Acara pameran tahunan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 (TASKL2025) tahun ini bakal diserikan dengan kehadiran dua buah jentera ikonik dari Jepun.
Model yang dimaksudkan itu ialah Ferrari F40 dan Super Silhouette ER34 yang dibina oleh Liberty Walk.
Pengunjung TASKL2025 juga boleh mendapatkan barangan eksklusif dan berpeluang untuk berjumpa dengan Wataru Kato, pengasas dan pemilik jenama itu di reruai Liberty Walk.
Ferrari F40
Ferrari F40 Liberty Walk ini dipertontonkan kepada umum pada tahun 2023, menampilkan kit badan yang lebih lebar serta casis yang lebih rapat ke tanah.
Dikatakan, F40 ini merupakan jentera sama yang telah dibuang daripada senarai rasmi Ferrari disebabkan ubahsuai yang berlebihan, menyimpang daripada falsafah reka bentuk Ferrari yang asal.
Biarpun dengan kit badan yang lebih agresif, Ferrari F40 ini mengekalkan nadi 2.9 liter bentangan V8 turbo berkembar menghasilkan 471 hp dan 578 Nm.
Kit badan lebar yang dihasilkan oleh Liberty Walk merangkumi front cowl, diffuser depan, diffuser sisi, fender flare, diffuser belakang, serta sayap belakang menghasilkan imej yang lebih agresif dan aspek aerodinamik yang dipertingkatkan.
Warna asal Rosso Corsa Red F40 ini telah digantikan dengan wrap putih dan hiasan bulatan merah yang mengingatkan kita kepada jet pejuang Mitsubishi A6M Zero era Perang Dunia Kedua.
Super Silhoutte ER34
Jentera Super Silhouette ER34 ini menggemparkan Tokyo Auto Salon 2020.
Ia dibina berdasarkan jentera lumba Skyline Super Silhouette KDR30 yang dipandu oleh Masahiro Hasemi pada perlumbaan Super Silhouette Formula 1982 dan 1983.
Liveri merah dan hitam yang ikonik itu kini menjadi rebutan para pengumpul model diecast.
Enjin asal RB25DET NEO ER34 ini telah pun dibuang dan digantikan dengan enjin L28 dengan sesaran dipertingkatkan kepada 3.1 liter dan tiga karburetor Solex 50 mm jenis twin-draft.
Kit badan penuh yang dihasilkan oleh Liberty Walk untuk ER34 ini terdiri daripada bampar hadapan, fender lebar, skirt sisi, bampar belakang, diffuser belakang, serta sayap belakang yang agresif.
Keempat-empat sudut gerbang roda pula dihiasi dengan rim Yokohama Advan Racing GT bersaiz 18 inci.
TASKL 2025 akan berlangsung pada 8-10 Ogos ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Harga tiket masuk adalah seperti berikut:
RM48 (pas satu hari untuk dewasa)
RM30 (pas satu hari untuk kanak-kanak 6-12 tahun)
RM120 (Family Combo untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak)
RM120 (pas tiga hari dewasa)
Diskaun 50 peratus untuk pemegang kad OKU dan penjaga
Percuma: Kanak-kanak umur lima tahun ke bawah.
Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.tokyoautosalonkl.com.
Ferrari F40 Liberty Walk
Super Silhouette ER34 Liberty Walk
