Arkib Tag: SUV Off-road

Mercedes-Benz G580 EQ, SUV off-road dengan 4 motor elektrik, jarak gerak 470 km

Di tengah-tengah kepesatan kehadiran pelbagai jenis model EV dari seluruh pelusuk dunia, Mercedes-Benz baru sahaja melancarkan G-wagen berkuasa elektrik.

Tidak seperti format penamaan yang terdahulu yang menggunakan awalan EQx, G-Class berkuasa elektrik ini diberikan nama rasmi Mercedes-Benz G580 with EQ Technology. Panjang betul nama yang dia bagi.

Berikut merupakan perincian ringkas SUV elektrik berkotak Mercedes-Benz ini:

1. Empat motor elektrik

G580 EQ ini datang dengan tetapan empat motor elektrik, setiap satu mampu menghasilkan kuasa setinggi 145 hp.

Secara keseluruhan, rangkaian kuasa ini mampu menjana kuasa setinggi 579 hp dan 1,164 Nm.

 

2. Pecutan tidak begitu pantas

Walaupun hadir dengan empat motor elektrik, G-wagen elektrik ini hanya mampu memecut sepantas 4.7 saat dari 0-100 km/j.

Ini adalah kerana Mercedes-Benz mengutamakan prestasi pemanduan off-road yang sebenar untuk G580 EQ, berbanding pecutan dengan daya G yang mampu mematahkan leher penumpang di atas jalan raya.

 

3. Direka untuk pemanduan off-road

Selain daripada empat motor elektrik, G580 EQ ini datang dengan kotak gear dua nisbah kelajuan.

Tiada keperluan untuk memasang komponen kekunci pembeza tradisional, sebaliknya SUV ini menggunakan kawalan setiap motor elektrik untuk memastikan setiap roda mempunyai cengkaman yang mencukupi untuk menawan muka bumi yang pelbagai.

Disebabkan itu, G-wagen ini mampu mendaki cerun 35 darjah, dan keupayaan untuk menyelam laluan berair setinggi 850 mm, atau 150 mm lebih dalam berbanding G-Class berenjin.

 

4. Pemanduan macam kereta kebal

Satu lagi kelebihan yang ada pada G580 EQ ini ialah keupayaan tank-turn, di mana G580 ini mampu berpusing setempat seakan kereta kebal.

Selain itu, terdapat juga fungsi G-Steering yang mampu mengecilkan radius putaran, serta mod merangkak untuk pemanduan di laluan yang agak sukar.

 

5. Jarak gerak cuma 470 km

Untuk G580 ini, Mercedes-Benz memadankan pek bateri 116 kWh yang diperoleh daripada sedan EQS.

Disebabkan penambahan pek bateri, G-wagen EV ini mempunyai 600 kg lebihan berat badan (berat keseluruhan 3,085 kg).

Dipadankan dengan struktur berkotak (walaupun angka pekali seretan 0.44 Cd), G580 EQ ini hanya mampu bergerak sejauh 470 km untuk sekali cas penuh.

 

6. Struktur binaan badan yang sama macam G-Wagen ICE

Mercedes-Benz mengekalkan struktur binaan body-on-frame untuk model G580 EQ ini.

Antara perubahan minima yang boleh dikesan ialah struktur jeriji dan hud hadapan yang telah direka semula untuk aliran udara yang lebih baik.

 

Perumah tayar simpanan pada pintu tailgate pula telah diubahsuai untuk menyimpan kabel pengecasan.

 

7. Ruang kabin rekaan sama

Sama seperti model G-Class yang konvensional, G580 EQ ini juga mengekalkan susun atur papan pemuka dan ruang kabin yang hampir serupa.

Tidak banyak perubahan yang dibawakan, di mana skrin berkembar 12.3 inci masih lagi duduk tengah di hadapan pemandu, diikuti sistem infohibur MBUX, sistem audio Burmester 3D dan bermacam-macam lagi.

Untuk memudahkan pemanduan off-road, G580 EQ ini turut diberikan fungsi sistem kamera tembus hud hadapan.

 

 

Toyota Land Cruiser 250 Series rasmi di Jepun, macam-macam aksesori!

Toyota Jepun melengkapkan lagi penawaran SUV off-road di sana dengan melancarkan model terbaharu Land Cruiser 250 Series.

Ia diposisikan di tengah-tengah antara model Land Cruiser 70 Series yang sangat terkenal dengan kelasakan serta Land Cruiser 300 Series dengan spesifikasi yang lebih premium dan mewah.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan Land Cruiser 250 Series:

 

1. Platform TNGA-F

 

Sama seperti Land Cruiser 300 Series, siri 250 ini berkongsi platform ladder-frame TNGA-F, dengan tetapan sistem suspensi double-wishbone di depan dan trailing link axle di belakang.

Berbanding model Prado yang terdahulu, LC 250 ini menawarkan peningkatan 50 peratus dari segi ketegaran rangka, dan peningkatan 30 peratus untuk tahap ketegaran secara keseluruhan.

 

2. Prestasi off-road dipertingkatkan

 

Secara standard, LC 250 Series ini membawakan ciri berikut:

Sistem pacuan empat roda sepenuh masa
-sistem pacuan 4WD ini digandingkan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen di bahagian tengah untuk memastikan pengagihan daya kilas ke gandar depan dan belakang yang lebih optimum

Stereng kuasa elektrik (EPS)
-mengurangkan kesan kehilangan kuasa kawalan pengendalian
-respons stereng yang lebih cekap dan tajam
-tahap pengendalian yang lebih baik pada kelajuan rendah

Penstabil dengan mekanisme pemutusan sambungan (SDM)
-fungsi ini menawarkan prestasi dan keselesaan semasa pemanduan off-road, dan kestabilan semasa di atas jalan raya sebenar

Multi-Terrain Select
-enam mod pemanduan yang boleh dipilih bergantung kepada keadaan jalan

Multi-Terrain Monitor
-empat kamera digunakan untuk memantau keadaan sekeliling, termasuklah paparan di bawah kenderaan

 

3. Dua pilihan enjin

 

Land Cruiser 250 Series boleh didapati dalam versi petrol atau enjin.

Versi petrol menampilkan nadi 2TR-FE 2.7 liter aspirasi semula jadi berkuasa 163 PS dan 246 Nm, dipadankan dengan transmisi Super ECT enam nisbah kelajuan.

Versi diesel pula menggandingkan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan 500 Nm serta kotak gear Direct Shift automatik lapan nisbah kelajuan.

 

4. Dimensi

 

Land Cruiser 250 Series berukuran 4,925 mm panjang, lebar 1,980 mm, tinggi 1,870 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Untuk memudahkan pemanduan off-road, Land Cruiser menawarkan jarak lega bumi 220 mm, diikuti sudut pendekatan 31 darjah, sudut pelepasan 22 darjah dan sudut breakover 25 darjah.

 

5. Pilihan lima atau tujuh tempat duduk

 

Berantung kepada spesifikasi, pembeli Land Cruiser 250 Series boleh mendapatkan versi dua baris tempat duduk yang mampu memuatkan lima orang penumpang, atau sehingga tujuh orang dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Di bahagian belakang, terdapat ruang kargo sebesar 408 liter, di mana pemilik boleh memuatkan barangan peribadi menerusi tingkap kaca yang boleh dibuka tanpa membuka pintu tailgate.

 

6. Ruang kabin praktikal

 

Susun atur papan pemuka Land Cruiser 250 Series ini menerapkan aspek praktikaliti pemanduan yang lebih optimum terutama semasa pemanduan off-road.

Panel instrumen yang mendatar, serta tiang A yang lebih menegak direka untuk mengurangkan kesan titik buta dan menawarkan medan penglihatan yang lebih luas.

Butang kawalan khusus untuk pemanduan juga diposisikan pada bahagian konsol tengah dengan saiz yang besar untuk memudahkan pemandu mencapai fungsi yang diinginkan.

 

7. Dua edisi khas turut dilancarkan, 8000 unit sahaja

Toyota Jepun menawarkan dua versi khas Land Cruiser 250 Series, iaitu ZX First Edition dan VX First Edition.

ZX First Edition datang dengan unit lampu LED Bi-Beam berbentuk bulat, rim aluminium 18 inci hitam kusam, serta balutan tayar off-road.

Sementara VX First Edition pula membawakan warna eksklusif Sand di bahagian luar, diikuti warna kemasan Dark Chestnut pada ruang kabin, dan boleh dibezakan dengan kehadiran unit lampu utama standard berbentuk segi empat.

 

8. Bermacam aksesori disediakan

Di Jepun, anda boleh mendapatkan pakej aksesori rasmi daripada pihak ketiga seperti Jaos, Modellista dan Toy Factory untuk dipadankan pada Land Cruiser 250 Series.

Jaos menekankan aspek kelasakan, di mana pihak tersebut menawarkan skid plate, bampar dengan unit lampu LED terbina, penambahan fender lebar, set rim Jaos Tribe Cross 18 inci, serta mudguard.

Modellista pula membawakan pendekatan yang lebih premium, seperti kemasan bampar depan dan belakang yang agresif, fender lebar, liang sisi ala Defender, set rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar all-terrain.

Toy Factory pula membawakan aksesori yang khusus untuk pencinta aktiviti luar, seperti kit katil mudah pasang dan simpan yang terdiri daripada empat unit kusyen dan kerangka kayu.

Toyota sendiri menawarkan pelbagai aksesori termasuklah pemegang botol, bekas sampah, dulang untuk konsol tengah, kotak penyejukan, serta rak bumbung.

 

Toyota Land Cruiser 250 Series


Toyota Land Cruiser 250 Series First Edition


Aksesori Toyota

 

Aksesori JAOS

 

Aksesori Modellista

 

Aksesori Toy Factory

 

Toyota 4Runner 2025 – 7 Fakta Yang Perlu Anda Tahu

Setelah 15 tahun bertahan, Toyota akhirnya secara rasmi memperkenalkan generasi baharu SUV off-road Toyota 4Runner 2025.

Pesaing kepada Ford Bronco itu – walaupun dibangunkan serba baharu – akan tetapi masih lagi mengekalkan ciri-ciri lasak dan rugged yang diwarisi daripada model-model 4Runner yang terdahulu.

Apa yang wujud pada Toyota 4Runner yang terbaharu ini?

 

Kongsi platform dengan Tacoma

 

Model generasi baharu 4Runner ini dibina berdasarkan pelantar TNGA-F, platform ladder-frame yang turut sama digunakan oleh model Toyota Tundra, Toyota Tacoma, dan Toyota Land Cruiser.

Walaupun sama platform dengan Land Cruiser, ia tidak membawakan ciri-ciri yang lebih premium wujud pada model tersebut.

Sebaliknya, 4Runner mengekalkan imej lasak yang turut sama dibawakan pada trak pikap Toyota Tacoma, di mana kedua-dua model tersebut berkongsi banyak elemen rekaan di bahagian luar dan dalam.

 

Dimensi

 

Toyota 4Runner generasi keenam ini menjadi semakin besar berbanding model terdahulu, dengan ukuran sepanjang 4,950 mm, lebar 1,976 mm, dan jarak antara roda sepanjang 2,844 mm.

Untuk makluman, jarak antara roda 4Runner adalah 508 mm lebih pendek berbanding Toyota Tacoma.

 

Ciri unik yang wujud pada 4Runner
Tidak seperti Land Cruiser, terdapat dua ciri unik yang wujud pada model 4Runner.
Satu daripadanya ialah kehadiran tempat duduk baris ketiga, diikuti dengan fungsi tingkap berkuasa yang terdapat pada pintu tailgate – diwarisi daripada 4Runner terdahulu.

 

Sembilan varian tersedia

 

Untuk pasaran Amerika, pembeli boleh mendapatkan sehingga sembilan varian 4Runner, bermula dari SR5, TRD Sport, TRD Sport Premium, TRD Off-Road, TRD Off-Road Premium, Limited,  Platinum, TRD Pro dan Trailhunter.

Antara sembilan varian yang disebutkan tadi, peminat pemanduan off-road boleh menyambar varian Trailhunter dengan kelengkapan seperti tayar off-road 33 inci, jarak lega bumi yang lebih tinggi, penyerap hentak Old Man Emu, rak bumbung ARB, snorkel udara yang lebih tinggi, bar lampu 20 inci, skid plate keluli, serta jeriji dengan perkataan Toyota berwarna gangsa.

 

Ruang kabin
Bergantung kepada varian, Toyota 4Runner 2025 datang dengan pelbagai kelengkapan standard termasuklah skrin sentuh sebesar 8 inci, skrin kluster digital 7 inci, diikuti dengan ciri keselamatan Toyota Safety Sense 3.0.
Varian 4Runner yang lebih tinggi mendapat skrin sentuh sebesar 14 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, pad pengecasan peranti tanpa wayar, dan slot pengecasan USB-A dan USB-C.
Sebut pasal Toyota Safety Sense 3.0, antara ciri standard yang dimuatkan termasuklah sistem pra-pelanggaran, pengesan pejalan kaki, amaran keluar lorong, kawalan jelajah adaptif, bantuan pemanduan proaktif, bantuan Pengesanan Lorong dan Brek Kecemasan.

Tiada lagi nadi V6

Untuk generasi baharu 4Runner, ia tidak lagi dibekalkan dengan nadi bentangan V6 4.0 liter yang terbukti tahan lasak tapi dengan tahap lahap bahan api yang mampu mengoyakkan poket anda.

Sebaliknya, Toyota membawakan nadi empat silinder sebaris 2.4 liter menghasilkan 278 hp & 512 Nm, peningkatan sebanyak 8 hp berbanding model terdahulu.

Terdapat juga opsyen enjin hibrid I-Force Max bersesaran yang sama, namun dengan kuasa kuda yang lebih tinggi – sekitar 326 hp dan 630 Nm dengan keupayaan menunda beban seberat 2,722 kg.

Sayang sekali, tiada penawaran kotak gear manual disertakan, sebaliknya kedua-dua enjin itu hanya boleh dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sahaja.

 

RWD atau 4WD

 

Secara standard, 4Runner ditawarkan dengan sistem pacuan roda belakang (2WD), pacuan empat roda (4WD) separuh masa atau 4WD sepenuh masa.

Semua model RWD mendapat kelengkapan pembeza gelincir terhad (LSD), sementara model 4WD pula mendapat tambahan transfer case kawalan elektronik dua nisbah kelajuan, serta ciri A-Trac (Active Traction Control).

Untuk artikulasi roda yang lebih berkesan di laluan off-road, 4Runner dilengkapi dengan sistem Stabilizer Bar Disconnect Mechanism, selain dibantu dengan sudut pendekatan 32 darjah dan sudut pelepasan 24 darjah.

Terdapat beberapa mod yang dikhususkan untuk pemanduan off-road termasuklah Mud, Dirt, Sand, serta fungsi Crawl Control.
Harga jualan masih lagi belum diumumkan secara rasmi.