Nampak rupa depan macam Suzuki Jimny, tapi usah tertipu dengan hasil kerja yang cukup kemas ini.
Model yang nampak macam Jimny ini sebenarnya ialah Suzuki S-Presso, sebuah crossover segmen A yang dihasilkan oleh Maruti Suzuki untuk pasaran seperti Afrika, Asia Tenggara, India dan Timur Tengah.
Kit badan yang diinspirasikan oleh SUV off-road Jimny ini sebenarnya direka oleh syarikat GH Style yang bertapak di Indonesia.
Perubahan yang ketara sudah pasti di bahagian hadapan, di mana ia kini digantikan dengan struktur baharu lengkap dengan lampu bulat, jeriji bersegi dan bampar baharu yang menempatkan perumah lampu kabus.
Selain itu, S-Presso ini turut dipadankan dengan fender flare yang lebih lebar, diikuti dengan spoiler belakang dan bampar belakang yang direka semula.
Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim baharu berwarna putih.
Dari segi kuasa, Suzuki S-Presso mendapat enjin tiga silinder sebaris 998 cc menghasilkan 67 hp dan 90 Nm.
Nampak macam kurang berkuasa, tapi ia sudah lebih daripada mencukupi untuk menjadikan pemanduan S-Presso seberat 730 kg ini lebih lincah di laluan bandar.
