Arkib Tag: SUV

Mercedes-AMG GLA35: Pau kari yang panas dan pedas – Pandu uji

JUJUR cakap, penulis tak pernah sukakan bentuk Mercedes GLA generasi H247 terbaharu ini. GLA kini dalam generasi kedua, menggantikan generasi X156 sebelum ini.

Bagi penulis, Mercedes GLA yang dulu lebih unik dan berkarakter, dengan rekaan lebih menarik. Cuma ramai yang merungut ruangan dalam kurang memuaskan terutamanya bahagian belakang, selain kualiti ride yang agak ‘keras’ bagi sebuah Mercedes.

Jadi secara dasarnya Mercedes GLA terbaharu akan menyelesaikan masalah itu dengan kabin lebih besar serta pemanduan lebih selesa. Cuma pengorbanannya ialah rekabentuk lebih bulat yang lebih feminine.

Tetapi unit pandu uji yang kami ingin ceritakan ini bukanlah GLA biasa, sebaliknya Mercedes-AMG GLA35 4Matic. Ia merupakan versi paling berkuasa untuk model pasaran Malaysia dengan 302hp dan 400Nm serta kemampuan memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat.

Anda tidak salah baca. Ya, sebuah crossover keluarga kini mempunyai pecutan lebih pantas dari Honda Civic Type-R FK8 yang merupakan hatchback sports yang begitu fokus.

Pau kari yang panas dan pedas

Penulis kata Mercedes-AMG GLA35 ini ibarat pau kari yang panas dan pedas kerana bentuknya bulat seperti pau, tetapi sangat berkuasa; maka ia panas dan pedas. Boleh terima?

Dari sudut prestasi, GLA35 ini cukup berkebolehan dan hardcore dari segala segi. Ia mempunyai enjin M260 4-silinder yang berkapasiti 2.0-liter. Dengan twin-scroll turbocharger, enjin ini berjaya memerah sehingga 302hp seperti yang disebut tadi.

Malah, enjin ini penulis rasakan bertekanan tinggi jadi ia agak panas, boleh dirasa semasa kereta duduk melahu atau idling. Ia panas seolah-olah harimau yang sedang bernafas, sedia menerkam mangsanya.

Enjin sebegini juga adalah jenis sensitif dengan segala tekanan dan minyak serta bendalir, jadi anda tidak mahu culas bab penyelenggaraan. Tetapi jika dijaga rapi, ia akan ‘menghadiahkan’ anda dengan ledakan kuasa yang mampu membuatkan penumpang anda cemas semasa memecut.

Ia pantas, dan ditemani dengan bunyi garang identiti AMG berserta letupan kecil setiap kali transmisi Speedshift dwi-klac 8-kelajuan naik dari satu gear kepada gear seterusnya. Ia terus menerus melontarkan anda ke depan sehingga anda sampai selekoh atau sehingga anda rasa tidak mahu menambah angka di speedometer.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic ini juga seperti pada namanya (4Matic) mempunyai sistem pacuan semua-roda AWD bagi memastikan output dari enjin dapat disampaikan sebaiknya ke permukaan jalan.

Sistem ini secara aktif mengagih kuasa dari depan ke belakang atau kiri ke kanan mengikut situasi pemanduan sama ada anda memecut selepas lampu isyarat bertukar hijau atau memecut keluar selekoh walaupun stereng belum lurus sepenuhnya.

Seterusnya jika anda lihat tayar Continental SportContact 6 dengan profil gemuk 255/40 yang membaluti rim 20-inci serta rupa cakera breknya pun, anda akan tahu bahawa prestasi SUV ini ‘bukan biasha-biasha’.

Beberapa perincian luaran lain yang menampakkan bahawa GLA35 ini jentera istimewa ialah gril depan dengan bilah menegak, rim 20-inci berwarna gelap, ekzos berkembar, dan spoiler kecil dengan sudut agresif di hujung bumbung belakang.

Nampak mahal dan banyak benda tersorok

Baik, Mercedes-AMG GLA35 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM345,048 dan sebenarnya agak sukar untuk menjusifikasikan jentera ini tanpa anda membeleknya dengan teliti. Atau mencuba pandu uji sendiri.

Bila anda lihat GLA35 ini dengan lebih dekat, satu per satu detik anda akan perasan kemana duit anda pergi.

Bahan-bahan yang digunakan pada keseluruhan kereta ini terasa premium dan berkualiti tinggi, walaupun GLA merupakan antara model entry level dalam Mercedes. Tetapi langsung tiada mana-mana bahagian terasa murah. Dan ini juga pasti jauh lebih baik daripada GLA lama.

Duduk sahaja di tempat pemandu, fuh, hampir seperti dalam jentera lumba Mercedes-AMG GT3. Dengan stereng balutan kulit siap dengan penanda merah di jam 12, dan turut menambah rasa premium adalah bahagian paddle shifter dan bilah stereng yang diperbuat dari bahan seperti machined aluminium.

Bila terkena udara pendingin hawa, anda boleh rasa bahagian ini sejuk. Ini memberikan kontra yang menarik untuk stereng kulit AMG Performance itu.

Stereng ini juga mempunyai butang kawalan dan panel sesentuh seperti Mercedes biasa, tetapi khas untuk model AMG ialah butang rotary di bucu kanan bawah stereng untuk penukaran mod-mod pemanduan. Butang ini juga merupakan satu skrin yang memaparkan mod yang anda pilih.

Perincian yang nampak mahal.

Kemudian di bucu kiri pula terdapat lagi beberapa butang kecil untuk tetapan casis dan suspensi, dengan ikon spring. Bolehlah untuk kita acah-acah sedang melaras tetapan jentera lumba GT3.

Seterusnya anda akan perasan bahawa tema kokpit GLA35 ini adalah hitam dan merah. Hitam pada balutan kulit dan sebahagian kecil plastik, kemudian jahitan merah, termasuk warna tali pinggang keledar. Mengingatkan anda ianya jentera yang serius, tetapi masih mewah.

Penulis juga cukup suka dengan beberapa kemasan sporti seperti gentian karbon pada papan pemuka dan tempat duduk balutan Dinamico yang seperti Alcantara. Kemudian seperti Mercedes lain, GLA35 turut mendapat gugusan corong pendingin hawa yang cantik dan skrin melintang yang moden.

Masih ada juga pencahayaan ambien dengan 64 warna, dan skrin melintang tadi mampu memaparkan pelbagai maklumat relevan kepada jentera AMG GLA35 ini seperti peratusan kuasa dan boost turbo, meter tekanan G, suhu minyak enjin, suhu kotak gear, tekanan tayar, dan banyak lagi kandungan di bawah menu AMG Performance.

Dari sini anda semakin sedar tentang justifikasi harga premium tadi.

Berbaloi?

Untuk pembelian jentera prestasi tinggi sebegini, kita tidak perlu alasan berbaloi untuk wang. Ia bukan seperti membeli sedan segmen-B bawah RM100,000.

Sebaliknya, kita nilaikan perasaan kita memandu dan duduk di dalam Mercedes-AMG GLA35 ini. Dan walaupun ia bukan AMG 63 dengan 4.0 V8, GLA35 masih AMG sebenar yang mampu memberi debaran dan senyuman bila diperlukan.

Suspensi adaptif padanya dan pelbagai pilihan mod membolehkannya dipandu dengan selesa untuk ke kedai runcit, tetapi 80 peratus darinya anda mahu pandu ia dalam mod Sport. Ia akan sentiasa ringan, bertenaga, bersedia untuk pergi. Ia menjadi sensitif dan memprovokasi anda untuk menambah kelajuan.

Dan dari situ, ia meninggalkan kesan dan memori tentang prestasi yang mampu ditawarkan, jadi semua itu sahaja cukup untuk membuatkan anda mengorek tabung simpanan untuk menyambar jentera ini.

Spesifikasi Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Harga: RM345,048
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder
Kotak gear: AMG Speedshift 8G dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 302hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 3,000

Chery Omoda 5 rasmi mendarat di Malaysia, dari RM108,800, waranti enjin 10 tahun!

SELEPAS beberapa sesi pratonton, Chery Omoda 5 akhirnya rasmi dilancar di Malaysia. Pelancarannya dibuat serentak dengan Tiggo 8 Pro.

Chery Omoda ialah SUV segmen-B+ lima tempat duduk yang akan bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.

Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Omoda 5 C pada harga RM108,800 dan Omoda 5 H dengan harga RM118,800.

Chery Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo yang mampu menjana 154hp dan 230Nm tork, maka sebab itu ada lencana 230T di belakangnya. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT 9-kelajuan.

Ciri luaran yang anda dapat lihat pada Omoda 5 ialah gril besar cukup agresif yang nampak seperti sisik, dan ia diintegrasikan dalam bampar depan serta diapit dengan lampu LED nipis.

Anda boleh pilih Chery Omoda 5 dengan tujuh pilihan warna satu tona atau dwi-tona, tetapi kesemuanya mendapat kemasan merah pada cermin sisi, rim, dan bawah pintu, menjadikan SUV ini nampak cukup bergaya dan menonjol.

Kabin Omoda 5 menampilkan rekaan futuristik dan minimalis dengan paparan skrin 20-inci melintang untuk instrumen dan infotainmen. Ia juga dilengkapi dengan mod pemanduan (Eco dan Sport), sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Sony, tempat duduk sports, dan sistem ADAS.

Omoda 5 juga mendapat pengecas tanpa-wayar, sistem audio Sony, stereng flat-bottomed sebagai standard.

Bercakap mengenai ADAS, Chery Omoda 5 lengkap dengan ciri terkini seperti Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Traffic Jam Assist, Traffic Sign Recognition, dan kamera 360-darjah.

Oh ya, semua kenderaan Chery di Malaysia hadir dengan jaminan 7-tahun dan servis percuma 5-tahun. Untuk 3,000 pelanggan terawal juga, anda akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km!

Tiggo 8 Pro penanda kehadiran semula Chery ke Malaysia – 7 tempat duduk, 2.0 TGDI, RM160k

CHERY begitu giat memperkukuhkan kehadiran semula jenamanya di Malaysia dengan preview sejak hujung tahun lepas.

Kini mereka telah melancarkan secara rasmi model untuk pasaran negara ini, iaitu Tiggo 8 Pro. SUV tujuh tempat duduk ini dilancarkan serentak bersama Omoda 5. Hanya satu varian ditawarkan iaitu Premium, dengan harga RM159,800.

Kita mendapat variasi terkini yang dinamakan Chery Tiggo 8 Pro Max seperti di China, ya kami tahu namanya seperti telefon pintar terkemuka. Tetapi perkataan “Max” digugurkan untuk lebih memudahkan.

Chery Tiggo 8 Pro kali ini sedikit berbeza dari unit yang dipertonton pada Oktober lepas, dimana unit ini mendapat rekaan gril “galaxy” baharu dengan lampu LED belakang terkini. Rim juga lebih besar, kini 19-inci dengan tayar berprofil 235/50. Menarik juga ialah logo yang menyala.

Di bawah but depan Tiggo 8 Pro ialah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menjana 250hp dan 390Nm tork. Enjin GDI ini dipadandakan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan output disalurkan ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Anda kagum dengan rekaan luarannya? Jemput ke dalam, Tiggo 8 Pro ini nampak begitu moden dan kontemporari dengan skrin melintang besar bersaiz 24.6-inci. Ia merangkumi skrin instrumen untuk pemandu dan infotainmen untuk hiburan dan fungsi lain.

Chery Tiggo 8 Pro juga dilengkapi dengan stereng baharu, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, lampu ambien, tempat duduk berkuasa dengan pemanas dan penyejuk, sistem pendingin hawa dwi-zon, bumbung panoramik, pengecas tanpa-wayar, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Dari segi saiz, Tiggo 8 Pro mempunyai dimensi 4,722mm panjang, 1,860mm lebar, dan jarak roda 2,710mm. Ia mempunyai kapasiti kargo 193 liter jika tempat duduk barisan ketiga dinaikkan, tetapi boleh meningkat hingga 892 atau 2,101 liter jika tempat duduk barisa ketiga dan kedua diturunkan.

Ciri keselamatan juga pada tahap agak tinggi, dengan sistem ADAS seperti Lane Departure Warning/Keeping, Blind Spot Detection, Door Opening Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Collision Warning, dan Autonomous Emergency Braking.

Dari segi segmen dan spesifikasi, ia merupakan pesaing kepada Proton X90 yang juga sebuah SUV tujuh tempat duduk yang direka dan dibangunkan di China. X90 dijual pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, cumanya X90 dipacu oleh enjin lebih kecil iaitu 1.5-liter turbo mild hybrid.

Oh ya, semua kenderaan Chery di Malaysia hadir dengan jaminan 7-tahun dan servis percuma 5-tahun. Untuk 3,000 pelanggan terawal juga, anda akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km!

Kia Picanto diperbaharui untuk pasaran Eropah, dua pilihan enjin, 5MT dan AMT

DENGAN populariti SUV dan crossover sekarang, segmen-A telah mengurang permintaannya di beberapa pasaran seperti Eropah. Tetapi Kia masih menjadi antara pengeluar yang masih percaya dengan segmen ini, maka mereka tetap melabur untuk Picanto baharu 2023.

Imej yang anda lihat ini ialah varian Picanto GT-Line, dimana Kia memberikan rimbakan besar dari segi rekabentuk. Dapat dilihat keselariannya dengan model-model lain seperti Carnival dan Sorento.

Rupa depan varian ini tampil sedikit kompleks, tetapi masih kemas dan cantik. Ia mendapat lampu utama berbentuk menegak, dengan bar LED di bahagian atas gril ‘tiger nose’. Rekaan serupa diberikan di belakang dimana kedua-dua lampu dihubungkan dengan light bar.

GT-Line ini dilengkapi dengan banyak rongga udara di bampar depan, mungkin versi asas lebih ringkas rekaannya. Di belakang pula terdapat diffuser yang agak menonjol, agak agresif untuk sebuah kereta kecil.

Tetapi ia masih sebuah kompak untuk pemanduan bandar. Rim ditawarkan bersaiz 14-inci, dan terdapat pilihan 15- serta 16-inci, dan anda juga boleh mendapat bumbung suria sebagai pilihan tambahan.

Walaupun rekaan luar telah banyak berubah, kabin masih kekal seperti sebelumnya. Cuma kini skrin infotainmen adalah lebih besar dengan 8-inci, dan paparan kluster instrumen kini digital. Khas untuk GT-Line adalah stereng flat-bottomed dengan fungsi pemanas.

Kia tidak mendedahkan perincian enjin, tetapi menurut beberapa media Eropah, Picanto 2023 ditawarkan dengan pilihan 1.0- dan 1.2-liter, kedua-duanya petrol 3-silinder naturally-aspirated. Enjin ini dikatakan telah ditala agar lebih cekap dan bersih.

Pilihan kotak gear pula adalah manual 5-kelajuan dan automated manual transmission (AMT). Sementara itu, ciri keselamatan cukup padat pada Picanto ini walaupun saiznya kecil. Sistem seperti Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking dan Active Lane Assistant adalah standard.

Apa pendapat anda mengenai Kia Picanto GT-Line 2023 ini? Menarik untuk dibawa masuk ke Malaysia? Pasaran segmen-A kita masih hangat walaupun Picanto akan terpaksa bersaing dengan model segmen-B seperti Myvi dan Iriz memandangkan harganya yang lebih tinggi.

Toyota C-HR 2023 dengan rupa berbeza sepenuhnya, pilihan 1.8 dan 2.0 PHEV

Toyota pada Disember 2022 telah mempetontonkan C-HR generasi baharu dengan menyiarkannya dalam konsep Prologue. Kini mereka telah melancarkan model produksi bagi C-HR generasi kedua itu.

Ia nampak tidak sama langsung dengan model generasi sebelum ini. C-HR 2023 dibangunkan di Eropah dan menampilkan profail ‘super coupe’, dan mendapat warna dwi-tona serta rim 20-inci.

Toyota telah memberikan usaha lebih untuk ‘menyorok’ garisan-garisan dan mengintegrasikan kamera, pengesan dan penyembur lampu depan. Badannya nampak lebih licin dengan aerodinamik yang ditambah baik.

Dari segi dimensi, Toyota C-HR mempunyai ukuran 4,360mm panjang, 1,830mm lebar, dan ketinggian antara 1,558mm hingga 1,564mm bergantung kepada versi. Jarak roda pula ialah 2,640mm.

Di dalam kabin, anda akan perasan dua paparan digital 12.3-inci, untuk instrumen dan infotainmen. Versi yang lebih tinggi akan mendapat head-up display, warna ambien 64-warna, bumbung panoramik, dan sistem audio JBL.

Oh ya, buat pertama kali, akan ada versi GR Sport Premier Edition yang memberikan anda kemasan-kemasan merah serta lencana GR untuk mood sporti.

Untuk janaan kuasa pula, C-HR dipacu oleh enjin 1.8-liter dan 2.0-liter PHEV (plug-in hybrid) dengan pacuan roda depan. Varian hibrid ini mempunyai jarak pemanduan elektrik sejauh 66km. Tetapi varian 2.0-liter juga boleh dipilih dengan konfigurasi AWD.

Enjin 1.8-liter menjana sekitar 140hp, 2.0-liter menjana 198hp manakala 2.0-liter PHEV menghasilkan 223hp. Pecutan 0-100km/j pula antara 9.9 hingga 7.9 saat bergantung kepada varian.

Kami tidak pasti sama ada UMW Toyota akan membawa masuk C-HR ini kerana ianya lebih kepada model gaya hidup yang mementingkan rupa dan bukan praktikaliti. C-HR boleh dikira sebagai alternatif kepada Lexus UX, Audi Q3, Mercedes GLA dan MINI Countryman.

Chery Omoda 5 bakal saingi HR-V dan Corolla Cross, lancar bulan depan

CHERY beberapa bulan ini telah mempersiapkan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia. Pada Oktober lepas, mereka telah mmebuat preview dengan memberi kami para media peluang memandu model-model seperti Tiggo Pro, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.

Turut dipamerkan pada waktu itu adalah Chery Omoda 5 dan kini, SUV dengan rupa dramatik dan sporti ini sah akan dilancarkan pada bulan ini.

Chery Omoda ialah SUV segmen-B+ lima tempat duduk yang akan bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.

Turut menemani Omoda 5 dalam pelancaran pada 6 Julai depan adalah Chery Tiggo 8 Pro yang merupakan SUV segmen-D tujuh tempat duduk yang berada dalam segmen sama dengan Proton X90, Mazda CX-8 dan Kia Sorento.

Chery Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo yang mampu menjana 154hp dan 230Nm tork, maka sebab itu ada lencana 230T di belakangnya. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT 9-kelajuan.

Menariknya, enjin Chery Omoda 5 dikatakan ditawarkan dengan jaminan 10 tahun atau 1,000,000km (yang mana dahulu).

Omoda 5 turut hadir dengan ciri seperti mod pemanduan (Eco dan Sport), skrin 20-inci untuk instrumen dan infotainmen, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Sony, pengecas tanpa wayar, tempat duduk sports, dan sistem ADAS.

Bagaimana dengan khidmat selepas jualan? Pihak Chery berkongsi dengan kami bahawa menjelang pelancaran nanti, mereka akan membuka 20 cawangan pusat servis seluruh negara, dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.

Selain itu, perkara yang mungkin membelenggu anda pastinya bab penjimatan bahan api. Chery berkata Omoda 5 dan Tiggo 8 telah menerima penarafan EEV. Maklumat terperinci pada pelancaran nanti. Sementara itu, jemput cuci mata dengan galeri di bawah.

Michelin PS5 bukti tayar lebih tahan, tapi prestasi boleh dikekalkan

DALAM penghasilan tayar, anda harus berkompromi antara prestasi dan ketahanan. Anda mahu tayar berprestasi tinggi, gunakan kompaun lebih lembut, maka ia akan cepat habis. Dan begitulah sebaliknya.

Namun, Michelin membuktikan mereka mampu menambah ketahanan tayar tetapi masih mengekalkan prestasi tinggi tayar itu. Sudah tentulah dengan penggunaan teknologi.

Jadi, baru-baru ini mereka telah menganjurkan acara Michelin Brand Experience 2023 di Litar Antarabangsa Sepang dan kami para pengamal media telah dijemput merasai sendiri prestasi dan teknologi yang ditawarkan oleh produk terbaharu mereka.

Dua tayar yang diuji dalam sesi ini adalah Michelin Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+.

Michelin PS5 – Performance Made to Last

Performance made to last, atau prestasi yang direka tahan lama. Jadi dengan kereta rasmi Mercedes-Benz pelbagai model (C300, E200, A-Class dan GLA-Class) serta tayar Michelin PS5 baharu, kami dibawakan untuk beberapa aktiviti dan eksesais.

Aktiviti-aktiviti ini direka untuk menonjolkan ciri dan prestasi yang ditawarkan oleh PS5. Antara aktiviti tersebut adalah gymkhana course dimana terdapat slalom, pusingan-U, pecutan, dan brek sambil menukar lorong.

Di sini kami memandu Mercedes E200 yang dipasang dengan tayar Michelin PS5 dan tayar pesaing. Di slalom, jelas terasa respon PS5 lebih tangkas dan tepat. Malah di ujian brek kecemasan sambil menukar lorong juga jelas PS5 membrek dengan jarak lebih pendek setiap kali.

Aktiviti kedua ialah brek di permukaan basah. Di sini, kami membrek dengan tayar keadaan baharu dan botak, untuk Michelin PS5 dan tayar pesaing. Jadi ada empat pusingan kesemuanya, menggunakan model-model Mercedes A-Class sedan dan GLA.

Anda boleh lihat sendiri keputusan dalam gambar di bawah, iaitu purata dari data-data yang dikutip dari setiap pemandu iaitu para media.

Secara kesimpulan, Michelin PS5 membrek dengan jarak lebih pendek di permukaan basah berbanding tayar pesaingnya. Lebih mengagumkan lagi, PS5 dengan keadaan baharu dan botak adalah lebih konsisten jaraknya, berbanding tayar pesaing yang memerlukan jarak lebih ketara jauhnya berbanding dalam keadaan baharu.

Aktiviti terakhir bagi Michelin PS5 ialah sesi ujian di litar, dengan memandu C300 di North Circuit. Di kawasan seperti Turn 2, dapat dirasakan PS5 lebih tangkas menukar arah dimana pemandu perlu ‘membalas’ cepat dari selekoh kanan masuk ke kiri.

Kemudian di Turn 5 dan Turn 6 yang merupakan selekoh S berkelajuan tinggi, dirasakan Michelin PS5 memberikan lebih kestabilan dan ‘feel’, berbeza dengan tayar pesaingnya yang terasa ‘lembut’ bila diasak di selekoh pada kelajuan tinggi beberapa saat.

Michelin Primacy SUV+

Para media juga dijemput merasai sendiri tayar Michelin Primacy SUV+ untuk dibandingkan dengan tayar pesaing. Untuk ini, kami memandu Toyota Fortuner di jalan raya sekitar kawasan luar Litar Sepang, dimana ianya merupakan jalan awam dengan permukaan sebenar.

Sebaik masuk ke dalam Toyota Fortuner yang dipasang dengan Primacy SUV+, terus jelas terasa beza kesenyapan kabin, walaupun baru mula memandu pada kelajuan perlahan. Perbezaan ini cukup ketara dan dipersetujui oleh juruvideo kami.

Ini juga dibuktikan apabila kadar bunyi direkodkan oleh alat khas, dimana Michelin Primacy SUV+ merekodkan bacaan lebih rendah berbanding tayar pesaing walaupun dipandu pada jalan yang sama dan kelajuan yang sama.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana berkongsi: “Menerusi acara Michelin Brand Experience 2023, kami ingin menonjolkan dua komponen yang menunjangi DNA Michelin – inovasi dan kelestarian, seperti yang dicerminkan oleh produk-produk tayar baharu kami, Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ yang hadir dengan jangka hayat serta prestasi maksimum.”

“Sesungguhnya, nilai-nilai teras Michelin yang membezakan jenama ini dalam industri tayar global, sedang kami menujukan untuk meminimumkan impak ke atas planet ini dan memaksimumkan nilai buat para pelanggan menerusi setiap produk, perkhidmatan dan inisiatif yang kami tawarkan,” ujar Dangrojana.

Audi Q8 e-tron tiba di Malaysia dengan empat varian, dari RM384k

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini secara rasmi memperkenalkan Audi Q8 e-tron untuk pasaran Malaysia, dengan empat pilihan varian. Pelancaran ini sebahagian dari tujuh model elektrik sepenuhnya yang dibawakan oleh jenama itu hari ini.

Q8 e-tron SUV menampilkan reka bentuk aerodinamik yang efisyen, rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih baik, dan kapasiti bateri lebih tinggi. Ini membolehkannya menawarkan jarak sehingga 582km.

Ruang dalaman Q8 e-tron advanced 50 quattro dan Q8 e-tron S line 55 quattro menawarkan pengalaman tempat duduk kelas pertama, menurut kata Audi. Apabila kerusi penumpang belakang dilipat, ia mampu menawarkan ruang sehingga 1,725 liter.

Walaupun mempunyai ciri yang sama dengan model SUV, varian Q8 e-tron Sportback hadir dengan imej lebih sporti dengan siluet yang elegan dan kemas untuk kecekapan aerodinamik terbaik.

Harga jualan bagi rangakain Audi Q8 e-tron di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Q8 e-tron advanced 50 quattro – RM383,990
    ● Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro – RM389,990
    ● Q8 e-tron S line 55 quattro – RM474,990
    ● Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro – RM484,990

Bergantung kepada varian, Audi Q8 e-tron mempunyai output sehingga 408hp (atau 300kW) dan 664Nm tork. Pecutan model terpantas adalah 5.6 saat untuk mencapai 100km/j.

Jarak pemanduan maksima adalah 487km dan kesemua model menyokong pengecasan AC 22kW dan DC 170kW.

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter memberitahu maklum balas daripada pengedar dan pelanggan terhadap Audi e-tron adalah sangat menggalakkan.

“Ini merupakan penawaran produk terbesar Audi di Malaysia dan kami sangat teruja untuk menjadi negara pertama di rantau ini melancarkan Q8 e-tron,” katanya.

“Kenderaan mewah dan berprestasi tinggi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu. Ia sudah bersedia untuk menawan hati serta imaginasi rakyat Malaysia yang mahukan pilihan mobiliti lebih mapan dan mesra alam.

“Bukan itu sahaja, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ini hanyalah satu permulaan. Ini kerana kami sudahpun berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model e-tron ke sini termasuklah flagship SQ8 dan Q6 e-tron yang akan membuat debut global hujung tahun ini.”

Momentum jualan EV di Malaysia dibantu oleh insentif kerajaan dan kerjasama industri untuk mencapai sasaran kerajaan mempunyai 1.5 juta EV di Malaysia menjelang tahun 2040.

Audi percaya peralihan kepada kenderaan elektrik akan berterusan kerana mobiliti elektro semakin mendapat perhatian pada masa depan.

Percuma Pengecas Kompak e-tron dan Kredit JomCharge bernilai RM1,000 untuk para pemilik e-tron

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, semua model didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.

Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel – pasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8 kW hingga 2.3 kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11 kW.

Pengecasan boleh ditetapkan kepada 100 dan 50 peratus kuasa pada unit pengecasan bagi mengelakkan berlakunya masalah terlebih beban kepada sistem elektrikal rumah.

Sebagai manfaat tambahan, pemilik juga akan menerima kredit JomCharge berjumlah RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah selama setahun.

Semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri 3/3 selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000km.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian model e-tron, sila kunjungi Audi Centre terdekat atau layari laman web www.audi.com.my.

Lexus GX (2024) jentera off-road mewah dengan platform TNGA, suspensi E-KDSS

NAMPAKNYA Lexus sedang rancak menyegarkan barisan SUV dan crossover-nya dengan model-model terkini. Selepas memperkenalkan LBX tempoh hari, jenama mewah Jepun itu kini mempersembahkan pula model kedua terbesarnya iaitu GX.

Kini dalam generasi ketiga, GX dibina di atas platform GA-F yang turut digunakan oleh LX dan Toyota Land Cruiser. Ia mempunyai kerangka ladder frame yang dipadankan dengan suspensi jenis double wishbone di depan dan multi-link di belakang.

Dari segi saiz, SUV ini mempunyai ukuran panjang 4,950 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,865 mm dan tapak roda 2,850 mm. Berat keseluruhan tidak diketahui namun kenderaan sebesar ini beratnya melebihi dua tan.

GX generasi baharu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu enjin 3.5-liter twin-turbo V6 dan enjin hibrid 2.4-liter turbo. Kuasa yang dihasilkan tidak dinyatakan di dalam siaran media, namun kedua-duanya dipadankan dengan pacuan 4WD.

Menurut Lexus, gabungan enjin berkuasa dan sistem pacuan empat roda itu membolehkan GX dengan enjin V6 itu mencapai kapasiti menunda seberat 3,629 kg.

Selain 4WD, kemampuan off-road model ini diserlahkan lagi dengan limited-slip differential Torsen pada bahagian tengah, serta buat pertama kalinya bagi Lexus, sistem Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) yang dikatakan mampu meningkatkan cengkaman di atas pelbagai jenis permukaan.

Lexus GX Overtrail

Turut diperkenalkan buat kali pertama adalah varian Overtrail yang hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan untuk pemanduan yang di dalam persekitaran yang lebih ekstrem.

Untuk bahagian luaran, varian ini didatangkan dengan kombinasi warna dwi tona dengan bumbung hitam, rim 18 inci dengan tayar jenis all-terrain berukuran 33 inci, overfender hitam dan skid plate aluminium.

Ruang dalamannya pula menampilkan reka bentuk tempat duduk eksklusif yang dikatakan dapat mengurangkan pergerakan kepala ketika pemanduan off-road, sekaligus membantu mengurangkan keletihan pemandu dan penumpang.

Selain E-KDSS, GX Overtrail juga didatangkan standard dengan Multi-Terrain Select (MTS), Crawl Control, Downhill Assist Control (DAC) dan 3D Multi-Terrain Monitor. Varian ini juga mendapat locking differential pada gandar belakang.

Menurut Lexus, GX baharu akan dilancarkan ke pasaran bermula hujung tahun ini.

Volvo EX30 2023 didedah – SUV paling kecil, EV sahaja

VOLVO baru sahaja mendedahkan EX30, iaitu SUV terbaharu mereka. Ia juga merupakan SUV paling kecil, iaitu lebih kecil dari XC40, dan hanya ditawarkan dalam versi EV buat masa ini. Buat mereka yang berminat dengan XC40 tetapi rasa belum cukup bajet, mungkin EX30 boleh menjadi calon sesuai.

EX30 sudah boleh ditempah di beberapa pasaran seperti Eropah, dengan harga £33,795 (RM193,741) di UK. Volvo berkata harganya adalah dalam julat model SUV yang sama saiz dengannya.

Saiz kompak

Bercakap mengenai saiz, Volvo EX30 mempunyai ukuran 4,233mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm. Menurut Volvo, casisnya telah ditala untuk memanfaatkan saiznya yang kompak. Beratnya adalah 1,830kg.

EX30 mempunyai bahasa rekaan sama dengan EX90 yang lebih besar seperti gril bertutup, lampu Thor’s Hammer digital, lampu belakang terpisah, dan papan pemuka yang serupa.

Kabin minimalis serba baharu

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

AWD dwi-motor, Volvo paling pantas

Anda boleh memilih Volvo EX30 dengan dua pilihan iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance.

Yang pertama iaitu Single Motor Extended Range mendapat motor tunggal di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm tork. Bateri 64kWh padanya direka untuk jarak pemanduan lebih jauh, iaitu sekitar 440km.

Untuk anda yang mahukan prestasi, boleh memilih varian Twin Motor Performance. Dua motor di depan dan belakang, menjadikannya AWD, memberikan output 422hp dan 543Nm tork. Walaupun output ini tidak setinggi XC40 EV atau C40 EV, EX30 mampu memecut 0-60 batu sejam (0-96km/j) dalam hanya 3.4 saat.

Mungkin kerana saiznya yang lebih kompak, lebih ringan, dan teknologi motor serta bateri yang lebih terkini. Untuk ini, kita harus tunggu hari pelancaran dan pandu uji untuk kami siasat. Harus diingat, pecutan 0-96 dalam 3.4 saat tadi menjadikan EX30 sebagai model Volvo paling pantas.

Untuk pengecasan pula, bateri NMC tadi boleh dicas menggunakan DC dengan kapasiti setinggi 153kW, bermakna 10-80 peratus dicapai dalam hanya 26.5 minit.

Cross Country

Oh ya, bermula 2024, Volvol EX30 juga akan ditawarkan dalam varian Cross Country yang lebih rugged dan sesuai untuk mengembara, mungkin.

Ia mendapat jarak kelegaan tanah lebih tinggi, pilihan rim 18- atau 19-inci, tayar all-terrain, skid plate, panel hitam khas pada bampar, dan tulisan Cross Country.

Honda Elevate dilancar di India: SUV kompak dengan 1.5 i-VTEC, pilihan 6MT

PASARAN SUV dan crossover segmen-B di India kini begitu hangat. Baru-baru ini Hyundai Exter dilancarkan, bersaing dengan model-model lain seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, dan Maruti Suzuki Grand Vitara.

Kini pemain terbaharu pula dilancarkan iaitu Honda Elevate, dan India merupakan negara pertama di dunia mendapat model itu. Honda Elevate ini mempunyai saiz mirip Perodua Ativa di negara kita.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol buat masa ini, tetapi dikhabarkan varian EV akan menyusul dalam masa tiga tahun. Dari segi dimensi, ia berukuran 4,312mm panjang, 1,790mm lebar, dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.

Honda berkata rekaan Elevate menggunakan tema “bold and masculine” atau lantang dan maskulin. Oh ya, walaupun bersaiz kompak, kapasiti kargonya tidak mengecewakan, sekitar 458 liter.

Elevate dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC dengan 119hp dan 145Nm tork, dihantar ke roda depan. Pelanggan di India boleh memilih sama ada menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.

Walaupun merupakan model bajet dan kompak, spesifikasinya cukup tinggi. Ia dilengkapi bumbung suria berkuasa, pengecas telefon tanpa-wayar, skrin infotainmen 10.25-inci, dan pendingin hawa belakang.

Terdapat juga soket kuasa 12V di depan dan belakang, kamera undur, serta pelbagai ciri keselamatan terkini di bawah Honda Sensing. Tempahan Elevate akan dibuka pada Julai, dan harga juga kan diumumkan kemudian.

Berminat? Untuk pasaran Malaysia, Honda akan menawarkan model kompak WR-V dan pelancarannya tidak lama lagi. Nantikan laporan kami bila kami mendapat info lanjut.

Volkswagen Touareg facelift tampil dengan wajah, teknologi baru

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan Touareg generasi ketiga versi facelift, lima tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kalinya.

Seperti yang boleh dilihat, SUV ini diberikan penampilan yang lebih segar namun perubahannya tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja kerana ia juga mendapat beberapa teknologi terbaru.

Touareg R eHybrid

Wajah depan Touareg kini nampak lebih agresif dengan gril yang lebih lebar, serta rekaan lampu yang lebih tajam. Lampu tersebut menggunakan teknologi matrix IQ.Light HD dengan tiga modul LED dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L.

Menjadikan ia lebih menonjol adalah jalur lampu LED dan logo Volkswagen dengan pencahayaan merah. Ini merupakan kali pertama ciri ini disertakan pada model Eropah. Sebelum ini ia hanya terdapat pada model pasaran China dan Amerika Syarikat.

Imej moden SUV ini diteruskan pada bahagian belakang dengan lampu yang merentangi pintu tailgate dan logo VW yang bercahaya. Untuk rim, model facelift ini boleh didapati dengan rim berukuran 19 hingga 21 inci, dan 22 inci untuk varian R.

Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman tidak begitu ketara. Ia masih menampilkan Innovasion Cockpit yang merangkumi kluster instrumen digital 12 inci dan skrin sentuh 15 inci, namun ciri ini telah dipertingkatkan dengan peta berdefinisi tinggi dan Apple CarPlay/Android Auto wayarles.

Bukan itu sahaja, Volkswagen turut menyertakan port pengecas USB-C dengan kapasiti yang lebih tinggi iaitu 45 watt. Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan paparan head-up dan sistem audio Dynaudio berkapasiti 730 watt.

Sistem bantuan pemandu pula merangkumi teknologi seperti Travel Assist, Park Assist Plus dengan kawalan jauh, Trailer Assist dan Night Vision.

Untuk enjin, Touareg facelift ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbo V6 petrol dan diesel. Untuk petrol, terdapat enjin 3.0-liter (340 PS), sementara untuk diesel pula, terdapat enjin 3.0-liter dengan 231 PS atau 286 PS.

Bukan itu sahaja, Volkswagen turut menawarkan dua varian hibrid plug-in, kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6. Pelanggan boleh mendapatkan versi eHybrid yang mempunyai 381 PS atau R eHybrid dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 462 PS.

Kelima-lima pilihan enjin tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4Motion.

Volkswagen juga telah menaik taraf sistem suspensi standard dan suspensi udara Touareg untuk memastikan pemanduan yang lebih selesa. Turut disertakan adalah sensor muatan bumbung yang bekerjasama dengan Electronic Stability Control (ESC) untuk meningkatkan kestabilan sekiranya terdapat muatan di atas bumbung.

Di Jerman, Touareg facelift dijual pada harga bermula dari 69,200 euro (RM344,096) untuk varian asas, 75,070 euro (RM373,825) untuk varian Elegance dan 79,660 euro (RM396,109) untuk R-Line. Varian tertinggi iaitu R eHybrid pula berharga 93,870 euro (RM466,768).

Honda CR-V generasi ke-6 dilancarkan di Eropah dengan enjin hibrid plug-in

HONDA CR-V generasi keenam telah dilancarkan ke pasaran Eropah dalam satu majlis khas yang diadakan di Offenbach, Jerman.

Dari segi reka bentuk, model untuk pasaran Eropah ini sama sahaja seperti versi Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada tahun lalu, cuma apa yang membezakan adalah pilihan enjinnya.

Pembeli CR-V di benua itu mempunyai dua pilihan trenkuasa iaitu hibrid penuh e:HEV atau hibrid plug-in e:PHEV. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang telah dikemas kini untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi dinamik.

Jumlah kuasa tidak didedahkan namun menurut Honda, CR-V e:HEV menggunakan trenkuasa hibrid yang sama dengan Civic e:HEV, bermakna ia mempunyai bateri litium-ion dan sepasang motor elektrik yang membantu enjin bertukar antara mod EV, Hybrid dan Engine Drive dengan lancar.

Sementara itu, versi e:PHEV pula dipacu oleh motor elektrik yang sama dengan versi e:HEV bagi membolehkannya bergerak sejauh 82 km dalam mod elektrik. Apabila suhu bateri berada pada 25 darjah Celsius, ia boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 2.5 jam sahaja.

Dari segi penampilan luaran, versi e:HEV dan e:PHEV masing-masing mempunyai rekaan gril yang tersendiri untuk membezakan antara satu sama lain.

Ia mempunyai ukuran dimensi yang lebih lebar, panjang dan tinggi berbanding model generasi kelima. Tapak rodanya lebih panjang sebanyak 40 mm, sekaligus menghasilkan ruang kaki belakang yang lebar (+16 mm) dan ruang but yang lebih besar (+18 peratus).

Untuk kelengkapan pula, CR-V serba baharu ini merupakan model Honda pertama yang dilengkapi dengan Honda Sensing 360 yang mana menurut Honda, “menyingkirkan titik buta di sekeliling kenderaan dan menyumbang kepada pengelakan perlanggaran dengan mengurangkan beban pemandu.”

Toyota Yaris Cross diperkenal di Indonesia, menarik untuk Malaysia?

TOYOTA Yaris Cross telah diperkenalkan di Indonesia, dan negara itu menjadi pelancaran sulung crossover ini bagi pasaran ASEAN.

Harus diketahui Yaris Cross ini berlainan sama sekali dengan model di pasaran Eropah, Jepun, dan Australia. Yaris Cross versi ASEAN ini mendapat penggayaan dari model RAV4 dan Highlander dengan penawaran petrol dan hibrid.

SUV baharu ini akan diposisikan di antara Raize dan Corolla Cross di Indonesia. Gril besar dan lampu depan agresif mengingatkan pada Highlander, manakala gerbang roda bersegi, ‘bahu belakang’ menyerlah sehingga ke lampu belakang adalah mirip RAV4.

Toyota menggariskan tentang keluasan kabinnya yang boleh dibandingkan dengan model kenderaan di segmen yang lebih atas, untuk beberapa aspek. Bateri bagi versi hibrid juga dipasang di bawah tempat duduk belakang (seperti Corolla Cross Hybrid) jadi ia tidak mengganggu ruang kargo, yang juga dikatakan terbesar dalam segmennya.

Papan pemuka pula nampak agak ringkas tetapi moden dan menyerupai model Toyota terkini. Terdapat kluster instrumen 7-inci bagi pemandu, dan skrin konsol tengah bersaiz 10.1-inci. Ciri di kabin termasuklah lampu suasana, pengecas tanpa-wayar, bumbung panoramik, but belakang berkuasa, dan pakej Toyota Safety Sense.

Toyota Yaris Cross ASEAN ini dibina berdasarkan pelantar DNGA, dengan ukuran badan 4,310mm panjang, 1,770mm lebar, 1,615mm tinggi, dan jarak roda 2,620mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Yaris Cross Eropah.

Berkenaan enjin, seperti dikatakan tadi, terdapat pilihan petrol dan hibrid. Untuk petrol, ia dijana unit 1.5-liter Dual VVTi 4-silinder dengan output 105hp dan 138Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear manual 5-kelajuan atau CVT.

Sementara itu bagi hibrid, ia dipacu oleh enjin 1.5-liter 90hp/121Nm yang digandingkan dengan motor elektrik 79hp/141Nm. Kotak gear adalah CVT, dan kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion.

Spesifikasi lanjut dan harga belum diumumkan. Kami periksa di laman web Toyota Indonesia juga menunjukkan model ini belum disenaraikan.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Yaris Cross, mahu UMWT bawa masuk?

Land Rover Defender 90: Keseronokan yang janggal – Pandu uji

PENULIS biasanya jenis tak berapa sukakan SUV kerana tiada keperluan melalui jalan tidak rata atau mengangkut barang berat. Penulis lebih selesa kereta yang rendah, jika sporti ianya suatu bonus.

Tetapi tidak dengan Land Rover Defender 90 ini, penulis pun hairan kerana rasa seronok pula memandunya.

Defender memang berlawanan dengan kereta ideal yang digemari penulis, kerana ia lebih tinggi, pengendalian tidak begitu tajam dan lebih relaks, serta keseluruhan pemanduan terasa lebih ‘malas’.

Keseronokan janggal

Defender 90 merupakan versi tiga pintu dari Defender 110 yang dilancarkan sebelum ini di Malaysia. Walaupun sebuah SUV versi pendek, ia masih bersaiz agak besar, dengan panjang 4,583mm, lebar 2,008mm dan tinggi 1,969mm.

Ia lebih lebar dan lebih tinggi dari Honda CR-V. Walaupun tempat duduk dilaras pada kedudukan paling rendah, anda masih duduk tinggi dan dapat lihat jauh ke depan. Pemandangan depan Defender ini unik kerana anda dapat lihat hudnya yang besar dan rata.

Dengan rupa luaran yang bersegi dan menegak juga, ia mudah menjadi perhatian terutamanya bila memandu perlahan di kawasan-kawasan padat seperti Jalan Maarof atau Bukit Bintang. Tetapi menariknya (atau malangnya) penulis perasan lelaki yang lebih tertarik dengan Defender ini, haha bukannya gadis-gadis.

Bila melalui sekitar bengkel atau kedai tayar, Defender 90 ini memang dipandang geng-geng mekanik dan pelanggannya.

Defender 90 yang dipandu uji penulis merupakan varian P300, jadi nadinya ialah enjin 2.0-liter Ingenium 4-silinder turbo, cukup dengan 300hp dan 400Nm tork.

SUV ini mempunyai berat lebih dua tan, jadi anda tidak perlu harap ia memecut dan dikendali seperti kereta sports 300hp. Tetapi ia tidak perlu pun menjadi terlalu sporti.

Defender 90 ini masih boleh dipecut laju, cuma anda tidak terasa kerana ia sangat senyap, selain saiznya yang besar. Lagipun ia sebuah Land Rover, pastilah pemiliknya mahu kenderaan yang senyap dan selesa, bukan?

Tetapi sistem suspensinya yang agak lembut memberikan sensasi unik. Defender ini akan mendongak bila pedal minyak ditekan agak banyak selepas keluar palang tol, ditemani dengan bunyi garau enjin ke dalam kabin.

Kemudian bila mahu menukar arah di selekoh S pada kelajuan tinggi, anda juga harus peka dengan berat dan pergerakan badan Defender ini. Keseluruhan pengalaman ini memberikan keseronokan janggal kepada penulis, berbeza dengan mengambil selekoh S menggunakan hatchback sporti.

Teknologi mengubah tetapi membantu Defender

Walaupun Land Rover Defender baharu ini nampak besar, berat dan rugged, tetapi segala butang dan kawalannya ringan serta mudah digunakan.

Ia padat dengan ciri dan teknologi yang memberikannya kemampuan untuk dipandu on-road atau off-road.

Antaranya adalah active differential atau pembeda aktif yang digunakan untuk mendapat cengkaman optima dalam semua jenis permukaan, dan kotak gear dua-kelajuan untuk Low dan High, sama seperti kenderaan 4×4 tradisional. Cuma pada Defender ini, segalanya dikawal secara elektronik.

Satu lagi teknologi utama pada Defender baharu ialah program Terrain Response – yang boleh diakses melalui skrin tengah – dengan mod Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand, dan Rock Crawl. Cukup untuk semua pengembaraan yang anda bayangkan dengan Land Rover Defender ini?

Jentera ini juga mendapat suspensi udara yang boleh dilaras ketinggiannya. Bergantung kepada mod yang anda gunakan, ia akan menaikkan kereta sebanyak 70mm, dan tambahan lagi 75mm sekiranya perlu.

Oh ya, Defender ini juga dilengkapi dengan ciri Wade Sensing, dimana ia boleh mengharuk air sehingga kedalaman 900mm. Mungkin berguna untuk situasi banjir kilat di ibu negara kita.

Penulis juga cukup suka dengan 3D Surround Camera, yang memaparkan imej seolah-olah but depan lutsinar. Ia menggunakan kamera untuk menunjukkan apa yang ada di bawah enjin kenderaan, jadi mudah untuk anda mengemudi Defender ini di laluan sempit atau off-road seperti di atas batu.

Bercakap mengenai off-road, sudah tentu habitat sebenar Land Rover Defender ini ialah di jalan tidak berturap. Walaupun anda sebagai pemilik tidak sanggup membawanya ke jalan seperti itu, ketahuilah Defender ini boleh dan suka berada di suasana lasak.

Sama ada masuk ke kebun, lumpur, pantai, atau jika di luar negara mereka bawa ke sand dune dan padang pasir, ianya serba boleh.

Maka sebab itu juga bahan-bahan dalam kabin Defender ini dibuat dari campuran plastik yang bukan untuk jimatkan kos, tetapi supaya senang dicuci sekiranya terkena lumpur dari kasut but anda. Tetapi di kawasan lain yang tidak berisiko terkena kotoran, ia dibaluti dengan kulit premium.

Penulis juga cukup suka dengan beberapa bahagian dalam pintu yang mendedahkan warna cat badan Defender, menunjukkan ia sebuah kenderaan rugged. Ia juga suatu ciri yang dibawa dari Defender klasik sebelum ini.

Jentera off-road moden atau mainan kayangan?

Satu persoalan yang bermain di fikiran penulis sepanjang memandu uji Defender 90 ini ialah; adakah ianya evolusi moden untuk Defender atau ia telah menjadi mainan golongan kayangan. Adakah ia masih jentera yang akan menakluki kebun durian atau sekadar dipandu ke Starbucks hujung minggu?

Persoalan ini muncul disebabkan harga permulaan Land Rover Defender ini yang sudah memasuki julat kayangan, iaitu RM838,800. Jika ditanya penulis secara peribadi, jika sudah bayar untuk memiliki jentera dengan segala keupayaan ini, penulis lebih rela membawanya ke kawasan off-road hujung minggu.

Spesifikasi Land Rover Defender 90 P300

Harga: RM838,800
Enjin: 2.0-liter Ingenium 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 300hp @ 5,500rpm
Tork: 400Nm @ 1,500-4,000rpm

GAC GS3 akan jadi model pertama CKD – SUV segmen-B, 1.5 turbo, ADAS Level 2

GAC GS3 akan menjadi model pertama hasil projek CKD antara Guangzhou Automobile Group (GAC) dan WTC Automotif (WTCA) yang dimeterai hari ini.

GAC GS3 yang akan dipasang itu merupakan model generasi baharu dengan versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Ia dibina dari pelantar baharu serta menampilkan rangkaian janaan kuasa baharu sepenuhnya.

SUV segmen-B ini bakal mendapat unit 1.5-liter 4-silinder turbo yang merupakan enjin suntikan bahan api terus (T-GDI) generasi ketiga. Ia mampu menjana 270Nm dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Padanan baharu ini menggantikan enjin 1.5-liter naturally aspirated dengan kotak gear automatik 6-kelajuan pada model terdahulu. GS3 CKD baharu juga akan dilengkapi dengan Advanced Driving Assist System (ADAS) Tahap 2.

Pengeluaran CKD bagi GAC GS3 dijadualkan bermula pada April tahun depan, dengan jualan pada pertengahan 2024.

Projek itu bernilai lebih RM60 juta dan menariknya, ia bukan sahaja CKD pertama GAC di ASEAN, malah di dunia. Kenderaan-kenderaan GAC akan dipasang di fasiliti CKD milik kumpulan Tan Chong Group di Segambut, Kuala Lumpur.

Menurut Naib Presiden GAC Group dan pengerusi GAC International, Yu Jun, beliau menjangkakan dalam pembangunan tiga hingga lima tahun, pengeluaran dan jualan akan mencapai 50,000 unit.

“Untuk mencapainya, GAC akan mengaturkan sumber dalaman dan luaran, meningkatkan sokongan untuk pasaran Malaysia, mempercepatkan pelancaran model-model penting, menambah baik matriks model, dan memberikan produk lebih pintar dan berkualiti untuk pengguna tempatan,” katanya.

WTCA juga merancang untuk membuka lebih 70 bilik pameran di Malaysia. Bilik pameran pertama yang dibuka ialah ialah di Seksyen 13 Petaling Jaya, bersebelahan bilik pameran Renault dan berdekatan Jaya 33. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya suku ketiga tahun ini.

WTCA berkata dalam satu kenyataan media: “Dalam lima tahun akan datang, kami akan memperkenalkan model-model GAC Motor pemanduan stereng kanan yang menarik dan komprehensif, termasuklah SUV, sedan, dan MPV.

“Tambahan lagi, model-model serba baharu GAC juga akan dibangunkan terus untuk model LHD dan RHD, memastikan pengguna Malaysia mendapat produk terkini seperti pengguna global kami.”

Hyundai Exter dengan saiz Ativa dilancar untuk India, RM32k sahaja

CROSSOVER paling kecil Hyundai yang ada di pasaran Malaysia ialah Kona yang hadir dengan enjin 2.0 naturally-aspirated, 1.6 turbo, dan EV. Tetapi di India, terdapat model SUV yang lebih kecil iaitu Exter.

Ia menampilkan rekaan kompak dan berkotak berserta imej rugged dengan cladding plastik di sekeliling badan dan skid plate depan. Warna utamanya ialah Ranger Khaki yang disulami dengan kemasan hitam di atas termasuklah rel bumbung.

Crossover terbaharu Hyundai ini mempunyai panjang kurang empat meter, dan diposisikan di bawah Venue yang juga dijual di India.

Dari beberapa imej yang tersiar, dapat dilihat Hyundai Exter dilengkapi dengan lampu DRL LED berbentuk-H, dan lampu utama petak yang mengapit gril di tengah. Yang agak janggal ialah, namanya dieja di bampar depan, di bawah kemasan hitam yang menghubungkan dua DRL.

Kita belum dapat melihat rupa belakang Exter buat masa ini, tetapi yang jelas ia mempunyai tiang belakang bertekstur. Crossover segmen-A ini juga mendapat ruang tingkap yang besar dan rim aloi dwi-tona.

Untuk enjin, Hyundai India berkata Exter 2023 akan didatangkan dengan unit 1.2-liter petrol yang digandingkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau AMT. Terdapat juga 1.2-liter yang boleh diisi dengan CNG (gas asli termampat), juga dengan manual 5-kelajuan.

Jualan dijangka bermula pertengahan tahun ini, dengan pilihan varian EX, S, SX, SX(O) , dan SX(O) Connect. Harga pula sekitar 600,000 Rupee (RM32,523), menjadikannya kira-kira 20 peratus dari harga Kona dan Creta di sini.

Proton X90 rasmi dilancar, NEV pertama, harga dari RM124k

PROTON X90 akhirnya dilancarkan, serentak dengan sambutan ulang tahun ke-40 pengeluar kereta nasional itu. X90 merupakan SUV tujuh atau enam tempat duduk dan ianya merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton.

Seperti dilaporkan sebelum ini, X90 ditawarkan dengan empat varian, dan harga masing-masing seperti berikut:

X90 1.5 TGDI BSG Standard: RM123,800
X90 1.5 TGDI BSG Executive: RM130,800
X90 1.5 TGDI BSG Premium: RM144,800
X90 1.5 TGDI BSG Flagship: RM152,800

Seperti pada namanya, Proton X90 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi seperti terdapat pada X70 dan X50, tetapi enjin ini mendapat padanan Electric Motor Synergy (EMS) 48volt, iaitu suatu sistem mild hybrid. Ini yang menyebabkan X90 mendapat penarafan NEV.

Sistem mild hybrid itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

X90 akan guna sistem operasi Atlas seperti X50 dan X70

Secara sendirinya, enjin 1.5 TGDi menjana 177PS dan 255Nm namun apabila digabungkan dengan 13PS dan 45Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia menghasilkan output keseluruhan setinggi 190PS dan 300Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu DRL LED, lampu isyarat berjujukan dan rim 19-inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3-inci dan kluster insutrmen digital 10-inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Seperti disenaraikan di atas tadi, Proton X90 ditawarkan pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, atas jalan tanpa insurans.

Kesemua X90 turut hadir dengan pakej seperti berikut:

Jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
Pakej data 5-tahun
Kos upah servis percuma 6 kali
Kadar faedah serendah 2.1 peratus
Program Insurans Proton

Subaru Forester dikemaskini untuk 2023 – EyeSight 4.0, dari RM174k

TC Subaru Sdn Bhd hari ini memperkenalkan Forester yang dikemaskini untuk 2023. Ia membawakan pembaharuan merangkumi EyeSight 4.0, penambahbaikan dari segi ciri dan kelengkapan, serta kosmetik.

EyeSight 4.0 didatangkan standard untuk semua varian Forester, kini dengan sembilan ciri, antaranya Autonomous Emergency Steering, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Pre-Collision Braking, Subaru Rear Vehicle Detection, dan High Beam Assist.

X-MODE yang merupakan butang untuk mengawal Symmetrical All-Wheel Drive juga telah ditambah baik untuk Forester 2023. Ia mempunyai mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud (bergantung kepada varian) dan kini didatangkan dengan fungsi X-MODE Auto Restore dan Hill Descent Control.

Dari segi rupa dan penampilan, Subaru Forester 2023 diberikan dua kit badan baharu iaitu GT Lite dan GT Edition, masing-masing dengan lip depan dan belakang, skirt sisi, dan rim (18-inci atau 17-inci bergantung kepada varian).

Harus diketahui bahawa kit badan ini direka oleh Giken Co. Ltd dan Masahiko Jack Kobayashi, iaitu dari pasukan asal Subaru yang terlibat dalam reka bentuk 12 model termasuk WRX STI.

Di dalam kabin pula, Subaru Forester 2023 mendapat tempat duduk kulit dengan jahitan berlian dwi-tona, dengan logo GT di sisi. Forester 2023 boleh didapati dengan tujuh warna; Crystal White, Ice Silver Metallic, Crystal Black Silica, Horizon Blue Pearl, dan tiga warna baharu (Cascade Green Silica, Magnetite Gray Metallic, dan Brilliant Bronze Metallic).

Subaru Forester masih dikuasakan oleh enjin boxer 4-silinder dengan output 154hp dan 196Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT dan sistem pacuan Symmetrical AWD.

Harga bagi Forester 2023 adalah seperti berikut:

Forester 2.0i-L Eyesight: RM174,288
Forester 2.0 i-L EyeSight GT Lite: RM180,288
Forester 2.0 i-S EyeSight: RM184,288
Forester 2.0 i-S EyeSight GT Edition: RM196,288

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm