Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan.
Dalam kempen selama 11 hari, seramai lebih 600 penerima bantuan termasuklah keluarga B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf fakir dan miskin serta masyarakat Orang Asli menerima bantuan berbentuk makanan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.
Bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:
· Lembah Klang: 200 penerima (Kumpulan B40, Asnaf, dan OKU di Pangsapuri Putra Ria & Abdullah Hukum).
· Pulau Pinang: 100 penerima (Komuniti B40 dan Asnaf di George Town & Jalan Patani).
· Ipoh: 150 penerima (Ibu tunggal, kumpulan B40, dan Asnaf di Sungai Rokam).
· Kuantan: 150 penerima (masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang).
Teras kepada kempen tempatan ini ialah penggunaan Klinik Bergerak Ford yang dilancarkan pada Februari tahun ini.
Dalam usaha sama melibatkan Auto ConneXion-Ford, Yayasan Sime Darby, Ford Philantrophy dan MyFundAction, Klinik Bergerak Ford menempatkan tenaga profesional penjagaan kesihatan ke empat lokasi tersebut untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di kawasan luar bandar.
Aktiviti di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada Bulan Keprihatinan Global Ford, iaitu program sukarelawan global tahunan di bawah inisiatif Ford Philantrophy.
Usaha tempatan ini menyumbang kepada penganjuran Kempen Derma Makanan Pengedar Automotif Terbesar Dunia di bawah inisiatif Membina Bersama Ford melibatkan lebih 1,600 pengedar Ford di 31 buah negara.
Program ini berjaya mengumpulkan lebih 907,000 kg bekalan makanan, melebihi sasaran asal sebanyak 500,000 kg.
Auto ConneXion-Ford sebelum ini pernah melaksanakan bantuan kemasyarakatan seperti Projek Air Bersih di Gerik dan Operasi Dunia Lebih Baik di Kuala Lumpur.
