Arkib Tag: tesla roadster

Tesla Roadster boleh pecut 0-60 bsj bawah satu saat, Mate Rimac kata “tak mustahil, tapi…”

Siapalah Elon Musk tanpa kenyataan-kenyataan yang bombastik dan agak keterlaluan untuk sebuah model baharu yang masih lagi belum kunjung tiba.

Beberapa hari lepas, Elon Musk mendedahkan perincian prestasi yang bakal dihamburkan oleh Tesla Roadster, di mana pecutan 0-60 batu sejam (0-96 km/j) boleh dicapai dalam masa kurang satu saat.

Mungkin ramai tidak bersetuju dengan dakwaan Elon Musk, namun dalam satu hantaran di Facebook, CEO Rimac, Mate Rimac mendedahkan perkara tersebut sebenarnya tidak mustahil untuk dicapai.

 

 

Jelasnya, pecutan di bawah satu saat boleh dicapai sekiranya ia dibuat dengan bantuan pendorong (thruster) berdasarkan simulasi yang telah dibuat.

“Masalahnya ialah, anda akan melepaskan udara dalam tempoh dua hingga tiga saat, dan dalam masa yang sama anda membawa sekali beban mati seperti tangki, pemampat, injap dan sebagainya.

“Sama seperti bantuan kipas, ia mungkin akan memberikan lebih cengkaman, namun anda perlukan sekitar 30,000 Nm pada roda untuk memecut bawah satu saat, bermakna anda memerlukan unit motor, penyongsang, kotak gear, aci pemacu dan sebagainya yang lebih besar.

Rimac turut menambah, kereta tersebut perlulah ‘super ringan’, dan agak sukar untuk dicapai melihatkan kepada standard kenderaan elektrik masa kini, termasuklah kereta elektrik berprestasi tinggi.

 

 

Malah, Rimac Nevera yang mampu memecut sepantas bawah dua saat dari 0-96 km/j juga memiliki berat melebihi 2 tan.

Menariknya, pada tahun 2018 CEO Tesla pernah mencadangkan Roadster akan mempunyai sekitar 10 unit pendorong roket kecil di sekeliling kereta, bagi membolehkan pecutan 0-60 batu sejam yang lebih pantas.

Opsyen itu dinamakan sebagai SpaceX Option, selain mampu meningkatkan aspek pecutan, ia juga boleh menambah baik aspek kelajuan tertinggi, brek dan mengambil selekoh. Mungkin juga boleh menyebabkan sesebuah Roadster itu ‘terbang’.

Tesla Roadster bakal mampu pecut 0-96km/j kurang satu saat – Elon Musk

PADA 16 November 2017, Tesla mendedahkan Roadster generasi kedua. Tetapi hingga kini, kereta sports elektrik (EV) itu masih belum dikeluarkan.

Tetapi menurut Elon Musk, penantian itu akan berakhir. Beliau baru-baru ini menulis di akaun X (Twitter) miliknya berkenaan prestasi EV sports itu.

Katanya, “Tidak akan ada kereta lain seperti ini, itu pun jika anda mahu panggil ia sebuah kereta.”

“Saya rasa ia akan menjadi demo produk paling menakjubkan,” tulisnya.

Beliau merujuk kepada kemampuan kereta itu untuk memecut ke 60 batu sejam (96km/j) dalam masa kurang satu saat. Ya, kurang satu saat!

Menurutnya lagi, reka bentuk Roadster itu telah dimuktamadkan dan kita bakal lihat kereta sebenar menjelang penghujung tahun ini.

Semasa Tesla Roadster mula didedahkan kepada umum pada 2017, ia didakwa mampu memecut ke 96km/j dalam masa 1.9 saat dan mencapai 160km/j dalam masa 4.2 saat.

Kereta sports pacuan semua-roda (AWD) itu dikatakan boleh dipandu melebihi 400km/j dengan jarak pemanduan hampir 1,000km sekali cas.

Hanya pada Mei 2021, Musk mendakwa kereta ini boleh memecut ke 96km/j dalam 1.1 saat.

Dalam perkembangan terkini, dakwaannya lebih dramatik – pecutan yang sama dalam masa kurang 1 saat.

Kami tak pasti sama ada kata-kata ini boleh dipercayai, tetapi ini adalah Elon Musk. Beliau terbukti membuat pelbagai kerja gila yang dikatakan mustahil oleh orang lain.

Dari segi pengetahuan kami, untuk mencapai pecutan super-pantas, motor elektrik dan sistem kereta tidak menjadi masalah besar.

Tetapi faktor terbesar adalah tayar dan manusia itu sendiri. Akan adakah tayar yang mampu bertahan dengan tork dan geseran pada tahap tinggi, serta bolehkah pemandu biasa menahan tekanan-G lateral dengan pecutan ini.

Gambar oleh: Eteknix

Sebagai rujukan, pelancar stim jet pejuang di atas kapal pengangkut mampu ‘menarik’ pesawat dari kedudukan statik ke kelajuan 270km/j dalam masa dua saat. Tetapi juruterbang pejuang perlu melalui pelbagai ujian fizikal bagi melayakkan mereka berada di kokpit.