NAZA Automotive Group menerusi syarikat subsidiarinya Naza Eastern Motors secara rasmi membuka pusat pameran Suzuki Cars Malaysia bertaraf mercu yang pertama di Petaling Jaya, bersebelahan dengan NAZA Auto Mall.
Pusat pameran berkeluasan 5,000 kaki persegi itu berfungsi lebih daripada sekadar outlet jualan, ia kini menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.
Selain daripada rekaan dan identiti korporat Suzuki yang terkini, pusat pameran Suzuki itu turut menyediakan kaunter servis dalam fasiliti, ruang gaya hidup, sudut kanak-kanak, serta ruang perbincangan peribadi.
Ia juga akan menjadi ruang pameran eksklusif untuk barisan model-model Suzuki yang bakal dipasarkan di Malaysia.
Menurut Pengerusi Naza Automotive Group, Dato’ Jasmy Ismail berkata, pembukaan rasmi pusat pameran ini menggambarkan visi NAZA Auto untuk memperkukuhkan perniagaan selain memperdalam penglibatannya dengan pelanggan di Malaysia.
“Ia mencerminkan penjajaran strategik kami untuk menumpukan perhatian terhadap segmen utama berimpak tinggi seperti Suzuki, yang kini kekal sebagai salah satu jenama dinamik yang paling dipercayai di dalam ruang mobiliti urban dan kompak.
“Fasiliti ini bukan sekadar mempamerkan kereta, ia adalah ruang untuk mencipta perjalanan pelanggan yang lebih bermakna dengan menawarkan nilai melangkaui produk dan memastikan Suzuki terus berkembang sebagai jenama pilihan di dalam industri automotif Malaysia yang sangat kompetitif.
Sejajar dengan pembukaan rasmi bilik pameran Suzuki Petaling Jaya, pelanggan boleh menantikan promosi pertengahan tahun eksklusif serta program kesetiaan yang direka untuk pelanggan baharu serta pemilik Suzuki sedia ada.
