Suzuki Motor Corporation mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal neo-retro baharu untuk kelas 800 cc, iaitu GSX-8T dan GSX-8TT untuk pasaran global.
Biarpun menggunakan pelantar GSX-8 yang lebih moden, kedua-dua model ini boleh dibezakan menerusi penggayaan di mana GSX-8T mengambil inspirasi daripada jentera klasik T500.
Ia dilengkapi dengan perumah lampu utama LED berbentuk bulat, rekaan tangki dan pelana yang unik, serta bar hendal yang lengkap dengan cermin sisi pada bahagian hujung
Sementara rekaan GSX-8TT yang lebih macho itu diambil inspirasinya daripada jentera daripada era tersebut, seperti Yoshimura GS1000.
GSX-8TT masih mengekalkan perumah lampu yang sama seperti model 8T, namun bahagian itu dikemaskan dengan reraup bersegi, diikuti dengan pelindung radiator dan pelindung bahagian enjin (under cowl).
Dari segi kuasa, GSX-8T dan 8TT ini dijana dengan enjin parallel-twin 776 cc yang sama didapati pada mana-mana model GSX-8, dengan kuasa 80 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 77 Nm @ 6,800 rpm.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan komponen cross balancer bertujuan untuk mengurangkan gegaran.
Kedua-dua jentera ini menampilkan kerangka keluli dan lengan ayun aluminium, fork hadapan KYB jenis terbalik, penyerap hentak belakang KYB, serta sistem brek Nissin yang terdiri daripada rotor berkembar 310 mm di depan dan rotor tunggal 240 mm di belakang.
Tangki bahan api adalah sebesar 16.5 liter, sementara tinggi pelana pula serendah 810 mm (815 mm untuk model 8T).
Secara standard, GSX-8T dan 8TT turut dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti quickshifter dua hala, Suzuki Easy Start, kawalan cengkaman, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) serta Low RPM Assist.
Skrin paparan TFT berwarna penuh memaparkan segala informasi penting yang diperlukan oleh penunggang termasuklah meter rpm, kelajuan, dan kedudukan gear.
Suzuki GSX-8T
Suzuki GSX-8TT
