Arkib Tag: Tokyo Auto Salon 2025

Tiket Tokyo Auto Salon KL 2025 sudah mula dijual pada harga lebih rendah

Berita baik buat para peminat acara pameran tahunan kereta-kereta ubahsuai dari Jepun.

Ini kerana tiket kemasukan untuk Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 (TASKL 2025) sudah mula dijual sejak semalam (19 Mac) dengan harga yang lebih berpatutan.

Ini merupakan salah satu cara untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama peminat dan penggemar untuk menikmati pameran kereta kustom dan berprestasi yang paling mengujakan di Malaysia.

Harga tiket adalah seperti berikut:
• Dewasa: RM48 (pas sehari), RM120 (pas tiga hari)
• Kanak-kanak: RM30 (pas sehari), percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah
• OKU: Diskaun 50 peratus
• Pakej kombo: RM120 (dua dewasa dan dua kanak-kanak)

1,000 orang pembeli tiket pertama berhak menerima lanyard edisi terhad “First at TASKL 2025”.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Jason Yap berkata, “Harga tiket kini lebih rendah, lebih menarik untuk memberikan akses kepada semua orang supaya dapat menikmati pelbagai aktiviti dan pameran tahun ini.

“Dengan lebih daripada 90,000 orang pengunjung setiap hujung minggu dalam tempoh dua tahun pertama, harga tiket yang lebih rendah ini merupakan tanda penghargaan kepada para peminat dan peserta pameran atas sokongan yang menggalakkan,” ujarnya lagi.

TASKL merupakan satu-satunya pameran yang dianjurkan di luar Jepun yang berpaksikan kepada acara tahunan Tokyo Auto Salon yang terkenal di seluruh dunia.

Selain daripada pameran lebih 300 buah kenderaan ubah suai, TASKL 2025 juga bakal menyaksikan pelancaran model skala 1:64 edisi terhad, pertemuan kelab kereta, cabaran simulasi perlumbaan, serta pertemuan “Four Heavenly Kings” yang bakal diumumkan kelak.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.tokyoautosalonkl.com atau platform media sosial Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram, dan TikTok.

Toyota sumbat enjin baharu G20E dalam GR Yaris M Concept

Sebagai sebuah pengeluar automotif terbesar, Toyota jarang sekali mengecewakan para peminatnya setiap kali acara pameran Tokyo Auto Salon berlangsung.

Untuk Tokyo Auto Salon 2025, Toyota mendedahkan sebuah prototaip hot hatch yang digelar sebagai GR Yaris M Concept.

Tidak seperti GR Yaris standard, GR Yaris M Concept ini dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter (kod nama G20E) bagi menggantikan enjin tiga silinder G16E-GTS sedia ada.

Lebih mengejutkan apabila enjin baharu itu tidak diposisikan di hadapan, sebaliknya diletakkan di bahagian tengah (mid-ship).

Menurut Toyota, perubahan yang dibuat pada ini adalah untuk meneroka potensi yang wujud pada hot hatch GR Yaris, malah mereka juga merancang untuk berlumba di dalam Super Taikyu menggunakan jentera ini.

Unit prototaip ini akan diuji sepenuhnya di dalam medan perlumbaan selain mendapat input yang bermanfaat daripada para pelumba professional termasuklah Morizo (Akio Toyoda).

Kewujudan GR Yaris M Concept ini menerbitkan satu persoalan – adakah ia satu petunjuk besar tentang kehadiran model baharu MR2 akan datang?

Pelajar kolej automotif Nissan hasilkan ‘Z wagon’ guna asas Stagea wagon

Perkataan “kereta sports” dan “praktikaliti” mungkin sangat sukar untuk diletakkan di dalam satu baris ayat yang sama.

Namun, itu mungkin sekali apa yang cuba dibuat oleh sekumpulan pelajar dari Nissan Automotive College untuk Tokyo Auto Salon 2025.

Projek ini dinamakan sebagai Z Lealia, gandingan antara perkataan “Lead” dan “Familia”, di mana Z Lealia direka sebagai sebuah sports wagon yang sesuai untuk seisi keluarga.

Kereta wagon yang sporti ini sebenarnya bukanlah berasal daripada platform tarik belakang Nissan Z, akan tetapi bergantung sepenuhnya kepada platform Nissan Stagea wagon generasi kedua.

Tengok dari sudut hadapan, kita dapat melihat muka hadapan Nissan Z yang berjaya diintegrasikan dengan kemas.

Namun, hasil kerja pada seksyen belakang wagon ini dilihat tidak begitu menjadi dengan dimensi fender yang terlebih lebar dan jurang panel yang wujud antara lampu belakang dan bampar belakang.

Kereta tersebut akhirnya dilayangkan dengan warna Ikazuchi Yellow, set rim aftermarket 19 inci, roda stereng daripada Nissan Z serta upholsteri kustom dua tona.

Pujian harus diberikan kepada pelajar kolej tersebut kerana berani menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

Selain daripada Z Wagon, terdapat dua lagi model ubahsuai, iaitu Nissan Neo Skyline dan Bluebird Kiwami yang dihasilkan oleh dua kumpulan pelajar yang berbeza.

Nissan Neo Skyline secara asasnya merupakan sebuah Skyline Coupe V35 dengan panel badan kustom yang diinspirasikan daripada model Skyline “Kenmeri” era 70-an.

Keseluruhan badan dilayangkan dengan warna Tomoaki Blue, diikuti dengan rim 18 inci dan kemasan warna dalaman dua tona.

Bluebird Kiwami (dari Aichi College) pula dibina berdasarkan Nissan Bluebird Maxima yang wujud 36 tahun lalu, menampilkan kit badan yang lebar dan berpetak.

Dalam masa yang sama, kumpulan pelajar tersebut berjaya mengekalkan ciri asal kereta tersebut termasuklah rekaan pintu tanpa bingkai dan kemasan dalaman mewah.

Ketiga-tiga kereta kustom ini akan dipamerkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025 yang akan berlangsung pada 10-12 Januari di Jepun.

 

 

MX-5 Mazda Spirit Racing bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2025

Tinggal beberapa minggu sahaja sebelum acara Tokyo Auto Salon membuka tirainya di Jepun pada bulan depan.

Untuk itu, Mazda bakal mempamerkan beberapa model istimewa pada acara tersebut termasuklah sebuah model edisi khas yang dihasilkan oleh divisyen prestasi tinggi Mazda Spirit Racing.

Bagi mereka yang tidak mengetahui, Mazda Spirit Racing telah pun digunakan oleh pengeluar tersebut sejak tahun 2021 di dalam Super Taikyu Series Jepun dan direka untuk menggantikan peranan Mazdaspeed.

Konsep yang diperlihatkan awal tahun lalu

Berdasarkan gambar tunggal (gambar utama) yang dibekalkan, Mazda MX-5 talaan Mazda Spirit Racing itu dipadankan dengan splitter hadapan baharu, logo “R” pada jeriji hadapan, rim enam jejari hitam, angkup brek berwarna merah, dan spoiler lip belakang.

Tidak ketinggalan, terdapat aksen berwarna merah pada bahagian tengah bampar serta pada bahagian perumah cermin sisi, serta set decal yang diinspirasikan daripada perlumbaan.

Buat masa ini, Mazda tidak mendedahkan perincian naik taraf dari aspek mekanikal pada model istimewa tersebut.

Selain Mazda MX-5, Mazda juga akan mempamerkan dua model konsep perlumbaan, iaitu Mazda3 Bio Concept dan MX-5 Roadster CNF Concept, serta tidak ketinggalan SUV CX-5 yang dibina menerusi kerjasama dengan Toyo Tires.

 

Nissan hasilkan Skyline GT-R R32 tanpa enjin RB26 untuk TAS 2025

Tinggal beberapa minggu sahaja sebelum acara pameran Tokyo Auto Salon 2025 membuka tirainya, dan Nissan bakal membawakan sesuatu yang istimewa.

Ia bukanlah sebuah GT-R generasi baharu, akan tetapi sebuah Nissan Skyline GT-R generasi R32 tanpa enjin enam silinder sebaris RB26DETT.

Lebih tepat lagi, ia sebuah R32 EV!

Projek ini sebenarnya telah pun bermula sejak Mac 2023 lagi, di mana enjin asal RB26 yang sangat lagenda di kalangan geng JDM itu telah dihukum buang daerah bagi memberikan laluan kepada unit rangkaian kuasa elektrik sepenuh masa.

Buat masa ini Nissan masih lagi belum sedia mendedahkan perincian tentang ubahsuai yang telah dibuat pada model Godzilla ini.

Dari segi luaran, agak sukar untuk mengesan perubahan yang telah dibuat, melainkan unit lampu kabus yang telah dibuang serta ketiadaan corong ekzos di bahagian belakang.

Apa pendapat anda tentang projek elektromod Nissan GT-R R32 EV?