Arkib Tag: SUV segmen C

Honda CR-V 1.5V AWD pilihan tepat untuk kehidupan pasca kerjaya – pandu uji

Biarpun pasaran tempatan sudah dibanjiri dengan bermacam-macam pilihan SUV yang lebih canggih-manggih, Honda CR-V tetap mempunyai peminat yang tersendiri.

Salah satu sebab mungkin sekali disumbangkan oleh logo H yang terpampang besar di depan.

Setelah kami diberi peluang memandu uji SUV ini, ada beberapa perkara yang membuatkan CR-V ini tampil lebih menyerlah.

Untuk mereka yang mahu menikmati kehidupan pasca kerjaya, ini mungkin sekali satu pilihan yang tepat.

Penampilan CR-V 1.5V AWD lebih garang

Berbanding CR-V terdahulu yang nampak seakan sebuah pau, CR-V generasi keenam ini tampil lebih tajam dan garang.

Rekaan lampu juga diberikan nafas baharu yang lebih moden, terutama pada bahagian belakang yang mirip kepada SUV buatan Sweden.

Disebabkan tiang A yang dialihkan ke belakang, ia menjadikan rekaan hud enjin CR-V ini lebih panjang.

Selain itu, jurutera Honda telah merendahkan posisi bagi tapak tiang A dan garis bahu, menjadikan perkadaran badan SUV ini lebih seimbang.

Hasilnya, CR-V baharu ini nampak lebih kecil, namun ukuran dimensi menunjukkan CR-V ini sebenarnya lebih besar berbanding model terdahulu.

Kabin yang lebih luas dan lapang

Selain penambahan dimensi panjang, jarak antara roda juga turut bertambah sebanyak 40 mm kepada 2,700 mm.

Ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang, memberikan keselesaan kepada penumpang baris kedua.

Pendekatan “Machine Minimum, Man Maximum” turut diterapkan pada ruang kabin.

Berbeza dengan model terdahulu, CR-V mengguna pakai rekaan papan pemuka yang hampir sama dengan Civic generasi ke-11.

Walapun dengan rekaan yang lebih ringkas, ia tetap memberikan pengalaman yang elegan dan mewah.

Setiap butang fungsi rasa ketat, malah penukaran operasi PRND juga dirasakan kemas setiap kali pemanduan dibuat.

Kemasan kayu pada beberapa tempat juga dilihat bertepatan dengan tema kenderaan pasca kerjaya yang kerap dicari kebanyakan orang.

CR-V SUV mesra pengguna

CR-V tidaklah didatangkan dengan tetapan skrin sebesar alam dengan bermacam-macam menu disumbatkan ke dalam.

Sebaliknya, ia hanya dilengkapi dengan skrin infohibur sebesar 10 inci, diikuti dengan meter hibrid analog dan digital bersaiz 9-inci untuk pemandu.

Paparan menu pada kedua-dua skrin memang jelas, besar dan mudah untuk dioperasikan.

Dengan adanya sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, anda tidak lagi memerlukan pemegang peranti pintar untuk dipasangkan pada corong pendingin hawa.

Memang tak boleh pun disebabkan oleh pemasangan jeriji sarang lebah standard kilang.

Walaupun tanpa kehadiran sistem audio Bose 12 pembesar suara, sistem audio standard pada varian ini menawarkan lantunan irama dan bunyi yang cukup sedap di telinga menemani sepanjang perjalanan.

Tempat duduk yang dibekalkan sememangnya cukup selesa, lengkap dengan fungsi memori.

Cuma bahan kulit yang digunakan akan membuatkan punggung anda tidak selesa terutama selepas beberapa ketika.

Praktikaliti nombor satu

Aspek praktikaliti membuatkan CR-V ini sangat sesuai untuk seisi keluarga.

Ruang kargo memang luas, sekitar 589 liter dan boleh mencapai sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Selain itu, CR-V menawarkan bukaan pintu baris kedua hampir 90 darjah, ini memudahkan urusan penumpang untuk keluar dan masuk tanpa rasa sempit.

Atau urusan memasang kerusi kanak-kanak.

Rekaan lantai untuk penumpang baris kedua juga hampir rata untuk sebuah SUV yang ada sistem pacuan semua roda (AWD).

Apa yang penulis amat suka pada CR-V ini ialah sudut pandang keluar yang agak luas, ditambah dengan posisi cermin sisi yang sedikit ke belakang untuk mengurangkan kesan titik buta.

Enjin turbo menyerlah!

Honda CR-V 1.5V AWD ini merupakan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahukan sebuah nadi penggerak yang ringkas.

Enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 190 hp dan 243 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem AWD – satu gandingan yang mantap tanpa perlu dakwa-dakwi lagi.

Pecutan permulaan dirasakan lancar, dan boleh dikerah tanpa rasa malas apabila pemandu memerlukan kuasa ekstra terutama ketika memotong kereta di hadapan.

Apa yang membuatkan gandingan ini cukup bagus ialah prestasi ketika meluncur pada kelajuan malar – kabin terasa senyap tanpa bising ketara.

Sistem pacuan semua roda (AWD) memberikan lebih keyakinan kepada pemandu ketika meluncur atas garis lurus lebuh raya, dan lebih cengkaman di kawasan berselekoh.

Berdasarkan pemanduan, penulis berjaya mencatatkan tahap penggunaan bahan api sekitar 7.9 liter untuk setiap 100 km.

Kawalan kenderaan – itu lebih penting

Menambahkan lagi perisa kesedapan pemanduan CR-V ini ialah bagaimana sistem pengendalian bekerja sepanjang perjalanan.

Ia bukanlah sebuah SUV yang sporti dihasilkan standard daripada kilang.

Suspensi juga bukanlah jenis keras, lebih cenderung ke arah keselesaan.

Namun anda boleh rasa keharmonian sistem stereng yang tepat dan jitu, respons pendikit dan brek yang cekap, dan talaan suspensi yang selesa membuatkan bibir sentiasa mengukir senyuman.

Kualiti jalan yang tidak sempurna? Bukan satu masalah bila duduk dalam CR-V ini.

Semasa musim perayaan, penulis sengaja mengelak daripada menggunakan kemudahan lebuh raya untuk menilai sejauh mana kecekapan sistem suspensi CR-V ini bekerja.

Sejujurnya, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Aspek keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Honda CR-V didatangkan dengan ciri seperti:

  • lapan beg udara
  • kamera 360-darjah
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Honda LaneWatch
  • kelengkapan Honda Sensing (FCW, AEB, ACC, LSF, dll)

Sejujurnya, penulis rasa agak ralat untuk sebuah SUV berharga sekitar RM180 ribu namun tidak dilengkapi dengan ciri sistem pemantauan titik buta kiri dan kanan.

Sistem Honda LaneWatch memang membantu, namun dengan operasi yang terhad pada sebelah kiri dan kualiti sistem kamera membataskan manfaat yang ada.

Mujur kemas kini terbaharu Honda CR-V 2026, Honda Malaysia sudi menggantikan sistem LaneWatch itu dengan sistem informasi titik buta (BSI) dan sistem pemantauan trafik silang belakang (CTM).

Kesimpulan

Honda CR-V 1.5V AWD merupakan satu pilihan yang tepat untuk mereka yang mahu sebuah SUV yang besar, selesa dan praktikal.

Biarpun pasaran sudah dipenuhi dengan bermacam pilihan yang ada, ia bukanlah satu penghalang bagi CR-V untuk terus menyerlah di mana saja anda pergi.

Bukti dengan penawaran pakej yang tepat, ia masih lagi mampu menjadi pilihan utama di kalangan pengguna.

Proton X70 2026 kini dengan enjin i-GT 1.5 turbo – harga dari RM99,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV X70 2026 yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Dari segi luaran, X70 baharu ini dilihat sama sahaja seperti apa yang telah ditawarkan pada dua tahun lepas.

Namun, perubahan ‘besar’ yang dibuat ialah menggantikan enjin 3-silinder yang asal kepada enjin 4-silinder i-GT 1.5 liter turbo.

Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Proton mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km, dan 5.5 peratus lebih jimat berbanding X70 terdahulu.

Aspek NVH bertambah baik sebanyak 4.5 peratus dengan penggunaan rantai pemasa bergigi yang dikatakan lebih senyap 25.24 peratus berbanding rantai pemasa standard.

Proton turut menyentuh aspek pengendalian dan keselesaan (ride & handling) X70 dengan menjadikan respons stereng yang lebih pantas dan nisbah yang ditambah baik, diikuti suspensi yang ditala semula.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang khusus untuk varian Premium merangkumi:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Kawalan Suluhan Tinggi (IHBC)
  • Informasi Papan Tanda Trafik (TSI)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Ruang kabin X70 2026 masih menawarkan kelengkapan yang sama seperti model terdahulu, seperti skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan arahan suara Hi Proton.

Cuma sayang sekali, beberapa ciri yang sebelum ini ada telah dibuang seperti balutan kulit Nappa serta bumbung kaca panorama.

Proton X70 2026 varian Premium juga masih kekal dengan padanan rim 19 inci rekaan yang asal, namun balutan getah Continental UC6 telah digantikan dengan tayar Giti Comfort F50 (225/55R19).

Harga jualan (selepas rebat RM7,000 untuk 1,500 unit pertama, sah sehingga 31 Mac) bermula dari RM99,800 untuk varian Executive hingga RM112,800 untuk varian Premium.

 

GAC Emkoo 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM123,800

WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) selaku pengedar rasmi GAC di Malaysia hari ini melancarkan SUV serba baharu GAC Emkoo 2025.

GAC Emkoo merupakan model pemasangan tempatan (CKD) kedua yang boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu Premium serta varian Premium Pro.

Pelanggan terawal akan menikmati tawaran istimewa berupa rebat tunai RM4,000 serta pakej aksesori percuma bernilai RM10,000 merangkumi:

  • kamera perakam DVR depan belakang lengkap dengan kad mikro SD 64 GB
  • plet eksklusif Emkoo
  • dulang kargo
  • pedal sport

WTCA turut menawarkan pakej Vkool Solar Tint dan pintu tailgate elektrik untuk varian Premium, serta Vkool Security Tint untuk varian Premium Pro, terhad kepada 500 orang pemilik pertama.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang GAC Emkoo 2025:

 

1. Kuasa

SUV ini dijana dengan enjin 1.5 TGDI menghasilkan 177 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 270 Nm @ 1,400-4,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 190 km/j.

Tiga mod pemanduan disediakan (Economy, Comfort, Sport). Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.6 liter/100 km.

 

2. Luaran

Antara ciri yang dimuatkan pada GAC Emkoo termasuklah suspensi topang MacPherson dan tetapan Multi-link di belakang, sistem pencahayaan LED lengkap dengan fungsi Follow-me-Home, rim aloi 19 inci, tayar 235/55 R19, serta pemegang pintu tertanam.

Ia turut menampilkan elemen rekaan V pada jeriji hadapan yang agresif, lampu LED Eye of Revelation, serta rekaan ekzos ala turbo jet di belakang yang menyumbang kepada penampilan yang lebih sporti.

Untuk makluman, SUV ini menawarkan angka pekali seretan serendah 0.317 Cd.

 

3. Kelengkapan dalaman

Ruang kokpit GAC Emkoo didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto, serta skrin paparan head-up (HUD).

Di bahagian konsol tengah pula terdapat tombol penukaran gear kristal serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Kapasiti ruang kargo adalah sebesar 638 liter dan boleh mencecah sehingga 1,586 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Ciri keselamatan

Secara standard, GAC Emkoo dilengkapi dengan enam beg udara, cagak ISOFIX, ABS, BED, Bantuan Mula Mendaki, sistem kamera keliling 360 darjah, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Pakej ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi-fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), bantuan pengekalan lorong (LKA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta amaran pelanggaran belakang (RCW).

Varian Premium Pro pula mendapat fungsi bantuan parkir automatik penuh (FAPA) sebagai ciri eksklusif.

 

5. Pilihan warna dan harga

Terdapat sehingga lima warna menarik seperti Super Star Silver, Graphite Grey, Frost White, Asphalt Black dan warna baharu Star Lake Green.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • GAC Emkoo Premium – RM123,800
  • GAC Emkoo Premium Pro – RM133,800

 

GAC Emkoo dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV terbaharu keluaran GAC, iaitu Emkoo 2025 menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, GAC Emkoo memperoleh skor keseluruhan sebanyak 84.96 mata yang dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.88/40.00
Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.01/20.00
Bantuan Keselamatan (SA) – 18.57/20.00
Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 12.50/20.00

Model yang dipasang di Malaysia dan China itu secara standard dilengkapi dengan ciri keselamatan utama termasuklah enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Anti-Kunci (ABS), Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang.
Selain itu, terdapat ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB) dan Perlindungan Pejalan Kaki (PP).

Bergantung kepada varian, GAC Emkoo turut dilengkapi dengan teknologi Pengesanan Titik Buta (BSW), serta Peringatan Penumpang Belakang.

Untuk pasaran Malaysia, GAC Emkoo bakal dilancarkan tidak lama lagi dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium (harga dari RM120,000) dan Premium Pro (dari RM130,000).

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Kia Sportage 1.6T AWD: SUV santai penuh bergaya – pandu uji

Segmen SUV di Malaysia sememangnya rancak dengan kehadiran pelbagai model dan jenama, baik dari lencana buatan tempatan mahupun jenama luar.

Boleh jadi rambang mata dibuatnya jika anda sendiri tidak tahu kriteria yang perlu dipertimbangkan.

Katakanlah anda mahukan sesuatu yang lebih menonjol daripada kebiasaan tipikal SUV yang ada di jalanan, kami boleh sarankan Kia Sportage 1.6T AWD ini sebagai pilihan yang tepat.

Ia ada segalanya yang anda perlukan untuk sebuah kenderaan kegunaan harian dan paling penting kepuasan pemanduan yang didambakan.

Beli kereta mahal-mahal tapi tak puas memandu, apa gunanya kan?

Berikut merupakan pendapat kami setelah seminggu meminjam Kia Sportage ini daripada Kia Malaysia.

 

Rekaan luar, terlebih menonjol?

 

Untuk makluman, Kia Sportage yang dipasarkan di sini merupakan versi pra-facelift yang telah pun wujud sejak 2021 lagi.

Versi facelift yang lebih garang telah pun dilancarkan di Korea Selatan pada penghujung tahun 2024, namun nak kata rekaan Sportage ini ketinggalan zaman mungkin satu kenyataan yang tidak tepat.

Ini kerana dalam versi pra-facelift sekalipun, Kia Sportage tetap menonjol bila meluncur di atas jalan raya.

Dengan grafik LED boomerang di depan dan belakang, serta garis bumbung yang rendah di belakang sekaligus memberikan imej sporti yang diperlukan pada Sportage.

Setidak-tidaknya, ia merupakan satu rekaan asli yang mampu membuatkan pemilik berpuas hati tatkala memandangnya, dan bukannya meniru mana-mana model.

Tak menoleh ke arah kereta sendiri selepas parkir? Anda mungkin dah beli kereta yang salah.

 

Dimensi

Kia Sportage versi AWD ini berukuran sepanjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Sebagai sebuah SUV segmen C, Kia Sportage sedia menawarkan ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga.

Tiada bumbung kaca panorama bukanlah satu masalah besar, kerana ruang kepala yang disediakan dalam kabin ini cukup luas.

Penumpang belakang juga boleh melaraskan sudut sandaran kerusi belakang untuk postur duduk rehat yang lebih selesa, jadi mereka tidaklah perlu duduk dengan tegak sepanjang masa.

Bagaimana dengan ruang kargo?

Kia Sportage menawarkan ruang barangan sebesar 543 liter secara standard, dan kapasiti itu boleh mencecah sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Pelbagai ciri yang menyenangkan

Salah satu perkara yang membuatkan penulis senang dengan Kia Sportage ini ialah susun atur papan pemuka yang mesra pemandu.

Selain skrin berkembar 12.3 inci melengkung, papan pemuka Sportage ini turut menyediakan panel kawalan berasaskan sentuhan yang lengkap dengan tombol fizikal.

Di situ, anda boleh memilih untuk menjalankan operasi larasan suhu kabin, atau mengubah kandungan media yang dimainkan menerusi lapan pembesar suara sistem audio Harman Kardon.

Bagi penulis, ini merupakan satu ciri yang memudahkan dan amat dialu-alukan.

Ini kerana kebanyakan pengeluar kini lebih gemar menyumbat segala macam butang fungsi ke dalam skrin tengah. Perlu diselongkar dan mampu mengakibatkan tumpuan pemandu lebih terganggu.

Konsol tengah juga turut menempatkan beberapa butang fungsi yang penting, mudah untuk dibaca dan dicapai.

Dial PRND shift-by-wire itu ternyata menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang, cuma ada ketikanya penulis rasa janggal sedikit dek penukaran gear yang tidak konvensional itu.

Paparan skrin kluster digital Sportage ini masih lagi setia menawarkan grafik meter analog dengan beberapa tema yang boleh dipilih mengikut mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Smart).

Usah risau, skrin infohibur turut menyediakan sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Tak perlu nak tunggu kemas kini over-the-air (OTA) pun.

Jika anda perasan, bahagian belakang tempat sandar kepala penumpang hadapan mempunyai cangkuk yang agak besar yang sangat sesuai digunakan untuk menyangkut beg atau tudung.

Tidak ketinggalan, terdapat beberapa cangkuk teh tarik yang turut disediakan – menjadikan Kia Sportage ini lebih mesra rakyat Malaysia berbanding SUV jenama Malaysia itu sendiri yang ada di pasaran.

 

Bagaimana dengan pemanduan?

Unit yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbo Gamma II T-GDI menghasilkan 177 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (AWD) menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Seperti yang dialami oleh penulis sewaktu sesi pandu uji media tempoh hari, Kia Sportage 1.6T AWD ini ternyata menawarkan respons yang kurang bertenaga untuk julat rpm yang rendah.

Ini mendatangkan sedikit kesukaran untuk pengendalian di kawasan berkelajuan rendah seperti tempat parkir, di mana kuasa itu teragak-agak untuk dihamburkan oleh Sportage ini.

Namun bila SUV ini sudah mencapai kelajuan meluncur yang normal, ruang kabin dirasakan lebih senyap, di mana kadar gegaran dan kekasaran juga berada pada tahap yang minima.

Ini kerana tetapan sistem suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang Sportage ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran yang wujud di atas jalan raya.

Ia juga mampu membuatkan SUV ini rasa melekat di kawasan berselekoh dengan olengan badan yang tidak terlalu ketara, menjadikan pemanduan Sportage ini lebih menyeronokkan.

Namun, jika ia dipandu dengan lebih agresif, segala kelebihan itu tadi akan lenyap. Jadi, anda harus tahu had dan batasan yang wujud pada Kia Sportage ini.

Penulis tidak mempunyai sebarang komen terhadap aspek pengendalian SUV ini, kerana ia menepati apa yang dijangkakan daripada sebuah kenderaan jenama Kia.

Talaan stereng yang cukup tepat dan hidup itu membuatkan penulis langsung lebih fokus melayan jalan raya yang berliku di hadapan, ia patuh pada setiap sudut yang diarahkan oleh tangan pemandu.

Ada ketikanya, sistem pembetulan stereng bekerja untuk memastikan SUV ini berada di landasan yang tepat, namun cara operasinya itu tidaklah membuatkan penulis rasa penat dan jengkel sepanjang masa.

Membezakan antara Kia Sportage 1.6T AWD dengan varian 2WD ialah kehadiran ciri kekunci pembeza dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik untuk pemanduan off-road ringan.

Jadi, ditambah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 181 mm, tiada sebarang masalah untuk anda pandu Kia Sportage ini meredah laluan yang tidak berturap tar untuk tujuan merehatkan minda di hujung minggu.

 

Sportage untuk ‘healing’ hujung minggu

Seperkara lagi yang membuatkan penulis suka pada Kia Sportage ini ialah tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat rata.

Tidak perlu untuk perhabis duit untuk beli dan pasang khemah, anda boleh jadikan bahagian belakang Kia Sportage ini sebagai ‘khemah sementara’ untuk aktiviti santai di hujung minggu.

Pada bahagian ruang kargo, ada soket kuasa 12V yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti pintar atau dijadikan sumber kuasa untuk perkakasan ringan.

Terdapat juga ciri bunyi-bunyian ‘Sound of Nature’ yang ada di dalam skrin infohibur Sportage ini sebagai peneman aktiviti.

Gembira, gembira juga. Kewajipan sebagai seorang muslim usah dilupakan.

Jadi jika anda mahu tunaikan kewajipan solat di tempat berkhemah, Kia Sportage turut mempunyai fungsi kompas arah kiblat yang boleh digunakan sebagai petunjuk.

 

Ciri keselamatan

Kia Sportage menawarkan pelbagai ciri keselamatan yang menyeluruh termasuklah enam beg udara, ABS, ESC, serta tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju yang cukup panjang senarainya.

Apa yang penulis mahu tekankan di sini ialah sistem pemantauan titik buta (BVM) yang akan memaparkan apa yang wujud di ruang sebelah kiri dan kanan kenderaan apabila lampu membelok dihidupkan.

Sistem yang wujud pada mana-mana model Kia (termasuk Hyundai) ini ternyata lebih memudahkan kita untuk mengesan benda (kereta, penunggang motosikal) yang biasanya terhalang dalam medan titik buta.

Ada pengeluar lain yang menawarkan kamera 360 darjah yang lebih canggih, lengkap dengan sudut pandang daripada mata burung.

Namun kebanyakan masa ia lebih bersifat syok sendiri kerana ia memaparkan imej kereta yang kita dipandu, dan bukannya apa yang tersembunyi pada medan titik buta.

 

Kesimpulan

Adakah Kia Sportage 1.6T AWD ini sebuah SUV terbaik di dalam kelasnya?

Tidak dinafikan, Kia Sportage mempunyai kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan model pesaing dalam pasaran.

Ada rupa, pakej yang praktikal, ruang kabin yang cukup luas dan selesa, dan hadir dengan pakej keselamatan yang hampir menyeluruh.

Namun, jika anda boleh berkompromi dengan kelemahan yang disebutkan tadi, kami kira Kia Sportage mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi.

 

Spesifikasi Kia Sportage 1.6T AWD (RM186,899)
Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh-kelajuan
Pacuan: Semua roda (AWD)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 543 liter-1,829 liter

Hyundai Tucson 2025 facelift dipertontonkan, pelancaran rasmi 2 Julai ini

Sebuah lagi model baru yang bakal dilancarkan secara rasmi oleh Hyundai Motor Malaysia (HMY) bulan depan ialah SUV segmen C Tucson 2025.

Berbeza dengan apa yang pernah ditawarkan sebelum ini oleh Hyundai Sime Darby, Hyundai Tucson 2025 merupakan versi facelift yang membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik.

Antaranya ialah jeriji hadapan Parametric Jewel yang menyembunyikan lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih besar dimensinya, rim yang direka semula, serta bampar depan lebih bersegi.

Perubahan yang lebih ketara boleh dilihat pada ruang kabin, di mana susun atur telah diubah sepenuhnya.

Tucson 2025 facelift kini membawakan papan pemuka yang lebih kemas, dengan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel melengkung, roda stereng tiga jejari tanpa logo H italik, serta panel 6.6 inci berasingan untuk kawalan iklim.

Di bahagian konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti tanpa wayar, serta ruang barangan yang lebih besar terima kasih kepada tuil penukaran gear yang telah dialih ke bahagian kolum stereng sebelah kanan.

Terdapat tiga varian Tucson yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Style dengan enjin 2.0 liter (156 PS/192 Nm), serta Prime dan Prestige (4WD) yang dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo (180 PS/264 Nm).

Terdapat juga pilihan enjin 1.6 liter turbo hibrid berkuasa 235 PS/367 Nm yang ditawarkan khusus untuk varian Prestige HEV.

Varian Style dan Prestige HEV itu tadi dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan, sementara varian Prime dan Prestige pula dibekalkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Dari segi ukuran, Tucson 2025 membawakan dimensi sepanjang 4,640 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Ciri keselamatan yang wujud pada Tucson 2025 termasuklah enam beg udara, sementara varian tertinggi Tucson pula didatangkan dengan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi fungsi seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA),  Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Peringatan Penumpang Belakang (ROA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem pemantauan titik buta dan paparan keliling 360 darjah.

Harga jualan hanya akan diumumkan secara rasmi pada acara pelancaran berlangsung 2 Julai ini.

Toyota RAV4 2026 tampil dengan rupa paras yang lebih berani, pilihan HEV atau PHEV

Inilah dia generasi keenam SUV kompak Toyota RAV4 yang baru sahaja dilancarkan di peringkat global.

Dibina berdasarkan pelantar terkini daripada senibina Toyota New Global Architecture (TNGA), RAV4 membawakan penggayaan yang lebih mirip dengan barisan model sedia ada seperti bZ, Camry dan juga Prius.

Apa yang anda perlu tahu pasal RAV4 2026 ini?

 

1. Varian

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan oleh Toyota, iaitu:
• Core – penggayaan urban
• Adventure – penampilan lebih ranggi dan mesra off-road
• GR Sport – pemanduan yang lebih menyeronokkan

 

2. Dimensi

Berbanding generasi terdahulu, RAV4 baharu ini jauh lebih panjang (4,600 mm), namun mengekalkan ukuran lebar 1,855 mm serta jarak antara roda 2,690 mm.

Varian Adventure dan GR Sport membawakan ukuran yang lebih lebar, iaitu 1,880 mm.

 

3. Pilihan rangkaian kuasa HEV dan PHEV

Generasi baharu RAV4 hanya boleh didapati dalam versi hibrid (HEV) serta plug-in hybrid (PHEV).

RAV4 HEV dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pilihan pacuan roda depan (FWD) 226 hp, atau pacuan semua roda (AWD) 236 hp.

Varian PHEV pula hanya didatangkan dengan sistem AWD, kuasa keseluruhan mencecah 320 hp dan jarak gerak sifar emisi mencecah 150 km.

Selain itu, RAV4 PHEV turut menyokong fungsi vehicle-to-home (V2H), pengecasan pantas DC (bateri dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit), serta pengalaman pemanduan off-road yang lebih baik.

 

4. Rekaan luar

Sama seperti kereta moden Toyota, RAV4 membawakan pendekatan rekaan muka depan gaya ikan jerung tukul.

Perumah lampu belakang pula direka dengan grafik LED yang lebih ringkas, diikuti dengan perkataan RAV4 pada bahagian tengah.

Bergantung kepada spesifikasi, terdapat pilihan rim bersaiz 17, 18 atau 20 inci.

 

5. Ruang kabin

Dengan struktur atas papan pemuka 40 mm lebih rendah, RAV4 menawarkan medan penglihatan keluar yang lebih luas.

Menggunakan pendekatan senibina pulau, struktur papan pemuka RAV4 direka supaya memudahkan urusan pemandu mencapai skrin dan butang fungsi penting, selain mengurangkan pergerakan mata semasa pemanduan.

Antara ciri unik pada ruang kabin RAV4 termasuklah penutup konsol tengah yang boleh dijadikan sebagai perehat tangan atau dulang untuk meletakkan barang.

Ruang kargo RAV4 kini mencecah kapasiti 749 liter, atau 16 liter lebih besar berbanding model terdahulu.

Akhir sekali, RAV4 merupakan model Toyota pertama yang menggunakan perisian Arene yang dibangunkan oleh Woven by Toyota, merangkumi operasi sistem infohibur serta kelengkapan keselamatan termaju Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0).

 

6. RAV4 Adventure

Berbanding model Core yang lebih ringkas, RAV4 Adventure membawakan ciri unik seperti:
dimensi lebih lebar
plastik pelindung badan lebih menonjol
rekaan rim yang lebih ringkas
bampar depan yang lebih berpetak
bukaan jeriji yang lebih besar dan menegak
struktur hidung yang lebih tinggi
padanan rel bumbung

 

7. RAV4 GR Sport

Tidak dilupakan, varian GR Sport khas untuk mereka yang mahu gandingan praktikaliti dan pemanduan yang lebih menyeronokkan dalam satu pakej.

Dari segi rupa, RAV4 GR Sport diberikan bampar yang agresif lengkap dengan spoiler hadapan dan juga spoiler belakang yang dapat menambah baik aspek aerodinamik dan kestabilan pengendalian.

RAV4 GR Sport turut mendapat trek yang lebih lebar (+20 mm), talaan suspensi dan stereng yang istimewa, serta set rim aluminium yang lebih ringan.

 

8. Sistem TSS 4.0

Toyota RAV4 juga merupakan model Toyota pertama yang mendapat kelengkapan keselamatan TSS 4.0.

Antara ciri baharu yang dimuatkan pada RAV4 termasuklah sistem penghalang pecutan tiba-tiba, serta sistem henti memandu kecemasan (EDSS) sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada pemandu.

 

Chery Tiggo 7 ini tampil dengan sistem PHEV Chery Super Hybrid, boleh cecah 1,200 km

Sebuah lagi model SUV yang dipertontonkan di reruai Malaysia Autoshow 2025 ialah SUV segmen C Chery Tiggo 7 CSH, singkatan kepada sistem Chery Super Hybrid.

CSH ini sebenarnya merupakan jenama bagi sistem plug-in hybrid (PHEV) yang bakal diguna pakai pada model Chery Tiggo 7 ini.

Sistem PHEV ini menampilkan enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm), motor elektrik 204 PS/310 Nm, transmisi DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dan pek bateri 18.3 kWh.

Secara keseluruhan, Tiggo 7 PHEV ini mampu menjana kuasa 347 PS dan 525 Nm, selain menawarkan jarak pandu sifar emisi 95 km dan jarak pemanduan mencecah 1,200 km.

Versi yang dipamerkan di MAS2025 ini merupakan unit facelift yang membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan Chery Tiggo 8 Pro, kecuali lampu belakang yang lebih mirip kepada Chery Tiggo Cross.

Ia juga turut membawakan rim bersaiz 18 inci rekaan aerodinamik, serta kehadiran port untuk pengecasan bateri di belakang pintu penumpang sebelah kanan.

Ruang kabin Chery Tiggo 7 PHEV ini membawakan skrin berkembar 12.3 inci, tempat duduk balutan kulit, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, serta panel kawalan iklim berasaskan sentuhan.

Sama seperti Chery Tiggo Cross, Chery Tiggo 7 PHEV ini juga bakal dilancarkan pada separuh kedua (2H) tahun ini.

Lima perkara anda perlu tahu pasal Jetour Dashing – Pandu Uji Ringkas

Tanggal 9 April 2025 menyaksikan sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Jetour.

Untuk makluman para pembaca, Jetour merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah kumpulan besar Chery, dengan fokus ditumpukan kepada model crossover dan SUV untuk disasarkan kepada keluarga kecil serta golongan pembeli muda.

Namun begitu, Jetour Malaysia dikendalikan oleh entiti yang berbeza, jadi jenama baharu ini secara tidak langsung turut memberikan cabaran kepada Chery dan juga sub-jenama premiumnya – Jaecoo.

Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah Jetour Dashing, sebuah SUV segmen C dengan rupa paras yang cukup menarik serta memiliki tanda harga yang agak kompetitif.

Di Malaysia, Dashing, ataupun Dàshèng membawa maksud ‘monkey king‘ ini bakal bersaing dengan SUV segmen C yang terkenal seperti Honda CR-V, Proton X70 dan juga Toyota Corolla Cross.

Dengan harga jualan di bawah julat RM120,000, adakah Jetour Dashing ini mampu menjadi satu alternatif yang lebih baik?

Berikut merupakan ulasan awal kami berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari dari Ara Damansara menuju ke Sekinchan.

 

Luaran

Tatkala rata-rata model di dalam kategori SUV segmen C di sini mempunyai rekaan yang agak selamat namun membosankan, Jetour Dashing tiba untuk memecahkan tradisi tersebut dengan rekaan yang lebih ranggi dan menonjol.

Atau patutkah kami gelarkannya sebagai rojak?

Ini kerana Dashing menampilkan gabungan imej yang wujud daripada SUV mewah Lamborghini Urus, dengan lampu nyalaan siang DRL seakan mata adiwira Iron Man, profil sisi SUV coupe yang sporti dan belakang pula ada elemen bendera berkotak-kotak (chequered flag).

Pada kami, untuk melengkapkan lagi imej sporti SUV ini, elemen krom pada bahagian sisi boleh digelapkan, selain tidak menjadikan tip ekzos tersembunyi di sebalik diffuser yang garang itu.

Mungkin ada yang berpendapat, Jetour Dashing ada unsur elemen SUV jenama Porsche.

Pandangan anda itu ada benarnya.

Ini kerana reka bentuk Jetour Dashing ini merupakan hasil kerja tangan Hakan Saracoglu, seorang bekas pereka Porsche yang sebelum ini bertanggungjawab hasilkan model-model penting seperti 918 Spyder, Boxster dan Cayman.

Hasilnya, sebuah SUV segmen C dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya, dan nyata berbeza jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang mempunyai imej SUV keluarga.

 

Dalaman

Susun atur papan pemuka Jetour Dashing ini merupakan tetapan tipikal yang wujud pada mana-mana SUV buatan China, terutama dari keluarga besar Chery.

Menurut Jetour, Dashing ini menggunakan pendekatan ‘wrap-around‘ yang diadaptasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, diikuti dengan elemen kereta mewah buatan Jerman turut menguasai bahagian tersebut, seperti yang terdapat pada roda stereng dan butang menghidupkan enjin.

Terdapat panel skrin memanjang yang menempatkan paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.25 inci, dan panel kawalan khusus untuk sistem pendingin hawa yang terletak di bawah corong tengah.

Untuk pemandu dan penumpang baris depan disediakan tempat duduk gaya bucket yang nampak sesuai dengan tema sporti yang cuba dibawakan.

Binaan kerusi depan ini mampu memegang erat badan manusia daripada tergelongsor ke tepi cuma rekaannya mungkin agak sempit terutama untuk mereka yang berjisim besar.

Satu pujian harus diberikan pada Dashing kerana menawarkan tempat duduk baris kedua yang cukup empuk dan selesa, dalam masa yang sama tidak menawarkan sudut sandaran yang terlalu menegak.

Walaupun daripada sudut luaran SUV coupe ini nampak kecil, namun masih ada ruang kepala yang cukup besar, serta struktur lantai rata untuk ruang kaki yang lebih luas.

Ternyata, duduk di belakang rasa lebih selesa dan memuaskan hati (dan perut yang kekenyangan) sewaktu perjalanan pulang ke Ara Damansara, dengan keadaan kabin yang senyap tanpa gangguan bunyi bising daripada luar.

Cuma anda perlu sedikit bersabar untuk menikmati tiupan angin sejuk daripada corong baris kedua yang agak sukar untuk ditetapkan sudut arah tiupan anginnya.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat beberapa slot pengecasan jenis USB tersedia serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W yang tersedia pada konsol tengah.

Di dalam kabin Dashing juga anda boleh merasai pengalaman menyimpan payung kecil pada ruang khas yang terdapat pada setiap panel pintu – ibarat macam kereta Rolls-Royce!

Berbalik semula kepada tempat duduk pemandu, kami dapati skrin kluster digital tersebut mudah untuk dibaca, namun dilengkapi dengan respons grafik yang agak perlahan.

Perkara ini anda boleh perasan sewaktu fasa pecutan, di mana ia dipaparkan dengan pergerakan jarum rpm yang tidak lancar, dan tidak selaras dengan ngauman bunyi enjin sewaktu pedal pendikit ditekan.

Selain itu, anda perlu mengakses pilihan mod pemanduan (Eco/Sport) daripada skrin tengah kerana tiada butang fungsi khas disediakan untuk itu.

 

Pemanduan tidak seagresif rupa

Jetour Dashing dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan daya kilas 230 Nm. Ya, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada SUV segmen B Chery Omoda 5.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar enam-kelajuan.

Atas kertas memang nampak berkuasa, cuma di dalam dunia yang sebenar sukar untuk kami dapatkan respons yang mengujakan untuk menggerakkan SUV ini dengan lancar daripada pegun.

Malah dalam ujian pecutan Jetour Dashing ini sukar untuk menyaingi kehebatan prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen B yang kerap menguasai lorong kanan lebuh raya.

Jadi, untuk siapa Jetour Dashing ini?

Bagi kami, Jetour Dashing dengan rupa paras seakan Urus ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang mahukan pemanduan lebih santai dan tidak terburu-buru untuk mengejar lampu isyarat bertukar merah. Ia tidak perlu dipandu laju pun untuk menarik tumpuan orang ramai.

Aspek pemberhentian juga tidak mengecewakan, cuma dari sudut pengendalian Dashing mungkin sekali akan mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan pemanduan mengujakan daripada SUV yang nampak sporti ini.

Ini kerana talaan suspensi topang MacPherson dan Multilink pada Dashing ini lebih cenderung untuk membuatkan perjalanan yang lebih selesa sepanjang masa, dengan segala bentuk hentakan dan ketidakrataan jalan berjaya diserap tanpa menyebabkan gegaran ketara.

Senang cerita, ia tidak direka untuk pemanduan yang agresif.

Respons sistem stereng ringan dan mudah untuk dikawal, cuma ia kekurangan maklum balas dan input yang anda cuba dapatkan terutama ketika sedang melayan selekoh.

Apa yang kami suka tentang Jetour Dashing ini ialah tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) yang cukup baik, di mana bunyi bising daripada aliran angin dan ngauman enjin berjaya ditapis dengan baik untuk memastikan ruang kabin kekal senyap sepanjang perjalanan.

 

Ciri keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Beralih kepada varian Prime yang kami pandu uji tempoh hari, anda akan mendapat ciri ekstra termasuklah tambahan dua beg udara (kepada enam unit), serta ciri bantuan pemandu (ADAS) yang asas seperti amaran penukaran lorong, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.

Sayang sekali, varian Prime ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek kecemasan autonomi (AEB) secara standard, satu kekurangan ketara untuk model baharu yang dijual pada tahun 2025.

 

Jetour Dashing: Untuk siapa?

Dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan bermacam-macam model SUV keluarga, kami berpendapat Jetour Dashing ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang cukup bergaya pada harga yang lebih mampu milik.

Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang cukup ranggi, ada ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga, praktikal dan sarat dengan ciri-ciri yang moden.

Yang paling penting, dengan harga jualan RM116,800, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali jika sebelum ini pernah terfikir untuk mendapatkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

Spesifikasi Jetour Dashing 2025


Enjin: Empat silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa: 154 hp, 230 Nm
Transmisi: Klac berkembar enam-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson, tetapan Multilink belakang
Ruang kargo: 486 liter, atau sehingga 977 liter

 

Jetour Dashing 2025 rasmi di Malaysia – harga jualan dari RM109,800

Jetour Auto Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV segmen C Dashing 2025 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Comfort dan Prime, Jetour Dashing dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo menghasilkan 154 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 230 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam-kelajuan.

Terdapat tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Economy, Comfort dan Sport.

Menggunakan senibina Kunlun, Jetour Dashing membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,590 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm.

Ini menjadikan Dashing mampu memberikan saingan kepada model SUV segmen C buatan Jepun, seperti Honda CR-V dan juga Toyota Corolla Cross.

Antara ciri standard di bahagian luar termasuklah rim 18 inci, lampu LED depan dan belakang, serta pintu tailgate berkuasa elektrik.

Ruang kargo boleh memuatkan barangan sehingga 486 liter, dan boleh mencapai sehingga 977 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 dilipat rata.

Sementara untuk ruang kabin pula terdapat skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, penapis udara kabin CN95, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sistem pendingin hawa automatik, upholsteri tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap dan sistem audio empat pembesar suara.

Varian Prime pula mendapat ciri tambahan seperti rim 19 inci, bumbung kaca panorama, larasan elektrik empat tahap untuk tempat duduk penumpang hadapan, sistem pencahayaan ambien dan sistem pemantauan keliling 360 darjah.

Dari segi keselamatan, Jetour Dashing mendapat ciri seperti enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman, sistem pemantauan tekanan tayar, serta cagak ISOFIX.

Varian Prime pula menambah kelengkapan keselamatan seperti  sistem pemantauan titik buta, amaran penukaran lorong, dan amaran lintasan trafik belakang, sistem pengesanan titik buta, amaran bukaan pintu, serta pemandangan telus lantai 180 darjah.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour Dashing dijual pada harga bermula dari RM109,800 hingga RM116,800.

Toyota C-HR+ muncul di Eropah, platform e-TNGA 2.0, jarak gerak cecah 600 km

Toyota kini mempunyai sebuah model kenderaan elektrik baharu, dan ia tidak lagi menggunakan awalan ‘bZ’ seperti bZ4X dan bZ3.

Sebaliknya, ia menggunakan nama sedia ada, iaitu C-HR+.

Biarpun mengguna pakai nama C-HR+, EV ini tidak berkongsi platform yang sama dengan C-HR biasa, akan tetapi menggunakan pelantar e-TNGA 2.0 yang sama seperti bZ4X.

Hal ini dibuktikan dengan ukuran sepanjang 4,520 mm, dan jarak antara roda sepajang 2,750 mm yang jauh lebih besar berbanding C-HR generasi kedua.

Untuk pasaran Eropah, C-HR boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal 165 hp pacuan depan, pecutan 0-100 km/j 8.6 saat, pek bateri 57.7 kWh dan jarak pandu sejauh 455 km.

Versi yang lebih berkuasa pula mampu menjana 221 hp dengan pecutan sepantas 7.4 saat (0-100 km/j), diikuti dengan pek bateri 77 kWh yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 600 km.

Terdapat versi pacuan semua roda dengan dua motor elektrik, kuasa cecah 338 hp, dan pecutan sepantas 5.2 saat (0-100 km/j). Dengan pek bateri 77 kWh, varian AWD ini boleh bergerak sejauh 525 km.

Dari segi luaran, C-HR+ membawakan reka bentuk yang hampir sama dengan C-HR standard melainkan unit lampu belakang yang lebih kemas, lengkap dengan bumbung spoiler dan spoiler ekor itik di bahagian belakang.

Secara standard, C-HR+ menyokong pengecasan AC 11 kW (atau sehingga 22 kW), serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Untuk kelancaran operasi pengecasan yang optimum, C-HR+dilengkapi dengan sistem pra-kondisi bateri yang boleh diaktifkan secara manual atau automatik.

Masuk ke dalam kabin, terdapat skrin paparan infohibur sebesar 14 inci yang lengkap dengan tombol kawalan fizikal, slot pengecasan peranti tanpa pintar berkembar serta sistem navigasi pemetaan yang dapat menentukan titik pengecasan bergantung kepada jarak pemanduan SUV ini.

Akhir sekali, C-HR+ turut dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju secara standard termasuklah sistem pemantauan titik buta, bantuan suluhan tinggi adaptif, serta sokongan brek parkir.

Ciri seperti sistem pemantauan keliling dan bantuan parkir dikhususkan untuk varian yang lebih premium.

Menurut Toyota, C-HR+ ini akan dilancarkan di beberapa pasaran Eropah terpilih menjelang lewat tahun 2025.

Tiga kekurangan wujud pada ruang kabin Kia Sportage 1.6T

Kia Sportage generasi baharu dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), walaupun ia sebenarnya tiba agak lewat berbanding pasaran lain.

Dengan pakej harga yang cukup kompetitif, diikuti dengan spesifikasi yang cukup menarik, Kia Sportage mampu menjadi satu alternatif kepada pasaran yang didominasi oleh SUV buatan Jepun seperti Honda CR-V dan Toyota Corolla Cross.

Berdasarkan pengalaman pandu uji ringkas tempoh hari, penulis nyata berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada Kia Sportage.

Tidak semua kenderaan itu sempurna penawarannya, ada beberapa kelemahan kecil yang wujud pada SUV segmen C ini.

Namun bagi kami, ia merupakan satu perkara yang kecil, sekiranya anda mampu bertoleransi dengan kekurangan tersebut dan lebih mementingkan kepuasan pemanduan.

 

Tidak semua minat tombol rotari PRND

Varian yang kami pandu uji dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) dan fungsi e-shift.

Bermakna, ia tidak didatangkan dengan tombol gear yang biasa didapati pada mana-mana model SUV.

Manfaat penggunaan tombol rotari ini ialah ruang kokpit yang nampak lebih lapang, namun tidak semua orang sukakan ciri ini.

Secara peribadi, penulis lebih gemar tombol gear PRND fizikal, di mana ia lebih mudah untuk dikawal dan lebih sesuai dengan pergerakan otot yang kita sudah terbiasa.

Jika anda rasa varian 1.6T ini tidak menepati citarasa, dapatkan sahaja varian 2.0 yang masih lagi dilengkapi dengan tombol gear fizikal.

 

Butang fungsi kosong pada konsol tengah

Terletak bersebelahan dengan tombol rotari PRND itu tadi, anda boleh melihat ‘gugusan’ butang fungsi kosong yang wujud pada konsol tengah.

Sayang sekali apabila butang-butang fungsi ini tidak langsung diberikan fungsi seperti spesifikasi luar negara yang mendapat ciri seperti pemanas roda stereng, pemanas serta pengudaraan tempat duduk.

Nampak kosong dan rasa macam Sportage 1.6T ini seakan varian paling rendah pula.

 

Panel kawalan iklim mungkin sukar untuk digunakan

Satu lagi ciri menarik yang wujud pada Kia Sportage 1.6T ini ialah panel kawalan iklim dan sistem infohibur berasaskan sentuhan yang terletak di bawah corong pendingin hawa tengah.

Secara asasnya, pemandu tidak lagi perlu untuk menyelongkar menu-menu kawalan yang biasanya tertanam pada skrin infohibur.

Cuma, ia beroperasi menggunakan sistem sentuhan, dan ada kalanya ia sedikit sukar untuk dikawal, terutama apabila seseorang pemandu itu memiliki dimensi jari yang agak besar.

Kia Sportage 2025, lima perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, pihak Dinamijaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia menjemput para pengamal media automotif untuk menguji SUV segmen C yang baharu sahaja dilancarkan – Kia Sportage 2025.

Untuk makluman, pasaran kita boleh dikatakan agak lambat menerima kehadiran model Sportage ini, memandangkan generasi kelima Sportage telah diperkenalkan sejak tahun 2021 lagi di pasaran global.

Namun usah risau, kerana unit Sportage yang dilancarkan ini merupakan unit CKD (pemasangan tempatan) yang lahir dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermakna ia datang dengan harga yang cukup kompetitif.

Kami diberikan peluang untuk memandu uji dua varian teratas, iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.

Berikut merupakan input kami berdasarkan pemanduan singkat yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rupa luaran yang lebih menonjol

Reka bentuk luaran Kia Sportage membawakan satu anjakan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu.

Menggunakan pendekatan yang dinamakan sebagai Opposites United, Kia Sportage menampilkan muka hadapan yang agresif, dimulakan dengan struktur jeriji hidung harimau serta unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bumerang yang memisahkan jeriji dengan lampu utama.

Elemen bumerang itu turut dipadankan pada unit lampu belakang, namun dengan bukaan yang lebih kecil.

Profil sisi SUV ini dikemaskan dengan jalur krom memanjang yang menghiasi bahagian bawah perumah kaca, serta kemasan warna hitam pada setiap sudut gerbang roda.

Rekaan yang serba agresif ini mampu menjadi satu ‘plus point‘ buat para pemilik yang mahukan kelainan di atas jalan raya, dan mungkin sekali sesuai bagi mereka yang rasa jemu dengan kewujudan SUV buatan China yang ‘sepesen’ rupanya.

Apapun, sila tepuk dada dan tanya selera masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

 

2. Rekaan kokpit berorientasikan pemandu

Penulis cukup suka dengan susun atur papan pemuka Kia Sportage serba baharu ini.

Cukup kemas dan paling penting rekaannya yang berorientasikan pemandu di mana papan skrin tengah dan panel kawalan di bahagian bawah corong pendingin hawa disudutkan ke arah pemandu.

Dengan postur dan kedudukan pemandu yang optimum, tiada sebarang masalah untuk mencapai komponen yang disebutkan itu tadi untuk mengubah tetapan semasa memandu.

Walaupun tiada butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, panel berasaskan sentuhan itu amat mudah untuk digunakan, dan pemandu tidak perlu untuk menyelongkar tetapan yang tertanam di dalam skrin utama.

Menjadikan baris pertama nampak lebih lapang ialah penggunaan tombol rotari PRND di bahagian konsol tengah.

Selain itu, masih wujud butang-butang kawalan fizikal di bahagian tersebut untuk fungsi yang sangat diperlukan, seperti penukaran mod pemanduan, Auto Hold dan kamera keliling.

Untuk penggemar Apple CarPlay dan Android Auto, usah risau kerana ciri ini sememangnya wujud pada Kia Sportage.

 

3. Kabin yang selesa dan praktikal

Diposisikan sebagai SUV segmen C, Kia Sportage merupakan satu alternatif bagi mereka yang tidak menggemari SUV bersaiz besar seperti Kia Sorento.

Dengan ukuran saiz yang menghampiri dimensi sebuah Honda CR-V, nyata ruang bukanlah satu masalah besar buat Kia Sportage ini.

Paling penting, penumpang belakang boleh menikmati sudut sandar yang lebih besar julatnya, sama ada kedudukan yang lebih tegak atau sudut yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Satu perkara yang penulis suka pada Kia Sportage ini ialah kehadiran cangkuk besar pada struktur perehat kepala yang boleh digunakan untuk menggantung jaket, beg membeli belah atau tudung bawal.

Ruang kargo adalah sebesar 543 liter secara standard, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Pemanduan

Terus terang penulis cakap, pemanduan yang ditawarkan oleh Kia Sportage ini berjaya memenuhi apa yang dijangkakan.

Dengan respons stereng cukup tepat dan hidup, penulis tidak berdepan dengan masalah sepanjang mengendalikan SUV segmen C ini, baik di atas lebuh raya, Litar Antarabangsa Karak, serta jalan lama yang penuh dengan selekoh berliku.

Malah, sistem pembetulan putaran stereng juga beroperasi dengan cara yang lebih mesra pemandu, tidak terlalu agresif sehinggakan pemandu rasa jengkel seperti yang dirasakan pada sesetengah model pesaing.

Kia Sportage 1.6T ini mampu menjana kuasa setinggi 177 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Bermula dengan unit 1.6T AWD, respons pecutan yang dirasakan sedikit kurang bertenaga berbanding dengan varian 2WD yang kami uji selepas makan tengah hari.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar jika anda bukan tergolong di dalam kategori kaki tekan.

Ini kerana anda harus tahu kelebihan Kia Sportage yang seterusnya: ruang kabin yang senyap untuk kelajuan yang normal.

Dengan talaan suspensi yang cukup berkesan untuk pelbagai kualiti jalan raya di Malaysia ini, sukar juga untuk kami merasakan gegaran dan kekasaran yang ketara di dalam ruang kabin, melainkan jika anda memandunya dengan cara yang lebih agresif.

 

5. Harga

Kia Sportage 2025 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga bermula dari RM149,781.78 untuk varian 2.0G, manakala unit yang kami pandu uji ini bermula dari RM179,599 untuk varian 1.6T 2WD, dan dari RM189,599 untuk varian AWD.

Apa pula beza antara varian 1.6T 2WD dan 1.6T AWD?

Tiga benda sahaja yang membezakan kedua-dua varian tersebut, iaitu sistem pacuan semua roda lengkap dengan kekunci pembeza, rel bumbung, dan sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara.

Jadi, tidak salah pun untuk anda memilih model 1.6T 2WD kerana ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan menyeluruh termasuklah enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), sistem pemantauan titik buta (BVM), dan tidak ketinggalan kawalan jelajah pintar (SCC).

Lebih banyak info akan kami kongsikan pada artikel pandu uji yang lebih menyeluruh akan datang.

 

Spesifikasi Kia Sportage 2025

Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Suspensi hadapan: Topang MacPherson
Suspensi belakang: Multi-Link
Rim: 18 inci

 

Haval H6 HEV, SUV hibrid paling berbaloi? – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari lepas, pihak GWM Malaysia telah menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah SUV hibrid yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Haval H6 HEV.

Dengan harga anggaran sekitar RM145,000, ia mungkin sekali satu pembelian yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahu mencari SUV yang jimat minyak, besar, dan juga selesa untuk seisi keluarga.

Kita bercerita serba sedikit berkenaan spesifikasi SUV Haval H6 HEV ini.

Dimulakan dengan unit rangkaian kuasa, Haval H6 HEV dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 150 PS/230 Nm, sementara motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130 PS/300 Nm.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini berkuasa 243 PS dan daya kilas 530 Nm, antara yang paling bertenaga dalam kelasnya.

Berdasarkan pemanduan ringkas selama dua hari merentasi sempadan yang tidak memerlukan buku merah, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV ini tidak putus-putus terutama saat kita memerlukan kuasa ektra untuk memotong lori balak di hadapan.

Atas kertas, angka 530 Nm itu mungkin agak tinggi, namun sepanjang pemanduan kami tidak merasakan sentakan kuasa yang mampu menyebabkan kesakitan leher.

Ini kerana kuasa yang dihasilkan saat pedal pendikit ditekan itu masuk dengan cara yang lebih lembut dan lancar, tidak agresif seperti kebanyakan kereta elektrik.

Sistem hibrid ini juga sangat cekap, di mana boleh dikatakan penulis dan rakan-rakan langsung tidak merasai bila masa operasi enjin dimulakan.

Tiada gegaran enjin ketara yang dapat dirasakan, malah bunyi bising enjin juga ditapis dengan baik daripada memasuki ruang kabin.

Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.8 liter/100 km, GWM mendakwa Haval H6 HEV ini mampu mencapai jarak sejauh 1,000 km untuk setangki penuh.

Perkara ini mungkin kami boleh uji dengan lebih mendalam sekiranya ada peluang untuk memandu SUV ini kelak.

Aspek NVH juga berada di tahap memuaskan, di mana sepanjang masa kami dapat berborak dengan rancak di dalam kabin tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan mikrofon.

Bunyi bising angin yang cuba menerjah masuk kabin tidak berjaya mengganggu tumpuan, cuma bunyi bising tayar sahaja.

Itupun sebab kualiti tar yang digunakan adalah tidak memuaskan di sesetengah tempat.

Dengan sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang, SUV ini tidak membawakan sebarang masalah besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Untuk jaringan jalan raya di Malaysia, ia menawarkan talaan suspensi yang seimbang untuk pemanduan yang sedikit agresif dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan untuk seisi keluarga.

Malah, olengan badan yang dihasilkan sewaktu meratah selekoh-selekoh juga berada pada tahap yang boleh diterima, tidak membuatkan badan SUV ini berbuai-buai.

Dari segi dimensi, Haval H6 HEV membawakan saiz yang jauh lebih besar berbanding SUV popular segmen C, iaitu Honda CR-V dan Proton X70.

Jarak antara roda yang panjang juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 itu dilipat.

Susun atur papan pemuka juga agak kemas, namun kombinasi tiga warna (hitam, putih dan rose gold) itu mungkin kurang digemari oleh sesetengah pihak.

Terdapat skrin kluster sebesar 10.25 inci (dengan pilihan tema yang agak terhad), diikuti skrin infohibur sebesar 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan pakej spesifikasi serta harga jualan bermula bawah RM145,000, Haval H6 HEV mungkin sekali mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi, terutama bagi mereka yang tidak memiliki bajet untuk membeli SUV hibrid harga cecah RM200,000.

Lebih banyak perincian dan pandangan bakal kami kongsikan sekiranya ada peluang untuk memandu uji Haval H6 HEV ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

MG HS 2024 – SUV segmen C, enjin 1.5L turbo, dua varian, harga anggaran RM130k-RM150k

Selain model sedan fastback MG5, SAIC Motor Malaysia turut melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV segmen C MG HS 2024.

Untuk pasaran Malaysia, MG HS boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu HS Standard dan HS Lux.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Kuasa

MG HS dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo TGI dengan kuasa 162 PS @ 5,600 rpm dan daya kilas 250 Nm @1,700-4,400 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar automatik (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Untuk keseronokan pemanduan, terdapat Super Sport Mode yang menyediakan respons pendikit yang lebih pantas, penukaran gear pada RPM yang lebih tinggi dan talaan stereng yang lebih jitu.

 

2. Luaran

Secara standard, MG HS mendapat ciri seperti lampu LED automatik, DRL, lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci.

Sementara varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti rotor brek berliang berserta angkup merah, bumbung panorama, pintu tailgate berkuasa, dan rim aloi belahan berlian 18 inci.

 

3. Kabin

Ruang kabin MG HS dilengkapi dengan upholsteri balutan kulit hitam, tempat duduk pemandu larasan enam tahap (sokongan lumbar manual), diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan empat tahap.

Terdapat juga skrin Multi Info Display bersaiz tujuh inci, skrin infohibur 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim zon tunggal, penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua serta kamera undur.

Varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti skrin kluster 12.3 inci, MG iSMART, kamera keliling 360 darjah, kawalan iklim dua zon, sistem pencahayaan ambien 64 warna, tempat duduk sports, paddle shifter, pedal sports, penyeka kaca sensitif hujan serta enam pembesar suara.

Ruang kargo sebesar 463 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,287 liter.

 

4. Keselamatan

Varian Standard dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Pengagihan Daya Brek Elektronik, Kawalan Dinamik Kenderaan, Kawalan Brek Selekoh, Perlindungan Olengan Aktif, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menurun Cerun.

Sementara varian Lux pula mendapat kelengkapan MG PILOT yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Kesesakan Trafik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Pengesanan Titik Buta, Bantuan Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, MG HS 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM130,000 hingga RM150,000.

BAIC X55 diperlihatkan, dua varian, nadi 1.5 turbo 188 PS, harga anggaran dari RM120 ribu

BAIC Malaysia membawakan dua buah SUV untuk ‘bertempur’ dalam segmen yang sudah sedia padat di sini.

Selain model SUV off-road BJ40 Plus, BAIC turut memperlihatkan sebuah lagi model SUV dengan rupa paras yang lebih moden, iaitu BAIC X55 II.

BAIC X55 II merupakan sebuah SUV di dalam segmen C yang bakal memberikan cabaran secara terus kepada model-model seperti Mazda CX-5, Honda CR-V dan Proton X70.

Berikut merupakan perincian ringkas X55 II yang bakal dijual secara rasmi kelak:

 

1. Dimensi

BAIC X55 membawakan ukuran sepanjang 4,620 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,680 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Selain itu, X55 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 160 mm.

 

2. Suspensi

Secara standard, BAIC X55 didatangkan dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan suspensi multi-link bebas pada gandar belakang.

 

3. Enjin

X55 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 188 PS dan daya kilas 305 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Sport, Comfort dan Smart.

 

4. Luaran

X55 mempunyai ciri seperti rekaan lampu LED terpisah, struktur jeriji nipis, lampu belakang LED dengan grafik yang agak tajam, rim aloi aluminium bersaiz 19 inci, serta spoiler bumbung terbelah.

Unik untuk sebuah SUV dalam segmen C ialah ciri pemegang pintu yang tertanam dalam badan.

 

5. Dalaman

Ruang kabin X55 ini dilengkapi dengan skrin kluster instrumen sebesar 10 inci, skrin infohibur 10 inci, sokongan Wi-Fi, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, slot USB, kawalan iklim dua zon serta sistem pencahayaan ambien.

Menariknya, ia turut didatangkan dengan tempat duduk hadapan yang agak sporti dengan larasan berkuasa elektrik.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Standard dan Premium, di mana harga jualan anggaran bermula dari RM120 ribu hingga RM140 ribu.

 

BAIC X55 2024