yang merangkumi pembesar suara, mikrofon pembatalan hingar aktif, sokongan untuk Siri dan Google, serta sistem interkom universal yang boleh berfungsi dalam mod online dan offline.

Hayat bateri pula dikatakan melebihi 10 jam dan semua komponen elektronik disembunyikan kemas di dalam cengkerang tanpa modul luar yang mengganggu rupa topi keledar.

Dari segi keselamatan, topi keledar ini mempunyai pensijilan DOT dan ECE 22.06 melalui penggunaan cengkerang AIM. Ia juga dilengkapi visor matahari QSV-2, visor luar CNS-1C dengan Pinlock dan sistem pengudaraan Defogger yang dipertingkat.

Ditawarkan dalam lima warna dan saiz dari S hingga XXL, GT-Air 3 Smart dijual pada harga US$1,199 (RM4,955). Harganya hampir dua kali ganda model biasa tetapi anda membayar untuk teknologi terkini dan integrasi yang benar-benar kemas.

GIVI lancar helmet M37.0 Grande & kotak simpanan Ultimo, di pasaran Julai ini

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, GIVI Asia mengambil kesempatan untuk memperlihatkan dua produk baharu, iaitu topi keledar M37.0 Grande dan kotak simpanan Ultimo.

 

M37.0 Grande

Topi keledar jenis jet M37.0 Grande hadir dengan dua rekaan cengkerang, iaitu kecil (untuk saiz S & M), serta besar (untuk saiz L & XL).

Harga jualan bermula dari RM360 untuk pilihan warna solid, atau RM400 untuk versi grafik.

Helmet ini direka untuk memenuhi kod piawaian homologasi keselamatan terkini ECE 22.06, menjadikannya ideal untuk penunggang yang mahukan perlindungan maksimum dan bergaya dalam masa yang sama.

Terdapat empat pilihan grafik yang cukup bergaya seperti Azure Black Blue, Rosso Black Red, Scuro Navy Yelow dan Scuro Black Red.

Untuk mereka yang mahukan rekaan ringkas boleh mendapatkan pilihan warna solid seperti White, Sky Blue, Candy Red dan Piano Black.

Ciri lain termasuklah Micrometric Quick Release Buckle, tiga liang aliran udara serta penggunaan fabrik lembut antibakteria untuk memastikan tahap kebersihan dan keselesaan berpanjangan.

 

Ultimo

Lengkapkan motosikal anda dengan kotak simpanan terbaharu daripada GIVI, iaitu The Ultimo Monolock Topcase.

Kotak simpanan ini diperbuat daripada bahan polipropilena (PP) untuk ketahanan jangka panjang, dan menawarkan ruang storan 35 liter – cukup untuk memuatkan topi keledar jenis modular.

Ia juga menampilkan sistem penguncian terbaharu Crab Lock untuk akses kepada ruang simpanan yang lebih mudah dan cepat.

Varian Ultimo+ pula diberikan ciri tambahan seperti plat aluminium pada bahagian atas kotak untuk rupa yang lebih premium dan ketahanan tambahan.

Kotak simpanan ini turut dilengkapi dengan tempat sandar belakang untuk keselesaan pembonceng terutama ketika perjalanan jarak jauh.

Harga jualan Ultimo bermula dari RM200, sementara harga untuk varian Ultimo+ akan diberitahu kelak.

Topi keledar M37.0 Grande dan kotak simpanan Ultimo akan berada di pasaran mulai Julai 2025 di semua GIVI Point dan pengedar sah di seluruh negara.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes dilancarkan – RM460

JENAMA topi keledar tempatan, Gracshaw telah melancarkan barisan topi keledar edisi terhad DC Super Heroes yang menampilkan enam rekaan istimewa.

Rekaan-rekaan tersebut adalah berdasarkan watak popular dari DC iaitu Batman, Superman, Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan The Joker.

Menurut Gracshaw, topi keledar ini merupakan produk tulen dan asli yang direka dengan kerjasama DC.

Tambah syarikat itu lagi, hanya 1,500 unit akan dihasilkan untuk rekaan Batman, Superman, The Flash dan The Joker, manakala Aquaman dan Wonder Woman masing-masing terhad kepada 500 unit.

Ini bagi memastikan status topi keledar ini sebagai barangan pengumpul yang jarang ditemui dan berharga.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes menggunakan model Gennex sebagai asas. Selain mempunyai pensijilan SIRIM, ia juga menawarkan ciri-ciri seperti pengunci cincin D berganda, sistem pengudaraan berganda dan pelapik dalaman yang boleh ditanggalkan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan visor yang boleh didapati dalam lapan warna menarik.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes boleh didapati dalam saiz M hingga XXXL, dengan harga RM460 seunit. Setiap pembelian didatangkan kotak khas yang mengandungi beg, sijil ketulenan dan pelekat unik.

Topi keledar ini boleh didapati di 30 pengedar terpilih Gracshaw bermula 10 Januari 2024.

Helmet GIVI M33.0 Aria masuk pasaran Malaysia, harga dari RM195

GIVI Malaysia baru-baru ini telah melancarkan rangkaian topi keledar terbaru mereka iaitu M33.0 Aria ke pasaran tempatan.

Menurut GIVI, topi keledar ini mempunyai cengkerang luaran kukuh yang diperbuat daripada material technopolymer dan beratnya adalah 1,220 g sahaja, sekali gus menjadikan ia cukup selesa untuk kegunaan harian.

Untuk menambahkan lagi keselesaan pemakai, topi keledar M33.0 Aria juga dilengkapi dengan dua liang udara pada bahagian hadapan dan satu extractor pada bahagian belakang untuk memberikan pengaliran udara yang baik.

Pengikat micrometric pula memastikan topi keledar sentiasa terpasang dengan kemas dan selesa.

Selain itu, topi keledar ini juga didatangkan dengan visor yang telah disalut bahan anti calar bagi memastikan pandangan sentiasa jelas serta memanjangkan jangka hayat visor.

Bukan itu sahaja, pelapik dengan kain anallergik membantu mengurangkan jangkitan bakteria pada lapisan dalam dan pipi. Pelapik tersebut boleh ditanggalkan dengan mudah untuk dicuci.

Pelanggan juga tidak perlu risau tentang keselamatan kerana topi keledar M33.0 Aria mencapai piawaian homologasi keselamatan terbaru ECER22.06, selain memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

@engear.tv

5 Benda Best Tentang #Helmet #Givi #m33 #aria #best #helmetlover #givimalaysia #engeartv #malaysia #bike #motobike #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

Topi keledar GIVI M33.0 Aria boleh didapati dalam saiz S hingga XL, dengan enam warna menarik untuk dipilih iaitu Graphic Rush Blue Turquoise, Graphic Rush Red Blue, Graphic Union Black Blue, Graphic Union Grey Yellow, Dark Blue dan Dark Grey.

Harga jualan untuk Semenanjung Malaysia bermula dari RM195 untuk rekaan tanpa grafik (plain) dan RM220 untuk grafik.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga jualan bermula dari RM215 untuk rekaan plain dan RM245 untuk grafik.

Pininfarina, Roux Helmets jalin kerjasama hasilkan topi keledar perlumbaan – harga dari RM3.8k

NAMA Pininfarina mungkin lebih dikenali menerusi model-model rekaannya seperti Ferrari 250 GT Lusso, Alfa Romeo Brera dan Hyundai Matrix, namun tahukah anda bahawa studio rekaan itu juga berkecimpung dalam bidang topi keledar?

Terbaru, Pininfarina telah memperkenalkan barisan topi keledar perlumbaan yang dibangunkan dengan kerjasama pengeluar topi keledar dari Amerika Syarikat itu Roux Helmets.

Topi keledar ini direka khusus untuk digunakan dalam pelbagai kelas perlumbaan, dari Formula 4 hingga Formula 1, dan sudah tentulah ia memenuhi piawaian FIA 8859/Snell SA2020.

Antara teknologi yang terdapat pada topi keledar Roux rekaan Pininfarina ini adalah sistem penyejukan air bersepadu Cool-X dan port udara terbina dalam.

GT Carbon Kevlar

Teknologi Cool-X berfungsi untuk menyalurkan air dari penyejuk dan mengekalkannya pada suhu 52 darjah Fahrenheit (11 darjah Celsius) bagi membolehkan pemandu kekal fokus pada perlumbaan.

Selain itu, terdapat juga sistem pembukaan khas yang membolehkan topi keledar dibuka dengan cepat dan mudah, tanpa sebarang tekanan pada leher, sekiranya berlaku kemalangan di dalam litar.

Formula Carbon

Turut disertakan adalah sistem visor yang dikatakan mampu memberikan sudut pandangan yang lebih luas, serta cagak untuk peranti sokongan kepala dan leher (Head And Neck Support, HANS).

Di laman web Roux Helmets, terdapat empat model topi keledar rekaan Pininfarina yang disenaraikan. Ia bermula dengan topi keledar go-kart (USD840 atau RM3,796), GT Carbon Kevlar (USD1,575 atau RM7,119), Formula Carbon (USD1,875 atau RM8,475) dan GT Carbon (USD1,990 atau RM8,994).

GIVI 50.9 Atomic kini di Malaysia, 4 warna, RM735

GIVI Malaysia telah memperkenalkan topi keledar full-face terbaharu mereka iaitu 50.9 Atomic. Ianya mendapat penarafan ECE 22.06 terkini, dan dijual pada harga RM735.

Topi keledar ini direka khas untuk sportsbike dan sport touring, serta menampilkan rongga udara besar di atas untuk aliran udara maksima.

Ia juga dilengkapi dengan spoiler belakang untuk menambah kestabilan, manakala ‘dagu’ depannya direka bagi mengurangkan kemasukan angin, air dan bunyi.

Visornya boleh dipasang terus dengan pin pengunci, dan turut mendapat sunvisor drop-down terbina dalam. GIVI 50.9 juga menampilkan salutan anallergenic di kusyen dalam untuk mengelakkan alahan kulit.

GIVI 50.9 boleh didapati dalam saiz M hingga XXL, dan ditawarkan dalam empat warna iaitu Atomic White Blue Red, Atomic Titanium Silver Blue, Atomic Black Silver, dan Atomic Silver Black.

Gracshaw Gennex Japan Edition tawar 6 rekaan unik dari anak tempatan – RM420 seunit

GRACSHAW telah melancarkan barisan topi keledar edisi khas yang dikenali sebagai Japan Edition. Terdapat enam rekaan unik yang boleh dipilih, setiap satu dengan tema dan cerita yang tersendiri.

Model Japan Edition adalah berasaskan model Gennex yang mempunyai rekaan open-face dan double visor. Ia dijual pada harga RM420 seunit dan setiap topi keledar didatangkan dengan beg galas eksklusif.

Menurut Gracshaw, setiap topi keledar Japan Edition menampilkan elemen Jepun yang dikategorikan kepada tiga tema iaitu cerita rakyat, budaya pop dan catatan sejarah.

‘Kurita’ mendapat ilham reka bentuk daripada sotong gergasi dari kisah dongeng Jepun yang popular, manakala ‘Tsuru’ menampilkan burung jenjang bermahkota merah, spesis burung yang paling jarang ditemui dan dipercayai membawa tuah.

Sementara itu, ‘Japop’ diinspirasikan oleh budaya anime dan manga, menampilkan karakter-karakter menarik termasuk Astro Boy. ‘Tengu’ pula merupakan makhluk sakti nakal bermuka merah dan berhidung panjang yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin.

Rekaan ‘Oda’ memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku, manakala ‘Karasu’ pula menampilkan senjata yang digunakan oleh para ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama.

Farizan bin Md Akir dari Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing, berkata model Japan Edition idireka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah.

“Ini merupakan rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran.” katanya lagi.

Topi keledar Gracshaw Japan Edition boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.

Alamak helmet bau kepam! Apa kena buat?

Topi keledar atau helmet merupakan aspek keselamatan paling penting ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Pemakaian helmet bukan sahaja selari dengan undang-undang tetapi lebih penting ia dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan jalan raya.

Memahami hakikat ini, maka adalah penting helmet dijaga rapi apatah lagi melibatkan aspek kebersihan.

Artikel ini berkongsi dengan anda tips penjagaan helmet agar kekal bersih hygiene untuk digunakan.

Pastikan helmet dalam keadaan kering

Ramai dalam kalangan penunggang motosikal kurang peka dengan kondisi dalaman helmet sama ada ia dalam keadaan kering atau lembap.

Bahagian dalaman helmet yang basah atau lembap boleh mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kaedah paling mudah ialah anginkan seketika bahagian dalaman helmet selepas ia digunakan.

Anda juga tidak digalakkan menjemur helmet di kawasan panas kerana dibimbangi merosakkan struktur polisterina dan stirofoam.

Basuh sponge dalaman secara berkala

Anda boleh keluarkan bahagian sponge dalaman helmet dan cucikan ia dengan ejen pencuci khas.

Cara ini bukan sahaja menghindarkan bau-bauan kurang menyenangkan tetapi dapat mengurangkan bakteria ‘bersarang’ di helmet anda.

Bagaimanapun, elak jemur secara terus di bawah cahaya matahari.

Lap bahagian luaran dengan kerap

Pastikan anda lap bahagian luaran helmet dengan kerap bagi menyingkirkan debu yang melekat.

Gunakan tisu basah atau kain mikrofiber agar permukaan helmet tidak mudah calar.

Jika terlebih rajin, tidak salah untuk anda polish dengan menggunakan bahan pengilap yang sesuai.

Simpan helmet di tempat sesuai

Helmet perlu disimpan di tempat yang sesuai dan tidak terdedah kepada habuk serta kekotoran lain.

Pastikan juga helmet anda tidak terdedah kepada haiwan seperti kucing bagi mengelak risiko tertentu.

Bayangkan jika helmet anda yang mahal dicakar atau lebih parah terkena najis haiwan itu…kes naya bro!

Penjagaan rapi helmet amat penting untuk kekal hygiene. – Foto ihsan Unsplash/Markus Winkler

Gunakan semburan Muc-Off

Muc-off merupakan salah satu daripada produk pembersihan helmet yang terdapat di pasaran.

Terdapat beberapa jenis produk dihasilkan jenama ini antaranya bagi pembersihan visor, sponge dalaman dan bahagian ‘cengkerang’ helmat.

Menerusi kaedah ini, anda bukan sahaja berjaya menyingkirkan bau kurang menyenangkan tetapi kekal menjaga kualiti helmet tersebut.

Demikian antara tips penjagaan helmet yang dapat dikongsikan.

Jika ada sebarang tips lain yang boleh dikongsikan boleh tinggalkan komen di semua platform media sosial Engear.

Semoga terus istiqamah dalam menjaga kebersihan helmet!

Jangan biarkan helmet anda dihantui bau kepam…selamat mencuba!

Elak kepala ‘pecah’! Berikut helmet sering dipakai orang Malaysia

KADAR kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini amat membimbangkan.

Berdasarkan senario itu, pemilihan topi keledar (helmet) bagi tujuan keselamatan adalah sangat penting.

Penunggang motosikal wajib mengetahui ciri keselamatan setiap helmet termasuk mengenal pasti adakah ia memenuhi piawaian Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM).

Justeru bagaimana untuk memilih helmet yang sesuai?

Apakah jenama helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini?

Jom kita semak satu per satu!

Senarai helmet popular di Malaysia

Terdapat banyak jenis dan jenama helmet di pasaran dengan pelbagai harga.

Ada mahal dan ada juga yang murah.

Semuanya bergantung kepada kualiti dan jenama.

Berikut merupakan antara beberapa jenis helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini:

Arai Open Face Helmet

Nama Arai bukan biasa-biasa bagi kebanyakan pencinta helmet.

Bukan sahaja kerana harganya yang ‘berdentum’, tetapi Arai amat terkenal dengan kualiti yang super premium!

Setakat ini, kebanyakan helmet jenama Arai berharga ribuan ringgit.

Jika anda terjumpa Arai yang agak murah, hati-hati kerana ia mungkin produk cetak rompak.

Shoei Jo Helmet – Hawker

Reka bentuk helmet ini sesuai untuk penunggang motosikal jenis skuter.

Helmet ini membenarkan aliran udara di bahagian dalam sekaligus memberi keselesaan menyeluruh kepada si pemakai.

Rangka topi yang ringkas dan bergaya ini juga sesuai untuk meningkatkan prestasi semasa menunggang sambil mengutamakan keselamatan.

Bayangkan anda pakai helmet ini sambil bersiar di tengah ibu kota, ‘merecik!’

KYT NF-J

Helmet asal Indonesia ini kian menempa nama dalam kalangan penunggang motosikal negara ini.

NF-J bukan sahaja ‘sedap’ dipakai tetapi juga mempunyai pelbagai design menarik.

Kebanyakan design dicipta berjaya menarik perhatian anak muda.

Selain itu, antara helmet NF-J popular adalah bertemakan frontliner tanda tribute kepada petugas barisan hadapan menentang Covid-19.

ARC Ritz AR4 (Stars)

Reka bentuk helmet ini sangat unik dengan cermin depan diperbuat daripada bahan tahan retak.

Memiliki corak bintang eksklusif, ia mempunyai fitur keselamatan tinggi selain mendapat kelulusan piawaian Sirim.

Rata-rata penunggang mengakui ARC Ritz AR4 sangat selesa dipakai terutama ketika cuaca panas.

GIVI M50.2 Turismo Graphic Touring Helmet

Helmet jenis ini sangat sesuai untuk individu menunggang motosikal bagi jarak jauh.

Menutup wajah sepenuhnya, ia memberi perlindungan menyeluruh bahagian kepala dan muka.

Apa yang penting harganya amat berpatutan dengan kualiti yang amat memuaskan.

SGV Cruiser Visorex Helmet

Jangan panggil diri anda ‘Mat Motor’ jika tidak pernah mendengar nama helmet ini.

Sekiranya anda memerlukan helmet jenis sederhana dan ringan, SGV jenama paling sesuai.

Apa yang penting, ia bukan sahaja murah tetapi selamat digunakan kerana memilki pengiktirafan Sirim.

Sebenarnya ada banyak lagi helmet terkenal di negara ini.

Untuk kami senaraikan kesemuanya memang terlalu banyak!

Mungkin di masa lain kita akan borak lagi mengenai helmet yang sering digunakan penunggang motosikal negara ini.

Jumpa lagi guys!