Arkib Tag: tanda dagang

Toyota dilapor daftar tanda dagang “GR Celica” di Brazil

Jika anda mengikut rapat perkembangan semasa Toyota, pastinya anda sudah terbaca beberapa berita yang menyebut tentang kemunculan semula satu nama ikonik – Celica.

Desas-desus tentang kemunculan semula nama Celica telah pun berlegar di alam maya sejak bertahun lamanya.

Namun begitu, segala spekulasi tersebut akhirnya terjawab apabila naib presiden Yuki Nakajima mengesahkan berita pembangunan model baharu Celica kepada umum ketika penganjuran Rally Japan pada November 2024.

Berita tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan terbaharu di mana pengeluar itu telah pun mendaftarkan tanda dagang “GR Celica” di pasaran Brazil bertarikh 15 Januari dan diterbitkan secara rasmi pada 4 Februari yang lalu, menurut laporan Carscoops.

Dengan kewujudan perkara tersebut, ia mencadangkan bahawa model GR Celica akan turut ditawarkan di benua Amerika Selatan bersama-sama pasaran utama seperti Eropah dan Jepun.

Walau bagaimanapun, keputusan ini akan tertakluk kepada strategi pemasaran Toyota serta sama ada enjin baharu itu bakal mematuhi peraturan emisi yang dikhususkan untuk pasaran tersebut.

Terdapat beberapa laporan yang mencadangkan GR Celica akan disumbatkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo, dengan janaan kuasa sekitar 400 hp dan padanan sistem pacuan semua roda GR-Four.

Enjin baharu itu sebenarnya telah pun diperlihatkan oleh Toyota pada model GR Yaris M Concept, membawakan kod G20E yang diposisikan di bahagian tengah (mid-ship).

Dua persoalan timbul: Adakah GR Yaris M Concept ini sebenarnya petunjuk konfigurasi enjin GR Celica, atau ia sebenarnya merujuk kepada sebuah lagi model, iaitu pengganti MR2?

 

Mitsubishi hidupkan semula plet nama Montero, Lancer Sportback – laporan

Jenama Mitsubishi sebelum ini pernah mengecewakan para peminatnya menerusi penamatan produksi siri sedan sports Lancer Evolution selepas generasi ke-10.

Kemudian, mereka menghidupkan semula plet nama kereta sports ikonik Eclipse dengan cara yang tidak sepatutnya dilakukan – menampal nama itu pada sebuah crossover.

Nasib yang sama mungkin akan menimpa dua plet nama yang cuba dihidupkan semula oleh Mitsubishi, iaitu Montero dan Lancer Sportback.

 

Menurut laporan Motor1, Mitsubishi baru-baru ini telah mendaftarkan tanda dagang bagi nama Montero dan Lancer Sportback di bawah kategori automobil di pejabat US Patent and Trademark Office (USPTO).

Mitsubishi Lancer Sportback merupakan varian hatchback lima pintu bagi sedan Lancer generasi kesembilan, di mana model ini juga pernah dijual secara rasmi di pasaran Malaysia pada tahun 2010.

Penemuan pendaftaran bagi nama Lancer Sportback ini agak menarik perhatian, memandangkan kita semua tahu Mitsubishi telah menjalin bekerjasama dengan Nissan untuk menawarkan pelbagai model-model hibrid dan elektrik untuk beberapa pasaran dunia, termasuklah model yang menggunakan asas Nissan LEAF generasi baharu.

Terdapat ura-ura plet nama Lancer Sportback ini akan digunakan semula oleh Mitsubishi untuk model crossover elektrik generasi baharu itu.

 

 

Bagi mereka yang tidak biasa mendengar nama Montero, ia merupakan nama khusus yang digunakan oleh Mitsubishi untuk model SUV saiz penuh Pajero di pasaran seperti Amerika Utara, Amerika Latin dan Sepanyol.

Mitsubishi Pajero telah pun wujud di pasaran sejak generasi pertama muncul pada tahun 1981, sebelum ia ditamatkan produksi pada tahun 2021 disebabkan permintaan yang semakin berkurangan.

 

 

Adakah nama Montero ini bakal digunakan kembali untuk model Pajero Sport generasi baharu?

Sama seperti Montero, Pajero Sport merupakan sebuah SUV dengan binaan ladder-frame namun ia menggunakan casis Triton sebagai asas.

Untuk makluman, generasi ketiga Pajero Sport (asas Triton generasi kelima) masih lagi dijual di beberapa pasaran utama dunia termasuklah Australia, Indonesia dan Thailand sehingga kini.

 

 

Dalam strategi jangka sederhana “Challenge 2025” yang dibentangkan tahun lalu, tidak kurang dari 16 buah model baharu yang bakal dilancarkan oleh Mitsubishi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antaranya ialah trak pikap generasi baharu Triton (yang sudah dilancarkan tahun lepas), serta sebuah SUV PPV (Pickup Platform Vehicle) yang mungkin dibina berdasarkan platform Triton generasi keenam.