Kejuaraan perlumbaan simulasi Unleashed Youth Simracing Championship telah pun melabuhkan tirainya di Sunway Pyramid pada 17 Ogos yang lalu.
Pusingan akhir kejuaraan yang dianjurkan oleh Cove Circuit dan ditaja oleh Castrol Malaysia itu menyaksikan lebih 400 penyertaan dari seluruh Malaysia untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM30,000.
Lebih 349 peserta bertanding dalam kategori lelaki sementara kategori wanita pula memperlihatkan 93 orang pelumba yang menunjukkan peningkatan tahap minat perlumbaan simulasi di kalangan wanita.
Juara kategori lelaki membawa pulang hadiah utama bernilai RM6,000 sementara juara kategori wanita pula membawa pulang hadiah RM3,000.
Pengunjung turut dihiburkan dengan kehadiran ikon sukan permotoran Malaysia, Leona Chin, penyanyi Ismail Izzani, pencipta kandungan Taufiq Hannafi serta personaliti tempatan yang lain.
Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif meluas Castrol yang menggabungkan keterujaan sukan permotoran dengan kempen kesedaran penjagaan enjin menerusi siri jelajah di beberapa universiti di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Selain daripada demonstrasi penggunaan minyak enjin yang tepat – seperti Castrol Edge yang dapat meningkatkan kuasa, pecutan dan ketahanan enjin, pengguna juga dapat menikmati promosi eksklusif untuk produk Castrol Edge dan Castrol Magnatec sepanjang acara berlangsung.
Tahun ini, Castrol berjaya mencuri tumpuan lebih 100,000 pengunjung Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) dengan pameran lukisan liversi Castrol pada jentera lagenda JDM Nissan Silvia S14 oleh Zameer Pentbrush, selain acara interaktif dan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.
