Arkib Tag: SUV elektrik

Lexus RZ 450e Luxury 2024 – Galeri Gambar & Ulasan Pandu Uji Ringkas

Lexus Malaysia telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam unit yang terhad, Lexus RZ450e hadir dengan spesifikasi tunggal Luxury, di mana ia didatangkan standard dengan tetapan motor elektrik berkembar.

Motor hadapan mampu menjana kuasa 204 hp/266 Nm, sementara motor gandar belakang pula 109 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu sistem pacuan semua roda DIRECT4.

Pek bateri berkapasiti 71.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh 440 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh 6.5 jam, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (tempoh dipendekkan kepada 30 minit).

Antara ciri yang dimuatkan pada Lexus RZ 450e termasuklah sistem gantungan topang MacPherson/Double Wishbone, sistem stereng berkuasa elektronik (EPS), rim aluminium bersaiz 20 inci, lampu projektor Bi-AHS LED dengan fungsi suluhan tinggi adaptif, lampu belakang rekaan L-Bar, pemegang pintu e-Latch luar dan dalam, serta ‘jeriji hadapan’ Lexus Spindle Body.


Ruang kabin pula mendapat kelengkapan skrin kluster instrumen tujuh inci TFT, skrin infohibur sebesar 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan Ultrasuede dengan larasan lapan tahap untuk pemandu dan penumpang, roda stereng balutan kulit sintetik, sistem pendingin hawa tiga zon, serta tombol penukaran gear jenis shift-by-wire.

Tidak ketinggalan, sepanjang perjalanan anda akan ditemani dengan alunan muzik daripada sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara tersedia.

Selain daripada ciri keselamatan pasif seperti 7 beg udara, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TCS) dan bermacam-macam lagi, Lexus RZ 450e turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri berikut:
• Sistem Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Curve Speed Reduction
• Sistem Pengekalan Lorong (LKS) dengan fungsi Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)

Terdapat juga dua ciri yang khusus untuk kenderaan Lexus, iaitu Lexus Parking Assist Monitor serta Lexus Teammate Advanced Park yang dibantu dengan fungsi kamera pemantauan keliling panorama (PVM).

Harga jualan Lexus RZ 450e 2024 bermula dari RM429,888.

 

Ulasan Pandu Uji Ringkas


Serentak dengan sesi pandu uji yang disediakan untuk Lexus LBX 2024 tempoh hari, kami turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan SUV elektrik ini dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Lexus Mutiara Damansara.

Impresi pertama kami, Lexus RZ 450e boleh dipertimbangkan sebagai satu alternatif jika anda tidak berminat untuk mendapatkan SUV elektrik buatan Jerman yang turut dijual dalam julat harga yang sama.

Prestasi pecutan yang ditawarkan oleh Lexus RZ 450e juga adalah apa yang anda harapkan daripada sebuah SUV dengan konfigurasi dua motor elektrik.

Ia tidaklah seagresif kereta elektrik yang memang ditala untuk prestasi, tapi memadai dan cukup untuk anda memalukan mana-mana kereta yang masih menggunakan bahan bakar fosil di persimpangan lampu isyarat.

Berdasarkan pemanduan di lebuh raya, anda boleh merasakan tahap NVH Lexus RZ 450e berada pada tahap yang selesa.

Cuma, kuasa 308 hp yang dihamburkan itu tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang bersesuaian untuk laluan berliku, dan anda boleh rasa sendiri olengan badan SUV seberat 2 tan ini yang agak ketara bila mana Lexus RZ 450e ini dibawa dengan agresif.

Penulis faham, Lexus RZ 450e bukanlah sebuah SUV berprestasi tinggi bertaraf F-Sport, jadi kelemahan ini boleh dimaafkan memandangkan perasaan yang sama turut dialami ketika penulis pernah memandu uji sebuah SUV elektrik buatan Jerman yang bukan versi prestasi tinggi.

Untuk ruang kabin pula, pendekatan konsep Tazuna yang diterapkan itu sememangnya sangat membantu pemandu dalam menumpukan perhatian penuh pada pemanduan atas jalan. Gugusan butang operasi diminimumkan, di mana hanya butang penting sahaja yang masih dikekalkan.

Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana mana-mana kereta baharu Lexus kini (termasuklah RZ 450e ini) tidak lagi disertakan dengan jam analog di bahagian tengah.

Tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan tempoh masa pandu uji yang sangat singkat. Mungkin lebih banyak info bakal kami ulas sekiranya ada peluang untuk memandu uji Lexus RZ 450e ini pada masa hadapan.

 

Lotus Eletre versi asas diperkenalkan semula, harga dari RM598k

Lotus Cars Malaysia baru-baru ini memperkenalkan semula varian asas Lotus Eletre 2024 sebagai pelengkap kepada penawaran varian Eletre S dan Eletre R sedia ada.

Penghantaran pertama dijadualkan bermula seawal bulan Oktober ini, dengan harga jualan meningkat kepada RM598,800 berbanding harga asal RM578 ribu sewaktu pelancaran pada April 2023.

Lotus Eletre 2024 versi asas ini mengekalkan spesifikasi dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 710 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

 

 

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

Pek bateri berkapasiti 112 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 600 km (mengikut data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas 350 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.

Membezakan antara Eletre varian asas dengan varian Eletre S dan Eletre R ialah padanan rim aloi aerodinamik lima jejari berukuran 20 inci diikuti dengan sistem brek empat omboh.

 

 

Pembeli boleh menaik taraf sistem brek enam omboh berserta rim bersaiz 22 inci dengan tambahan RM30,000.

Antara opsyen lain termasuklah kamera sisi serta spoiler belakang aktif yang dapat meningkatkan lagi jarak pemanduan Eletre.

Secara standard, Lotus Eletre dibekalkan dengan ciri keselamatan ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, serta bantuan parkir.

Terdapat sehingga lima mod pemanduan disertakan, iaitu Range, Tour, Sport, Off-Road, dan Individual (tambahan Track untuk Eletre R), dibantu dengan kawalan casis dinamik pintar Lotus.

 

 

Lotus Eletre turut didatangkan dengan sistem audio premium KEF 1,380 watt yang diiringi 15 unit pembesar suara, teknologi Uni-Q™ dan kawalan bunyi tiga dimensi.

Untuk pasaran Malaysia, pembeli boleh memilih dua warna baharu iaitu Akoya White serta Cinnabar Red, serta warna lain termasuklah Kaimu Grey, Solar Yellow, Natron Red, Galloway Green, Stellar Black dan Blossom Grey.

Setiap Eletre dilindungi jaminan pengeluar selama lima tahun/jarak perbatuan 150,000 km serta jaminan bateri selama lapan tahun atau perbatuan sehingga 200,000 km.

 

iCar V23, SUV elektrik dengan elemen rekaan rojak Defender, FJ40, G-Wagen

Pandang depan, macam Toyota Land Cruiser FJ40. Tengok dari tepi, macam Land Rover Defender. Toleh belakang, macam G-Wagen pula.

Jadi, ini model apa sebenarnya?

Model rojak yang baharu sahaja muncul ini diberikan nama rasmi iCar V23, sebuah SUV dengan rekaan yang diinspirasikan daripada ketiga-tiga lagenda off-road (Mercedes-Benz G-Class, Land Rover Defender, Toyota Land Cruiser).

iCar V23 merupakan model kedua untuk jenama baharu EV iCar yang dibangunkan oleh Chery dengan kerjasama Zhimi Technology yang dimiliki oleh Xiaomi.

Berikut merupakan serba sedikit fakta ringkas berkenaan SUV rojak yang datang daripada Tanah Besar China ini:

 

Ukuran

 

iCar V23 membawakan ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding model sulung iCar 03, dengan panjang sekitar 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm.

Sementara jarak antara roda pula sekitar 2,730 mm.

Selain itu, iCar V23 ini menawarkan sudut pendekatan 43 darjah, diikuti sudut pelepasan 41 darjah, dengan jarak kelegaan tanah setinggi 212 mm.

 

Rekaan luaran: Rojak empat benua

 

iCar banyak mengambil inspirasi daripada beberapa nama besar dalam segmen SUV off-road.

Bahagian depan menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, sementara rekaan jeriji, liang hud, struktur bersegi dan fender belakang membawakan elemen daripada Land Cruiser FJ40.

Bahagian bampar dan cermin depan yang rata pula mengingatkan kita pada Jeep Wrangler.

 

 

Kemasan sisi yang minimalis itu diinspirasikan daripada Land Rover Defender.

Seperti yang telah ditulis sebentar tadi, rekaan belakang SUV ini mirip Mercedes-Benz G-wagen, terutama pada unit lampu LED yang diposisikan agak rendah.

Akhir sekali, terdapat kotak storan yang dipasang pada pintu tailgate belakang, menyerupai ruang yang biasa diperuntukkan untuk tayar simpanan.

 

Ruang kabin minimalis

 

Tipikal mana-mana EV, iCar V23 membawakan skrin infohibur tengah yang agak besar, roda stereng rekaan stail Defender, diikuti dengan corong pendingin hawa berbentuk petak.

Di bahagian  bawah skrin tengah, terdapat empat tombol fungsi utama yang dikhususkan untuk HVAC (heat, ventilation, & air-condition)

 

Jarak gerak lebih 500 km

 

Tiada sebarang perincian rangkaian kuasa elektrik didedahkan buat masa ini, namun secara asasnya iCar V23 boleh dibekalkan dengan versi pacuan belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD).

Menurut laporan media automotif China, iCar V23 tersedia dalam versi motor elektrik tunggal dan dua motor elektrik, dipadankan dengan pek bateri yang disumberkan daripada CATL.

Versi RWD mampu bergerak sejauh lebih 500 km untuk sekali cas penuh, sementara versi AWD pula boleh mencapai jarak melebihi 400 km.

 

Pelancaran rasmi

iCar V23 akan dilancarkan secara rasmi pada 12 April ini sebelum ia dipamerkan kepada umum pada acara Beijing Auto Show 2024.

 

iCar V23 2024

Geely dedah gambar acah Galaxy E5 SUV, bakal muncul di Beijing Auto Show 2024

Salah satu sub-jenama di bawah naungan Geely, Galaxy baru sahaja menyiarkan gambar acah model SUV yang bakal dilancarkan kelak di Beijing Auto Show bulan depan.

Galaxy E5 SUV – biarpun sarat dengan balutan pelekat samaran berwarna biru – memperlihatkan elemen rekaan tersendiri termasuklah unit lampu LED yang tajam, muka hadapan tanpa bukaan jeriji, padanan plastik pelindung pada gerbang roda, serta unit lampu belakang yang ringkas.

Profil sisi SUV ini tidak menampilkan sebarang garis badan yang keterlaluan, dengan pemegang pintu yang tertanam kemas itu mengekalkan imej bersih dan masih lagi mampu menarik perhatian orang ramai.

Geely masih lagi belum mendedahkan perincian rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada Galaxy E5 SUV ini.

 

 

Besar kemungkinan SUV elektrik ini membawakan spesifikasi yang sama ditawarkan pada sedan elektrik Galaxy E8, seperti senibina elektrik 400- dan 800-voltan, diikuti dengan tiga pilihan saiz kapasiti bateri LFP.

Di pasaran China, sedan itu turut dimuatkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 268 hp, sementara versi mercu dibekalkan dengan motor elektrik berkembar berkuasa 637 hp.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi model ini di acara pameran Beijing Auto Show 2024 kelak.

Untuk makluman, Galaxy merupakan satu jenama baharu yang telah ditubuhkan sejak 14 bulan yang lalu.

Biarpun masih lagi berusia muda, Galaxy sudah pun mempunyai kira-kira 650 cawangan di seluruh China, dan berjaya menjual sebanyak 83,497 unit kenderaan sepanjang tahun lepas.