Tesla Malaysia mengumumkan kemas kini penawaran sedan elektrik Model 3 2025 dengan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.
Pembeli di Malaysia kini boleh mendapatkan varian baharu Long Range RWD yang menawarkan jarak gerak sehingga 750 km pada harga RM185,000.
Selain itu, harga jualan varian asas RWD telah disemak semula, kini bermula serendah RM169,000 berbanding RM181,000 ketika debut beberapa tahun lepas.
Varian Long Range AWD pula kini serendah RM199,000 (turun RM11 ribu) sementara varian Performance AWD pula berharga RM229,000 (turun RM13,000).
Selain perubahan harga, Tesla turut mengumumkan perubahan spesifikasi seperti berikut:
penambahan kamera hadapan
tuil isyarat membelok tradisional
logo Tesla hitam kusam
Menjelang akhir 2025, difahamkan lebih banyak stesen pengecasan yang akan didirikan oleh Tesla seperti di Pavilion
Damansara Heights, Nexus Bangsar South, dan The Mall, Mid Valley Southkey.
Sehingga kini, sebanyak 15 stesen Supercharger (68 unit pengecas) dan 16 stesen pengecasan destinasi (73 unit pengecas destinasi) telah beroperasi di seluruh Malaysia.
Selari dengan pendekatan yang dibuat di pasaran global, Tesla Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan pengurangan harga jualan sehingga RM8,000 untuk dua model kenderaan elektriknya, iaitu Model 3 dan Model Y.
Ini bermakna, anda boleh mendapatkan sedan elektrik Tesla Model 3 versi RWD dengan harga bermula dari RM181,000.
Versi Long Range AWD pula kini berharga RM210,000 berbanding harga asal RM218,000, manakala varian Model 3 Performance pula kekal tidak berubah (RM242,000).
Mereka yang mahukan Tesla Model Y kini boleh mendapatkan versi asas RWD pada harga bermula dari RM191,000, berbanding harga asal RM199,000 semasa pelancaran rasmi dibuat.
Versi pertengahan Model Y Long Range AWD pula berharga RM238,800 (harga asal RM246,000) manakala varian Model Y Performance pula kini berharga RM280,000 (harga asal RM288,000).
Kesemua model kenderaan Tesla buat masa ini masih lagi dikecualikan daripada cukai import, duti eksais dan cukai jualan 100 peratus, di mana pengecualian ini adalah sah sehingga akhir tahun 2025.
Berita berkenaan kehadiran sebuah lagi model aras mula yang akan diposisikan di bawah Tesla Model 3 telah pun lama berlegar di ruang maya sejak beberapa tahun yang lalu.
Sama ada projek tersebut masih lagi berjalan atau tergendala, hanya Elon Musk sahaja yang tahu.
Namun menurut laporan terkini daripada Reuters, Tesla dikatakan telah membatalkan projek kenderaan elektrik (EV) mampu milik dengan julat harga sekitar $25,000 (RM118,675).
Laporan itu tidak menyebut secara spesifik sebab pembatalan projek tersebut, namun dipercayai Tesla terkesan dengan kehadiran pelbagai jenis model pesaing daripada negara China.
Selain daripada itu, Reuters turut memetik beberapa sumber yang mendakwa keputusan itu telah pun dibuat sejak lewat Februari lagi.
Malah, satu mesej bertarikh 1 Mac menasihatkan kakitangan kejuruteraan supaya tidak memberitahu pembatalan program tersebut kepada para pembekal.
Satu lagi sumber mendakwa Tesla sedang mengalihkan tumpuan daripada menghasilkan kereta mampu milik kepada pembangunan teksi robot (robotaxi).
Tesla tidak memberikan sebarang maklum balas, namun CEO-nya Elon Musk menjelaskan di dalam laman mikroblog X (Twitter) dengan berkata, “Reuters sedang menipu (lagi).”
Tesla Model 2 digembar-gemburkan sebagai sebuah hatchback kecil yang mampu memberikan saingan kepada Chevrolet Bolt dan Nissan Leaf.
Namun, sejak khabar angin tentang kewujudan Tesla Model 2 tersebar, trend pemilikan EV telah pun banyak berubah.
Malah, beberapa laporan terkini mendedahkan permintaan terhadap kenderaan elektrik kini semakin menurun, dan beberapa pengeluar mula menyemak semula perancangan mereka untuk menjadi jenama EV sepenuh masa.
Di negara China itu sendiri Tesla berdepan dengan saingan yang cukup hebat, sehinggakan keadaan memaksa pengeluar US itu ‘membuang’ harga beberapa kali demi memberikan cabaran kepada EV yang lebih mampu milik di sana.
Di Malaysia, kita sudah pun mempunyai jaringan pengecasan Tesla Supercharger V3.
Di beberapa tempat di negara Amerika Syarikat seperti Nevada, Alabama dan Oregon, pengguna dan pemilik Tesla kini disediakan dengan kemudahan Supercharger V4 yang lebih terkini, dan membawakan rekaan badan yang lebih solid.
Berbeza dengan Supercharger V3, Supercharger V4 kini menyediakan penyesuai CCS-1 (Magic Dock), pembaca kad kredit digital, skrin paparan yang kompak, serta kabel pengecas sepanjang 3 meter.
Kemudahan penyesuai Magic Dock ini kelak membolehkan pemilik EV bukan berjenama Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka.
Berdasarkan video demonstrasi oleh YouTuber Kim Java, Supercharger V4 ini mampu mengecas bateri Tesla Model 3 dari SoC 20 hingga 60 peratus dalam tempoh masa 10 minit sahaja.
Buat masa ini, Supercharger V4 masih lagi menarik kuasa daripada kabinet V3, namun terdapat potensi untuk pengecasan yang lebih pantas pada masa akan datang.
Ini kerana secara teorinya, Supercharger V4 mempunyai keupayaan pengecasan setinggi 615 kW berdasarkan pelekat spesifikasi yang terdapat pada badan pengecas tersebut.
SEDAN elektrik yang menjadi bualan ramai di Malaysia sejak beberapa bulan yang lalu iaitu Tesla Model 3 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan secara rasmi.
Versi facelift yang juga dikenali sebagai Highland ini boleh didapati dalam dua varian iaitu Standard Range Rear Wheel Drive (RWD) yang dijual pada harga RM189,000 dan Long Range All-Wheel Drive (AWD) yang berharga RM218,000.
Kedua-dua varian didatangkan dengan waranti asas kenderaan selama 4 tahun/80,000 km. Waranti bateri dan unit pacuan pula adalah 8 tahun/160,000 km untuk varian Standard dan 8 tahun/192,000 km untuk Long Range.
Model 3 Standard Range dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan boleh dipandu sejauh 513 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 201 km/j.
Sementara itu, varian Long Range mempunyai pek bateri lebih besar yang menawarkan jarak pandu yang lebih jauh iaitu 629 km.
Dengan motor elektrik berkembar yang secara langsung memberikan ia pacuan AWD, varian ini hanya memerlukan 4.4 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Bagaimanapun, kelajuan maksimum sama dengan Standard Range iaitu 201 km/j.
Untuk pengecasan, Model 3 Standard Range menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW manakala varian Long Range boleh menampung sehingga 250 kW.
Menurut Tesla, stesen pengecas Supercharger boleh memberikan jarak pandu sejauh 282 km dalam masa 15 minit sahaja.
Dari segi penampilan, Model 3 mendapat rekaan yang lebih aerodinamik dengan kadar pekali seretan serendah 0.219 Cd. Rekaan lampu hadapan lebih langsing, manakala lampu belakang menampilkan bentuk C yang lebih menonjol.
Varian Standard Range didatangkan dengan rim Photon 18 inci, manakala varian Long Range pula mendapat rim Nova 19 inci yang boleh didapati dengan harga tambahan sebanyak RM7,500.
Warna Pearl White ditawarkan secara standard tanpa sebarang bayaran tambahan, manakala warna Solid Black dan Deep Blue Metallic memerlukan tambahan sebanyak RM5,000.
Untuk warna Stealth Grey, pelanggan perlu membayar RM7,500 manakala warna Ultra Red pula berharga RM11,000.
Di dalam, upholsteri kulit berwarna hitam didatangkan secara standard, manakala upholsteri hitam dan putih boleh dipesan pada harga RM5,000.
Selain skrin sentuh berukuran 15.4 inci pada bahagian hadapan, Model 3 kini didatangkan dengan skrin sentuh lapan inci untuk penumpang belakang.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk dua pengecas wayarles, pencahayaan ambien, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan, belakang dan stereng, sistem audio dengan 17 pembesar suara, dua subwoofer dan dua amplifier, serta kaca akustik 360 darjah.
Sistem Basic Autopilot disertakan secara standard, manakala Enhanced Autopilot dengan Auto Lane Change dan Autopark ditawarkan pada harga RM16,000.
Mereka yang inginkan sistem Enhanced Autopilot dengan keupayaan Full Self Driving boleh mendapatkannya pada harga RM32,000.
LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.
Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.
Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.
Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.
Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.
Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.
“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.
Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.
TESLA Malaysia nampaknya semakin giat menapakkan diri mereka ke negara ini. Dalam perkembangan terbaharu, Model 3 pula menjadi model kedua bakal diperkenalkan, dan ia kini sudah boleh mula ditempah!
Tesla Model 3 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM189,000 untuk RWD, dan bermula RM218,000 bagi AWD (Long Range).
Tesla Model 3 Rear Wheel Drive
Bateri: Standard Range
Jarak pemanduan: Sehingga 513km
Pecutan 0-100: 6.1 saat
Pacuan: Roda belakang
Berat: 1,765kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Tesla Model 3 Dual Motor AWD (Long Range)
Bateri: Long Range
Jarak pemanduan: sehingga 629km
Pecutan 0-100: 4.4 saat
Pacuan: Dual Motor All-Wheel Drive
Berat: 1,828kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Sama seperti Tesla Model Y yang dilancarkan baru-baru ini, Model 3 juga pastinya hadir dengan lambakan pilihan yang kita boleh tambah. Kami jangkakan pelancaran Tesla Model 3 bakal dibuat tidak lama lagi, dalam suku keempat tahun ini juga.
Kami akan laporkan lagi perkembangan seterusnya sebaik kami mendapat maklumat. Apa pendapat anda dengan langkah agresif Tesla di Malaysia ini?