Arkib Tag: Suzuki Malaysia

AMI-Suzuki anjur kempen keselamatan jalan raya sempena CNY 2026

Suzuki Malaysia bersama AFY Mobility Industries (AMI) menganjurkan Kempen Keselamatan AMI-Suzuki 2026 sempena Tahun Baharu Cina 2026 (CNY 2026).

Kempen ini dirasmikan oleh Datuk Jazmanie Shafawi selaku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah Ahmad Faez Yahaya selaku Pengerusi Eksekutif AFY Mobility Industries dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

 

Keselamatan Bermula Dengan Kita

Dalam ucapannya, Datuk Jazmanie berkongsi statistik kemalangan yang membimbangkan terutama di kalangan golongan muda.

Ujarnya, lebih 80 peratus kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal, dan hampir 50 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berusia antara 16-25 tahun.

Datuk Jazmanie menjelaskan walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan, aspek kesedaran dan tanggungjawab individu kekal sebagai faktor paling penting.

Ia adalah selaras dengan tema kempen tahun ini, iaitu “Keselamatan Bermula Dengan Kita”.

Menurut Ahmad Faez, adalah menjadi tanggungjawab Suzuki Malaysia sebagai pengeluar, pemasang dan pengedar untuk memastikan setiap produk mengutamakan aspek keselamatan.

Jelasnya, setiap produk Suzuki, AFAZ dan Moda di bawah Kumpulan AMI dilengkapi dengan lampu LED yang lebih terang untuk meningkatkan tahap keterlihatan dan mengurangkan risiko kemalangan.

Komitmen ini menjadi asas kepada penganjuran kempen yang menawarkan pemeriksaan keselamatan 16-poin secara percuma kepada orang ramai.

 

Serah 200 unit topi keledar & jaket keselamatan

Kempen ini turut mendapat sokongan daripada AEON Credit Malaysia dan Tokio Marine Insurance.

Hampir 200 unit topi keledar dan 200 jaket keselamatan telah diagihkan kepada para peserta yang sudah menjalani pemeriksaan keselamatan motosikal.

Selain itu, 30 buah topi keledar turut diedarkan kepada kanak-kanak berusia 4-6 tahun sebagai usaha memupuk kesedaran sejak kecil.

Suzuki Fronx Hybrid rasmi di Malaysia – harga RM147,888

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan SUV terbaharu Suzuki Fronx Hybrid untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM147,888.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Fronx Hybrid membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,995 mm, lebar 1,765 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,520 mm.

Ia turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, dengan ruang kargo sebesar 308 liter.

 

2. Enjin

Fronx dikuasakan oleh enjin hibrid ringan 1.5 liter (kod K15C) dengan kuasa 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

Dengan tangki bahan api sebesar 37 liter, Suzuki Fronx Hybrid ini mampu bergerak sejauh 700 km (data WLTP).

 

3. Suspensi & brek

Sistem gantungan Fronx terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera berliang pada gandar depan, diikuti dengan brek gelendong di belakang.

 

4. Kelengkapan luaran

Secara standard, Fronx Hybrid mendapat kelengkapan seperti rel bumbung, rim 16 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED, skid plate pada bahagian depan, sisi dan belakang, visor pintu, serta kemasan krom pada jeriji depan.

 

5. Dalaman

Untuk ruang kabin, terdapat tempat duduk balutan fabrik/kulit, roda stereng kuasa elektrik (EPS) tiga jejari, paddle shifter, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin paparan head-up, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Fronx Hybrid turut menyertakan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDW), pengelakan keluar lorong (LDP), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan penukaran lorong (LCA), bantuan suluhan tinggi (HBA) dan sistem kamera keliling 360 darjah.

Terdapat beberapa warna ditawarkan termasuklah Magma Gray, Pearl Snow White, Cool Black, Pearl Mellow Deep Red serta tiga warna dua tona iaitu Rising Orang/Cool Black, Ice Grayish Blue/Cool Black dan Savanna Ivory/Cool Black.

Suzuki GSX-8T, GSX-8TT kini di Malaysia – harga dari RM59,600

Suzuki Malaysia Sdn Bhd mengumumkan ketibaan dua buah model motosikal terbaharu, iaitu Suzuki GSX-8T dan Suzuki GSX-8TT bersempena penganjuran MotoGP Malaysia baru-baru ini.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 776 cc DOHC menghasilkan kuasa 80 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 77 Nm @ 6,800 rpm.

Biarpun dibina berdasarkan platform GSX-8 yang moden, kedua-dua model ini dibezakan menerusi penggayaan neo-retro.

GSX-85 mengambil inspirasi daripada jentera klasik Suzuki T500 Titan dengan ciri seperti:

  • unit lampu LED berbentuk bulat
  • kemasan tangki bahan api dan pelana unik
  • logo timbul 3D pada reraup sisi

Sementara model GSX-8TT pula membawakan sentuhan rekaan motosikal lumba jalanan Suzuki dari era 70-an dan 80-an seperti GS750 dan GS1000 dengan ciri seperti:

  • perumah lampu hadapan
  • pelindung enjin (under cowl)
  • fork berwarna hitam
  • hiasan jalur sisi

Secara standard, kedua-dua model hadir dengan ciri berikut:

  • fork teleskopik jenis terbalik/penyerap hentak tunggal belakang
  • brek cakera berkembar depan/cakera tunggal belakang
  • skrin paparan TFT lima inci
  • sistem pendikit Ride-by-Wire
  • penukaran gear pantas dua arah
  • ABS dua saluran
  • Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S)
  • tangki bahan api 16.5 liter
  • tinggi pelana 815 mm

Harga jualan bermula dari RM59,600 untuk model GSX-8T, dan dari RM63,600 untuk model GSX-8TT.

Suzuki GSX-8T

Suzuki GSX-8TT

Suzuki Swift Sport Final Edition 2025 kini di Malaysia – terhad 30 unit, harga dari RM137,900

Naza Eastern Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Suzuki melancarkan model hatchback Swift Sport Final Edition untuk pasaran tempatan.

Swift Sport Final Edition ini merupakan model import sepenuhnya, dan hanya ditawarkan terhad 30 unit, setiap satu dijual pada harga RM137,900.

 

Dari segi luaran, model ini mendapat kemasan pelekat hiasan emas pada hud enjin dan bahagian sisi, diikuti logo “Final Edition 68”, tip ekzos berkembar dan visor pintu.

Untuk ruang kabin pula terdapat kemasan ala gentian karbon pada papan pemuka, panel pintu dan konsol gear, diikuti skrin infohibur sebesar 10 inci dengan sistem audio Soundstream.

Suzuki Swift Sport Final Edition ini masih kekal dengan enjin 1.4 liter turbo Boosterjet dengan hamburan kuasa 140 PS dan 230 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Kelengkapan standard pula terdiri daripada rim aloi bersaiz 16 inci, lampu projektor LED, pemegang pintu belakang tersembunyi, sistem kemasukan tanpa kunci dan kamera undur.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, peringatan tali pinggang keledar, ABS, EBA, ESP, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.

Suzuki SV650 2025 rasmi di Malaysia – harga RM29,900

Suzuki Malaysia baru-baru ini melancarkan motosikal ikonik SV650 2025 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM29,900.

Jentera naked dengan penggayaan neo-retro ini dikuasakan oleh nadi v-twin 645 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 69.3 hp @ 8,350 rpm dan daya kilas 59.9 Nm @ 8,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi pacuan rantai dan transmisi enam nisbah kelajuan.

SV650 ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang dibantu dengan sistem ABS.

Selain daripada itu, ciri lain termasuklah skrin paparan instrumen LCD penuh, tangki bahan api sebesar 14.5 liter, tinggi pelana 785 mm, fungsi Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System.

Terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Pearl Vigor Blue/Metallic Mat Black No. 2, Pearl Mat Shadow Green/Metallic Mat Black No. 2 dan Metallic Mat Black No. 2.

Dalam masa yang sama, Suzuki Malaysia turut memperkenalkan pasukan perlumbaan AMI Suzuki Motorsport (ASM).

Pasukan ini akan menyertai MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) di bawah kategori MSBK1000, serta MotoMSF di bawah kategori MSF Superbike.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 rasmi, 26.1 hp, 22.2 Nm, harga RM17,800

Suzuki Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure 250 cc, iaitu Suzuki V-Strom 250 SX 2024 untuk pasaran tempatan setelah diperlihatkan buat kali pertama di KL Bike Show tahun lepas.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 26.1 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm, dibantu dengan sistem sejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System) dan Suzuki Easy Start System.

Ciri yang dimuatkan pada jentera ini termasuklah fork hadapan teleskopik, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-bebanan tujuh tahap, dan rim bersaiz 19 dan 17 inci berserta balutan tayar MRF jenis semi-block.

Sistem ABS dua saluran dibekalkan sebagai ciri standard sebagai pelengkap kepada sistem brek cakera yang terdiri daripada rotor 310 mm depan dan 240 mm belakang.

Selain daripada itu, Suzuki V-Strom 250 SX turut menampilkan unit pencahayaan LED depan dan belakang, grafik sporti, peredam ekzos muncung berkembar, penghadang angin, pelindung bar hendal, dan rak belakang aluminium.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan LCD negatif, lengkap dengan lampu indikasi rpm yang boleh ditetapkan oleh penunggang, serta slot USB untuk pengecasan peranti pintar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12 liter, diikuti dengan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm sementara tinggi pelana pula sekitar 835 mm.

Terdapat juga pelbagai aksesori yang tersedia termasuklah bar pelindung, kotak simpanan 27 liter, pemanas bar hendal, pelapik tangki bahan api, decal roda serta pilihan tempat duduk 25 mm lebih rendah.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Champion Yellow No. 2, Pearl Blaze Orange, dan Glass Sparkle Black.

Harga jualan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM17,800.

Suzuki Gixxer 250, jentera ringkas untuk berseronok – Tunggang Uji

Pemilihan jentera streetfighter mampu milik yang bertepatan dengan jiwa merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng.

Silap haribulan, anda mungkin terpaksa menjual kembali motosikal tersebut disebabkan ia tidak menetapi cita rasa peribadi.

Untungnya bagi para pemegang lesen B2 di Malaysia, kita disajikan dengan bermacam-macam jenis model motosikal di bawah sesaran 250 cc, baik dari negara Jepun, Sweden, India malah motosikal buatan China pun ada!

Suzuki Gixxer 250 telah pun memasuki pasaran Malaysia pada penghujung tahun lepas, dengan tag harga yang agak mencuri tumpuan – sekitar RM14,500.

Mungkin ketibaannya agak lewat, namun penulis berpendapat Suzuki Gixxer 250 mampu menjadi pencabar sengit kepada model-model 250 cc yang ada di luar sana.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami setelah beberapa hari bercinta dengan jentera Suzuki Gixxer 250 ini:

 

1. Gaya streetfighter yang.. biasa-biasa je

Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam pasaran, Gixxer 250 tidaklah mempunyai rupa paras yang agresif.

Lampu utama LED berbentuk oval dengan pencahayaan tiga lapis itu memang nampak moden, cuma ia tidak diseimbangkan dengan lampu membelok LED, hanya guna mentol sahaja.

Samalah juga halnya dengan bahagian belakang.

Namun begitu, aspek pencahayaan motosikal ini cukup cemerlang ketika ditunggang pada waktu malam.

 

2. Posisi tunggangan yang lebih asli

Satu perkara yang penulis gemar pada mana-mana motosikal naked ialah posisi tunggangan yang lebih mesra tulang belakang.

Almaklumlah, usia dah masuk 30 siri, jadi posisi tunggangan yang sporti bukanlah satu pilihan untuk perjalanan merentas daerah dan negeri.

Jadi dengan Gixxer 250, ia menawarkan postur tunggangan yang lebih natural terima kasih kepada bar hendal yang lebih tegak, ditambah pula dengan tinggi pelana 795 mm yang lebih mesra individu kurang inci dan dimensi kusyen yang agak lebar.

Kesannya, lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Posisi tempat pemijak kaki juga memuaskan, cuma kedudukannya yang hampir dengan topang sisi membuatkan kaki kiri rasa terganggu saat mahu mengeluarkan topang sisi.

 

3. Kuasa kuda yang seronok untuk diperah

Secara standard, Suzuki Gixxer 250 dibekalkan dengan enjin 249 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 26.7 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm.

Bunyi dia mungkin tidak seagresif pesaing-pesaing lain, namun berdasarkan pengalaman, Gixxer 250 ini mampu menawarkan tunggangan yang agak lincah dan bertenaga, terutama apabila memasuki julat pertengahan putaran enjin.

Untuk kegunaan dalam bandar memang tidak menjadi sebarang masalah, malah penulis juga seronok menunggang jentera ini merentas daerah untuk menghirup angin Selat Melaka.

Kotak gear enam nisbah kelajuan itu sayang sekali tidak diberikan ciri klac assist & slipper, namun usah risau kerana setiap penukaran gear dirasakan begitu lancar sepanjang perjalanan.

Gixxer 250 juga didatangkan dengan lampu indikasi penukaran gear yang akan memberikan peringatan kepada penunggang.

 

4. Jentera mesra selekoh

Tidak tergerak di hati untuk menguji kelajuan tertinggi jentera ini, memandangkan Gixxer 250 ini sebenarnya lebih seronok ditunggang di laluan-laluan yang jauh dari lebuh raya.

Walaupun datang dengan tetapan standard fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal, akan tetapi tetapan inilah yang membuatkan Gixxer 250 sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Segala gegaran dan ketidakrataan jalan diserap dengan baik, dan masih lagi mampu mengekalkan kestabilan pergerakan sewaktu melayan selekoh-selekoh.

Tayar standard saiz 110/70 depan dan 150/60 di belakang juga sedikit sebanyak membantu Gixxer 250 ini melekat baik pada lapisan aspal jalan, diikuti dengan sistem brek ABS dua saluran yang membantu aspek pemberhentian jentera ini dengan lebih berkesan.

Atas kertas memang boleh nampak kekurangan yang wujud pada jentera ini, namun tidak saat anda membawanya keluar dari garaj untuk menikmati laluan yang sebenar.

 

5. Selesa? Ya!

Salah satu perkara yang membuatkan penulis berpuas hati dengan Gixxer 250 ialah keberkesanan sistem penyejukan enjin itu sendiri.

Secara standard, Gixxer 250 datang dengan sistem sejukan minyak/udara Suzuki Oil Cooling System (SOCS) untuk memastikan kaki kiri dan kanan kekal rasa selesa sepanjang perjalanan.

Sangat berbeza dengan sebuah lagi jentera 250 cc yang penulis pernah tunggang uji sebelum ini, di mana tenaga haba yang terhasil itu boleh membuatkan kaki rasa terbakar walaupun sekadar menempuh perjalanan jarak dekat.

Tapi tidak pada Gixxer 250, di mana penulis dapat membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding kebiasaan tanpa perlu berhenti dengan kerap semata-mata untuk menyejukkan kaki.

 

6. Tidak banyak jajan tambahan

Dengan harga jualan sekitar RM14,500, Suzuki Gixxer 250 memang mempunyai beberapa kekurangan yang nyata.

Ciri yang anda mahukan seperti fork hadapan jenis terbalik, ciri penukaran gear pantas, lampu membelok LED, skrin paparan TFT berwarna dan sistem mula tanpa kunci memang tiada langsung dalam senarai spesifikasi jentera ini.

Apa yang anda akan dapat ialah sebuah jentera 250 cc mesra lesen B2 yang agak ringkas, namun masih lagi boleh digunakan untuk berseronok ketika ulang alik ke tempat kerja, atau menikmati oksigen segar bersama rakan-rakan di hujung minggu menuju ke kedai Lemang To’ Ki.

Dengan tangki bahan api sebesar 12 liter, ia sudah mencukupi untuk memastikan anda mencapai jarak tunggangan sejauh 400 km sebelum perlu singgah ke stesen minyak berikutnya.

Kesimpulannya, Suzuki Gixxer 250 mampu menawarkan pengalaman tunggangan dan pengendalian yang baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan pada julat harga yang lebih mampu milik.

Baik beli motor lain? Itu terpulang kepada pendapat peribadi. Yang pasti, ini antara jentera 250 cc yang sangat seronok untuk ditunggang.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Gixxer 250

Enjin: silinder tunggal 249 cc sejukan udara/minyak
Kuasa: 26.7 hp @ 9,300 rpm
Daya kilas: 22.2 Nm @ 7,300 rpm
Transmisi: Enam nisbah kelajuan
Tangki bahan api: 12 liter
Tinggi pelana: 795 mm

 

Malaysia Autoshow 2024: Suzuki M’sia lancar GSX-8R, GSX-S1000GT, V-Strom 800

Bertempat di acara pameran Malaysia Autoshow 2024, Suzuki Malaysia membawakan tiga model motosikal baharu, iaitu sportbike reraup penuh Suzuki GSX-8R, sport crossover Suzuki GSX-S1000GT dan motosikal kembara Suzuki V-Strom 800.

 

Suzuki GSX-8R

Pelengkap kepada penawaran motosikal naked GSX-8S, Suzuki GSX-8R merupakan sebuah sportbike dengan padanan reraup penuh pada bahagian sisi dan turut direka untuk keselesaan tunggangan jarak jauh serta kestabilan pada kelajuan tinggi.

Enjin 776 cm³ kembar selari, sejukan cecair, DOHC
Kuasa 82 hp @ 8,500 rpm, 78 Nm @ 6,800 rpm
Transmisi enam nisbah kelajuan
Fork hadapan terbalik SFF-BP Showa/belakang link-type Showa
Rim aluminium 17 inci, tayar 120/70 depan, 180/55 belakang
Sistem brek cakera berkembar 310 mm depan, cakera tunggal belakang
Tangki bahan api 14 liter
Skrin TFT LCD lima inci berwarna penuh
Lampu LED depan belakang, lampu membelok LED
Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) – Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki Traction Control System (STCS), pendikit elektronik ride-by-wire, penukar pantas quickshifter dua arah, Easy Start System, Low RPM Assist, Clutch Assist System (SCAS)
Harga: RM53,800

 

Suzuki V-Strom 800

Merupakan kembar kepada V-Strom 800DE (lebih bercirikan off-road), V-Strom 800 merupakan motosikal segmen kembara yang lebih disasarkan untuk mereka yang mahu menikmati tunggangan jarak jauh yang lebih berprestasi dan selesa.

Enjin 776 cm³ kembar selari, sejukan cecair, DOHC
Kuasa 82 hp @ 8,500 rpm, 78 Nm @ 6,800 rpm
Transmisi enam nisbah kelajuan
Fork hadapan terbalik SFF-BP Showa/suspensi belakang boleh laras Showa, larasan pra-bebanan
Brek cakera berkembar 310 mm, angkup empat omboh depan/brek cakera tunggal belakang
Rim aluminium 7 jejari, saiz tayar 110/80R19 depan, 150/70R17 belakang
Tangki bahan api 20 liter
Skrin TFT LCD lima inci berwarna penuh, slot USB
Lampu LED hadapan bertindih, lampu belakang dan membelok jenis LED
Penghadang angin boleh laras ketinggian
Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) – Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki Traction Control System (STCS), pendikit elektronik ride-by-wire, penukar pantas quickshifter dua arah, Easy Start System, Low RPM Assist, Clutch Assist System (SCAS)
Harga: RM54,800

 

Suzuki GSX-S1000GX

Motosikal ketiga yang dilancarkan di Malaysia Autoshow 2024 ialah Suzuki GSX-S1000GX, model yang menggandingkan estetika sebuah superbike dan jentera kembara yang agresif.

Enjin 999 cm³ empat silinder sebaris, sejukan cecair, DOHC
Kuasa 150 hp @ 11,000 rpm, 106 Nm @ 9,250 rpm
Transmisi enam nisbah kelajuan
Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES): Fork hadapan terbalik SFF-CA Showa depan/penyerap hentak tunggal BFRC-lite
Brek cakera berkembar 310 mm, angkup empat omboh monoblock depan/brek cakera tunggal belakang
Tangki bahan api 19 liter
Skrin TFT LCD 6.5 inci berwarna penuh, aplikasi SUZUKI mySPIN, slot USB
Lampu LED depan belakang
Penghadang angin boleh laras ketinggian
Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) – Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki Traction Control System (STCS) dengan Lift Limiter & Roll Torque Control, Active Damping Control, Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS), pendikit Ride-by-Wire, penukar gear pantas dua arah, Smart Cruise Control, Motion Track Brake System, Slope Dependent Control, Easy Start System, Low RPM Assist
Harga: RM89,900

 

Selain pelancaran tiga model terbaharu, Suzuki Malaysia turut mengumumkan kempen Cabutan Bertuah Tiket Emas Extravaganza Suzuki yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM300,000.

Peraduan ini terbuka kepada semua pelanggan yang membeli model motosikal GSX-8S, GSX-S150 atau Raider 150Fi bermula 21 Mei hingga 31 Ogos 2024.

Hadiah utama berupa sebuah Suzuki GSX-S1000GX serba baharu, sementara lima pemenang bertuah akan menikmati perjalanan eksklusif 4H3M ke Suzuki Plaza di Hamamatsu, Jepun.

10 orang pemenang berikutnya akan membawa pulang basikal Bottecchia 8-Avio dari Itali.

Kesemua proses cabutan bertuah dan penyampaian hadiah akan diberikan kepada pemenang di perhimpunan Suzuki Familia di Suzuki Monsoon Getaway 2024 yang akan dianjurkan kelak.

Suzuki Malaysia lancar skuter 125 cc Avenis, Burgman Street EX, dari RM6,980

Suzuki Malaysia baharu sahaja mengumumkan ketibaan dua skuter bersesaran 125 cc untuk pasaran tempatan, iaitu Suzuki Avenis dan Suzuki Burgman Street EX.

 

 

Direka untuk mereka yang memiliki gaya hidup dinamik, Suzuki Avenis dikuasakan oleh nadi empat lejang silinder tunggal 124 cm3 yang mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS @ 6,750 rpm dan daya kilas 10 Nm @ 5,500 rpm.

Secara standard, Avenis dibekalkan dengan sistem brek cakera depan dan gelendong di belakang, suspensi jenis fork teleskopik di depan dibantu dengan lengan ayun di bahagian belakang.

 

 

Ciri lain termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, Suzuki Easy Start System, paparan meter digital, soket USB serta ruang storan bawah pelana sebesar 21.8 liter.

Kapasiti tangki Avenis adalah sebesar 5.2 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 780 mm.

 

 

Suzuki Burgman Street EX pula membawakan penampilan yang lebih premium, di mana ia membawakan jarak antara roda yang lebih panjang, tempat duduk luas, serta ruang lantai kaki hadapan yang menawarkan posisi tunggangan yang ergonomik.

Sama seperti Avenis, Burgman turut dikuasakan oleh nadi silinder tunggal 125 cc, namun dengan ciri tambahan Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-a) yang dilengkapi dengan sistem Engine Auto Stop-Start (EASS).

 

 

Ciri standard lain termasuklah skrin penghadang angin, unit lampu LED depan belakang, meter digital, ruang storan bawah pelana sebesar 21.5 liter, soket USB, serta kapasiti tangki bahan api sebesar 5.5 liter.

Burgman turut membawakan tetapan suspensi teleskopik/lengan ayun, sistem brek cakera depan/gelendong belakang, serta tinggi pelana sekitar 780 mm.

 

 

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Avenis tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Matte Fibroin Grey/Metallic Lush Green, Metallic Matte Black/Glass Sparkle Black, serta edisi khas GP dengan gandingan warna Metallic Sonic Silver/Triton Blue.

Suzuki Burgman Street EX pula datang dengan dua warna eksklusif, iaitu Pearl Moon Stone Gray dan Metallic Mat Black.

Harga jualan adalah seperti berikut:
1. Suzuki Avenis : RM 6,980.00
2. Suzuki Avenis (Edisi GP) : RM 7,200.00
3. Suzuki Burgman Street EX : RM 7,500.00

 

Suzuki Avenis 125

 

Suzuki Burgman Street EX

Suzuki Gixxer 250 dan 250SF di Malaysia tidak terjejas dengan ‘product recall’

Suzuki Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial mengesahkan bahawa dua model pemasangan tempatan, Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer 250SF tidak terlibat dengan panggilan semula (product recall) yang berlaku di pasaran dunia lain. 

Pengumuman itu dibuat susulan berlakunya panggilan semula bagi model 250cc di India yang melibatkan Gixxer 250, Gixxer 250SF dan V-Strom 250SX. 

Difahamkan, panggilan semula di India itu dibuat setelah didapati bahagian ‘camshaft’ bagi ketiga-tiga model itu telah terjejas dan boleh menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba selain menghasilkan bunyi yang tidak normal. 

Dalam pada itu, Suzuki Malaysia memberi jaminan bahawa pemilik Gixxer 250 dan Gixxer 250SF boleh menikmati tahap keselamatan dan kepuasan tertinggi. 

Suzuki GSX-S1000 GT masuk pasaran Malaysia pada harga RM85,700

DALAM satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini, Suzuki Malaysia mengumumkan bahawa Suzuki GSX-S1000 GT telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Menurut Suzuki Malaysia, model sport tourer itu dijual pada harga RM85,700 tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Apa yang lebih menarik, ia didatangkan standard dengan kotak barangan sisi (side pannier).

Untuk pasaran Malaysia, GSX-S1000 GT ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue. Model ini tersedia menerusi rangkaian pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh Malaysia.

Jentera ini tampil dengan enjin empat silinder sebaris DOHC bersesaran 999 cc yang mampu menjana 152 PS pada 11,000 rpm, 2 PS lebih tinggi berbanding output pada model terdahulu iaitu GSX-S1000 F.

Seperti GSX-R1000, kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan nisbah rapat. Ia dipadankan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang bertindak sebagai klac slipper untuk melancarkan tindak balas enjin.

GSX-S1000 GT dibina berasaskan kerangka aluminium twin-spar yang digandingkan dengan fork terbalik KYB berukuran 43 mm dan lengan ayun aluminium-aloi yang diambil terus dari GSX-R1000. Kadar spring dan daya redaman sistem suspensi ditala secara spesifik untuk model ini.

Kapasiti tangki bahan api adalah 19 liter, manakala berat keseluruhannya mencecah 226 kg. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 310 mm serta angkup Brembo Monobloc.

Untuk sistem elektronik, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) menyediakan tiga mod dengan respon pendikit dan karakteristik tork yang berbeza iaitu Active, Basic dan Comfort. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah pendikit Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshifter dan Cruise Control.

Semua sistem berkenaan boleh diakses menerusi paparan TFT-LCD berukuran 6.5 inci. Paparan ini juga boleh disambungkan dengan telefon pintar untuk memaparkan peta, panggilan telefon dan pemain muzik.

Suzuki Swift Sport: Hot hatch yang jujur! – Pandu uji

ADA perkara menggembirakan dan mengecewakan dengan Suuzki Swift Sport baharu ini. Yang menggembirakan ialah akhirnya Suzuki kembali ke Malaysia membawakan model-model terkini.

Yang mengecewakan pula ialah Swift Sport ZC33S ini tidak ditawarkan dengan pilihan manual 6-kelajuan, sebaliknya ‘hanya’ automatik 6-kelajuan.

Nanti dulu, sebelum anda semua serang penulis dengan alasan kaki lenguh, ‘traffic jam’ dan lelaki moden, harus diingat kereta sebegini lebih elok dinikmati dengan kotak gear yang betul. Hanya kerana ada pilihan automatik, tidak bermakna kita harus pilih yang itu.

Jika ada menu roti canai dengan sebuk Lotus Biscoff, tidak bermakna itu pilihan yang betul, bukan? Roti canai sedap dimakan dengan dhal dan kari sahaja. Sama lah juga dengan Swift Sport ini…

Baik, cukup merungut. Sekarang kita sudah ada unit pandu uji Swift Sport ZC33S, mari kita lihatkan mantap atau tidak hot hatch terbaharu Jepun ini.

Rupa lebih moden tapi kekalkan elemen SSS

Dapat dilihat bahawa Suzuki Swift Sport baharu mempunyai rupa lebih tajam dan agresif berbanding kereta generasi sebelumnya. Pada sesetengah bahagian seperti tiang-C dan lampu belakang juga nampak lebib premium, hampir seperti MINI Cooper S.

Pada masa yang sama, ia tetap mengekalkan ciri-ciri dan elemen dari Swift generasi sebelumnya, ini yang penulis suka. Sebagai contoh, bentuk lengkungan lampu depan yang naik hampir ke atas hud serta tiang-A yang dicat hitam memberikan kesan rupa ‘bumbung terapung’.

Jika tiada logo Suzuki pun rasanya orang boleh kenal ini sebuah Swift.

Cukup luas dan praktikal

Melihat kepada lengkuk pada ‘bahu’ kereta iaitu dari sisi pintu naik ke cermin, ia memberikan gambaran badan yang lebar tetapi ruang kabin agak kecil.

Sebenarnya, ruang dalam Suzuki Swift Sport ini tetap luas dari yang disangkakan, inilah magik pengeluar kereta Jepun. Mereka pandai mencipta ruang yang lapang tanpa mengorbankan rupa luaran.

Cuma mungkin pandangan untuk penumpang belakang terhalang sedikit oleh tempat duduk depan yang besar dan sporti. Mujurlah siling kereta berwarna cerah, jika berwarna hitam pasti memburukkan keadaan.

Untuk kabin depan, boleh dikatakan masih banyak plastik-plastik berkos rendah, senang cerita bahagian papan pemuka ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang terlalu wow atau hebat walaupun kereta ini berharga kira-kira RM140,000.

Tapi harus diingat, anda bukan bayar Suzuki Swift Sport ini untuk ruang dalaman yang premium dan mewah. Jika ini yang anda cari, maka Swift Sport ini bukan untuk anda.

Berkuasa tapi jimat

Suzuki Swift Sport kali ini ditawarkan dengan enjin turbo buat kali pertama, dan sesaran diturunkan dari 1.6-liter sebelum ini kepada 1.4-liter. Enjin 1.4 BoosterJet ini menjana 140hp pada 5,500rpm dan 230Nm tork pada 2,500rpm.

Cukup atau tidak? Harus diketahui bahawa kereta ini hanya seberat 970kg, tidak sampai satu tan. Bayangkan berat sama seperti Myvi, tapi dengan 50 peratus lebih kuasa dan hampir dua kali ganda tork. Dapat bayangkan?

Penulis harus katakan tiada langsung ‘turbo lag’ pada enjin ini, ia cukup responsif. Tekan sahaja bila-bila masa, ada kuasa dan kereta terus melonjak ke depan.

Baik, kotak gear pula. Walaupun bukan manual seperti yang diharapkan, sebenarnya unit torque converter 6-kelajuan ini cukup bagus dan bijak. Ia memberikan gear yang tepat setiap masa sama ada anda memandu santai ke kedai runcit atau melayan selekoh di Ulu Yam pada pagi Ahad.

Penulis berani katakan yang kotak gear ini adalah yang terbaik dalam paras harga bawah RM150,000.

Oh ya, tiada sebarang mod Normal, Comfort atau Sport. Sebaliknya kaki anda jadi penentu. Tekan secara agresif, dia akan berikan prestasi. Tetapi ringankan kaki, dia akan beri anda keselesaan dan penjimatan.

Ya, walaupun sebuah hatchback prestasi, enjin BoosterJet ini cukup menjimatkan. Tangki 37 liter ini dengan mudah memberikan anda 450 hingga 500 kilometer.

Pengendalian jujur

Mengapa penulis kata pengendalian Swift Sport ini jujur? Dua sebab. Pertama, sterengnya begitu tepat dan banyak maklum balas, antara stereng paling responsif pernah penulis rasa dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Sungguh lazat mengambil selekoh dengan stereng Swift Sport ini kerana kita akan rasa mempunyai banyak kawalan ke atasnya. Malah anda pandu kereta ini pada kelajuan 30km/j pun boleh rasa yang stereng ini bukan calang-calang.

Kedua, seperti dinyatakan tadi, tiada sebarang mod pemanduan. Jadi, kereta ini jujur dan patuh sahaja kepada sebarang arahan pemandunya. Dia boleh menjadi kenderaan selesa, dan juga boleh menjadi jentera track day.

Padanan sistem suspensi dan tayar Yokohama Advan A13 juga memberikan keseimbangan untuk semua kegunaan, membolehkan Swift Sport ini mengambil selekoh pada kelajuan tinggi tanpa sebarang drama.

Hanya untuk yang tegar

Untuk siapa Suzuki Swift Sport ini? Hanya untuk yang tegar. Kerana pada harga sekitar RM140,000, anda boleh dapat SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, malah Proton X70 yang lebih besar.

Tetapi yang memilih Swift Sport ini tidak meletakkan ruang kargo sebagai keutamaan, tetapi menghargai nikmat dan keseronokan pemanduan. Dan pasti juga dia berjaya pujuk orang rumahnya untuk kereta ini.

Dan mungkin juga sesuai untuk mereka yang bujang dan mahukan sesuatu yang seronok dipandu, tidak mahu terlalu sama dengan orang lain. Penulis gerenti Swift Sport ini boleh tapau Honda Civic yang lebih berkuasa.

Tiada kekurangan?

Kekurangan? Mestilah ada, walaupun tak banyak. Baik, selain dari ketiadaan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia, Swift Sport ini bagi penulis terlalu senyap bunyinya.

Mungkin Suzuki mahu capai penjimatan atau menepati piawaian-piawaian tertentu, tetapi kalau ekzosnya berbunyi lebih garang dan ada meletup-letup sedikit, kira sempurna dah kereta ni.

Spesifikasi Suzuki Swift Sport

Harga: RM139,900
Enjin: 1.4-liter BoosterJet turbo
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 140hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 2,500rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.0 saat